Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 27)

BAB 27

QUE mencapai helmet di atas rak. Sarung tangan kulitnya, juga digapai. Kemudian, Que mengundur dua tapak dan menjenguk ke arah pintu dapur. Mai sedang membasuh pinggan dan Rin pula sedang mengemas meja makan. Bagus budak dua orang ini. Saling bantu membantu. Bekerjasama. Apa yang penting? Kerjasama, kata Wonderpets. Dia saja yang tidak berkesempatan menolong hari tersebut kerana dia sudah ada janji. Sudah berjanji, tidak elok jika dimungkiri, kan? Jadi orang munafik! Hari lainlah dia turun padang, mengemas dapur dan sebagainya.

“Mai, Rin, aku keluar dulu eh. Karang lambat keluar, lambat pula aku balik,” kata Que menegur dua orang rakannya yang sedang tekun melakukan tugasan harian. Hmm... Tugasan harianlah sangat!

Kedua-dua rakannya menoleh serentak lantas tersenyum memandangnya yang sudah lengkap dengan pakaian raider.

“Okey, Que. Jangan balik lambat sangat ya. Kalau mak tahu, bising dia,” pesan Mai.

“A’ah. Lambat balik, aku kunci pintu tu. Biar kau tidur luar,” tokok Rin pula menyokong kata-kata Mai tadi. Bergurau sebenarnya.

Que tergelak kecil. Macamlah Que tiada menyimpan kunci pendua.

“Okey. Aku keluar kejap aje. Jumpa member. Tak ke mana pun. Lepak-lepak kedai mamak kejap,” balas Que sambil menyarung sarung tangannya.

“Que...” panggil Mai tiba-tiba.

Que terngadah. Wajah Mai yang sudah berdiri tegak di depannya menjadi santapan mata. Rin juga sudah berdiri di belakang Mai.

“Apa dia?” tanya Que bersahaja sambil tangannya membetulkan sarung tangan yang sedikit senget kedudukannya.

“Along dengan Uda, tahu tak kau keluar ni? Karang dia datang, kau tak ada kat rumah pula.”

“Tahu. Aku dah minta kebenaranUda tadi. Karang, Uda beritahu Alonglah tu.”

Mai dan Rin mengangguk serentak, tanda faham.

“Okey. Aku gerak dulu.”

“Hmm... Hati-hati Que. Malam-malam ni, bukan jelas sangat daya penglihatan kau tu.”

Que menepis angin. Apa-apa sajalah Si Rin ini. Ingat Que sudah rabun, ke? Hmm... Tapi betul juga. Ada benarnya nasihat Rin itu. Berhati-hati dan bersedia dalam apa juga keadaan adalah perkara elok. Tidak salah jika beringat. Malang tidak berbau. Ini yang dia suka. Mereka saling ingat mengingati. Saling menasihati. Kalau ada salah seorang melakukan kesilapan, yang lain pasti akan menegur. Tidak ada erti bermasam muka dalam hal sebegitu. Mereka terima dengan hati yang terbuka. Ikhlas.

Sepantas kilat Que hilang dari pandangan mereka. Que, kalau sudah menunggang motor, boleh tahan juga. Laju. Kalau orang yang tidak mengenali dia, pasti menyangka yang penunggang motor itu adalah lelaki. Cekap, pun ya juga. Setakat hendak mencelah sana sini, Que pakar tentang itu. Dia mempunyai skill yang boleh dikatakan hebat ketika menunggang. Tapi, Que tidak pernah menunjuk-nunjuk akan kebolehannya itu. Tetap tersimpan rapi dan hanya segelintir insan saja yang tahu. Itu pun, hanya orang yang rapat dengannya.

*********

“Hai, Que!” sapa Ray, cuba menarik perhatian gadis itu sebenarnya.

“Hai! Eh! Ray... Apa mimpi ada kat sini?” sahut Que sekadar berbasa-basi. Hairan juga dia kerana Ray memang jarang ada bersama kelompok mereka.

Ray gelak kecil.

“Takkan nak tunggu mimpi, baru boleh lepak dengan you all... Kebetulan I lalu kat sini tadi, nampak Kay dan yang lain. Tu yang I singgah.”

Que hanya mengangguk, faham. Dia, begitulah. Mana hendak banyak sangat bercakap jika dengan orang yang jarang dia temui. Apatah lagi, tidak mesra alam macam dengan Ray itu. Hanya sesekali terserempak. Itu pun, hanya berbalas senyum saja.

“Duduklah, Que.” Arah Kay seraya menarik kerusi di sebelahnya untuk Que.

Que akur tanpa banyak bicara. Namun, matanya menangkap pandangan Ray yang dari tadi tidak lepas dari memerhatikan dirinya.

Apa hal? Hendak scan dirinya pula, ke? Motif? Hmm... Perasaan dia saja mungkin. Abaikan. Tidak elok untuk kesihatan.

“Nak minum?” tanya Kay pula.

Que menoleh ke arah Kay semula sambil mengangguk beberapa kali. Secarik senyuman terhias di wajahnya.

Manjanya dia.

“Nak minum apa?”

“Teh tarik!”

“Makan?”

Que menggeleng pula. Alahai! Comel sungguh.

“Tak nak. Dah makan dengan Mai dan Rin tadi. Kenyang lagi.”

Ray memerhati Que dan Kay. Agak mesra. Tapi, dengan dia, Que seakan canggung untuk berbicara. Atau, Que memang begitu. Ada masa, mesra. Di lain ketika, jadi sebaliknya. Tapi, dengan kawan-kawannya yang lain, tetap okey. Tetap berbicara dan bergelak ketawa. Hanya dengan dia, Que kurang bercakap sebenarnya.

Dirinya macam tidak wujud. Hanya sesekali pandangan mereka berpapasan. Menghantar maksud yang tidak terselam maknanya. Lantas berlalu begitu saja bersama angin malam. Apa? Ingat ini versi ‘bersama angin kukirim rindu’, ke? Itu, Zur Eda mahirlah. ‘Bersama angin, kukirim rindu. Namun kau tetap membisu...’ Teringat pula lagu itu.

“Que...”

“Hmm...” jawabnya sambil menyisip teh tarik yang masih tebal asapnya. Nikmat!

“Ray ni, ada hajat datang sini. Dia nak mintak tolong dari kau sikit.”

Hampir tersedak Que meneguk air teh tarik kegemarannya. Hilang nikmat! Dipandang Kay dan Ray silih berganti. Biar benar? Dia salah dengar, ke? Isy!

“Nak minta tolong?” tanyanya lambat-lambat pada Ray.

Ray mengangguk.

“Dari I?”

Ray mengangguk lagi.

“Oh! Bukan saja-saja singgah sini lah, ya? Tapi, you memang cari I?

Ray mengangguk buat kesekian kalinya.

Kena sawan bisu ke apa, dia ini? Tadi, elok saja boleh bercakap.

“Tolong apa?”

Ray tersenyum lawa kali ini. Cis tat betul! Senjata membunuh jiwa dan raga itu! Bahaya! Bahaya! Abaikan, Que...

“Macam ni, Que... Kawan I ni, ada masalah. I ingat nak ajak dia join group you. Mana tahu dia boleh berubah.”

“Hmm... Kalau macam tu, bawalah dia jumpa I.”

“Sebab tu lah I cari you ni. Dia ni, susah sikit. Kalau I yang cakap dan ajak dia ke mari, belum tentu dia nak dengar. Apa kata, kalau kita pergi jumpa dia dan berbincang kat sana. Kita pujuk dia, okey tak dengan you?”

‘Apa kes pula aku yang kena pergi sana? Dia yang mahu jumpa aku, dialah yang patut datang cari aku. Ini, terbalik pula,’ omel Que dalam hati.

Ada rasa tidak puas hati yang terbit tiba-tiba. Rasa berat hati mahu menurut saranan Ray tadi. Que terdiam seketika. Kemudian dipandang Kay minta pengertian. Kay juga berdiam. Belum ada reaksi apa-apa. Hanya memandang lepas tanpa haluan sebelum pandangannya jatuh semula pada Que yang sememangnya sedang merenungnya. Tersungging senyuman di bibirnya, menyapa renungan itu.

“Dia tinggal kat mana?” Kay memecah kebuntuan.

“Tak jauh dari sini.”

“Bila kau nak ajak Que pergi jumpa dia?”

“Sekarang.”

Que melirik jam di pergelangan tangan kanannya.

“Hah? Tak boleh tunggu esok, ke?” Que protes.

Isy! Dia ini... Kan sudah malam benar sekarang ini. Esok masih ada. Esok sajalah. Tapi, ada perkara yang orang kata, jangan tunggu sampai esok. Perkara untuk melakukan kebaikan. Macam sekarang inilah. Mahu bantu orang, kebaikanlah namanya.

“I tak nak dia jadi lebih teruk lagi. Sekarang ni pun dah tak terkawal. Jiwa kacau. Lagi cepat, lagi baik. I risau kalau dia buat perkara yang tak elok.”

Hmm... Kes parah ini. Teruk sangat, ke?

“Errr...” Que berjeda. "Dah malam sangat ni."

“Tak boleh ke, Que?” tanya Ray pantas.

“Bukan tak boleh... Tapi dah lewat dah ni,” balasnya datar. Mengharap yang Ray mengerti mengapa dia seakan enggan diajak bertemu kawan Ray itu.

Dia mahu bantu. Mahu sangat! Tapi, dia pun ada peraturan. Ada garis panduan. Ingat Cinderella saja ke tidak boleh balik melepasi jam dua belas malam. Dia pun! Kira langgar pantang namanya jika buat begitu. ‘Ketulahan’ nanti. Hmm...

“Que, please... Kali ni aje I minta tolong. Kesianlah kat kawan I tu. Dah macam orang tak betul pun ada I tengok. Macam orang tak ada jiwa. Tolonglah, Que... At least, kita cuba untuk bantu dia.”

Alamak! Ini yang lemah. Main pujuk memujuk pula dia. Perkataan ‘please’ itu besar pengaruhnya. Bisa melemahkan jiwa jika tiada perisai yang benar-benar ampuh untuk menghalangnya.

“Pergi ajelah, Que. Kesian pulak dengar cerita Ray ni. Karang, kalau ada yang bunuh diri malam ni, ada pulak orang yang menyesal sebab tak sempat beri pertolongan,” gesa Kay pula.

Que pandang Kay agak lama. Lelaki itu mengangguk, tanda memberi keyakinan untuk Que pergi. Kata, mahu buat kebaikan. Inilah masanya. Orang minta tolong dengan cara baik, apa salahnya dibantu.

“Okey... Kali ni aje tau I ikut you. Next time, kalau nak minta tolong, bawa dia datang jumpa I.”

Ray sudah tersenyum lebar. Senyum sampai ke telinga. Amboi! Macam dapat gula-gula kapas lagaknya. Sukanya dia!

Previous: (BAB 26)
Next: (BAB 28)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin