Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 6)

BAB 6

“KAU tak keluar ke, Que? Selalunya pantang jumpa hari cuti. Lesap macam tu aje. Tak pernahnya lekat kat rumah. Mesti kau lepak ngan kawan-kawan biker kau tu.”

“Aku penatlah. Letih gila. Memang pun sepatutnya aku ada aktiviti dengan mereka hari ni. Tapi, aku batalkan saat akhir. Tak larat. Tak seronoknya, kan? Tak dapat ikut mereka semua konvoi ke PD. Benci!”

“La... Apa hal pula! Kau penat kerja ke, apa ni?”

Que mencerun memandang rakannya. Soalan... Berbaur curiga nadanya.

“Kerjalah... Kau bukan tak tahu. Sejak PA baru bos aku tu masuk, mana reti dia nak bagi aku aman damai. Ada aje yang dia suruh aku buat. Kadang tu, rasa nak bagi penampar Jepun macam kau punya tu aje kat dia.”

“Teruknya dia. Kenapa pula dia macam tu? Kau tak adupada bos kau, ke? Cakaplah kat dia kau kena dera. Kesian aku tengok kau ni, Que. Muka pun pucat lesi aje ni, hah.”

Rin membelek wajah Que yang sedang berbaring lesu di sofa. Akibat keletihanlah itu. Muka langsung tiada aura ceria. Macam orang sakit pun ada. Hendak minta Mai tolong tilikkan juga wajah Que, dia tiada. Si Mai awal-awal lagi sudah keluar. Ada majlis kenduri kahwin teman sepejabatnya, katanya.

“Gila apa nak mengadu. PA dia tu! Karang aku pula yang kena marah. Malaslah aku. Bos aku tu pun baru lagi. Bukan dia tahu apa-apa pun. Nak kata dia kenal Zira tu sangat pun, tak kot. Zira pun baru. Lagipun aku boleh sabar lagi. Kalau hilang sabar nanti, tahulah aku nak buat macam mana.”

“Sabar, sabar juga. Ni, kalau sampai muka kau dah macam mayat hidup, pucat aje, siapa nak jawab? Kau kena sawan mayat ke, apa?”

Kena sawan mayat? Bila masa? Melawat orang meninggal dunia pun tidak, bila pula kena sawan mayat? Takkan lalu di hospital besar itu setiap hari boleh kena sawan mayat kot! Biar betul! Ini yang tidak seronok. Ada gaya macam ‘zombi’, ke?

Que serta-merta bangkit dari baringannya. Terkejut Rin yang duduk bertinggung di sebelahnya. Nasib baik bunga penampar Jepunnya tidak keluar. Kalau tidak, naya Que.

“Pucat sangat ke, Rin?” tanya Que semula sambil meraba wajahnya.

Cis tat betullah! Muka pucat jika diraba bukan boleh nampak pun. Ambillah cermin. Cermin diri, hiasi peribadi. Baru nampak jelas tanpa cela.

“Yalah. Lepas tu, badan kau panas sikit ni. Kau demam, ke?” tanya Rin pula sambil menjamah leher Que dengan belakang tangannya. Berbahang.

“A’ah. Rasa tak sedap badanlah dari semalam. Tu yang tak ada mood nak ikut member-member aku tu konvoi. Takut pengsan pula kat tengah jalan.”a

“Kalau takut pengsan tengah jalan, berhentilah tepi jalan. Pengsan kat situ. Tak adalah menghalang lalu lintas dan menyusahkan sesiapa.”

“Amboi! Suka ke aku pengsan tergolek macam tu kat jalan?”

“Tak adalah kata suka. Kalau kau pengsan pun, kan ramai kawan-kawan biker kau tu. Takkanlah mereka nak biar kau macam tu aje, kan? Mesti ramai yang nak tolong. 'Queen of biker' pengsan."

Cis tat betullah! Rin saja memerli dirinya.

“Memanglah ramai yang tolong. Tapi, ramai juga yang nak menyibuk nanti. Malaslah aku nak menyusahkan orang. Lagi ramai nanti yang tolong... Tolong tengok. Aku tak suka publisiti,” jawab Que dengan gaya berlagaknya. Saja nak mengenakan Rin.

Rin sudah pecah tawanya mendengar kata-kata Que yang berbaur gurauan. Berlagaklah sangat!

“Kau ni kan Que, dari dulu perangai sama je. Tak suka menyusahkan orang, kan?”

Que sudah senyum simpul di puji begitu.

Well... I’m still the same Que that you knew five years ago, my friend!”

“Tapi, menyusahkan aku dengan Mai, tak apa pula!”

Terus bulat mata Que memandang Rin. Sedar yang Rin pula ingin mengenakannya. Rin pula, hanya selamba.

“Mana ada aku menyusahkan kau dan Mai? Ada, ke? Bila masa?” tanyanya sambil jemari bermain di dagu, mata merenung ke atas. Lagak sedang berfikir.

“Hmm... Lupa dirilah tu! Siapa yang jaga kau kalau kau demam? Siapa yang tolong kau kemas bilik, kalau kau tak sempat dan bangun lambat? Siapa yang bagi kau duit, kalau kau tak cukup duit nak makan? Siapa yang tolong basuh kain baju kau yang berlonggok macam Gunung Kinabalu tu, kalau kau tak sihat?”

Que berfikir sejenak.

“Kau dan Mai lah. Tu kira menyusahkan, ke?”

Se-ngal!

“Tak Que. Tu namanya menyenangkan aku dan Mai. Kita orang ni kan memang dah sain kontrak dengan kau. Kira pakej kalau nak tinggal sama-sama dengan kau kena buat semua tu, kan? MOU kau ada simpan lagi ke, tak? Lupa?”

Perli namanya itu! Cis kek betul!

Agak lama Que terdiam. Duduk sambil menekur.

“Betul kau rasa susah ke tolong aku, Rin? Kira aku ni memang menyusahkan kau dan Mai lah, ya? Macam tu ke maksud kau?”

“Eh! Yang kau cakap gaya serius sangat ni, kenapa?”

Rin rasa tidak sedap hati. Gaya Que bercakap seperti orang berjauh hati. Padahal dia tahu Que bukan jenis orang yang sebegitu. Tidak ada makna jauh hati di antara mereka bertiga. Gurau macam mana pun, mengutuk sekasar mana pun, tetap tidak pernah tarik muka empat belas. Jauh sekali sampai tidak bertegur sapa. Tapi, kenapa hari ini Que lain benar?

“Habis tu! Kau kata aku menyusahkan kau berdua. Sedihlah juga. Tapi, bagus juga kau cakap. Kalau tak, aku tak tahu yang selama ni aku menyusahkan kau dan Mai.”

“Wei! Dahlah Que. Aku gurau ajelah tadi. Apalah kau ni. Gurau sikit pun nak sentap. Dah, jangan nak mengada buat ala-ala sentuhan kalbu macam ni. Tak seronoklah. Aku dan Mai pun, kadang tu minta tolong kat kau juga, kan? Kira adillah macam tu. Kita kan dah macam adik-beradik. Susah sama susah. Senang pun kita kongsi bersama. Dah, jangan nak merepeklah.”

“Tapi kan Rin, kadang tu aku terfikir juga, kau tahu. Nanti, kalau kau atau Mai dah kahwin, kesianlah kat aku, ek? Siapa yang nak jaga aku, kalau aku demam? Siapa nak kemaskan bilik aku, kalau aku tak sempat. Siapa nak bagi aku duit, kalau aku tak cukup duit nak makan?”

“Apa kau ni, Que? Demam panas sangat ke, sampai merepek yang bukan-bukan, ni? Siapa yang nak kahwin pulak, kau ni? Aduh! Apa hal kau ni, Que? Jangan bagi aku kecut. Kau buang tebiat ke, ni? Seram aku dengar gaya cakap kau ni. Macam apa je.”

“Mati tu pasti, Rin. Bila-bila masa aje ajal tu akan datang menjemput. Tak akan cepat atau lambat walaupun sesaat. Hari ni kita sihat. Mana tahu esok lusa, dah tak ada. Kadang tu, tengah kita bergelak ketawa pun boleh tumbang macam tu aje, kalau ajal dah sampai. Jadi, tak salah kalau kita ingat mati, kan?”

Naik seram Rin mendengar kata-kata Que. Lain macam saja bunyinya. Budak ini sudah jumpa jalan yang benar, ke? Eh! Dia tidak pernah sesat pun selama ini, kan? Elok saja tidak tersasar. Kalau mencilok dan tersasar di jalan raya, selalulah dibuatnya.

“Yalah. Tu, aku tahu. Tapi, kau ni gaya macam lain macam aje. Jangan takutkan aku Que. Mai tak ada ni. Kalau apa-apa jadi, macam mana?”

“Kau jerit jelah. Mesti jiran-jiran kita datang tolong.”

“Yang datang tolong...tengok aje, tu yang aku tak gemar. Que! Jangan merepeklah. Kau ni menakutkan aku aje.”

“Siapa, Rin?”

Rin sudah suspens. Que mula tanya yang pelik-pelik. Rin pandang sekeliling. Mana ada sesiapa. Que nampak siapa pula? Aduh! Budak ini memang demam teruk.

“Apanya?”

“Yang nak tolong aku, kalau kau atau Mai kahwin dan tinggalkan aku.”

Laa... Itu ke yang dia hendak tahu sangat? Tidak adalah pelik mana pun. Hmm...

“Bos kau ada.”

Cis tat betul Si Rin ini! Ada, ke? Hampeh. Terus melayang bantal kecil penghias sofa itu ke arah Rin. Kes tidak puas hatilah itu. Ha, itulah. Siapa suruh cakap merapu macam itu. Kan sudah kena balik dengan Rin. Betul apa. Bos dia kan ada. Suruh saja jadi ‘pak sanggup’ untuk jaga Que. Tidak akan ditolaknya. Rugi apa tolak ‘rezeki’ depan mata. Kan?

Previous: (BAB 5)
Next: (BAB 7)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin