Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 3)

BAB 3

“APA hal kau ni Jess? Tenanglah. Aku hidup lagi. Bukan mati pun. Demam ajelah. Yang kau sampai berbesen membazir air mata ni, kenapa?” tegur Que rimas.

Mana tidak rimas. Jess inilah, dari mula sampai hingga sudah mahu balik, tidak habis-habis meleleh air mata. Gaya macam Que sudah tiada dalam dunia ini saja. Apa kes sentimental tidak bertempat? Perempuan seorang inilah... Leceh betul. Memang pelakon air mata betul. Sikit-sikit ‘gerimis’. Nasib baik tidak ‘hujan’ lebat. Mahu banjir hospital itu nanti.

Yang peliknya, ketika ketawa pun boleh keluar air mata. Buang air mata saja. Ke, di dalam mata dia ada kolam? Mudah sangat melimpah keluar.

“Mana ada aku menangis! Air mata banyak sangat, tu yang automatik keluar tu. Kau ni lah. Buat aku risau, tahu tak?” kata Jess sambil menolak bahu Que dengan hujung jarinya. “Siap boleh pengsan segala dalam bilik Mr. El tu, apa hal? Apa dia buat kat kau? Ni mesti ada apa-apa dah berlaku ni, sampai kau pengsan kat situ. Masa kau kat dalam bilik dia tu, senyap aje. Tak sama masa dengan Erin dan Eiz, macam petir. Cuba cerita kat aku.”

Wei! Gaya sudah seperti paparazi tidak bertauliah nampaknya. Tidak sabar-sabar mahu tahu cerita panas. Hendak korek cerita sensasi nampak! Silap oranglah Jess. Kalau gaya yang hendak buat skandel dengan bos, Erin bolehlah. Que, belum menjurus ke arah itu. Dressing pun silap hari bulan orang boleh anggap macam lelaki.

“Ek eleh! Kau ingat aku buat apa dengan dia? Cakap gaya macam aku ni penggoda kelas satu. Mr. El kau tu, adalah tokoh gaya penggoda. Aku, nehi! Kan dah seratus kali aku cakap, aku demam. Kena hujan masa tu, kan? Demam. Tak ada sebab lain, okey.”

“Takkanlah... Kau bohong ni. Takkan sikit pun tak ada dia ‘ayat’ kau. Erin kata kat aku, Mr. El marah-marah sebelum kau masuk bilik dia.”

Isy! Minah sengal ini, ada yang kena debik karang. Ingat semua perempuan sama, ke? Asyik hendak fikir skandel saja. Macam tiada kerja lain! Cheh! Lepas itu, yang dia dengar cakap Erin buat apa? Bukan Erin yang ada bersama bos masa itu. Dia.

“Bohong dosa. Masuk api neraka. Aku tak nak masuk neraka,” jawabnya berkias.

“Dah tu, cakaplah betul-betul,” desak Jess lagi. Gaya tidak puas hati.

“Eiii... Kau ni tak reti bahasa ke, Jess? Aku demam. Titik.”

“Dah tu, kenapa Mr. El risau sampai tahap tak ingat pasal kau? Aku yang kena marah kau tahu, tak?”

Erk! Biar betul!

“Kau kena marah dengan dia?”

Jess mengangguk laju.

“Apa kes? Tak ada kena mengena dengan kau pun aku demam,” sambungnya. Pelik Que rasa. Memang peliklah. Kenapa Jess pula yang jadi mangsa.

“Dia marah sebab aku tak beritahu dia siapa kau sebenarnya. Memanglah aku cakap nama kau Que, penghantar surat kat situ. Tapi aku tak cakap yang kau ni perempuan. Tu yang dia angin satu badan. Yalah, mana aku tahu yang dia tak tahu. Aku ingat dia dah baca semua profil staf sebelum mula kerja. Lepas tu, dia marah Erin juga. Dia kata, tak sepatutnya biarkan kau naik motor dalam hujan semata-mata nak suruh kau sampai on time, masa tu. Dia boleh faham kalau kau tak datang sekali pun hari tu tapi dengan penjelasan. Lepas tu, disuruhnya aku jaga kau siang malam, sampai kau okey. Tak kasi aku tinggalkan kau langsung. Nasib baik kawan serumah kau datang, gantikan aku. Tapi, yang dia marah sangat sebab aku tak bagi tahu yang kau perempuan. Hah, yang tu buat dia macam keluar asap dari hidung dan telinga.”

Ternaik kening Que mendengar kata-kata Jess itu. Biar betul! Ya, ke? Macam tidak percaya saja. Takkanlah sampai macam itu sekali kot. Jess saja buat cerita kot. Bukan boleh percaya sangat cakap dia ini.

“Mengarutlah kau ni, Jess. Kau aje yang rasa dia macam tu kot. Tak ada maknanya dia nak risaukan aku. Anyway, terima kasih sebab tolong jaga aku kat sini walaupun hanya satu malam aje.”

Jess menepis angin. Tanda tidak ada hal lah. Walaupun mereka agak ‘panas’ tapi ada ketika mereka jadi ‘dingin’ dan ‘sejuk’, jika kena pada tempatnya. Tidak adalah seteru sampai mati. Memang tidak dinafikan, walaupun mereka sering bertegang urat tapi mereka agak rapat jika dibandingkan dengan staf yang lain.

Jess, walaupun mulutnya agak lepas cakap dan perangainya kadangkala menyakitkan mata, tapi dia boleh jadi ‘kawan’ juga. Lepas cakapnya nyata. Perangainya tidaklah sampai lepas laku. Dia seorang yang tidak hipokrit. Itulah dia. Bukan seperti sesetengah staf perempuan yang lain. Talam dua muka. Depan, bukan main baik lagi. Tapi, di belakang, ‘buat ketupat’ tidak masak-masak. Plastik lut sinar!

“Dua malamlah.”

“Yang satu malam lagi tu, aku jaga diri aku sendirilah. Jess, siapa yang angkat aku masa aku pengsan tu?”

“Siapa lagi? Mr. El lah. Dah dia aje masa tu lelaki yang tinggal. Orang lain dah keluar lunch. Pandai kau pilih masa nak pengsan, kan? Masa orang lain dah tak ada, baru kau tumbang,” usik Jess dengan senyum simpulnya. Keningnya diangkat beberapa kali, memancing reaksi Que.

Que yang terkedu mendengar itu. Biar benar! Malunya! Eh! Tapi masih berlapis lagi, kan? Tidak adalah dia sentuh kulit pun agaknya. Dia hanya niat hendak tolong. Ya. Dia hanya menolong. Bersangka baik sesama insan. Jangan fikir yang sebaliknya.

“Bunyi macam cemburu, aje? Kau ingat aku set masa ke, bila nak rebah tu? Apalah kau ni. Tak habis-habis nak prasangka buruk kat aku.”

“Macam mana tak cemburu. Aku ni, nak suruh dia tengok muka aku pun susah. Apa lagi pegang tangan. Kau, siap dia angkat dan hantar sampai hospital ni lagi. Lepas tu boleh suruh aku jadi ‘babysitter’ kau pula. Bagi arahan sesuka hati dia. Tak kuasa aku.”

Que gelak.

“Kalau macam tu, esok lusa kau pengsanlah pula dalam bilik dia. Tengok apa dia buat.”

“Gila! Cari nahas namanya tu.”

“Tahu pun. Dah tu apa hal nak menggatal suruh dia pegang tangan kau, pulak? Aku bagi tahu boyfriend kau nanti, baru tahu.”

“Alah, kau ni... Aku cakap aje. Bukan suruh dia buat betul-betul pun. Tapi kan Que, bos baru kita tu lain sikitlah.”

Sudah mula dia. Nak bergossiplah itu!

“Kenapa kau cakap macam tu? Makhluk dari planet mana pula dia tu? Apa yang lainnya?”

“Cheh! Kau ni! Bukan tu maksud akulah...Yalah, kau tengok contohnya aku ni, okey. Selalunya, lelaki tak pernah tak pandang aku. Cara aku berpakaian, berdandan, berjalan, semua jadi perhatian. Tapi, Mr. El tu macam rabun aje. Sikit pun tak puji aku ke, apa ke, macam lelaki lain. Tengok aku sebelah mata aje.”

Que gelak lagi.

“Gila publisitilah kau ni, Jess. Oh! Sebab dia tak puji kau cantik, kau bergaya, itu maknanya dia rabunlah? Kau ni pun... Dia kan baru aje mula kerja. Belum ada peluang nak tilik dan puji kau kot! Kenal pun tak lagi. Esok, lusa, dipujinya kau melangit, tak cukup tanah kau nak berpijak karang. Mahu jalan pun tak jejak bumi. Tak pun jatuh tergolek-golek.”

“Tak ada maknanya! Dia memang tak ada perasaan punya orang. Percayalah cakap aku. Muka ketat! Senyum pun payah! Dah tu tahu nak mengarah aje kerjanya. Eh! Tu memang kerja dia, ek? Dah namanya bos. Tapi, memanglah dia tu. Hati keras macam kena simen. Beku!”

Mak aii! Gaya cakap macam marah benar. Siap tahu hati keras macam kena simen. Hmm...

“Aik! Cakap gaya marah aje.”

“Eh! Ya, ke? Macam marah, eh? Tak adalah... ‘Lepas geram di Era’ aje. Huhuhu...”

Hahaha... Keduanya tertawa. Cerita entah apa-apa. Lari tajuk. Memang sudah lari skala pun. Boleh pula Si Jess ini buat sesi luahan rasa yang terbuku di kalbu. Yang Si Que pula, macam biasalah. Tadah telinga, dengar saja. Dia kan diibaratkan ‘pendengar yang baik’ kat pejabat itu. Nama hendak bagi komen lebih-lebih, minta ampun. Bukan dia orangnya, ya. Setakat dengar, tidak apa. Tidak rugi sesen pun. Nasihat sipi-sipi, bolehlah.

Tetapi, seketika kemudian, mereka terus senyap. Langsung tidak berkutik. Sepi sesepinya. Muka masing-masing sudah agak berkerut dan mula pucat. Bunyi keriut pintu dibuka meraih perhatian mereka. Di muka pintu berdiri segak El sambil memandang mereka tanpa riak. Namun, senyum secarik di wajah lelaki itu bagai menyimpul makna. Que dan Jess saling berpandangan sambil menelan air liur yang terasa kesat. Adakah?

“Amboi! Bukan main lagi awak berdua mengutuk saya, ya? Langsung tak toleh kiri kanan. Saya nak nasihatkan, cakap siang, pandang-pandang....” katanya sambil terus mara menuju ke arah sofa yang tersedia. Dia duduk santai di situ. Bersahaja. Tiada reaksi selanjutnya.

Que dan Jess sudah merona merah wajah mereka. Tersedar bahawa apa yang mereka bicarakan sebentar tadi didengari oleh lelaki itu. Dan yang paling tidak seronoknya, intipati persoalan yang mereka bicarakan adalah tentang lelaki itu sendiri. Aduhai! Mana hendak letak muka. Caught red handed!

Previous: (BAB 2)
Next: (BAB 4)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin