Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 10)

BAB 10

QUE masuk semula ke pejabat ketika jam sudah hampir ke angka 6. Sangkut dalam kesesakan jalan, tadi. Waktu puncak. Semua orang berebut mahu balik. Sudah tidak sabar mahu meninggalkan kesesakan minda di tempat kerja agaknya. Itu yang tidak menyempat-nyempat. Semua mahu cepat. Macamlah rumah boleh beralih kedudukan jika lewat seminit. Atau, tempat yang dituju akan berubah jadi lain, jika sampai lambat. Langsung tidak fikir keselamatan diri. Hmm...

Walaupun dia menunggang motor, kena juga berhati-hati. Bukan tidak boleh untuk ‘cilok-mencilok’. Biasa saja dia buat begitu. Tapi, keselamatan diri tetap nombor satu. Itu penting. Tidak apalah dia mengalah. Tidak rugi apa pun. Orang lain mahu berebut siapa sampai rumah dulu, biarlah. Dia, masih ada misi yang belum diselesaikan di pejabat. Balik awal pun bukan ada suami yang menunggu. Hmm... Balik-balik mengadap Mai dan Rin saja. Lambat balik pun tidak apa. Mereka akan faham.

Kepalanya ditolehkan ke arah beberapa staf di bahagian akaun yang masih ada. Buat kerja lebih masa. Kan ke ini sudah dekat akhir bulan. Tenaga mereka amat diperlukan untuk kepentingan pekerja lain. Sibuk buat kira-kira pastinya. Hari gaji hampir tiba. Dia hanya tersengih memandang mereka. Nama saja kerja lebih masa. Tapi, bukan buat kerja sangat pun. Lebih kepada kerja berborak saja.

Ini, kalau bos nampak, harus kena sembur. Menghabiskan duit syarikat saja. Kalau kerja betul-betul, tidak apalah juga. Kufur nikmat betullah mereka ini. Sudah diberi peluang untuk cari duit lebih, rezeki lebih, buat hal pula. Kerjalah betul-betul. Nanti kalau kerja lebih masakena sekat terus, tahu pula marahkan syarikat, marahkan bos. Kata syarikat tidak adillah, tidak berhati perutlah. Apa punya oranglah. Que ketawa sendiri. Dia pula yang lebih-lebih. Macamlah ini syarikat dia. Bos tidak kata apa, dia yang sentap tidak tentu hala. Bos, sedap-sedap sudah sampai rumah, terbongkang agaknya.

Lantas, dia menyimpan beg messengernya di dalam lacimeja kerjanya. Slip tandatangan penerimaan surat-surat yang dihantar, sudah diletakkan di atas in tray Akma untuk tindakan selanjutnya. Dia berpatah semula ke bilik pejabat El. Janjinya tadi, dia akan mengemas mana yang patut. Setakat yang dia larat. Yang tidak larat, esok saja akan disambungnya. Yang pasti, Jess akan diheret sama. Mana boleh dia buat tugas itu sendirian. Kena juga ada kawan. Jess, calon yang paling sesuai.

Pintu yang sedia terbuka, dilintasinya. Ditangannya sudah ada penyapu dan penyodok sampah. Diambil dari bilik stor berdekatan pantry. Juga plastik hitam untuk mengumpul sampah dan membuang apa yang tidak perlu. Langkahnya dilencongkan ke sudut kiri, di mana serpihan-serpihan kaca masih betaburan. Berbahaya. Jadi, kena bersihkan dulu. Yang lain, akan di buat mengikut giliran dan kepentingan. Kerja biar ada perancangan. Baru tidak kelam kabut. Tidak ikut sama serabut macam bilik ini. Hmm...

Que mula mengutip serpihan-serpihan kaca yang besar. Sesekali kepalanya digelengkan. Macam tidak percaya yang El boleh mengamuk tahap seperti itu di pejabat. Apalah halnya sampai tidak mampu hendak kawal nafsu amarah? Dibiarkan syaitan bermaharajalela. Masya-Allah... Tidak senonoh betul! Tengok, siapa yang susah? Que juga. Siapa yang kena kemas? Que juga. Siapa yang kena buat kerja percuma, tanpa gaji? Bukan O, P, R atau S. Tapi, Que juga.

“Dia ni berlatih karate ke, apa? Sampai bersepai pintu kabinet ni dikerjakannya? Isy! Isy! Isy! Kalau hebat sangat, tumbuklah dinding tu. Buat apa kaca ni yang jadi mangsa. Baru tahu hebattak hebat. Mahu bengkak seminggu tak susut-susut tangan tu,” bebel Que perlahan.

Bukan apa, saja nak hilangkan bosan. Jadi, cakap sendirianlah. Cakap dengan penyapu, penyodok sampah, dinding, juga dengan kaca yang pecah bersepai itu.

“Amboi! Sedap aje awak mengata saya, ya? Siapa bagi mandat kat awak, kata macam tu kat saya?”

“Hei! Aduh!”

Tidak habis-habis dengan ‘mandat’ dia! Apa? Dia anak raja, ke? Cis tart lemau betul! Terkejut dibuatnya. Que lipat maut menoleh untuk melihat siapa yang berada di belakangnya sambil tangan kiri memegang jari telunjuk sebelah kanan yang terkena kaca. Terasa ngilu. Ngilu benar.

“Aisey bos... Apa hal sergah orang macam tu??? Nak gugur jantung sayalah, bos ni!” bebel Que.

“Eh! Maaf, Que. Saya tak bermaksud nak buat awak terperanjat.” Mata El sudah tertancap pada jari Que yang luka. “Let me see your wound,” kata El separuh kesal.

Kelam kabut jadinya dia bila melihat jari Que sudah berdarah. Habislah dia! Anak dara orang itu. Mana dia sangka kalau tegurannya itu bakal memeranjatkan Que. Ingatkan Que sedar dia ada di situ.

“Tak apa! Tak apa! Sikit je ni,” elak Que. Terkocoh-kocoh dia cuba menjarakkan diri dari El yang sudah mendekat benar. Hendak tunjuk prihatinlah kot. “Saya ingat bos dah balik. Tadi, masa saya masuk, tak nampak pun,” sambungnya lagi.

“Saya terlelap tadi... Berdarah tu. Bagi saya tengok.”

Janganlah...

“Tak apa. Hal kecil aje. Tak sakit pun,” Que berikan alasan.

Janganlah macam ni, Mr. El.

Let me see it. Cuba jangan degil,” suaranya berbaur arahan tetapi lembut nadanya.

'Saya memang degil. Tak pernah jangan-jangan.' Hati Que sudah gedebak-gedebuk.

“Janganlah...”

Que cuba menepis tangan El yang cuba memegang tangannya. Janganlah terlalu baik dengannya. Dia risau. Nanti orang lain salah anggap. Dia lebih risau, kalau dia yang salah anggap. Lagi haru-biru nanti. Ditimpa perasaan sendiri. Sakit! Lagi sakit dari terluka di jari macam ini. Betul!

“Que...” lembut El mengalun namanya.

Aduh! Ini yang lemah lutut. Boleh pitam dia, kalau selalu macam ini. Boleh jatuh tangga. Ops! Salah... Jatuh cinta!

“Janganlah, bos.”

“Kenapa?”

El sudah berdiri santai. Kedua tangannya diselukkan ke poket.

“Nanti saya ‘cair’.”

Alamak!!! Terlepas pula! Itu, bukan minda yang mengarah, tapi kuasa hati. Gila!

“Hah? You what? Awak ingat saya ada kuasa voltan tinggi, ke? Pegang orang terus orang boleh jadi cair.”

Mungkin....

El sudah pecah tawanya. Galak.

‘Gelaklah. Gelak...’

Fuh! Selamat... Nasib baik dia tidak faham. Kalau tidak... Alamat hari-hari dia kena pakai topenglah jawabnya. Que turut sengih terpaksa. Mahu tutup kekalutan diri.

“Dah. Meh saya rawat luka tu,” putus El akhirnya.

Kena juga, ke? Tidak mahu? Rawatlah luka di hati ini.

“Que...”

Aduh! Dia buat lagi!

Namun, Que tiada reaksi. Hanya berdiam. Melihat itu, El terus saja berlalu ke mejanya semula. Semakin lega Que rasa. Selamat. Tapi, tidak sampai sesaat rasa lega itu sempat singgah. Sangkanya, El mahu meneruskan kerja atau setidak-tidaknya lelaki itu mungkin sudah mahu pulang. Tidak berkedip mata Que melihat langkah El yang mara ke arahnya. Ditangannya sudah ada kotak first aid. Aisey! Mimpi ke, betul ini? Ke, mata ini sudah tidak betul sebab jari terluka? Hmm... Mengong! Tiada kaitan langsung.

“Duduk,” arah El serius.

Duduk?

“Duduk mana?”

El merenungnya tajam. Hinggakan matanya mengecil. Tajamnya pandangan dia! Macam kaca ini juga. Boleh ‘luka’ jiwa dan raga. Betul! Mata dia lawa.

“Atas riba saya,” ucapnya selamba.

Mak!!! Tidak mahu! Que geleng kepala. Muka Que sudah pucat. Kerja gila kalau dia bersetuju. Nanti mak marah, kalau mak tahu.

Sit down!” arah El lagi. Agak keras.

Que memandangnya dengan wajah minta simpati. Dia buat muka seposen. Que geleng kepala lagi, tanda enggan. Mata dikuyukan tanda mohon pengertian. Comelnya dia buat macam itu! El sudah mencarik segaris senyum. ‘Cair’lah tu! Itu baru sikit. Kalau Que buat lebih-lebih, pasti terus jatuh tangga. Eh! Jatuh cinta.

Here,” katanya lagi sambil menepuk lantai mozek berwarna coklat muda itu. Ketika itu dia sudah pun duduk bersila.

Que pandang El tidak berkelip mata. Dia tunjuk mana? Sini ke, situ? Lantai ke, atas riba dia? Betullah mata ini memang sudah tidak betul. Hendak rabun agaknya.

“Que, I said sit here, in front of me not on my lap. Depan I, okey. Baru gurau macam tu dah pucat. Come, sit here. Darah dah banyak keluar tu.”

Mahu tidak pucat. Cakap merapu macam itu, siapa tidak cuak. Que tarik nafas dalam. Lepas itu, lepas sungguh-sungguh. Sudah tidak sesak dada lagi. Rasa bertambah lega. Lantas, dia pun duduk bersila di depan El, seperti yang diarahkan. Bos yang bagi arahan, kenalah patuh, kan? Kira arahan yang tidak memudaratkan, tidak apa. Masih ampun lagi.

Tanpa banyak bicara, El memulakan tugasnya. Merawat luka yang terpendam. Opss! Salah lagi. Merawat luka di jari Que. Que hanya berdiam. Seperti biasa, dia akan tunduk sahaja, memerhati jarinya yang sedang dirawat. Sedikit pun dia tidak memanggung kepala. Segan sebenarnya. El pula, macam biasalah. Suka benar mencuri pandang pada Que yang selalu bersembunyi di balik baseball capnya. Sungguh comel!

Pada mulanya memang El buat dengan lembut dan cermat saja, ketika merawat luka Que. Sangat berhati-hati. Tapi, bila melihat Que tiada reaksi dan hanya membisu sambil merenung jarinya saja, El sengaja berlaku agak kasar. Kasar-kasar pun tetap berhati-hati juga. Sengaja mahu lihat reaksi Que.

Namun, gadis itu hanya berkerut wajahnya. Ada pun reaksinya, dia hanya menarik tangannya dari pegangan El. Tapi, langsung tidak pandang ke wajah El. El pula yang pantas mencari wajahnya. Hampa lagi. Untuk mendengar dia mengaduh atau memprotes, jangan haraplah. Tidak ada punya. El mengeluh dalam hati. Sudahnya, dia cepat-cepat selesaikan kerja rawat merawat itu. Kesian pula lihat Que yang berkerut wajahnya. Mungkin menahan sakit. Mungkin sebab lain. Itu dia tidak pasti. Tapi, dia geram bila gadis itu buat tidak faham saja. Haru betul!

Done!”

Dipandang wajah Que yang sudah duduk menegak. Tapi, Que tetap pandang jarinya yang sudah berplaster. Cantik sangat ke plaster itu sampai sayang hendak buang pandang ke tempat lain? Hampeh betullah minah seorang ini! Geram betul! Rasa mahu cuit dagunya, agar Que pandang dia saat itu.

Thanks, boss.”

Itu saja? Ingatkan panjanglah sikit dia bercakap. Aduhai!

“Kata tak sakit, tapi muka tu berkerut-kerut.”

Sengaja dia memanjangkan bicara. Belum puas sebenarnya menatap wajah itu.

“Bos buat kasar sangat,” balas Que bersahaja sambil membetulkan plaster yang bertindih di hujungnya. Bagi lebih kemas.

“Karang kalau saya buat lembut-lembut, awak ‘cair’ pula,” duganya lagi.

El menjeling ke arahnya dan senyum meleret.

Hah??? Dia fahamlah. Malunya!!! Mana besen? Hendak masukkan muka dalam besen. Aduh! Mak... Malunya!

“Saya bergurau aje tadi tu, bos. Janganlah ambil serius.”

“Tapi, saya memang anggap ia serius.”

Erk!!! Bala ini! Patutlah dia buat kasar-kasar. Itu mesti tidak mahu Que ‘cair’ atau dalam bahasa yang lebih mudah, jatuh hati pada dia. Sah! Mesti sudah ada awek. Kalau tidak, takkanlah dengan Zira pun dia tolak. Kes setia tahap gabanlah dia ini. Bagus! Untung awek dia, kan? Tidak payah risau-risau sebab boyfriend setia. Gigit jarilah sesiapa yang ada menaruh hati padanya. Simpan sajalah hati itu. Kalau tidak, makan hati nanti.

Previous: (BAB 9)
Next: (BAB 11)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin