Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 33)

BAB 33

PAPA, mama, abang-abangnya sudah sedia berkumpul dan menunggu. Dia saja yang memang sengaja melewat-lewatkan kehadirannya. Bukan dia tidak tahu, pastinya papa masih tidak berpuas hati dengan dirinya. Tempoh hari dia tinggalkan rumah, terutama biliknya dalam keadaan yang berselerak. Memang dia sengaja berbuat begitu. Sengaja meninggalkan kesan tidak puas hatinya juga dengan cara itu.

Masuk saja dia ke dalam ruang tamu, sorotan mata papa yang tajam telah menunggu. Mengiringi setiap derap langkahnya. Dia tetap bersahaja. Memang macam itulah dia. Seperti biasa dia menyalami mama dan mencium kedua belah pipinya. Dengan papa, sekadar buat syarat. Dengan abang-abangnya juga tidak terlalu mesra. Di depan papa, dia jarang ingin menunjukkan kemesraan mereka. Hanya dia, tidak abang-abangnya. Mereka berdua tetap melayani dia seperti selalu.

“Assalamualaikum...”

Salamnya dijawab perlahan oleh semua.

“Lambat! Tak pernah nak tepati masa,” bebel papanya memecah kesunyian.

Que yang baru melabuhkan punggung di sebelah mamanya, menarik nafas dalam. Sudah mula mahu cari pasallah namanya itu.

“Que baru balik kerja. Ni dah kira cepatlah ni. Semua traffic light merah Que langgar,” balasnya datar. Tapi, sebenarnya melepaskan rasa geram.

Tangan mama pantas mendarat di atas tangannya yang berada di paha. Mama menggenggam tangannya. Erat. Mama sedang menyalurkan rasa ngerinya melalui sentuhan itu. Que menoleh perlahan ke arah mama. Wajah mama tercalit geruh. Pandangan cuak mama lemparkan bila mendengar kata-katanya. Mana tidak risau. Boleh dia bayangkan bagaimana Que menunggang motor bila Que kata semua lampu merah pun dia langgar. Sangat berbahaya. Kecut hati mamanya membayangkan itu.

“Dah diberi kerja yang elok, kerja macam tu juga yang dipilih. Dibelikan kereta, tak mahu. Lepas tu, pandai pula nak salahkan traffic light,” selar papanya lagi.

Que tarik muka bosan. Pandangan kosong dihalakan tegak ke arah depan.

“Que tak salahkan traffic light. Papa kata Que lambat, jadi Que terangkanlah sebabnya. Apa pulak papa melalut babitkan kerja Que semua tu? Tak ada kena mengena, okey.”

“Ada saja dia menjawab! Semua yang orang cakap, dibidasnya. Dia saja yang betul.”

“Pa... Que cuma terangkan apa yang benar. Takkan itu pun salah?”

Papa sudah mencerlung memandangnya. Tentunya tidak berpuas hati dengan sikapnya.

“Bang... Sudahlah. Janganlah nak bertekak saja kerjanya. Pantang bertemu roma dengan Que, mesti bertegang urat. Sampai bila keadaan nak berlarutan macam ni? Abang tak penat, ke? Saya lelah. Saya penat. Saya dah tak larat nak hadapi semua ni, bang. Terlalu letih dengan perangai abang.”

Sepi.

Mama meluahkan rasa hatinya. Terdiam semua yang mendengar. Que tidak terkecuali. Mulutnya terkunci dengan kata-kata mama. Dia menunduk saja.

“Tak boleh ke abang berlembut sedikit dengan dia? Dia pun anak kita. Darah daging kita. Layanlah dia macam mana abang layan abang-abangnya. Terima dia sebagaimana abang terima abang-abangnya. Jangan bezakan. Jiwa saya yang sakit. Jiwa saya yang menderita bila lihat anak perempuan kita abang buat macam ni. Seolah-olah haknya dinafikan. Seolah-olah dia tidak layak menerima dan merasai kasih sayang abang, kasih sayang kita semua. Dia seorang saja anak perempuan kita, bang. Tak ada dua atau tiga. Tiada galang gantinya jika dia benar-benar pergi. Saya tak sanggup untuk menghadapi situasi sebegitu. Saya sudah letih, bang. Terlalu letih.”

Mama menghela nafas dalam kepayahan. Suaranya tersekat-sekat, diselangi deraian air mata yang tidak mampu ditahan. Lesu.

“Hidup kita ni pun, tak tahu sampai bila. Kita semakin tua. Anak-anak, semua dah semakin dewasa. Abang tak rindu keadaan ketika Que kecil? Abang peluk dia. Abang kucup pipinya sayang. Abang melayani dia dengan penuh kasih. Abang bebas buat apa saja bagi menunjukkan rasa kasih abang padanya. Tapi, kena sekarang abang sekat dan tahan diri abang dari lakukan itu? Abang menyeksa diri. Menyeksa Que dan menyeksa kami semua. Saya berdiam selama ini, bukan bererti saya setuju dengan cara abang. Saya tidak membantah, bukan bererti apa yang abang lakukan itu betul. Saya tak punya kekuatan untuk melindungi dan membela nasib anak saya kerana saya takut dianggap sebagai isteri derhaka. Ibu apakah saya ini, bang? Ingin terus taat pada suami tapi dalam masa yang sama saya tidak mampu membetulkan keadaan untuk membahagiakan anak saya sendiri.

Dan bila saya sedar serta memikirkan perkara ni bertahun-tahun, saya yakin yang saya perlu lakukan sesuatu. Saya tidak berniat derhaka pada abang. Saya hanya mahu keluarga kita bersatu semula. Tidak kesiankah abang pada Que. Dia mempunyai ibu bapa tapi siapa yang menjaganya selama ini? Dia mempunyai keluarga tapi dengan siapa dia bermanja dan mendapat kasih sayang? Abang pernah bayangkan tak bagaimana perasaan Que bila dia lihat gadis-gadis lain sentiasa bersama keluarga mereka, saling bermesra dan sayang menyayangi, sedang dia tidak mampu untuk berbuat begitu. Dia hanya mampu melihat tapi sedikit pun tidak mampu untuk mengimpikan itu, apatah lagi merasai ia sebenar-benarnya. Dia hanya hidup sendiri walaupun keluarganya masih ada. Cukuplah hanya seorang saja anak saya diketepikan. Disisih hanya kerana minat dan kegilaannya pada dunia pemotoran. Saya tidak mahu Que abang buat seperti Iqhsan. Saya faham kenapa abang buat Iqhsan begitu. Dia anak lelaki. Dia mampu hadapi apa saja di luar sana. Tapi, Que perempuan. Sangat bahaya membiarkan dia tanpa pengawasan yang sempurna. Saya tak izinkan ia berlaku sekali lagi...”

Mama tidak mampu meneruskan kata-kata. Dia tunduk dan teresak menangis. Runtun jiwanya sangat mendayu-dayu. Melagukan sendu. Terkesan pada semua yang mendengar. Que sudah basah dengan air mata. Along dan Uda juga tanpa segan silu menitiskan air mata. Hanya papa... Hanya papa yang tetap bersahaja dengan mata tegak ke satu arah. Kaku dan membeku beberapa ketika. Kerasnya hati papa.

“Tapi kita bukan serahkan dia pada orang lain. Adik saya sendiri yang menjaga dan mengasuhnya. Bukan kita tidak pernah melihat dan menziarahi dia. Kita tetap tahu perkembangan dia. Susah senang dia. Tak pernah tidak.”

“Abang... Apa tanggungjawab kita sebagai ibu bapa? Di mana tanggungjawab kita untuk mendidik dan membesarkan anak-anak? Memang kita serahkan dia pada orang yang kita kenal rapat. Tapi, kita bagai melepaskan tanggungjawab kita terhadap Que. Kita yang sepatutnya mendidik dan mengasuh dia. Bukan orang yang diberi hak menjaganya. Kita ibu dan bapanya. Bukan orang yang diberi hak menjaganya.

Abang pernah tak fikir perasaan saya sebagai seorang ibu? Ibu yang melahirkan Que. Yang hanya mampu menjaga dan mengasuhnya ketika dia masih kecil sahaja. Bila dia meningkat dewasa, abang tanpa belas menyerahkan dia pada adik abang dengan alasan supaya Que belajar jadi manusia. Hati saya hancur luluh bila anak saya dibawa pergi tanpa kerelaan saya. Hancur luluh, bang. Saya yang menanggung seorang. Abang, bukankah kita yang patut mendidik dia menjadi manusia. Kenapa mesti orang lain yang dipertanggungjawabkan untuk memikul beban tersebut? Anak adalah amanah Allah pada kita. Kenapa kita persiakan?”

Mama benar-benar meluahkan segala isi hatinya yang terpendam selama ini. Mama sudah tidak mampu menahannya.

“Saya bukan melepaskan tanggungjawab saya kepada orang lain untuk mendidik anak. Keadaan masa itu memang tidak terkawal. Dia langsung tidak mendengar kata. Takkan hendak dipukul dan disebat? Jadi, jika kita tidak mampu melaksanakan tanggungjawab kita sebaiknya, tidak salah kita meminta pertolongan orang lain. Orang yang kita percayai. Saya buat begitu supaya dia jadi anak yang lebih baik. Lebih terdidik.”

“Maksud abang kita gagal mendidik anak?”

“Saya kata jika tidak mampu, bukan gagal.”

“Kalau macam tu, pertimbangkanlah apa yang saya cakap tadi, bang. Fikirkan pasal Que.”

“Keputusan saya tetap. Selepas kita baik dari umrah, Que mesti dinikahkan.”

Masya-Allah... Papa sedikit pun tidak terkesan dengan rintihan mama. Langsung tidak terusik hatinya. Ya! Allah... Berilah kami kekuatan agar tidak tersasar dalam membuat perhitungan.

Que terpempan. Bungkam. Hanya mampu memandang kosong pada papa. Apa lagi yang hendak dia katakan. Jika dia membantah sekalipun, belum tentu papa akan berganjak dari keputusannya. Papa sudah tetap dengan pendiriannya. Tiada guna walau dirayu atau dipujuk. Papa tetap tidak akan mengubah keputusannya.

Abang-abangnya juga tidak terkata apa. Mereka membantah. Que dapat membaca dari riak wajah mereka. Namun, seperti yang dia sendiri tahu, tiada guna membidas kata-kata papa. Keadaan tetap sama. Jika mama sendiri tidak mampu melembutkan hati papa, apatah lagi mereka. Jika mama yang berendam air mata sedikit pun tidak dapat meraih simpati papa, apalagi mereka.

Akhirnya, hari tersebut hanya menjadi hari untuk mama meluah rasa. Bukan hari yang sepatutunya mereka duduk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian. Jika berbincang sehebat mana pun, mereka tahu yang keputusan sudah papa buat tanpa meminta pendapat mereka.


Previous: (BAB 32)
Next: (BAB 34)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin