Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 26)

BAB 26

MALAM itu, mereka keluar lagi. Tapi, kali ini bertiga. Aisy Iqram turut serta. Baru cukup ahli kumpulan. Selalunya, kalau tidak dengan Aisy Iqram, dia hanya bersama Aisy Idham. Jarang benar mereka dapat keluar bertiga begini. Hanya sesekali saja. Jika dapat begini selalu, tentu seronok. Bila diperlukan, abang-abangnya sentiasa ada. Tapi, setahun dua ini tidak mungkinlah keadaan itu akan menjadi kenyataan. Aisy Idham masih ada beberapa tahun pengajiannya di luar negara. Selepas itu, barulah agaknya mereka dapat berkumpul selalu macam hari ini. Itu pun, jika Aisy Idham tidak menyambung kontrak kerjanya di sana.

Hari ini, Aisy Idham yang memandu. Sudah gian, katanya. Lama tidak memandu di negara sendiri. Jadi, sementara dia berada di sini, dia mahu memandu dan menghabiskan masa dengan adik-beradiknya, terutama sekali Que. Tentang kereta, tidak perlu digaduhkan. Aisy Idham memang sudah memiliki sebuah kereta sebelum berangkat ke luar negara lagi.

Sementara dia belajar, kereta tersebut dijaga oleh Aisy Iqram. Kiranya, Aisy Iqram akan bergilir menggunakan keretanya sendiri dengan kereta Aisy Idham. Tidak elok juga jika kereta dibiarkan lama tanpa bergerak seinci pun, kan? Tiap-tiap bulan dia akan menghantar kereta-kereta tersebut untuk diselenggara. Itulah kebiasaannya. Sebab itu, keadaan kedua-dua kereta sangat baik keadaannya.

Pernah juga Aisy Idham dan Aisy Iqram sendiri mencadangkan agar Que yang menggunakan kereta tersebut semasa ketiadaannya tapi, ditolak secara baik oleh Que. Alasan yang Que berikan, dia lebih selesa bermotosikal. Lagi mudah baginya. Memang dia sudah memiliki lesen memandu tapi dia tidak berapa suka menempuh kesesakan lalu lintas. Kedua-dua abangnya sentiasa menerima baik alasannya walaupun mereka kurang bersetuju.

Bagi mereka, jika Que selesa bermotosikal, biarlah begitu. Cuma, mereka seringkali menekankan aspek-aspek keselamatan yang perlu di titik beratkan kerana menunggang motor lebih berbahaya. Janji termeterai bila Que sendiri bersungguh-sungguh berjanji untuk mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

Tempat pertama yang mereka tujui adalah shopping complex. Mereka sudah berjanji untuk membelikan Que apa saja yang gadis itu mahu pada hari tersebut. Jadi, Que mengambil keputusan untuk membeli beberapa kelengkapan dirinya dan sedikit pakaian baru. Jean corduroynya pun sudah banyak yang agak lusuh. Inilah masa untuk menukar kepada yang baru.

Jean, sudah tentu. Paling kurang pun dia akan membeli dua pasang. Kasut baru, mesti. Beg dan jaket kulit baru, juga dalam pertimbangan. Sudah alang-alang ada orang mahu ‘menaja’ perbelanjaan buat dirinya, apa salahnya jika dia gunakan kesempatan itu sepenuhnya. Bukan seorang, tapi dua orang abangnya bermurah hati untuk membayar apa saja yang dia ingini. Seronok, bukan?

Corduroy? Jean lain, tak nak?” tanya Aisy Idham buat kesekian kalinya.

Di tangannya sudah ada dua pasang jean corduroy berwarna maroon dan navy blue yang dipilih oleh Que sebentar tadi. Warna kesukaan Que. Sengaja dia bertanya sebelum membuat pembayaran.

Que mengangguk beberapa kali. Dari dulu, Que amat suka pada corduroy. Jarang benar dia memakai jean dari jenis yang lain. Kira sudah macam trademark Que itu. Que + corduroy = serasi. Paling tidak pun, akan nampak dia memaki jean denim ‘season’ sesekali.

“Tak nak ambil jean lain ke, Que. Sesekali pakailah jean macam ni,” usul Aisy Iqram pula sambil menunjukkan sepasang jean Levi’s slim fit yang terbaru di pasaran.

Que belek jean itu sebentar. Sekadar meniliknya sambil lewa.

“Tak naklah, Long. Que lebih selesa pakai corduroy.”

Kemudian, Aisy Idham pula mengambil jean tersebut dari tangan Que. Dia membelek sama.

Cutting ni, sesuai dengan Que. Uda belikan satu lagi, ya. Mana tahu nanti kalau Que nak tukar selera. Lagipun, ni tengah ada potongan harga. Tak rugi beli sekarang.”

“Nanti kalau tak pakai, kan ke membazir namanya tu, Da.”

Moral of the story, Que kena pakailah kalau tak nak jadi membazir.”

“Kena ke?”

“Kena!” jawab abang-abangnya serentak.

Erk! Dah macam Hitler pula lagak kedua-dua abangnya ini.

“Kalau kita frame aje tak boleh ke Long, Da. Buat kenang-kenangan.” Sengaja dia berseloroh.

Bulat mata kedua-dua abangnya mendengar itu. Memang nakal adik mereka ini.

“Que yang Along frame nanti. Nak? Ada pula nak frame jean ni,” jawab Aisy Iqram juga berseloroh.

“Okey juga tu, Long. Lepas tu, Along letak Que yang dah kena frame tu kat pejabat Along. Jadinya, Que sentiasa dekat dengan Along.”

“Eh! Mana aci macam tu!” Celah Aisy Idham pula. “Uda nak separuh. Nak bawa balik overseas. Kalau rindu, boleh tengok Que yang separuh tu. Kita potong dua ya, Long?”

“Hmm... Boleh juga. Adil macam tu, kan? Along dapat, Uda pun dapat.”

Aisy Iqram mengangguk-anggukkan kepala sambil jarinya bermain di bawah dagu.

Que jadi geram.

“Eh! Melampau... Ingat, Que ni kertas A4 ke boleh main kerat-kerat macam tu. Abang-abang Que ni tak sayang kan Que agaknya.”

“Dah tu? Nak sangat kena frame, siapa suruh? Mengada-ngada!”

“Orang main-main ajelah. Along dengan Uda ni serius sangat, kenapa? Nak gurau pun tak boleh! Marah orang pula! Tak jadilah nak beli jean semua ni. Nanti Que beli sendiri lain kali,” runggut Que terus. Sudah ada bunga-bunga merajuk.

“Alahai!!! Dah merajuk pula adik kita ni, Da.”

“Siapa merajuk? Orang tak merajuk pun.”

“Dah tu, kalau tak merajuk kenapa cancelled beli jean ni?” tanya Aisy Idham pula.

“Orang dah hilang mood nak shopping.” Sehabis ayat itu, Que terus berlalu keluar meninggalkan abang-abangnya.

Terpinga-pinga kedua lelaki itu. Sejak bila Que jadi sesensitif begini? Tadi, dia sendiri kata hendak bergurau. Ini, baru kena tekan sedikit, dia pula yang merajuk.

“Uda kejar Que tu. Along nak pergi bayar dulu. Karang, makin jauh dia pergi. Dia tu bukan boleh dibiarkan, Da. Kalau dah merajuk, angin satu badan. Pergilah... Along settle jean ni dulu. Nanti Along followUda,” arah Aisy Iqram pada adiknya.

“Okey, Long. Nanti Uda sms, kat mana kita tunggu Along, ya.”

Dia terus berlalu menjejak Que yang sudah agak jauh. Entah ke mana hala tujunya. Que, kalau sudah merajuk, begitulah gayanya. Menonong saja tanpa fikir apa-apa. Tidak kiralah keadaan itu bahaya atau sebaliknya, langsung dia tidak ambil kira. Tuntutan hati yang sedang gerhana lebih di utamakan. Hendak merawat hatilah kononnya itu. Yalah... Untung sabut, timbul. Untung batu, tenggelam. Untung Que, adalah orang yang sudi memujuk dirinya sekejap lagi.

Que sendiri tidak pasti hala tujunya. Hanya mengikut langkah kaki dan kata hati yang sedang geram. Cuma geram, tetapi tiada perasaan marah. Emm... Adalah sikit perasaan marah kot. Marah kerana Along dan Uda tidak memahami dirinya. Sedih tahu, diperlakukan sebegitu. Apatah lagi oleh dua orang insan yang amat dia sayangi. Along dan Uda memanglah! Adik perempuan seorang pun tidak mahu dijaga hatinya. Tidak sayanglah namanya jika begitu!

Masih diayun langkah yang tiada arah. Sebenarnya, dia masih tidak mahir berjalan sendirian di shopping complex tersebut. Dia sudah sedikit cuak sebenarnya. Jika Along atau Uda tidak menemui dirinya dalam jangka masa terdekat ini, pasti dia terpingga-pingga mencari jalan keluar. Betul! Dia sudah cuak sekarang ini. Yalah, dia bukan jenis kaki shopping. Jika bab mencari dan menjejaki mengenai kedai alat ganti motor, tahulah dia. Itu dia terlebih mahir. Di ceruk mana pun dia tahu. Betul!

Aisy Iqram pula, masih cuba menjejaki Que. Melilau matanya ke serata tempat mencari kelibat adiknya. Macam lipas kudunglah Si Que ini. Sekejap saja sudah hilang dari pandangan. Entah di mana dia bersembunyi agaknya. Tidak kesiankah pada dua orang abangnya ini? Rasa putus nyawa bila bayangan Que langsung tidak ditemui. Siapa tidak sayang adik? Tambahan pula, Que seorang saja adik yang mereka ada. Perempuan pula. Sayang sangat-sangat! Kerat jari ayamlah kalau mereka tidak sayang pada Que.

Aisy Iqram mempercepatkan ayunan langkah bila tiba-tiba sepasang mata miliknya dapat menangkap sesusuk tubuh Que dari arah belakang. Sedikit berlari-lari anak dia mengejar. Tidak mahu Que hilang lagi dari pandangan. Apatah lagi, dalam keadaan orang ramai begitu. Berada di tengah lautan manusia dan mencari sebutir ‘permata’, tentulah sukar. Begitulah diibaratkan mencari seorang Que di dalam kelompok manusia di situ.

Got you!” katanya girang bila dapat mencekek pergelangan tangan Que.

Serta-merta Que menghentikan langkah. Di renung Aisy Iqram geram sambil menjeling lengannya yang masih berada di dalam genggaman Aisy Iqram. Tidaklah menyakitkan. Hanya cengkaman longgar sahaja. Renungan tadi, sekadar bermaksud menghantar rasa geramnya.

“Lepaskan tangan Que!” bentaknya kasar seraya meronta-ronta cuba meleraikan cengkaman Aisy Iqram.

Aisy Iqram hanya tersenyum buat seketika. Que menjulingkan mata ke atas. Bosan! Tahu sudah taktik abangnya yang suka berdrama di tengah orang ramai. Drama king betul! Tidak pasal-pasal, orang sekeliling ingat mereka adalah pasangan kekasih. Kes naya. Jatuhlah sahamnya. Oh! Itu tidak boleh berlaku. Tidak boleh berlaku sama sekali. Jatuh saham! Jatuh menjunam! Gelaplah masa depannya.

“Da, lepaslah... orang tengok kita. Malulah macam ni. Nanti, mereka ingat kita ni couple yang tengah bergaduh pula,” rengeknya manja. Taktik!

Pergh!!! Ini sudah memang macam pasangan kekasih saja lagaknya. Gedik-gedik manja gitu! Lagipun, Que tahu yang abangnya hanya akan berkompromi jika dia berlembut. Itu saja senjata yang Que perlu ada. Tidak perlu hendak membentak, sentap tidak tentu hala. Buang karen saja.

“Oh! Tahu malu? Ingatkan, buat perangai tengah orang ramai, tak reti malu,” selar Aisy Iqram bersahaja. Sengaja mahu provok Que sebenarnya.

“Apa Uda ni... Tentulah orang malu. Yang Uda ni pun, sama naik dengan orang, apa hal? Siap kejar orang nak memujuk pula,” rungut Que terus.

Makin kemas cengkaman tangan Aisy Iqram pada pergelangan tangannya. Ingatkan, bila dia merungut begitu, terlepaslah cengkaman tangannya. Tidak! Kan mengada namanya begitu. Saja hendak buat orang lain fikir negetif tentang mereka. Cis tat betul Uda ini!

“Eh! Niat Uda baik, apa. Karang, kalau Uda biarkan aje Que tak tentu arah, lagi susah. Dahlah Que tu seorang aje adik Uda. Apa-apa jadi, Uda juga yang susah hati nanti.”

“Wah! Sayang juga Uda dekat orang, ya?”

“Eh! Mestilah... Sayang sangat-sangat, tahu?

Que sudah mengorak senyum lebar. Seronok mendengar pengakuan abangnya. Alah, kalau Aisy Iqram tidak beritahu pun, Que sudah sedia maklum. Saja mahu abangnya katakan tentang itu berkali-kali. Seronok bila tahu diri disayangi. Aisy Iqram juga, semakin melebar senyumannya. Senyum jenayah namanya itu! Berunsur menggoda dan diiringi dengan jelingan yang agak manja. Cis tat ganda dua betul! Macam manalah orang lain tidak fikir yang bukan-bukan. Siap dielus lembut belakang tangan Que lagi. Boleh jadi penggoda kelas satu abangnya ini. Bahaya! Merinding bulu roma Que mengingatkan itu.

Dan... Tanpa mereka sedar, segala gerak geri serta perlakuan mereka itu berjaya memahat pandangan sepasang mata untuk tidak beralih tumpuan pada dunia sekitar. Asyik dan tunak pandangan itu mengikuti setiap sinambungan perilaku mereka berdua. Tentunya, sikap mereka yang mesra dan manja merupakan aspek utama mengapa sepasang mata itu dari tadi tidak berkalih dari memerhatikan mereka berdua. Dan, mata itu semakin galak memerhati bila mana terlihat Aisy Iqram menarik lembut tangan Que sambil tangan yang sebelah lagi melekapkan telefon ke telinga. Mereka berjalan beriringan dalam keadaan yang amat mesra. Sesekali terlihat Que memeluk pinggang lelaki itu, juga mesra.

Tertanya-tanya di sudut hati sang pemerhati, siapakah lelaki itu kepada Que? Arghhh! Ada sedikit api amarah memercik di kalbu bila setiap inci perlakuan Que dan lelaki itu disaksikan sendiri di depan matanya. Ini adalah kali kedua dia saksikan kemesraan Que yang agak melampau. Sekali lagi dia rasa tercabar. Tercabar dengan layanan mesra Que terhadap lelaki itu. Que pandai merajuk dengan lelaki itu. Que senang bila dipujik oleh lelaki itu. Que kelihatan amat manja dengan lelaki itu. Kenapa lelaki itu, bukan dia? Kenapa???

Previous: (BAB 25)
Next: (BAB 27)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin