Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 34)

BAB 34

QUE menghempas pintu kereta agak kuat. Punggung dihenyakkan kasar seperti melepas marah. Bergegar sedikit kereta walaupun tidak ketara. Cukup untuk menyentak El yang baru mahu lena. Terkejut El yang sedang bermalasan di tempat duduk pemandu. Mata yang tadinya hampir terlelap terus segar kesan dikejutkan dengan bunyi yang agak kuat. Diperhatikan gadis disebelahnya yang berwajah tegang.

“Apa ni, Que! Boleh tercabut pintu kereta saya awak hentak macam tu. Kenapa, ni?” tanyanya tidak puas hati.

Yalah. Tiba-tiba naik angin. Entah siapa yang gadis itu temui sebentar tadi hingga bolehmengubah mood dia macam itu sekali. Sudahlah dia disuruh tunggu sahaja di dalam kereta. Ingat dia ‘pemandu’, ke? Cuaca pula panas. Pasang penghawa dingin pun boleh berpeluh.

Que hanya membisu sambil menyandar. Mata tegak menala ke depan. Sekejap-sekejap kelopak mata gadis itu mengecil. Bagai geramkan sesuatu. Marah, senang kata. El tetap memerhati. Badannya dipusing sedikit menghadap ke arah Que yang berpeluk tubuh. Masih bisu. Gadis itu terus kaku. Hai! Sudah kena sampuk dengan apa pula dia ini? Dia terus memerhati wajah tegang itu. Tetap matanya menala ke depan. Tapi, bila terlihat pipi kanan gadis itu memerah, hatinya jadi tidak enak pula. Jelas sekali kesan merah itu kelihatan. Agak ketara bila dia perhatikan sekali lagi.

“Kenapa pipi tu?”

Que tetap bersahaja tanpa ada tanda untuk menjawab pertanyaannya.

“Biar saya tengok,” putusnya sambil tangan kiri sudah hampir benar mencecah ke pipi gadis itu.

Pantas tangan kanan Que menepis. Dipandang El dengan pandangan tidak puas hati.

“Eh! Apa ni, nak pegang-pegang orang.”

El menarik semula tangannya.

“Saya nak tengok kesan merah tu.”

Que tengok El dengan jelingan tajam pula.

Tidak reti bahasa ke mamat ini?

“Nak tengok, dengan mata, bukan dengan tangan. Tu namanya nak pegang. Ambil kesempatan!” Marah Que terus. Memang dia tengah geram saat itu. Jadi, dilepaskan saja pada sesiapa yang hampir. Lelaki itu yang jadi mangsa. Hmm... Nasiblah ya. Memang sedang tidak boleh kawal tahap kemarahan kala itu.

“Que, kenapa nak marah-marah, ni?” Masih lembut El bertanya. Dia tahu yang Que sedang dalam keadaan yang kurang terkawal. Emosinya terganggu. Selalu sangat gadis ini begitu. Ada masalah jiwa kacau agaknya.

“Semua orang tak faham saya. Semua orang nak salahkan saya. Kenapa?” bentak Que lagi. Membalikkan soalan pada El semula.

El renung wajahnya lembut.

“Siapa yang tak faham awak? Siapa yang nak salahkan awak?”

Soalan berbalas soalan.

“Semua oranglah!”

“Tapi, saya tidak. Saya faham awak. Saya tak pernah salahkan awak. Remember?”

No! I don’t remember! Bos pun selalu salahkan saya kerana saya berkawan dengan budak motor. Mereka pun manusia.”

El mengeluh kecil. Keras juga hati Que.

“Okey. Cut the crap. Tak perlu cakap pasal semua tu. Kita cakap pasal apa yang jadi sebentar tadi. Siapa buat awak sampai merah pipi begini. Cerita kat saya.”

Sepi seketika.

Que masih jua memandang jauh ke hadapan. Mulut berbicara, menjawab dan bersoal dengan El tapi matanya terus dihalakan ke arah yang sama. Tidak sedikit pun dia menoleh ke arah lelaki itu.

