Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 18)

BAB 18

QUE memandang El, geram. Baru niat mahu jadi pekerja yang berdedikasi sekejap tadi. Baru niat tidak mahu berdepan dengan orang yang sudah membuatkan meter semangat wajanya jatuh merundum hari ini. Baru niat mahu lepaskan sesak kepala bila bekerja di luar nanti, sudahnya muka itu juga yang berdiri menghalang perjalanannya. Yang lebih malang lagi, dia belum pun sempat melepasi pintu utama. Masih berada di dalam kawasan pejabat yang sangat ‘panas’ dirasakan hari ini. Panas berbahang! Boleh terbakar hati kalau terus memerap di dalam ofis. Sangat memudaratkan kesihatan mindanya.

Geram betul! Apa kes yang dia ini, kerja asyik menghalang perjalanannya dari tadi. Gaya, macam sengaja tidak mahu bagi Que melepasi dirinya. Sengaja dia mengepakkan tangannya yang sedang menyeluk saku. Apa? Hendak sangat tumbuh kepak macam kepak ayam, ke? Goreng pun sodap! Sedap diratah juga. Cicah dengan sos cili lagi sedap. Macam daging ayam KFC. Tapi, yang ini mesti liat. Daging tua! Hmm... Padan muka dia kena samakan dengan daging tua.

“Que, buatkan saya kopi.”

Arahan lagi. Que sudah buat muka bosan.

‘Pula!!! Bila masa aku tukar kerja jadi tea lady?’

“Saya ni budak penghantar surat, bukan pembancuh kopi, bos.”

“Selalu tu bila Zira suruh awak buat, tak banyak songeh pun. Kenapa bila saya suruh, awak banyak alasan pula?”

“Dia tu pemalas! Kerja dia semua orang lain yang disuruhnya buat. Bos suruhlah dia. Biar dia belajar kenal apa tugas dia kat sini. Saya, penghantar surat aje.”

Pandangan El mencerun pada Que. Mungkin tidak menyangka yang Que akan bersuara selantang itu. Baru dia tahu! Dia mesti menegakkan kebenaran! Berjuang demi keadilan.

“Dia kan, pemalas! Awak pula terlebih rajin. Jadi, awaklah buat.”

Que julingkan mata ke atas, tanda bosan.

“Itu, sebab saya terpaksa. Bukan buat dengan rela hati pun. Sebab, kesian dengan bos. Karang, mati kehausan pula kalau saya tak tolong bancuh kopi.” Sedikit kasar dia menajwab.

“Banyak pula awak bercakap! This is an order! Buat sekarang!” Suara El agak keras.

“Nak order, pergilah kedai mamak kat bawah tu. Macam-macam ada. Kopi, teh, milo, semua ada. Order ajelah!” Que juga menggunakan nada yang sama. Sedikit keras.

Meluat pula dia rasa dengan sikap El hari ini. Tahu mengarah saja kerjanya. Memang sah, kena rasuklah dia ini. Lain macam saja perangai dia hari ini.

I’m your boss, Que. Don’t you ever dare to disobey me.”

Eii! Takutnya!!! Dia mencebik.

“Tak takut ke kalau saya letak racun dalam kopi tu nanti?”

You won’t dare to do that,” kata El yakin.

Dia sudah bercekak pinggang. Macamlah ramping sangat pinggang dia!

Que angkat kening double jerk. Ziana Zain pun kalah.

“Amboi! Yakinnya dia!”

I’m! Awak baru aje cakap macam tu. Kalau betul awak letak racun dan sesuatu berlaku pada saya, semua orang kat sini dengar dan tahu awak yang buat. You are caught red handed, Que.”

“Macamlah saya takut,” balasnya selamba sambil mencebik. Sengaja berbuat begitu.

So, do it now!” cabar El padanya.

Que pantas berpaling, menuju ke pantry. Surat-surat yang kononnya hendak dihantar tadi, dicampakkan di atas meja Jess. Terperanjat Jess bila tiga ikat surat terdampar di atas meja kerjanya. Di toleh ke arah Que dan El silih berganti. Yang seorang muka memang tidak boleh hendak ceritalah. Masam mencuka. Tapi tetap comel. Yang seorang lagi dengan lagak bos yang memang bos pun, penuh sinis memandang kepada yang seorang lagi. Hai! Apa nak jadilah, begini?

Melihat Que yang menonong ke arah belakang, Jess pun kelam kabut bangun dari tempatnya dan mengekori Que. Risau dia melihat keadaan Que dan El yang seakan berbalah. Dia yang kecut perut melihat Que dengan lantang melawan kata-kata El. Memanglah Que ini. Berani tahap gaban!

“Apa? Dia ingat aku tak berani buat. Aku bagi dia koma hari ni. Tunggulah kejap lagi. Kalau tak pengsan, bukan Que, tau!” bebelnya sepanjang jalan menuju ke pantry. Marah benar lagaknya.

“Que, kau nak buat apa, ni? Kau sedar ke, tidak?” tanya Jess dalam mengah yang tidak terkawal. Dia masih berlari-lari anak cuba menyangi langkah Que yang pantas.

“Kau ingat aku ambil ecstacy, ke? Minum todi? Tentulah aku sedar! Aku tak mamai pun,” bentaknya geram.

Perempuan yang seorang ini pun boleh pula jadi kaki sibuk masa begini. Duduk diam-diam di meja kerjanya tidak boleh, ke? Hendak kena ikat kaki dan tangan itu, agaknya. Ini yang dia malas untuk baik sangat dengan sesiapa. Tengoklah, tidak habis-habis mahu tahu apa yang berlaku. Lecehlah!

“Que, janganlah... Apa-apa jadi nanti, susah.”

“Kau peduli apa! Yang susah, aku. Bukan kau, Jess. Kau pergilah buat kerja kau.”

“Jangan jadi gilalah, Que.”

“Bos kau tu yang gila. Sesuka hati dia aje nak arah aku buat itu dan ini. Apa? Ingat besar sangat ke pangkat dia kat sini.”

Eh! Memang besar pun. Bukan ke dia bos di situ? Hmm... Kita ini yang patut sedar diri. Orang bawahan saja. Tidak begitu?

“Kalau dia gila, apa hal yang kau pun nak jadi gila macam dia?”

Betul juga!

Que serta-merta berhenti. Secara mengejut. Jess yang tidak sempat 'menekan brek’ terus terlanggar Que.

“Kau tahu, Jess? Lama-lama aku memang boleh jadi betul-betul gila kalau terus kerja kat sini. Dengan perangai dia yang macam angin barat laut tu, yang bila-bila masa aje boleh berubah tak kira masa, memang menyusahkan aku. Tak larat, tahu tak? Dah, pergi buat kerja kaulah. Karang kau pun kena marah sekali. Nak ke?”

Que meneruskan semula langkahnya.

“Que...”

“Pergi buat kerjalah, Jess! Jangan kisahkan hal aku. Tak adanya aku buat dia sampai mati. Don’t worry. Aku waras lagi.”

Que menghilang di sebalik pintu pantry yang tertutup rapat. Agak lama jugalah dia di dalam situ. Entah apa yang dia buat agaknya. Hendak bancuh air kopi secawan bukan makan masa sangat, ya tidak? Guna saja paket 3 dalam 1. Habis cerita. Tapi, El sedikit cerewet bab itu. Dia tidak suka kopi segera. Dia suka kopi yang dibancuh dari serbuk yang asli. Baru naik aromanya. Itu katanyalah. Kalau ikut Que, mahu dia guna kopi segera saja. Biar dia! Tapi, rasa tidak sampai hatilah pula. Tidak kena dengan selera dia nanti.

Setelah dia memastikan semuanya sempurna dan berpuas hati dengan hasil kerjanya, barulah dia keluar. Ditatang secawan kopi di atas dulang dengan berhati-hati. Kalau tumpah karang, rugilah. Tidak adalah yang koma nanti, kan? Biar dia rasa! PA dia, bukan tidak ada. Ada saja duduk tercongok di mejanya. Asyik menepek make up saja kerjanya. Tidak ada kerja lain. Buang duit syarikat saja bayar gaji dia mahal-mahal. Que jugalah yang kena buat itu dan ini. Sudah nasib jadi pekerja paling bawah agaknya. Kena ambil pakej untuk buat apa saja yang orang atasan tidak mahu buat. Tidak apa...

Que masuk ke bilik El tanpa mengetuk pintu seperti selalunya. Memang sengaja. Kopi yang siap dibancuh tadi, ditantang berhati-hati. Jangan bagi tumpah setitik pun kalau boleh. Sayang wei! Penat dia buat. Khas buat El. Sejak dia berperang mulut dengan El pagi tadi, sampai sekarang sudah hendak masuk tengah hari, dia memang sengaja menunjukkan protesnya dengan cara begitu. Melawan secara senyap tapi terang-terangan.

El mengangkat wajah dari tugasan yang dilakukan, bila menyedari ada orang memasuki biliknya. Dipandang Que tajam. Amaranlah kononnya! Sebab... Que masuk ke biliknya tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Kira melanggar ‘pantang’ lelaki itulah, kan? Que tetap selamba. Secawan kopi yang masih berasap tebal diletakkan elok di atas meja kerja El. Sangat berhati-hati. Betul-betul di depan El. Biar lelaki itu ‘terliur’ menghidu haruman kopi itu. Segar!

El pandang kopi itu agak lama. Direnung asap yang semakin menipis melayang di udara dan hilang begitu saja. Duduknya sudah santai. Pen yang tadinya tersepit di celah jari lelaki itu, juga sudah terdampar di atas meja kerjanya. Ini, dia tengah baca jampi serapah ke atau dia tengah tilik dalam kopi itu ada apa? Lain macam saja cara dia tenung cawan kopi tersebut. Bagaikan sedang berkira-kira untuk bertindak atau melakukan sesuatu. Seperti curiga pun ada. Atau, Que saja yang rasa begitu? Yalah, dia memang berniat jahat kala itu. Memang mahu bagi bosnya koma beberapa saat. Itu pun kalau menjadilah pelan yang dia rancang tadi.

“Minum!” arah El tiba-tiba.

Que sedikit tersentak. Dia berkhayal tadi sebenarnya.

“Bos yang nak kopi, bukan saya. Apa hal pula saya yang kena minum? Tadi, nak sangat saya buat kopi untuk bos.”

“Saya kata minum!”

“Saya tak minum kopilah, bos.”

“Tak dengar ke arahan saya ni?!”

‘Aduh!!! Sengal! Dia ini, tidak faham ke, atau tidak dengar? Kan aku sudah kata yang aku tidak minum kopi. Karang aku yang pengsan baru padan muka!’ desis Que dalam hati. Hendak diluahkan dalam bentuk kata-kata, mahu jadi gaduh lagi. Tidak kuasa! Penatlah melayan kepala angin Si El ini. Kalau Zira, sukalah kot bila melayan kerenah El yang tidak dijangka ini. Tergedik-gedik!

“Saya kata minum, jadi...minum!" semakin keras suara El.

Que buat muka bosan.

Sudahlah mengarah saja tahunya. Lepas itu siap memaksa lagi. Ini namanya menyalah gunakan kuasa. Sesuka hati dia saja hendak berbuat apa. Adukan ke pejabat buruh, baru padan muka dia. Meluat betul Que dibuatnya.

Lambat-lambat Que mencapai cawan kopi tersebut. Teragak-agak juga dia mahu minum. Kopi ini, dia buat untuk El, bukan untuk dirinya sendiri. Ramuan-ramuannya pun, memang khas untuk El. Bukan untuk orang lain. Terbaik dari ladang! Habislah...

“Apa yang terhegeh-hegeh lagi, tu? Minum ajelah. Bukan ada racun pun dalam tu, kan?”

Hah! Dia tahu, ke? Memanglah dalam kopi tu tiada racun. Dia pun bukannya mahu bunuh orang sampai hendak letak benda itu. Tapi...

“Minum!!!”

Que sedaya upaya memaksa dirinya. Memang parah begini! Jangan kata hendak bersuara, mahu pandang muka El pun sudah naik loya. Tekak, jangan cakaplah, memang rasa hendak muntah. Badan sudah rasa lain macam. Bahang semacam! Que tidak pandang muka El langsung. Seteguk demi seteguk dia minum. Hingga hampir habis.

“Bagi habis semua,” arah El lagi.

Kejamnya dia...

Que sudah berpeluh-peluh. Dia ini pula yang macam hendak bunuh orang nampak gayanya. Sudah itu, tahu hendak memaksa saja. Mata itu, memang tidak penah dijaga. Asyik hendak menilik anak dara orang saja kerjanya. Simbah dengan kopi panas ini karang, baru tahu. Ingat ini wayang percuma, ke? Dan belum pun sempat cawan itu menyentuh bibirnya untuk sisipan seterusnya, Que rebah. Cawan kopi yang dipegangnya tadi, juga turut berderai di sisinya.

Kali ini, El pula yang gelabah. Mahu tidak gelabah! Anak dara orang itu! Sudahlah dia yang paksa Que minum kopi tersebut. Sekarang ini, Que sudah tidak sedarkan diri. Kalaulah betul ada racun dalam kopi itu, memang dia tidak dapat maafkan dirinya sendiri kerana memaksa Que meminumnya tadi. Sepatutnya dia yang sedang rebah tidak sedarkan diri, bukan Que. Dia yang harus minum kopi tersebut. Dia yang harus pengsan. Dia yang harus berada di tempat Que sekarang. Dia! Dia! Dan dia!

Jess!!! Get in now!” jeritnya nyaring.

Semua yang mendengar di luar, terperanjat. Tidak pernah El sebegitu lantang bersuara. Apatah lagi, terpekik begitu. Satu aras bangunan itu boleh dengar rasanya. Apa Que sudah buat? Itu yang menyerang minda mereka. Terkocoh-kocoh Jess berlari menuju ke bilik El. Rasa mahu gugur jantung pun ada. Yalah, mana pernah dia kena pekik sebegitu. Dalam takut dan tertanya-tanya dia terus mara. Que! Kenapa ini?

**********

“Macam mana keadaan dia?” tanya El risau. Belum pun sempat duduk dan menarik nafas, dia terus menerjah Jess yang termenung di luar wad dengan soalan.

El baru sampai. Que dan Jess, di bawa oleh ambulans tadi manakala dia memandu sendiri. Masa kecemasan macam ini, boleh pula jalan sesak. Itu yang dia lambat sampai. Lama juga dia membebel di dalam kereta tadi. Marahkan keadaan yang tidak menyebelahi dirinya. Ada ke patut begitu? Keadaan pula yang jadi mangsa. Inilah manusia, kan?

“Okey aje... Baru sedar.”

“Doktor cakap apa?” soalnya terus. Ingin tahu sangat-sangat.

Nothing serious. Cuma, Que kalah dengan kafien. And maybe... there was something added in the coffee. Benda yang mungkin boleh buat seseorang itu mengalami alahan.” Jess angkat bahu. “Que je yang tahu, apa dia letak dalam kopi tu, Mr. El,” sambungnya lagi.

El tersandar di dinding ketika mendengar itu. Diraup rambutnya ke belakang. Ada riak resah membayangi wajahnya. Dia seperti bersedih mendengar cerita Jess. Ada sesuatu yang mengganggu mindanya saat itu. Pandangannya lepas ke satu arah, namun kosong. Bagai mengelamun.

“Mr. El tak tahu ke yang Que tak minum kopi, nescafe, semua tu?” soal Jess pula bila dia lihat El seakan hilang dalam dunianya sendiri.

El geleng kepala tanda tidak tahu. Benarlah dia tidak tahu. Memang selama ini, dia tidak pernah tahu akan hakikat itu. Tidak pernah. Tapi, tadi memang Que ada katakan yang dia tidak minum kopi. Namun, dek kerana geram dan marahkan gadis itu, dia tidak ambil endah langsung hal tersebut. Terbit semula rasa bersalah.

“Saya nak masuk jumpa dia.”

El sudah menegakkan diri dan bersedia untuk melangkah ke bilik wad Que.

“Mr. El,” tahan Jess pantas.

El tidak jadi meneruskan langkahnya. Dipandang wajah Jess yang serba salah.

“Kenapa, Jess?”

Lambat-lambat Jess bersuara. “Sorry to say, Que tak nak jumpa you.”

Serba salah Jess meluahkannya. Tidak cakap karang, dia rasa bersalah. Bila sudah cakap, lagilah rasa bersalah sangat. Aduhai! Memanglah mereka dua orang ini. Selalu buat dia tersepit. Sana, kawan. Sini, bos. Dia? Dialah mangsa keadaan. Hmm...

Do I care?” tanyanya pada Jess.

Jess terpinga-pinga.

“Tapi...”

El tidak mengendahkan kata-kata Jess kali ini. Dia meneruskan langkahnya. Apa yang Jess katakan itu hanya sekali lalu saja menembusi gegendang telinganya. Tidak langsung melekat di minda. Memang dia tidak ambil pusing pesanan Que itu, apatah lagi untuk dipahatkan di kepala agar diingati selalu. Tidak perlu. Tiada asas yang kukuh Que mengeluarkan pesanan sebegitu. Apa perlunya?

Tanpa kata-kata balas, dia terus menonong menuju masuk ke bilik Que. Peduli apa dia kalau Que tidak mahu berjumpa dengannya. Apa Que boleh buat kalau dia sudah berada di depan mata gadis itu dalam beberapa saat lagi? Que bukan sihat benar pun. Baru saja sedar dari pengsan. Dia yang boleh buat macam-macam pada Que sekarang ini. Tidak percaya, tengoklah nanti. Tunggu!

Demi terkuak saja pintu dan tatkala pandangan mereka berpapasan, kelihatan Que sedikit terperanjat. Keadaan itu tidak lama. Que menunduk serta-merta. Wajah yang masih tampak tidak bermaya itu dialihkan ke arah lain. Pandangannya jadi satu arah. Tidak berganjak. Pasti Que tidak menyangka yang dia akan muncul di situ setelah pesan dititipkan pada Jess tadi. Pasti Que sangka dia akan menuruti pesanan itu. Tidak akan!

El terus mara menghampiri katil di mana Que sedang berehat. Wajahnya tidak membayangkan riak apa-apa. Lelaki itu tetap bersahaja. Seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka sebelum kejadian ini. Seperti Que yang sedang terlantar di depannya ini tidak pernah berbuat salah terhadapnya. Seperti perbalahan mereka beberapa jam tadi tiada memberi kesan terhadap lelaki itu. Tiada perasaankah dia? Tidakkah dia terasa pada apa yang Que cuba lakukan tadi?

Tanpa El sedar, mata Que sudah berkaca. Semakin menyukarkan dia melihat apa-apa. Hanya kabus dan sirna membayangi dirinya. Que cuba tahan perasaan. Semakin menyesakkan dada. Mengapa begini? Mengapa ada rasa bersalah bersarang di hati? Que bersoal jawab di dalam hati bila disapa hiba yang datang tanpa henti. Jiwanya diasak rasa bersalah yang amat sangat bila terpandangkan wajah El. Dia jadi lemah. Selemah-lemah insan, bila nyata kesalahan itu memang berpunca dari sifatnya yang alpa. Ya! Allah...

“Que... I’m sorry,” luah El ketika kedudukannya benar-benar hampir dengan katil Que.

Que semakin sebak. Rasa bersalah semakin menghimpit. Sepatutnya dia yang memohon maaf. Bukan El. Dia yang berniat tidak elok pada lelaki itu. Dia yang bersalah. Tapi, mengapa El yang memohon maaf? Tanpa tertahan, air matanya mengalir jua. Terbit dari rasa yang terlalu menghimpit jiwa.

“Que?” seru El bila Que tiada reaksi.

Masih menunduk seperti tadi. Jauh untuk bersuara.

Seketika, Que angkat wajahnya. Senyuman El mati tiba-tiba. Tertegun dia, bila matanya jelas melihat pada mata Que yang berkaca bersama jejehan air mata yang masih bersisa di kedua pipinya. Wajah itu suram. El terkesima. Que menangis? Mengapa? Kerana dia, kah?

‘Jangan Que! Jangan tebalkan lagi rasa bersalah di hati ini. Jangan seksa saya begini,’ bisik hati El pula. Luruh jiwanya melihat Que begitu. Dia kah yang menyebabkan gadis itu menitiskan air mata? Dia, kah?

Previous: (BAB 17)
Next: (BAB 19)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin