BAB 13
“HOI! Baju pengantin siapa, ni?
Letak sepah-sepah,” jerit Que sambil pantas bangun semula dari duduknya, bila
terasa ada sesuatu di bawah punggungnya.
“Baju kau, lah.”
“Hah! Aku?”
“Dah tu... Mr. El hantar untuk aku dengan
Rin, ke?”
Que melopong mendengar itu. Biar
benar??? Tidak berkedip matanya memandang baju tersebut. Baju macam ini yang El
suruh Que pakai? Isy! Ini sudah kira melanggar tatasusila, eh bukan,
perjanjian. Kan sudah beritahu hari itu lagi yang dia tidak mahu pakai yang
seksi-seksi. Baju sudah cantik, labuh sampai buku lali tapi, tidak ada lengan
dan bertali agak halus. Dibuatnya putus masa majlis, isy, tidak sanggup! Hendak
mampus!!! Ini melanggar etika cara berpakaiannya juga. Mesti katakan tidak!
Tidak elok untuk kesihatan jika begini.
“Mak aii! Seksi gila ni! Tak naklah
aku pakai baju ni!”
Que berpusing ke belakang. Eh!
Lupa... Mak ada sini. Baru sampai... Kesian dia tercegat macam Cikgu Bedah
hilang pen di muka pintu itu saja. Cara tebar pandangan memang macam penyelia
sedang buat seliaan dan siasatan. Pantas Que menuju ke arah maknya semula.
“Mak, maaf, orang lupa mak ada. Ni lah, budak dua orang ni, suka
bersepahkan barang. Tu yang orang geram
tu. Mak tengoklah dia orang tu.”
“Maaflah mak. Bukan Mai tak nak
jemput masuk. Tadi lagi Mai nak ajak masuk tapi suara anak mak yang bertuah
sangat ni, dah macam petir. Terkejut Mai,” terang Mai sambil mendapatkan mak Si
Que.
“A’ah mak. Dah elok-elok kami nak
terus sambut mak, jadi terencat pula bila dengar dia menjerit tadi,” tambah Rin
pula.
Kedua-duanya segera bersalaman penuh
hormat dengan mak Que. Memang mereka mesra pun. Panggilan pun sudah tidak ada
mak cik macam awal-awal dulu. Lebih selesa membahasakan mak Que dengan
panggilan mak juga. Bertambah mesra kata mak Que. Lagipun, bukan tidak biasa
menerima kunjungan mak Que ke rumah itu. Selalu juga. Dan mereka amat senang
dengan sifat keibuan dan ambil berat mak Que itu. Terubat rindu pada ibu
masing-masing yang jarang datang menjenguk.
Maklumlah, Que satu-satunya anak
bagi maknya. Mereka pula, ada adik-beradik lain yang memerlukan lebih
perhatian. Ada yang masih bersekolah. Jadi kenalah mengalah dan mereka yang
kena balik kampung menemui orang tua dan keluarga. Jadi, bila mak Que datang
berkunjung, dapatlah menumpang kasih ibu. Dapatlah bermanja sama. Que tidak
lokek. Maknya boleh dikongsi asal saja dia tetap mendapat lebih. Normallah
begitu, kan? Sudah memang dia anak maknya.
“Tak apa, Mai, Rin. Mak faham. Que
ni pun, bilalah nak berubah. Bercakap mengalahkan petir.”
Que singai saja. Memang salahnya.
Terima saja. Lagipun mak sendiri yang tengah beri ceramah sekarang ini. Tadah
telinga tanpa banyak bicara. Kunci mulut diam-diam. Tidak baik lawan cakap mak.
“Sihat kamu semua,” sambung mak Que
lagi.
“Alhamdulillah, mak,” jawab Mai dan
Rin serentak.
Mak Que mengangguk-angguk beberapa
kali, tanda mengerti.
“Alhamdulillah...” balas mak Que
pula. Tanda syukur.
“Eh! Masuklah, mak. Kesian mak,
mesti penat. Nasib baik tak naik motor Si Que ni, kan mak? Kalau tak, lagi
patah pinggang nak sampai ke rumah ni.”
Mak Que hanya senyum.
“Yalah. Terima kasih daun keladi Cik
Mai, kerana pinjamkan kereta. Sungguh baik hati.”
“Jom mak. Rin dah masak. Kejap lagi,
bolehlah kita makan.”
“Dan Cik Rin, terima kasih juga,
kerana sudi pinjamkan kaki tangan untuk masak makan malam kita.”
“Kasih diterima,” jawab Mai dan Rin
serentak sekali lagi. Tersenyum simpul mereka sedang Que dalam geram
membulatkan mata. Terus mereka semua ketawa. Lucu pula.
“Ni baju siapa?” tanya mak. Ketika
itu mereka semua sudah berada di ruang tamu dan baru saja duduk.
Que, Mai dan Rin saling
berpandangan. Hendak kata cuba sembunyikan sesuatu dari mak, sudah tentu tidak.
Mereka memang tahu yang mak akan sampai pada hari tersebut. Dan hari tersebut
juga Que ada tugas luar alam.
“Mak.... Sebenarnya orang kena
temankan bos orang pergi majlis makan
malam. Tu yang dia sewakan baju ni untuk orang. Mak bukan tak tahu yang
orang mana ada baju gaun bagai macam ni. Orang banyak pakai jean dengan baju-T
aje. Baju kurung pun, orang pakai cuma masa raya dengan pergi majlis kenduri
kendara aje,” Que buka mulut menerangkan perkara yang sebenar.
Mak terdiam seketika. Direnung baju
itu lama. Sekali lagi mereka bertiga saling berpandangan. Dalam fikiran sudah
berlegar bahawa mak pasti tidak suka. Apatah lagi yang anaknya kena jadi
‘teman’ untuk bosnya. Atas dasar apa, ya tidak? Yalah, seorang penghantar surat
boleh naik taraf sampai jadi teman bos pula. Besar betul mandat yang Que dapat.
Agak pelik.
“Mak, orang tak nak pergi, tapi bos
orang paksa. Bukan buat apa pun, cuma teman dia pergi makan malamtu aje. Tak ada mabuk-mabuk ke, apa ke, mak.
Lepas tu, baliklah. Mak percayalah pada orang,” tambah Que lagi bila mak masih
juga diam tidak bersuara. Dia yang risau. Dia yang bimbang. Dan dia yang tidak
senang duduk sebenarnya. Takut mak marah.
“Tak sangka, ya. Kerja hantar surat
pun boleh sampai jadi ‘teman’ bos pergi majlis ya, Que? Kelas anak mak! Tak
sia-sialah mak bagi restu jadi penghantar
surat, ya? Teman tapi mesra, ke?”
“Mak!!!” Que sudah bengang.
Mak sengaja mengusiknya. Uwa...
Tidak suka macam ini. Mak buli Que. Yang lagi dua orang itu, sudah gelak sakan.
Mana tidak gelak. Mak diam, rupanya tengah atur ayat yang sesuai untuk kenakan
Que. Jangan buat-buat lupa. Mak itu jenis yang berfikiran terbuka. Setakat pergi makan malam, takkanlah mak hendak marah, kan? Yang seronoknya,
bukan selalu fenomena ini berlaku. Hanya ketika mak ada bersama di rumah itu
saja mereka dapat dengar dan lihat Que kalah. Bercakap dengan mak, mana boleh
menang. Kalau dengan mereka berdua, memang dia saja yang menang.
***********
Que termenung lama. Hendak buat
macam mana, ya? Lama sudah dia memikir. Dari petang, semasa balik ambil mak
dari stesen bas lagi sudah mula fikir. Sampai sekarang ini juga masih memikir.
Jarum saat tetap berjalan. Jarum minit juga tidak mungkin berhenti kecualilah bateri
jam itu kehabisan tenaga. Masa terus berlalu tanpa menunggu dia walau sedetik
lebih pun. Tinggal beberapa dentingan waktu saja lagi dia mesti menunjukkan
muka seperti yang dia sendiri persetujui. Itulah dia! Siapa suruh setuju saja?
Kan diri sendiri yang tidak tentu hala.
Tapi, bab yang bagi persetujuan itu,
tidak adalah berat sangat. Okey saja. Bab yang kena pakai baju ala-ala tidak
cukup kain ini yang sangat berat. Sungguh berat. Memanglah dia akui yang
kadangkala pun dia hanya berseluar pendek paras lutut ketika di rumah. Pakai
baju tidak ada lengan juga. Tapi, itu setakat di dalam rumah. Hanya dilihat
oleh Mai dan Rin. Paling teruk pun mak yang tengok. Habis-habis teruk pun kena
tegur dengan mak. Itu pun, dia buat tidak dengar saja kerana dia memang tidak
mempraktikkan berpakaian kurang sopan di luar. Itu prinsipnya.
Sekarang ini, tanpa budi bicara, dia
disuruh memakai pakaian yang melanggar kod etika berpakaiannya. Memanglah buat
dia haru-biru. Sampai ‘you look blue’ sudah mukanya, memikir. Pucat lebam bukan
pucat lesi. Kalau ikutkan hati yang tengah tidak puas hati ini, mahu saja dia
batalkan persetujuan yang telah di buat antara dia dan El. Tapi, atas sifat
perikemanusiaan, hatinya masih membuat timbang tara akan hal tersebut. Sebab
itu, dia berfikir tidak habis-habis lagi. Hmm...
“Que, apa yang kamu termenung lagi,
tu? Kata nak pergi teman bos ke majlis
makan malam? Maghrib sudah, isyak baru lepas, apa lagi yang Que fikir,”
tegur mak yang baru masuk ke dalam bilik Que.
Dia berlabuh di birai katil Que.
Selepas makan malam bersama Mai dan Rin tadi, dia terus duduk berbual dia ruang
tamu. Lagipun, Que kata dia mahu bersiap jadi, mak tidak mahu mengganggu.
“Mak... Orang tak tahu nak buat
macam mana dengan baju ni. Malu nak pakai. Banyak sangat yang terdedahnya,” adu
Que manja.
“Kamu dah cuba?”
“Dah. Tak sangguplah nak pakai,
mak.”
Mak tersenyum penuh makna. Sangat
memahami perangai anak daranya yang seorang ini. Que memang nakal tapi bab-bab
yang melanggari batas agama, sebolehnya dia elak. Itu kelebihannya. Sebab itu
jugalah, sebagi mak, dia tidak pernah sangsi melepaskan Que kerja berjauhan
darinya. Nak-nak, jadi penghantar surat. Banyak buruk dari baiknya buat seorang
perempuan. Tapi, dia percaya yang Que tahu jaga diri dan batas pergaulannya.
“Dah tu... Que nak pakai baju apa?
Tukar baju lain? Kata tadi Que tak ada baju yang sesuai, kan?”
“Itulah dia, mak. Karang kalau orang
pakai jean aje, mesti dia marah. Dah sewa mahal-mahal, orang tak nak pakai
pula. Nanti dia kata orang mengada-ngada. Macam mana ni, mak? Takkan mak pun
sokong orang pakai baju macam ni,” rengek Que lagi.
Buntu, buntu juga. Tapi, masa tetap
berlalu pantas. Dia melirik jam dinding yang sudah menunjukkan hampir ke pukul
8.40 malam.
Mak senyum lagi. Direnung wajah Que
yang kerisauan.
“Mai! Rin! Masuk sini, nak. Mak nak
minta pendapat kamu berdua ni,” panggil mak tiba-tiba.
Sudah! Mak hendak libatkan makhluk
yang dua orang ini pula. Habislah Que kena kutuk kaw-kaw nanti. Mak ini pun!
Gunalah talian hayat lain. Ada ke yang dua orang itu! Erk! Tapi, mana ada orang
lain lagi di rumah ini? Itu sajalah makhluk yang sanggup bersusah senang
dengannya. Kena kutuk pun sudah biasa. Sampai kadangkala, rasa macam kena puji
pula. Habis teruk pun dia luku saja budak dua orang itu, kalau melampau sangat
ideanya. Hmm...
“Ya, mak! Mak nak suruh kita orang
buat apa,” tanya Mai mewakili Rin juga.
Kala itu mereka sudah berdiri di
ambang wati. Eh! Salah lagi... Di ambang pintulah. Peraturan di rumah itu, jika
mahu masuk bilik sesiapa pun, kena minta dan dapat izin terlebih dahulu. Kalau
tidak, jangan cari pasal main redah sesuka hati. Ada yang perang sabil nanti.
Bukan kedekut. Bukan lokek. Cuma sekadar menghormati hak privasi orang lain.
Itulah yang mereka amalkan. Elok apa begitu. Saling tahu hak masing-masing
apatah lagi kawan karib. Tapi, mak diberi kelonggaran. Tidak perlu ketuk pintu
pun tidak apa. Special case.
“Laa.... Kau tak siap lagi ke, Que?”
tanya Rin pula bila matanya tertancap pada Que yang masih berlunjur di atas
katilnya.
Gaun
malam yang El hantar tadi masih juga
terletak elok di sebelah Que. Cuma sudah terkeluar dari dalam casing bagnya.
“Inilah yang mak nak minta pendapat
kamu berdua. Que ni malu nak pakai baju seksi macam ni. Mak pun tak suka dia
pakai seksi-seksi. Jadi, kita nak buat macam mana supaya nampak elok aje Que
pakai tanpa terdedah sana sini. Kamu berdua rasa, macam mana kita nak gayakan
baju ni?” panjang lebar mak beri penjelasan.
Yang dua orang lagi itu, sudah duduk
santai di depan mak. Mak, duduk atas katil sambil sebelah kaki mencecah lantai.
Mai dan Rin, duduk di bawah berhampiran dengan mak. Cis kek betul! Macam dia
orang pula anak mak.
“Kejap ya mak, bagi Mai fikir. Kau
pun fikir sama, Rin.”
Rin hanya mengangguk. Muka sikit punya
serius. Siap pandang atas lagi. Tengah fikir sangatlah begitu. Ke tengah
berangan dia yang jadi teman El? Hmm...
“Mak, kalau pakai inner kat
dalam, okey tak?” usul Mai. Setakat ini, hanya itu yang terlintas. Sekurang-kurangnya, tutup juga
mana yang patut.
Que bagi jelingan manja.
“Seksi jugak tu! Inner tu ketatlah, Mai. Macam nangka kena
sarung je nanti,” balas Que kurang bersetuju.
“Hmm... Mak rasa boleh. Luar boleh
tutup dengan selendang, tapi kalau ada cadangan lain, kita tengok cadangan lain
dulu.”
“Panaslah mak, pakai berlapis-lapis.
Pengsanlah Que macam ni.”
“Kalau tak nak panas, pakai jelah
baju ni. Terdedah sikit, senang
masuk angin,” selar Mai geram. Orang sudah bagi idea, banyak pula ‘cekadak’nya.
Mak, kalau beri pendapat memang
tidak pernah berat sebelah. Tidak kiralah dengan anak sendiri atau bukan sekali
pun. Tetap adil dan saksama. Sayang, mak!
“Okey! Okey! Apa kata, kau pakai cardigan
kat luar. Aku ada cardigan baru, yang aku rasa sesuai dengan warna baju
ni. Kejap aku ambil, eh.”
Terus Rin hilang, menuju ke biliknya.
Yang lain, sekadar menganggukkan kepala. Kira itu juga satu cadangan yang baik.
Bukan kata cadangan Mai tadi tidak baik. Elok juga, jika sudah tiada kaedah
lain. Kemudian, Rin masuk semula bersama baju yang dia sebutkan tadi.
“Apa macam? Okey tak, yang ni? Mak?
Mai? Que?” tanyanya sambil tersenyum memegang baju itu seperti model sedang
memperagakan produk. Yang tidak sesuainya, Rin pakai baju tidur. Model
tersesat!
“Eh! Okey sangat ni, Rin. Que? Aku
rasa, yang ni cadangan terbaik,” sokong Mai pula.
Mak, seperti biasa akan tersenyum
melihat telatah tiga orang ‘anak-anaknya’ itu. Bahagia bila melihat mereka
bertiga sentiasa sepakat. Itulah yang dia mahu. Sudahlah duduk jauh dari
keluarga. Bila sepakat begini, susah senang, ada juga yang ambil peduli.
“Mak?” Que tetap mahu pandangan mak.
“Okey. Cantik juga baju tu dikenakan
dengan... Apa nama tadi, Rin? Cardigun? Cardigran? Ala-carte?”
Meletus tawa mereka bertiga
mendengar lawak mak. Mak ini pun... Dalam keadaan yang separa kritikal macam
ini pun, sempat lagi buat lawak.
“Hah... Ketawa pun anak mak ni.
Kalau tidak, muka tu ketat aje. Senyum pun tak nak. Risau sangat bos dia tak
senang hati nanti,” usik mak seperti biasa.
Que, kalau mak sudah mengusik, terus
tidak boleh kata apa. Kalah sebelum berjuang jadinya.
“Mak ni...”
Hahahaha..... Yang dua orang ini,
memang nasi tambah. Back up terbaik buat mak. Sabar sajalah. Tapi,
mereka semua ini juga yang memeriahkan kehidupan sehariannya. Itu dia akui.
Akan sepi harinya tanpa mereka.
“Eh! Cepatlah bersiap, Que. Dah
dekat pukul sembilan ni. Lambat pula kau sampai sana nanti. Tertunggu-tunggu
pula bos kau tu karang.”
Que bagi jelingan manja lagi sekali
pada Rin. Mulut perempuan ini memang terlebih insurans agaknya.
“Pakai baju tu cepat, Que. Nanti aku
solekkan muka kau. Baru vogue nanti. Silap hari bulan, bos kau tu terus
terpikat nanti.”
“Kau berdua ni, saja je nak kenakan
aku, kan? Mentang-mentanglah mak ada sini, sedap aje mengutuk aku.”
“Alah... Kalau mak tak ada pun, kami
tetap kutuk kau juga, kan? Tak ada beza, Que. Dah, cepatlah!"
Maka dengan itu, bermulalah sesi
‘transformasi’ buat Que. Khusus untuk malam itu saja. Que jadi orang lain
secara luaran. Memang lain! Memang bersesuaian cardigan milik Rin
dikenakan dengan gaun malam pilihan El. Sungguh elegantpenampilannya.
Cantik! Di tambah pula dengan solekan yang tidak keterlaluan tapi menarik hasil
sentuhan magis Mai yang memang pandai mengadaptasi serta memainkan kombinasi
warna ke wajah sesiapa saja.
Dia kan ala-ala mak andam terlampau,
gitu! Que nampak lain benar. Seperti bukan Que yang berdiri di depan mereka
sekarang ini. Mak pun senyum panjang tanpa ulas bicara. Terpegun pastinya,
melihat wajah anaknya sungguh sempurna dalam versi seorang wanita. Que tidak
pernah bersolek. Kelainan yang mereka dapat lihat membuat mereka teruja untuk
memandangnya semula.
Satu lagi permintaan Que, oleh
kerana dia sering menutup kepalanya atau lebih tepat rambutnya dengan baseball
cap, jadi dia minta untuk mereka berdua lakukan sesuatu agar rambutnya akan
di tutupi juga malam ini. Memanglah dia tidak memakai tudung tapi dia tidak
pernah membiarkan rambutnya dapat di lihat sesuka hati. Atas sebab itu, dia
sentiasa bertopi.
Jadi, untuk memenuhi permintaannya
malam ini, sekali lagi Mai dan Rin lakukan ‘sesuatu’ ke atas penampilannya agar
lebih menarik, biar pun bertutup kepala. Mai sudi meminjamkan knitted cap
seperti yang selalu Siti Nurhaliza dan Fida Aziz pakai itu. Topi ala-ala serkup kepala itu baru
dibelinya dan demi untuk memastikan yang penampilan sahabatnya menarik, dia
sanggup berikan pada Que. Sebagai hadiah.
“Hmm... Cantiknya anak mak! Sejuk
mata yang memandang. Mak suka Que pakai macam ni. Lembut dan nampak ayu
sungguh.”
“Mak, ni.... Janganlah usik Que
macam tu. Risau nak bergerak ni. Susah. Selalu pakai jean, kena pakai kain
macam ni, rasa pendek langkah.”
“Que pakai macam ni elok, apa. Kan,
Mai? Rin?”
Keduanya hanya mengangguk. Kesian
pula lihat Que yang terkulat-kulat diusik oleh mak. Mereka tahu yang hati Que
mungkin sedang tidak keruan saat itu. Semakin menghampiri detik yang
dijanjikan, bebayang resah di wajahnya jelas kelihatan. Kesian dia. Mesti kekok
dan tidak pasti bagaimana mahu bereaksi di sana nanti. Tidak apalah, Que.
Jadikan ini satu subjek pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan. Kot nanti
betul-betul dapat kahwin dengan Mr. El, kira sudah ada pengalaman, kan? Yang
lain-lain, tolak tepi dulu.
“Jom Que, aku hantar kau. Takkan nak
naik motor dengan gaun macam
ni, kot! Mahu rabak karang. Jomlah nanti lambat pula. Mak, Rin... Mai hantar
Que kejap ya.”