“Papa saya.”

Patutlah Que berkeras menghalang dia dari menemani gadis itu tadi. Dia mahu bertemu dengan papanya. Pasti hal keluarga. Pelbagai alasan Que berikan asal saja El tetap menunggu di dalam kereta. Pelbagai sebab juga El berikan kenapa perlu dia menemani Que. Gadis itu tetap berkeras mahu pergi sendiri. Hanya sebentar, katanya. Dan memang sebentar saja pun Que pergi menemui papanya. Tidak sampai dua puluh minit pun. Ingin sekali dia menemui papa gadis itu. Keluarganya juga. Tapi, apakan daya. Belum ada rezekinya untuk berbuat begitu.

El memandangnya lama. Benar-benar memerhatikan wajah gadis itu. Sudah kena tampar sampai berbekas dengan kesan merah pun masih bersahaja. Tidak merungut apatah lagi membentak-bentak. Sedikit pun tidak mengalirkan air mata. Kentalnya jiwa. El yakin, rasa sakit itu pasti terasa. Que menahannya. Tidak ditunjukkan dengan rembesan air mata. Rintihannya tidak terlihat secara luaran. Pasti jiwanya yang merintih saat itu. Perlakuannya menggambarkan semua itu. Dia seorang gadis yang begitu kuat jiwanya.

“Kenapa papa awak tampar awak?”

“Dia kata saya ni anak yang tak dengar kata. Anak yang tak sedar dek untung. Anak yang suka melawan cakap dia.”

“Tapi, awak tak macam tu, kan?”

Que hanya menjongket bahu dengan wajah yang tegang. Masih bersisa amarahnya. Belum surut sedikit pun sebenarnya. Jika dia tahu ini yang dia dapat dari pertemuan dengan papanya, memang tidak akan dia turuti. Biarlah papanya hendak kata apa. Apa gunanya jika setiap kali bertemu muka, dia tetap dimarahi dan disalahkan. Bukan dia berniat untuk membangkang kata-kata papanya. Tapi, bila apa yang papanya sarankan sering kali memerangkap dirinya, dia jadi sebal. Seperti mamanya, dia lelah dengan keadaan itu. Tidak sedikit pun membantu untuk memulihkan hubungan antara dia dan papanya. Semakin kusut adalah.

“Que, mungkin papa awak tak berniat nak buat macam tu. Dia tak sengaja. Takkanlah dia nak menyakiti anaknya sendiri.”

Barulah Que menoleh ke arahnya. Secara drastik. Mereka saling merenung bak beradu pandang.

“Bos tak kenal papa saya macam mana. Apa saja yang dia lakukan, itulah yang memang ingin dia lakukan. Termasuk menampar saya macam tadi.”

“Tak baik awak cakap macma tu. Dia papa awak.”

Makin tajam renungan Que pada El.

“Saya dah cakap, bos tak kenal dia macam mana. So, tak perlulah kita berdebat pasal dia. Bos pun macam nak salahkan saya. Sama macam orang lain juga.”

“Que, jangan salah faham. Saya tak bermaksud nak salahkan awak.”

Whatever!”

“Kenapa papa awak macam tu? Do you want to talk about it? Share it with me. Saya sedia mendengar.”

“Tak apalah, bos. Ini masalah keluarga saya. Biar saya yang selesaikan sendiri.”

“Okeylah. Mungkin awak belum bersedia untuk berkongsi saat ini. Tapi, bila awak rasa nak meluahkan dan tiada sesiapa yang dapat awak harapkan, saya sedia mendengar. Okey?”

Que hanya mengangguk.

“Kita terus balik ofis?” tanya El pula.

“Eh! Bos hantar saya kat bengkel Kim. Saya nak ambil motor. Kim telefon saya tadi, beritahu yang motor saya dah siap.”

“Boleh ke awak bawak motor?”

“Kenapa pulak tak boleh, bos?” Que bertanya pelik.

“Tu, pipi tu?”

“Bos, pipi ni sakit sikit je. Lagipun, bukan saya nak letak pipi kat pedal minyak atau handle pun. Tangan saya tak sakit. Kaki saya tak sakit.”

El ketawa juga akhirnya. Que ini pun... Baru saja kena penampar tapi masih boleh buat lawak. Lantas, El membetulkan duduknya. Mencari selesa. Power on dihidupkan. Enjin berbunyi. El pandang sekilas pada Que dan tersenyum sebelum memulakan pemanduan. Que tidak beriak apa-apa. Masih kaku tiada jiwa. Kereta menderum membelah jalan raya.

**********

DARI jauh El sudah terkilas bayangan Ray di bengkel Kim. Sebenarnya, kedai dan bengkel. Kim kan tauke besar. Saja berlagak macam kuli. Comot dengan minyak hitam. Dia tauke yang punyai kemahiran. Pandai berniaga, pandai membaiki motosikal dan pandai buat lawak juga. Di sebalik kaca matanya, dia mengecilkan mata mencari fokus. Benar, tidak silap. Cagiva Mito 125 merah putih milik Ray terparkir elok di depan kedai tersebut. Dia sedang berbual dengan Kim sambil memeluk tubuh, membelakangkan mereka.

Que yang sibuk menggagau telefon di dalam beg messengernya turut menoleh ke depan bila kereta dihentikan. Mereka sudah sampai. Leka mencari telefon yang dicampak ke dalam beg, hingga tidak perasan sudah tiba di bengkel Kim.

“Eh! Ray dah sampai sini?” soalnya perlahan. Seakan pelik. Tidak bermaksud bertanya kepada El sebenarnya. Hanya menggumam sendirian. Bertanya pada diri sendiri dan menjawab sendiri di dalam hati.

El menoleh padanya.

“Awak memang janji dengan adik saya untuk berjumpa di sini, ke?”

“Tak. Dia ajak saya lunch tadi. Tapi, saya cakap, saya ikut bos jumpa client. Terus lunch dan lepas tu nak ambil motor. Dia pesan, dalam perjalanan nak ambil motor, mesej dia. Saya pun tak sangka dia dah tunggu kat sini. Dia tak cakap pun nak jumpa.”

El menganggukkan kepala, tanda faham.

“Jomlah. Selesaikan hal motor awak. Lepas tu, boleh terus balik ofis. Sekejap lagi, saya ada mesyuarat dengan HR.”

“Okey, bos.”

Mereka turun beriringan. El menanti Que tiba hampir dengannya baru dia bergerak. Kim yang menghadap ke arah mereka terus mengangkatkan tangan, menggamit mereka ramah. Ray turut menoleh. Tersenyum dia melihat Que datang. Tangan yang tadi memeluk tubuh dijatuhkan ke sisi dan dia berdiri santai menunggu Que mendekat.

El hanya memerhati dengan secarik senyum. Dia bersalaman dengan Kim, seterusnya dengan adiknya, Ray. Kim menghilangkan diri ke dalam bengkelnya.

“Kau buat apa kat sini, Ray? Tak kerja?” soalnya datar.

“Aku kerja separuh harilah, bro! Rindu kat ‘chenta hati’ aku ni. Ajak dia lunch, kau dah bawa lari’ dia dulu. Terpaksalah tunggu kat sini.”

“Semalam, bukan dah jumpa, ke? Tak habis-habis rindu aje. Kan dah nak nikah pun. Sabarlah sikit.”

“Semalam, semalam punya cerita. Hari ni kena top-up rindu tu lagi. Baru seronok!”

“Mengadalah tu!” Bantah Que, tidak suka dengan gurauan Ray yang agak keterlaluan.

Ray tersenyum mesra sambil mengenyitkan mata. El tetap memerhati dalam senyuman. Bibir tersenyum. Hati... Sendiri fikirlah, ya.

Que menjeling Ray dan El dari ekor matanya. Ray ni pun... Hendak bergurau tidak kena tempat. Ada ke depan abang dia cakap macam itu. Gi-la! Segan Que dibuatnya. Tapi, bila dia lihat El hanya bersahaja dan tetap tersenyum sepanjang masa, dia pun buat tidak kisah saja.

“Dah lama sampai?” tanya Que pada Ray.

“Hmm... Baru jugak. Tapi, cukup lama untuk orang yang sedang merindu macam I ni,” usiknya lagi.

“Ray, behave, okey. Depan bos I... Abang you tu! Tak malu, ke?” Que sedikit berbisik memberi ingatan pada Ray. Dia memang tidak gemar babak-babak layu macam ini. Tidak masuk dalam jiwa, okey! Setakat inilah. Lain tahun, tidak pasti lagi.

“Dia tak kisahlah. Abang I ni seorang yang sangat memahami.”

Que menjeling El dari ekor matanya lagi. Lelaki itu tetap tenang memerhatikan dia dan Ray. Wajahnya tidak beriak apa-apa. Tenang sahaja. Tapi, kesian juga sebab peluh mula merenik di dahinya. Panas!

“Halo, Kim!” laung Que seperti selalu. Tangannya melambai ke arah Kim agar Kim datang padanya. Meriah saja anak dara seorang ini jika berbicara dengan ‘member’ yang seangkatan dengannya.

Kim mendekat sambil membuka sarung tangan lusuh yang selalu dia gunakan untuk kerja-kerja membaiki motor.

“Hei, Que! Sorry. Gua kasi final touch pada lu punya machine. Baru gua telefon setengah jam, lu sudah sampai.”

“Mestilah! Gua nak ambil ‘nyawa’ gua. Mana boleh pisah lama-lama. Semuanya okey, Kim? ‘Machine’ gua ni tak ada cedera parah sangat, kan?”

Que suka guna perkataan ‘machine’ kerana ia memang telah digunakan oleh Angah sejak dulu lagi. Ia lebih tepat sebagai ganti nama motor yang digunakan untuk tujuan berlumba. Ada sesetengah pelumba suka menggunakan perkataan itu yang membawa makna jentera yang hebat. Bukan setakat motor biasa-biasa. Walaupun motornya sudah bertahun tidak digunakan untuk tujuan itu, ia tetap kekal digelar begitu. Sudah terbiasa. Suzuki GSXR1000 itu adalah jentera yang hebat suatu ketika dulu. ‘Machine yang pernah menjulang nama Angah sebagai seorang pelumba yang hebat.

“Alah, lu ni, Que. Macam tak biasa. Lu punya machine demam sikit aje.”

Que mengangguk dan tersenyum lebar. Lega dengar. Kira selamatlah juga poketnya nanti. Tidaklah koyak rabak. Alhamdulillah...

“Berapa?”

“Macam biasa. Dua ‘rat’. Barang itu hari, gua sudah tukar sekali.”

Pergh!! Dalam tidak cedera parah, dua ratus juga melayang. Tapi, tidak mengapa. Untuk nyawanya yang satu ini, berhabis duit pun dia sangup dari ‘patah kaki’. Susah mahu bergerak jika motor ini tersadai di bengkel. Merana Que dibuatnya. Nasib baiklah ada duit lebih dalam purse. Que tarik purse dari beg messengerdan mengeluarkan jumlah yang Kim sebut tadi. Rasa terketar-ketar pula tangan. Alahai! Sayangnya duit dua ratus ini! Kalau buat makan, tahan tiga minggu. Tapi, hendak buat macam mana.

Namun, belum pun sempat duitnya bertukar tangan, di tangan Kim sudah ada not seratus sebanyak dua keping. Bulat mata Que melihatnya. Dia melihat ke tangannya. Duit dia, masih dia pegang. Macam mana boleh beranak di tangan Kim. Dia pandang Ray. Ray hanya senyum dan menunjuk ke arah abangnya. Dia pandang El. Lelaki itu sedang memasukkan walletnya ke dalam poket seluar slacknya. La... Dia ke yang bayarkan?

“Bos?”

“Hmm...”

El masih menunduk, membetulkan kancing butang poket bahagian belakang seluarnya.

“Kenapa bayar?”

“Kenapa? Duit saya tak laku, ke?”

“Bukan... Ni kan motor saya. Bukan motor bos atau Ray.”

“Kalau motor Ray, pandailah dia bayar sendiri.”

Gitu pula!

Que unjuk not-not yang dipegangnya pada El, tanda mahu menggantikan duit lelaki itu. El hanya memandang sepi tanpa ada niat mahu mengambilnya.

“Tak payah. Saya bayarkan. Guna duit syarikat. Motor tu, kan awak guna untuk kerja. Kira maintainence kali ni syarikat tanggung. Nanti minta resit dari Kim. Bagi saya endorse and sign, lepas tu boleh submit pada Accounts Department untuk tindakan selanjutnya.”

Thanks, boss!

Dalam hati, punyalah suka. Selamat duitnya. Boleh berjimba-jimba lepas ini. Syukur pada Allah kerana beri rezeki.

“Que!”

Panggilan Kim meraih perhatian mereka bertiga. Masing-masing berpusing menghadap Kim yang duduk di atas motor Ray.

“Kenapa, Kim?”

“Tak ada apa. Gua mahu bagitahu lu, ada orang suka sama lu punya motorlah. Dia mahu beli.” certia Kim, sungguh-sungguh.

Mereka bertiga tertarik mendengarnya. Biar benar! Motor ini bukan edisi terbaru. Motor lama. Tapi, memang Que jaga sebaik mungkin. Calar sedikit pun tidak. Sentiasa berkilat. Enjinnya pun tip top! Sering diselenggara mengikut jadual dan tidak pernah lewat. Tiba masa, motor tersebut akan masuk mendaftar ke dalam hospitalnya.

“Lu tau kan Kim... Gua sayang dengan motor ni.”

“Gua tau... Ini motor, serupa lu punya nyawa juga. Sudah lima tahun lu pakai. Tapi, dia kasi harga tinggi kalau lu mahu jual. Apa macam?”

Que menghela nafas dalam. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Siapa pula yang berkenan sangat dengan motor cabuknya itu? Apa yang buat orang itu mahu membelinya? Pelik betul!

“Lu cakap dengan itu orang, kalau dia mahu beli gua punya motor, dia kena beli dengan gua sekali.”

“Wasey! Beli motor dapat lu sekali, ke? Banyak untung itu macam, ma.”

“Haila ini apek! Tatak faham sama gua punya cakap. Maksud gua, kalau dia mahu beli motor gua, dia kena beli gua sekali. Double pay! Understand! Ada ‘beran’?”

“Lu gila! Siapa mahu double pay itu macam. Ini motor bukan motor baru.”

So, take it or leave it! That’s the option! No bargain. Not new edition but for sure it a special edition. Ada cop mohor gua, ma.”

Que berjalan, mengangkat tangan sambil memusingkan kunci motornya dengan jari telunjuk. Nakal! Sedap saja dia mengenakan Kim. Mentang-mentanglah apek seorang ini agak lurus bendul, suka hati dia saja letak syarat merapu begitu. Kalau tidak mahu jual, cakap terus teranglah. Tidak perlulah Kim sampai berkerut kening untuk memahami apa yang Que maksudkan. Kesian dia.

Ray dan El tersenyum serentak. Bijak juga Que rupa-rupanya. Bukan senang-senang dia mahu melepaskan motor kesayangannya itu. Syaratnya mudah tapi tidak semudah itu untuk dituruti. Mana ada orang mahu beli motor dengan tuan punya motor sekali, kan? Tapi, kalau tuan punya motor pun boleh buat iman bergoncang, dari tidak mahu akan jadi setuju. Pakej yang baik namanya itu. Itu, El yang fikir. Itu juga yang Ray fikir. Hmm... Senada seirama pula dua beradik ini berfikir.


Previous: (BAB 33)
Next: (BAB 35)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin