Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 31)

31

“MACAM mana? You rasa plan I ni boleh kita gunakan, ke?” tanya Que benar-benar ingin tahu. Mana tidaknya. Sudah beberapa hari dia memerah otak, memikir cara yang paling berkesan untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Ingat senang-senang saja ke hendak kahwin. Memanglah semuanya keluarga yang sanggup sediakan. Segala keperluan dan apa jua perkara yang berkaitan, mereka akan aturkan. Tapi, hati yang membengkak ini, siapa mahu peduli? Sendiri juga yang kena tanggung.

“Hmm... Boleh tu, memang boleh. I tak ada masalah. Kira bagus juga idea you tu.”

Hah! Bagus sangatlah! Jika perancangan yang mereka berdua buat ini berjaya, memang kes memalukan keluarga betul-betul namanya. Memang tempah maut. Tapi peduli apa! Mereka tidak pernah bersetuju dengan keputusan keluarga. Kena paksa dan terpaksa. Mana ada dalam zaman moden macam sekarang ini main kahwin paksa. Okey. Fine. Mungkin ada. Tapi hanya segelintir. Mereka tidak mahu tergolong dalam bilangan yang sedikit itu. Mahu anak cucu cicit gelakkan tidak cukup tanah nanti.

Make sure, Ray... Masa tu nanti jangan you pulak buat hal. I cincang you lumat-lumat kalau you berani khianati I. Susah payah I cari jalan untuk kita ni. Yang penting, you jangan belot.”

“Amboi! Tak baik tau garang dengan bakal suami. Tak cium bau syurga you nanti,” seloroh Ray bersahaja. Yalah, dari tadi muka Que ketat saja. Tidak seronoklah macam itu, kan? Dia pun bengang juga. Risau juga. Tapi, tidak mahu terus dibayangi rasa yang negetif itu.

Pap! Satu tamparan tepat mengenai belakang Ray. Perit. Que ini pun. Boleh dia pukul kuat-kuat.

“Aduh! Belum apa-apa you dah nak belasah I. Kalau jadi suami, teruklah I kena dera macam ni.”

Que sudah angkat tangan sekali lagi. Pantas Ray menahan. Kalau tidak, mahu berbirat belakang badannya.

“Jangan nak merepek, okey. Geli tahi telinga I dengar. Nak muntah!”

“You ni... I gurau ajelah. Tahulah I apa nak buat masa tu nanti. You jangan risaulah. I pegang janji. Kan kita dah janji. Kalau nak tukar jadi lebih dari itu, kenalah I lenturkan buluh ni dulu.”

“Amboi! Sedap mulut dia aje kata I buluh. Buluh ni, bukan sebarang buluh tau. Kalau kena, bisa sampai mati.”

“Hah! Tu yang takut tu. Belum dapat, dah mati dulu.”

“You ni, suka main-main. Tak serius. I ni risau, you tau tak? Keluarga kita ni kenapa, hah? Suka hati mereka aje nak nikahkan kita. Ingat kita anak kucing, ke? I rasa nak lari jauh aje.”

“Hei! Apa ni sebut nak lari jauh? Jangan jadi bodohlah, Que. Kalau you lari, mereka akan anggap kita betul-betul bersalah. Kan I dah janji... Janganlah risau sangat. I tahulah apa nak buat nanti. Kita tunggu masa dan harinya aje. Selebihnya, you serah pada I. Percayalah kat I.”

“Hmm... Entahlah, Ray. I malu. Malu pada you, pada abang you, keluarga you semua.”

“Kenapa pulak you nak malu dengan I? Kita sama-sama tahu apa yang berlaku tak seperti apa yang keluarga I anggap. I pun tak salahkan you dalam hal ni. Okey... I faham kalau you malu dengan abang I. Dia bos you. Tapi, dia tak boleh nak salahkan you jugak. Dia kena selidik perkara yang sebenar. Alah, you tak payah risaulah. Dia tak cakap apa pun sejak hari tu. Tanya I pun tak.”

Tanya pun tidak? Kalau sudah tidak bertanya begitu, tandanya memang marahlah. Ray ini tidak mengenali abangnya sendiri agaknya. Setahu Que, El jika marah memang tidak suka menyerang dengan soalan. Tapi, dia akan membedil bila keadaan dirasakan sesuai dan mengenai tepat sasaran pada orang yang dituju saja. Bagus juga begitu. Tidak memalukan pihak yang lagi satu. Kira pandai juga dia menjaga maruah dan air muka orang lain. Sikapnya itu harus diberikan kredit.

“Tapi, tentu mereka anggap I ni macam budak perempuan yang bermasalah, tak bermoral, sosial. Senang-senang ikut lelaki balik rumah. Mana I nak letak muka? Malu, tau tak?”

“Mana nak letak muka? Muka you dah cantik terletak, nak letak mana lagi? Biar ajelah kat situ. Tak kan nak letak kat kaki, kot. Tak pernah dibuat orang,” gurau Ray lagi. Tidak suka betul dia tengok wajah Que yang keruh.

Que jeling Ray macam hendak ditelan saja lagaknya. Tajam.

“You ingat, I ni hantu penanggal, ke? Siap boleh cabut kepala letak kat kaki.”

Hahahaha! Ray ketawa lepas. Macamlah sebut pasal hantu tu kelakar sangat, kan?

“Marah? You tahu tak yang you semakin cantik bila marah. Lama-lama I pun boleh tergoda. Boleh jatuh cinta dengan you.”

“Isy! Tekanan betullah bercakap dengan you ni. Tak serius! Serabut I, you tau tak?”

“Alah, Que. Tak payahlah nak serabut-serabut. I tahulah apa yang patut dibuat. Percayalah.”

“Percayalah... Percayalah... Ingat ni lagu Datuk Siti Nurhaliza, ke? Asyik percayalah dari tadi.”

Ray ketawa lepas lagi. Pandai pula Que bergurau. Barulah meriah. Tidak adalah muka ketat macam skru berkarat. Sakit mata tengok! Yalah. Muka lawa-lawa. Bila ketat macam tadi, sampai hilang selera hendak tengok. Bukan senang untuk menatap wajah Que. Jadi, bila sudah ada peluang, kenalah manfaatkan betul-betul. Tapi, betullah. Bila tatap lama-lama wajah Que, rasa sayang mahu membuang pandang pada yang lain. Rasa hendak terus tatap saja. Bagai ada magnet. Ada daya penarik, tertarik, kau memang ‘dabomb’. Memang boleh jatuh hati kalau selalu macam ini. Harus terjatuh cinta dengan Que. Betul! Comel sangat dia ini! Itu sebab agaknya sampai ada ‘orang’ angau gila dekat dia ini. Gila pun tidak angau macam itu.

“Hoi! Berangan ke apa you, ni? Senyum sorang-sorang. Makruh, tau tak?”

Eh! Suka hati dia saja bagi hukum.

“Mana ada berangan. Tengah fikir ni. Fikir apa lagi yang patut kita buat untuk pastikan rancangan kita berjaya.”

Cover line! Takkan mahu mengaku memang tengah berangan. Jatuhlah sahamnya nanti.

“I nak balik ofis dulu, okey. Lunch time dah nak habis.”

Que sudah bangun. Ray melirik jam di pergelangan tangannya. Ray turut bangun.

“Nak I hantar?”

“Tak payahlah. I kan bawa motor sendiri tadi.”

“Kalau I hantar pun, apa salahnya. Motor tu, kan nanti boleh ambil.”

Que pandang Ray dengan pandangan pelik bercampur tanda tanya.

“Ni yang baik sangat, kenapa?”

“Salah, ke? Kan I ni bakal suami you jugak.”

Ada yang kena penampar Jepun karang!

“Ray!!! Empat puluh kali you cakap benda yang sama, jadi betul tau. Macam doa. Makbul nanti.”

“Ya? Kalau macam tu, I sebut empat puluh kalilah. Boleh jadi suami you betul-betul. Moga makbul doa.”

Ray sudah mengangkat kedua tangan dan dirapatkan. Tanda berdoa dan mengaminkannya. Namun, belum sempat meraup wajah, Que lebih pantas menepis tangannya. Wajah gadis itu keruh dan tegang.

“You ni mengada! Karang ada yang kena penampar Jepun I ni.”

“Alah, you ni... I gurau ajelah. Kerja sentap tak tentu pasal aje you ni. Tenanglah.”

“Macam mana I tak sentap. You ni buat I seriau.”

“Okeylah, sorry. I nak bergurau aje pun... Elok-elok bawak motor. Terus balik ofis, jangan singgah mana-mana. Kalau ada orang ngurat, jangan layan.”

Amboi! Ada pesanan penaja pula. Siapa bagi dia mandat? Hmm...

“Baik, bos!” jawab Que sambil membuat tabik hormat. Tanda akur dengan pesanan Ray itu. Saja melayan. Bukan luak apa pun, kan?

“Lagi satu, kirim salam kat bakal abang ipar you tu. Cakap kat dia, jangan marah kalau you lambat masuk ofis. Kalau dia marah jugak, kata you dating dengan adik dia.”

“Eh! Tak kuasalah nak cakap macam tu kat dia. Malas I. Abang you tu selalu sangat berangin.”

Ray menangkat kening.

So, tadi pagi kena sembur dengan dia, ke?”

“Tadi pagi tak jumpa dia. I keluar awal. Segan.”

“Segan? Kenapa pulak?”

“Apa punya soalan, ni? Mungkin you tak segan, tak malu. Lagipun, you lelaki. Tak ada hal. Tapi, I memang malu habis dengan abang you tu. Dia bos I, okey. Lepas tu, dia ‘tangkap’ I dengan adik dia sendiri. Mesti dia fikir I ni memang perempuan rosak akhlak. Tak tahu jaga diri. Minah rempit yang terlalu low class! Dahlah selama ni dia anggap I buang masa bercampur dengan budak motor. Dah jadi macam ni, lagilah super duper low class dia pandang I. Jatuh saham I. Malu, tahu tak?”

Ray mencarik senyum sedikit. Kata-kata Que ditelan pahit. Dia faham apa yang Que rasa bila dipandang rendah begitu. Tapi, dia tidak mampu berbuat apa-apa saat itu. Hanya mampu mendengar.

“Kita bukan buat apa. Allah tahu apa yang berlaku. Cukuplah.”

“Itu kita yang cakap. Dia? Keluarga you? Keluarga I? Tetap salahkan kita, kan? Lepas tu, abang you tu macam mogok dengan I. Langsung tak nak bercakap. Pandang I macam nak telan. Marahlah tu, kan? Staf dia buat hal dengan adik dia sendiri. Tak berangin ke namanya tu? Eh! Dia memang macam tu ke, Ray? Angin satu badan.”

Ray ketawa kecil. Mana tidak berangin. Apa yang dia hajati belum kesampaian. Cuba kalau impiannya jadi nyata. Mahu senyum sepanjang masa. Mahu mood itu elok saja, kan? Itu Que tidak tahu. Kalau tahu, senanglah hendak tunggang terbalikkan mood bosnya itu. Mahu haru-biru jadinya nanti. Mahu perang besar. Hai... Kalaulah Que tahu... Masak!

“Hei! Asyik berangan aje you ni! Apa kes?” sergah Que sambil menepuk bahu Ray.

Mamat seorang ini lah. Lagi tadi tidak habis-habis singai memanjang. Lepas itu, boleh pula buat aksi angan-angan Mat Jenin. Sambil singai, muka terngadah, mata menala tegak ke atas. Bukan berangan ke namanya itu?

“I tengah berangankan you.”

Pap! Sekali lagi bahu Ray ditepuk kuat. Pantas saja dia menggosok bahunya yang terasa perit. Isy! Perempuan ini memang tidak boleh diajak bergurau. Cepat betul tangan dia berjalan. Malanglah siapa jadi suami dia. Hmm...

“Layan you ni, sampai subuh pun tak habis. I gerak dululah. Lambat karang, mengamuk pulak abang you tu.”

Que terus mara menuju ke arah motornya. Makin lama di situ, dia yang sakit jiwa. Bukan jiwa saja. Limpa, pedal, hempedu, semua boleh sakit juga. Ray ini, masa mula-mula kenal dulu tidak adalah gila sangat perangainya. Elok saja. Rupa-rupanya, kuat menyakat. Sabar sajalah.

“Okey! Hati-hati, Que. Take care!” itu pesannya.

Que hanya tersenyum sebelum mengangguk perlahan. Dia sudah selesa duduk di atas motornya. Helmet disarung. Enjin dihidupkan. Sebelum bergerak, tangan dilambai ke arah Ray. Tanda pamitan. Ray membalas. Senyum seulas diberikan sebagai bekalan Que di jalanan. Que juga membalas. Visor diturunkan menutupi seluruh wajahnya. Sarung tangan dikemaskan. Sempurna segalanya. Doa tidak dilupa. Mohon agar diri sentiasa dilindungi. Dia terus membelah sesak jalan raya di waktu puncak tengah hari itu. Pejabat destinasinya.

Previous: (BAB 30)
Next: (BAB 32)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin