Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 22)

BAB 22

QUE merenung tajam setiap ahli kumpulannya. Geram! Itu yang mampu dia gambarkan. Geram sangat-sangat! Memang mereka semua ini tidak makan saman! Makan saman? Memanglah tidak makan saman sebab mereka makan nasi. Kadang-kadang makan spageti dan makanan barat juga. Mana ada makan saman. Tapi, itulah dia. Masing-masing naik lemak jadinya. Lemak tepu! Sudah selalu kena tegur. Sudah selalu diberi nasihat. Masih juga buat perkara yang Que tidak suka. Tetap mahu melanggar peraturan kumpulan mereka.

Takkanlah hendak kena rotan macam budak sekolah, baru mahu dengar kata. Mereka semua sudah besar. Sudah boleh berfikir sendiri. Tapi, sebab sudah rasa diri itu besar sangatlah, itu yang besar kepala juga jadinya. Hai! Nasib baik anak orang. Kalau anak kucing, sudah lama dia mandikan dalam mesin basuh. Biar berputar otak mereka. Ligat! Tidaklah tepu dan beku dari menerima pendapat dan nasihat orang lain. Geram!

Bagaikan gugur jantungnya tadi apabila menerima berita dari Kay, yang tiga orang dari ahli kumpulan mereka terlibat dalam kemalangan semasa berlumba haram. Nasib baik tidak serius kecederaan yang dialami oleh mereka. Hanya calar-balar dan luka kecil sahaja. Setakat motor mereka remuk atau patah, Que tidak kisah. Lantaklah! Motor itu ada ‘spare part’. Boleh diganti.

Bayangkanlah jika sampai melayang nyawa. Siapa hendak jawab? Mana ada ‘spare part’ yang boleh menggantikannya. Dan nasib baik juga, tidak sampai jadi kes polis. Mana dia mahu letak muka jika sampai jadi begitu? Along dan Uda, pasti marah. Papa, jangan cakaplah. Tentu berganda lagi kemarahannya.

Dulu, semasa minta tolong darinya untuk diterima masuk sebagai ahli, bukan main lagi berjanji. Bukan sekali dua dia mengingatkan bahawa kumpulan mereka bukan kumpulan berlumba. Kumpulan mereka tidak bergiat dalam lapangan itu sama sekali. Mereka memang kumpulan bermotor, tapi dengan tujuan yang lain. Tujuan yang sangat jauh dari ciri-ciri perlumbaan secara haram. Pendek kata, langsung tiada kena mengena dengan lumba haram. Sipi-sipi haram pun tidak.

Bila nama 'Que Racing Team' dipilih, bukanlah bertujuan memperkenalkan mereka sebagai kumpulan berlumba semata-mata. Nama itu dipilih hanyalah untuk tujuan pendaftaran dengan pihak berwajib. Sekadar menyatakan mereka adalah kumpulan yang berdaftar. 'Racing' mereka adalah dalam berlumba membuat kebaikan, bukan sebaliknya. Mereka lebih mementingkan aktiviti kemasyarakatan dan yang mendatangkan faedah. Bukan menyabung nyawa di jalan raya! Itu pun susah hendak faham, ke? Akal letak di mana? Dalam kaburator? Atau dalam tangki minyak motor masing-masing? Ikut mengalir dengan minyak, sebab itu susah mahu terima apa yang orang lain katakan. Sengal!

Kalau dulu, mungkinlah... Masa zaman Angah yang terajui kumpulan ini, memanglah ada kegiatan berlumba dan segala macam aktiviti lasak yang bisa memudaratkan. Tapi, itu pun setakat berlumba suka-suka dan di antara ahli kumpulan mereka sahaja. Masih lagi terikat dengan pelbagai peraturan. Jauh sekali hendak berlumba di jalan raya. Memang tidaklah. Selalunya mereka akan ke trek berlumba untuk melepaskan gian. Sekali, dua sahaja mereka berlumba secara haram. Tapi, itu dulu. Dulu, okey!

Akan tetapi hanya Angah dan beberapa orang saja yang dibenarkan berlumba. Ahli yang lain langsung tidak diberi kelonggaran. Atas sebab itulah, Que banyak merombak terma dan syarat serta peraturan kumpulan itu. Dia tidak mahu ada lagi di antara ahli kumpulan mereka menemui ajal dengan cara yang begitu tragis. Terlalu tragis! Tiada pembelaan. Kerana sebab yang satu itulah, nyawa Angah melayang bagai tiada harga. Bak mati katak. Sadis... Ngilu hati Que bila teringatkan kisah itu.

“Ni apa kes, ni? Cuba cerita kat aku!” sergahnya marah pada tiga pemuda yang berdiri kaku di depannya. Matanya tajam memandang mereka.

Kay di sebelahnya, hanya berdiam. Que, kalau sudah marah, memang berapi. Terpana sesiapa yang melihatnya. Memang seriau. Hingga kadangkala tidak terkawal dirinya.

“Kenapa diam! Aku bercakap dengan tunggul, ke? Ni, semua ni... Dah tak ada mulut lagi, ke? Dah bisu?” bentaknya lagi dengan mata yang galak memandang setiap yang ada.

Masih diam. Semua yang ada, turut diam. Mengerti akan kemarahan Que yang berasas, mereka hanya mampu mendengar tanpa ada rasa ingin membela rakan, yang memang ternyata bersalah.

“Cakaplah!!!” sergahnya lagi sambil menolak kasar tray yang terletak di hujung meja.

Habis jatuh semuanya. Bertaburan kertas-kertas dan fail yang tadinya elok terletak di dalam traytersebut. Jadi berselerak di sekitar situ. Terperanjat mereka yang ada. Tidak sangka, kemarahan Que setinggi itu. Bukan sebelum ini, perkara sebegitu tidak pernah berlaku. Pernah, kot. Tapi, Que masih bisa mengawal diri. Namun, kali ini dia seakan hilang kawalan. Kemarahan diledakkan tanpa memikirkan perasaan orang lain. Pasti ada sebabnya.

“Que, bawa bertenang. Kau belum sihat sangat tu. Karang sakit balik pula.” Kay berbisik, mengingatkan.

“Budak tiga ekor ni lah! Ni, bukan nak bagi aku sakit balik. Tapi, nak bagi aku mati terkejut, kau tahu, tak? Aku ni, dah cuba bersabar. Tapi, kau orang semua ni, sengaja nak mencabar aku, kan? Dah selalu aku ingatkan yang kumpulan kita ni bukan kumpulanlumba haram! Kenapa kau orang tak boleh nak faham?! Tak sayang nyawa, ke? Tak teringat kat mak bapak kau orang semua, ke? Hah???”

“Tapi, dia orang yang ‘bakar-bakar’ kita dulu, Que.”

Que mencerun memandang Azil. Matanya dikecilkan. Isy! kecil, besar, kecil, besar saja Azil di pandangan matanya.

“Dah tu?! Bila dia orang bakar-bakar, kau orang pun tak tahanlah, ya? Terus nak ‘berembat’! Ini yang aku tak suka. Kau orang ni, rapuh. Tak tahan godaan. Macam ni ke semangat yang kau orang semua julang untuk jadi lebih baik? Macam ni, ke?”

“Bukan sekali dua dia orang buat macam tu, Que. Kita orang pun ada maruah. Suka hati dia orang aje kata kita ni pengecut. Mana boleh biar!”

Que pejam mata seketika. Aduh! Susah betul hendak bagi mereka semua ini faham.

“Lantaklah apa orang nak kata! Aku tak peduli! Janji, kita tahu apa yang kita buat. Kita tahu niat kumpulan ni ditubuhkan dan sebab apa ia terus bertahan sampai sekarang. Kau orang lupa ke apa tujuan kau orang masuk ke dalam kumpulan ni? Lupa? Berapa banyak semut yang kau orang dah telan, ni? Pelupa sangat jadinya. Hah???”

“Que, dia orang kata kumpulankita, kumpulan motor bapuk! Mana boleh tahan. Dia orang menghina kita, menghina kau sebagai ketua kita. Mestilah kami tak boleh tahan dengan penghinaan macam tu.”

"I don't give a damn to that!!! Aku tak kisah pun! Lantaklah apa mereka nak kata!" suaranya memetir.

"Tebakar hati kita orang, Que. Kau, yang dia orang cakapkan. Salah ke kalau kami hanya nak pertahankan kau?"

Isy! Menjawab lagi! Ada karang seorang demi seorang kena panampar Jepun dia nanti.

Que urut pelipis. Pening! Memang susah mahu bagi mereka faham.

“Okey! Kalau dah tak tahan sangat nak berembat, kenapa mesti kat jalan raya? Kenapa tak cabar mereka masuk litar. Yang korang layan berembat kat jalan raya tu, buat apa? Maruah apanya yang korang pertahankan ni? Maruah tahi kucing!!! Kalau mati, sia-sia aje. Sekurang-kurangnya,kalau berembat kat litar, aku pun boleh bangga dengan kau orang. Terjaga keselamatan diri. Aku risaukan keselamatan kau orang, tahu tak? Apa-apa jadi, kau orang semua bawah tanggungjawab aku, tanggungjawab kumpulan ni, faham tak?”

Pula! Berembat kat litar boleh, ya? Kenapa tidak cakap awal-awal. Boleh daftar sebagai ahli. Mesti banyak faedahnya nanti.

“Lagi satu, kau orang kena ingat... Sekali kumpulankita kantul dan dilabel sebagai kumpulan lumba haram, rosak nama kita semua. Aku tak halang korang nak pertahankan kumpulan ni. Aku bangga tapi, biarlah kena dengan caranya. Ini tak! Cakap berapi-api, penuh semangat tapi kerja sia-sia jugak yang kau orang pilih. Banyak lagi cara lain nak buktikan kumpulan kita ni bagus. Kalau kau orang sahut cabaran mereka untuk berlumba, kat atas jalan raya pulak tu, bukan sama aje ke taraf korang dengan mereka? Tak ada beza. Korang jadi sama tak bertamadun macam mereka. Tak ada visi. Tahu nak tunjuk kekuatan dengan jalan yang tak sepatutnya. Apa sangat hebatnya berlumba kat jalan raya, tu? Boleh panjangkan nyawa korang lagi, ke?” sambung Que lagi, lebih lantang dari tadi. Dia mahu semua yang ada, faham dan tahu apa yang dia maksudkan. Dia bukan marah suka-suka. Marahnya bersebab.

Tapi, betullah apa yang Que cakap itu. Berlumba di litar lebih terjamin. Aspek-aspek keselamatan pun sudah tentu ada. Trek berlumba pun lapang. Bila berlumba di jalan raya, memang tempah mautlah namanya. Berselirat dengan kenderaan lain, satu hal. Dibuatnya salah cilok, masuk bawah lori ke, trailer ke, bas ke, siapa hendak jawab? Sudah banyak kes kemalangan sebegitu berlaku pun, masih tidak serik!

Hendak tunggu kena batang hidung sendiri dulu ke baru mahu beringat? Memanglah kemalangan itu tidak berbau, juga tidak mengenal siapa dan di mana. Tapi, tidak salah kalau kita mencegahnya. Sendiri mahu ingatlah, kan? Nyawa, memang bukan kita yang tentukan bila akan melayang. Tapi, nyawa juga tidak akan ada tukar ganti apatah lagi boleh dibeli di kedai seperti membelialat ganti motor. Jadi, beringatlah wahai sahabatku sekalian. Nyawa itu sangat berharga.

“Que, take it easy okay. Think about your condition.Aku tak nak kau sakit balik karang. Jangan ikutkan sangat marah kau tu. Aku pun bengang juga dengan budak-budak ni, tapi benda dah jadi. Nak tegah, memang tak jalan. Nak tegur pun, bukan kita tak pernah lakukan. Let me talk to them, okay.” Sekali lagi Kay mengingatkan Que akan keadaan kesihatannya.

Risau juga dia jika Que kena darah tinggi nanti. Lagi parah kalau kena serangan sakit jantung. Melihat kemarahan Que, tidak mustahil segala jenis penyakit itu dengan mudah menyinggahinya.

Kay, memang sentiasa fahami dia. Sentiasa menyokong dirinya. Itu pasti, kerana Kay merupakan orang kanan Angah. Orang kepercayaan Angah. Kerana Angah juga, Kay tetap setia berdiri di belakangnya kala susah dan senang bersama kumpulan itu. Satu sifatnya yang Que hormati; dia amat tenang dalam segala hal. Jarang melenting macam Que, tapi kata-katanya tetap berbisa. Itulah perbezaan antara dia dan Kay.

“Kau orang dah dengar, kan? Bukan sekali, dua Que cakap benda yang sama. Aku pun dah selalu sangat ingatkan perkara tu. Mustahil kalau kau orang lupa. Kumpulan kita bersih selama ni. Kumpulankita mana pernah layan berembat kat jalan raya. Habis cikai pun, kita lepas gian kat trek berlumba. Kau orang kena ingat tu. Ingat hala tuju dan matlamat kumpulan ni. Jangan rosakkan apa yang selama ini kita perjuangkan. Jangan sampai kumpulan kita ni masuk senarai polis. Aku dan Que sama sekali tak boleh terima. Kau orang tahukan prinsip kami? Jadi, jangan cari pasal.

Azil, Man, Sham... Ni, bukan pertama kali kau bertiga buat hal. Aku pun, lama-lama boleh sakit jantung dengan perangai kau orang ni. Macam ni lah ya... Untuk menjaga nama baik kumpulan ni, nama baik aku dan Que sendiri, kau orang akan aku keluarkan dari kumpulan ni.”

Ambil kau! Sekali Kay bercakap, mesti ada kejutan yang tidak di duga. Jangan ingat dia jenis yang tidak suka marah, dia boleh terima saja perkara sebegitu. Memang dia nampak tenangsepanjang masa, tapi bila dia mula bercakap pastinya akan ada sesuatu yang bakal berlaku. Sesuatu yang semua orang tidak dapat jangka.

“Kay! Kau tak boleh buat kami macam ni! Kami tahu yang kami dah buat silap tapi takkanlah tak boleh dimaafkan.”

“Yalah, Kay. Kami bukan sengaja.”

“Maaf apanya? Buat salah, minta maaf. Itu ajelah yang kau orang semua tahu. Tapi, sikit pun tak pernah ikhlas minta maaf, kan? Lepas tu, tetap ulang juga perkara yang sama. Aku dah tak boleh tahan dengan perangai korang. Cukuplah...”

“Kay, janganlah tendang kami dari kumpulan ni. Hanya kumpulan ni yang beri kami harapan, beri kami kesempatan untuk jadi insan.”

Sedar pun!

“Kalau bercakap pandai, tapi satu hapah pun tak guna. Hari ni janji, esok dah lupa.”

“Kay, janganlah macam tu!”

Kay tidak bereaksi. Hanya bersahaja di sebalik wajah tenangnya. Itu yang Que kagum. Kay tidak pernah menunjukkan riak tegang di depan mereka semua. Dia bisa mengawal dirinya. Tidak seperti Que yang akan melepaskan kemarahan itu dengan nyata.

“Que, berilah kami peluang. Tentu kau tak nak tengok kami rosak, kan? Janganlah buang kami dari kumpulan ni. Kami janji, selepas ini kami akan ingat pesan kau tu.”

Que pandang Kay buat seketika. Kay juga begitu. Namun raut wajah Kay tenang, tidak beriak apa-apa. Sukar untuk Que meneka. Que menekur memandang lantai dan jadi terdiam buat beberapa ketika. Memikir tentunya. Bukan dia tidak sayangkan ahli-ahli kumpulannya. Kalau sudah selalu memberi masalah, akan sukarlah perjalanan kumpulan mereka nanti. Pasti banyak halangan.

Tapi, jika bukan dia dan kumpulan itu yang memberi peluang untuk mereka-mereka yang bermasalah seperti tiga orang pemuda itu untuk memperbaiki diri, siapa lagi? Setiap insan lakukan kesilapan. Bukan tidak boleh memaafkan. Tentunya boleh. Cuma... Hmm... Susahlah hendak cakap hal macam ini.

Que panggung kepala semula, mencari wajah Kay buat kali kedua. Pandangan mereka berpapasan buat ke sekian kalinya. Seakan mengerti apa yang berselirat di benak Que, Kay memancarkan riak mahu berdiplomasi. Dikerdipkan kelopak matanya layu dan terukir segaris senyum yang ikhlas.

Serta-merta Que tenang kembali. Suspens betullah mamat seorang ini. Ingatkan marah betul-betul. Saja mahu gertak rupa-rupanya. Yalah, Kay kalau sudah buat muka poyo, makan tahunlah hendak elok. Sah-sah budak tiga orang itu tidak ada ampun lagi jawapnya. Tiada kompromi.

Que pula, nampak saja garang. Tapi, hatinya tetap lembut. Fitrahnya sebagai seorang wanita. Kelembutan itu tetap terselit walaupun dirinya di lapisi dengan sikap yang agak keras dan selamba.

“Kay?” soal Que mencari pasti.

Walaupun Kay sudah memberikan isyarat tadi, bicara yang nyata masih ditagih agar segalanya benar-benar pasti.

Kay melepaskan keluhan berat.

It’s up to you, Que. You are the boss,” katanya tetap sambil menjongket bahu. Tapi masih juga dia buat muka poyonya itu. Padan muka kamu semua!

Que bermenung seminit, dua.

“Que?” tanya yang lain pula.

Que sengaja bermain tarik tali. Mahu lihat segala macam reaksi. Dengan wajah yang penuh tanda tanya, berkerut sana sini, tidak kurang juga yang hanya menunduk bagai menanti kata dua sang hakim yang bakal menjatuhkan hukum. Muka-muka cuak dan kecut, jangan cakaplah... Tidak terhitung dengan jari. Rasa hendak tergelak pun ada. Que pandang Kay semula. Nyata dia lihat, Kay bagai menahan tawa. Dia pun sebenarnya, sudah tidak mampu menahan gelak. Bagai mahu pecah perutnya. Lantas dia menghela nafas dalam. Berdiri tegak di antara ahli kumpulannya yang ada.

“Jom minum! Aku hauslah. Banyak sangat bercakap. Lagipun dah lama kita tak berkumpul ramai-ramai macam ni, kan?”

“Maksudnya, kita orang masih lagi ahli kumpulan ni, kan?”

Que pandang muka budak bertiga itu silih berganti.

“Aku tak pernah kata nak singkir kau orang pun.”

“Tadi tu...”

“Itu Kay yang cakap,” potong Que pantas.

Kay mencerun memandang Que. Sedang Que, hanya tersenyum mesra. Dalam diam, Que kenakan dia pula. Nakal sungguh dia ini, kan? Lebar senyuman masing-masing. Macam dapat gula-gula kapas seorang satu saja lagaknya. Ceria.

“Jom, minum. Kay belanja,” sambung Que lagi.

“Aku pula!” protes Kay yang berdiam dari tadi.

I’m the boss. This is an order, Kay,” sahut Que yang sudah memulakan langkah, diekori oleh yang lainnya.

Masing-masing pantas mengekori Que turun ke bawah. Sudah mula ceria. Riuh jadinya dengan suara bertingkah sesama mereka. Pastinya menuju ke kedai makan di hujung bangunan tempat mereka selalu berkumpul jika ada kelapangan.

As you wish...” jawab Kay pula sambil bangun dan menyaingi yang lainnya. Dia sudah tersenyum lebar.

Que sudah berada di hadapan. Dia, di belakang sekali. Seperti biasa dia akan memastikan pejabat sederhana besar tempat yang dijadikan pusat kumpulan mereka ditinggalkan dengan keadaan sempurna. Berkunci dan selamat. Kemudian dengan pantas dia berlari anak mengejar Que dan rakan yang lainnya, yang sudah sampai ke bawah. Tersenyum lebar dia mengenangkan telatah Que tadi. Nama pun perempuan. Garang macam mana pun, tetap lembut hatinya. Sekejap saja, dia sudah sampai ke tempat Que. Que yang sedang galak bercerita dengan yang lainnya, terngadah memandang Kay. Diunjukkan segugusan anak kunci kepada Que. Que menyambut dengan senyuman.

“Aku dah orderkan air untuk kau. Nak makan, tak?” tanya Que ceria.

“Hmm... Tak nak. Thanks, orderkan aku air. Kau tunggu sini kejap. Aku nak pergi tandas,” kata Kay, lantas berlalu semula menuju ke arah belakang restoran tersebut.

Que masih rancak bercerita sepeninggalan Kay. Ada masa, terdengar gelak tawa mereka yang agak gamat hingga meraih perhatian orang sekeliling. Seketika, Que biarkan yang lainnya meneruskan perbualan sedang dia sibuk membalas mesej yang masuk ke dalam telefon bimbitnya. Tidak diendahkan kawan-kawannya buat beberapa ketika kerana mesej dari Uda lebih meraih perhatiannya.

Sampai satu ketika bila dia sedar ada seseorang sedang berdiri di sebelahnya, barulah dia bersuara. Itu pun dia masih tidak mengangkat muka. Masih leka melayan mesej yang masuk ke dalam telefon bimbitnya. Terus tunduk tanpa menghiraukan keadaan sekeliling sama sekali.

“Duduklah, Kay. Apa hal berdiri aje dari tadi. Nak jadi bodyguardaku pula, ke?” ujarnya sambil terus leka dengan mesej yang diterima. Tersenyum simpul dia membalas mesej tersebut. Memang sangat ceria lagaknya. Terbias dari senyumannya yang tidak dipaksa-paksa.

Seketika, dia mengerutkan dahi. Macam ada yang tidak kena. Kenapa Kay tidak duduk-duduk dari tadi. Hendak kata tidak dijemput, sudah dia lakukan. Sudah itu, keadaan tiba-tiba senyap. Sunyi sepi, bagai tiada sesiapa di situ kecuali dia dan Kay yang berdiri sepi. Apa hal? Malaikat lalu, ke? Atau, bukan Kay, ke? Tadi, bukan main ruih rendah restoran itu dek suara mereka yang galak bercerita. Perlahan-lahan dia terngadah, mencari wajah siapa yang berdiri di sisinya.

Demi terpandangkan wajah itu, Que bagaikan kaku. Pandangan mereka bersatu. Nyatalah bukan Kay yang dari tadi berdiri di sisinya. Memerhatikan setiap gerak lakunya. Wajah lelaki itu keruh dan merenungnya dengan tajam. Tanpa sedar, perlahan-lahan Que bangun dari duduknya. Tindakan luar kawalan. Cuba bertentangan dengan lelaki itu. Namun, masih tiada suara dari keduanya. Keadaan sekeliling juga seakan bisu buat seketika. Sepi.

“Apa awak buat di sini?Awak belum sihat benar, kan? You are not suppose to be here, Que.” Keras teguran El kepadanya sejajar dengan pandangan tajam lagi sinis memerhati kelompok mereka.

Que masih mati kata-kata. Hanya memandang sepi pada lelaki itu yang seakan marah padanya. Chop! El marah? Kenapa pula dia hendak marah, ya? Tidak masuk akal. Ini, apa cerita pula?

“Que, saya bercakap dengan awak! Kenapa senyap? Terperanjat kerana saya boleh ada kat sini? Terkejut sebab saya tiba-tiba muncul?” selar lelaki itu terus.

“Saya... Saya..”

Aisey! Apa hal boleh jadi tersekat-sekat pula!!!

“Apa dia, Que?” potong El pantas.

“Saya... Saya..”

Aduh! Penyakit gagap dia sudah datanglah pula.

“Oh! Awak nak kata, yang awak tak sangka boleh jumpa saya di sini, kan? Mungkin juga awak nak cakap yang awak tak sengaja nak datang sini, begitu?”

“Bukan!”

Then?”

“Err... Hmm... Saya...”

‘Aduh!!! Cakap! Cakap, Que!’ hati Que menjerit. Tapi hanya suara hati. Lidah, sudah kelu saat itu.

“Bila saya calledpagi tadi, ajak lunch, awak kata tak larat. Tak sihat. But, look at you now. Really okay! Fully recovered. Liar!” seiring dengan ungkapan itu, El terus berlalu pergi tanpa menunggu kata balas dari Que. Langsug tidak beri peluang Que untuk beri penjelasan. Langsung tidak dipandang pada Que. Langkahnya tetap dan laju.

Que terkesima. Yang lainnya juga. Namun masing-masing lebih selesa menyepi. Tidak berani masuk campur dalam hal itu. Mereka tidak tahu hujung pangkalnya, jadi lebih baik berdiam saja.

I’m not a liar!” ucapnya lesu. Itu pun, sesudah bayang El hilang sepenuhnya.

Dia terduduk semula. Tubir mata terasa panas. Hatinya rasa terhiris. Tuduhan itu terus menusuk. Sakit dan perit.

Uda! Tolong Que! Hati Que sakit...

Hey! What’s up?” tanya Kay yang baru muncul.

Soalannya tidak mendapat reaksi. Masing-masing memilih untuk terus berdiam. Dipandang mereka silih berganti. Matanya terhenti pada wajah Que yang mendung. Tunak pandangannya memanah aliran air yang mengalir lesu di pipi gadis itu. Berkerut dahinya. Que menangis. Kenapa? Siapa buat dia sampai begitu? Tidak mungkin salah seorang dari mereka yang menyebabkan jiwa kental Que tersentuh hingga sebegitu hebat kesannya. Tidak mungkin. Dia mula dapat menghidu akan sesuatu yang kurang elok berlaku, sepeninggalannya tadi. Tapi, di biarkan dulu soalan bersarang di benaknya hingga Que benar-benar reda. Biar Que yang buka cerita.

Previous: (BAB 21)
Next: (BAB 23)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin