Home Novel Cinta CINTA KUASA TINGGI
(BAB 29)

BAB 29

“QUE ni dah kenapa? Dah gatal sangat nak berlaki, ke?” bebel papanya geram. Kedua tangan sudah bercekak di pinggang. Tanda marah yang amat sangat.

Que yang duduk di sofa kulit berwarna hitam pekat, sudah suakan wajah bosan. Bosan kerana kena leter. Mama yang duduk di sebelahnya, sudah tidak keruan. Kalau papa sudah naik angin macam itu, alamat ada perkara buruk akan berlaku. Kemarahan papa bagai tidak boleh ditahan-tahan jika melibatkan Que. Dari dulu lagi begitu. Papa cepat melenting jika ia perkara yang melibatkan Que. Kalau betul memang silapnya, tidak mengapalah juga. Ini, sudah terang lagi bersuluh dengan spotlight, memang hanya salah faham saja. Tapi, semua orang tidak mahu faham. Semua orang hanya nampak yang gelap. Itu yang pelik.

“Apa papa ni? Tuduh Que yang bukan-bukan. Que tak salah,” jawabnya malas tapi tegas. Dia duduk menyandar sambil jemari bermain dengan hujung lengan jaket kulitnya yang terdampar di ribaan.

“Tak salah? Habis tu, yang menggatal pergi rumah jantan tu, kenapa?” lengking papanya terus.

“Bang... Cakap elok-elok tak boleh, ke? Que ni, kan anak kita. Tak perlulah nak dibentak-bentak macam ini. Kita berbincang cara baiklah, bang. Malu kalau didengar jiran-jiran,” celah mama, mohon simpati papa.

Mana tidak risau. Sudah sekian lama Que tidak balik ke rumah itu tapi bila balik jadi riuh pula. Kalau riuh dengan gelak ketawa, seronoklah sikit. Ini, riuh dengan bersoal jawab, bertegang urat anak-beranak. Risau dia, andai Que terus lari nanti.

Along dan Uda, juga mengambil sikap berdiam diri. Menjadi pendengar dan pemerhati untuk minit-minit terawal ini. Selagi keadaan terkawal, mereka tidak perlu mencelah atau masuk campur percakapan papa dan Que. Jika salah cakap, mereka pula yang bertegang urat dengan papa nanti.

“Nak berbincang elok-elok macam mana lagi? Anak awak ni nak buat apa-apa, ada dia berbincang dengan kita? Ada? Kerja nak memalukan kita aje.”

“Kan Que dah cakap tadi, kawan dia nak mintak tolong. Bukan kami nak buat apa pun.”

“Que! Que sedar tak apa yang Que cakapkan ni?”

“Sedarlah... Que tak mabuk, pa.”

“Que, behave. Que bercakap dengan papa ni, sayang.” Along bersuara, mengingatkan.

Walaupun dia tidak setuju dengan cara papanya, dia cuba untuk memahami situasi tersebut. Dia cuba meletakkan dirinya di tempat papa. Apa perasaan dia jika anak perempuan kesayangan keluarga di tangkap sedang berdua-duaan dengan lelaki dalam keadaan yang mencurigakan. Papa ada hak untuk marah. Cuma, cara papa ini kurang sesuai jika ‘subjek’nya adalah Que. Dengan Que tidak boleh berkeras. Makin kusutlah jawabnya.

“Que behave lah ni, Long. Mana ada Que tinggikan suara. Papa tanya, Que jawablah. Macam papa tanya tadi, Que dalam sedar ni. Tak mimpi. Jalan pun elok, kan? Tak terhoyong-hayang,” jawabnya lantang.

Bukan niat melawan Along dan papa. Hanya mahu menegakkan kebenaran.

“Kalau sedar, kenapa tak boleh fikir elok-elok. Nak tolong orang, tak salah. Itu papa tahu. Tapi, yang salah, cara Que tu. Kenapa sampai pergi ke rumah dia? Tak ada tempat lain ke nak jumpa? Que tak fikir ke, apa akan jadi masa tu?”

“Pa, ni semua salah faham aje. Tak ada apa-apa yang berlaku, okey.”

“Tak ada apa yang berlaku? Salah faham aje, ya? Habis tu, kenapa sampai berpelukan, basah lokos dalam bilik air? Berdua-duaan pulak tu. Senonoh sangat ke apa yang Que buat tu?” selar papanya lagi.

Que buat muka bosan lagi. Kenapalah semua orang tidak mahu faham keadaannya? Penat betul mahu mengulang cerita tentang sesuatu yang orang lain tidak mahu mengerti.

“Dia jatuh. Que cuma nak tolong. Kenapa semua orang nak salahkan kami aje? Parents dia tu yang lebih-lebih. Saja nak panjangkan cerita. In fact, kami memang tak buat apa-apa pun. Dah nama pun jatuh dalam bilik air, tentulah basah. Macam mana lagi Que nak cakap untuk yakinkan semua orang yang kami tak salah.”

“Que nak salahkan parents dia pulak?”

No! Tapi, memang mereka yang lebih-lebih. Macam papa juga, asyik nak salahkan Que aje.”

“Takkan mereka nak buat cerita kalau mereka tak nampak apa yang berlaku.”

“Mata bukan saja untuk melihat, tapi untuk memerhati. Mereka melihat tanpa memerhati. Apa yang mereka nampak, tak seperti apa yang sebenarnya berlaku.”

“Papa tak percaya kalau mereka saja adakan cerita!”

Que menjongket bahu.

“Terpulanglah pada papa, sama ada nak percaya atau tidak. Que tak ada hak nak paksa papa untuk percaya cakap Que. Lagipun, selama ini, papa memang tak pernah nak percayakan Que pun. Apa yang Que buat, semua tak betul pada papa. Semua salah.”

“Que sengaja nak mencabar papa.”

“Cabar apanya, pa? Que cuma pertahankan diri Que aje. Salah ke, pa? Lagipun, papa lebih percaya cakap orang lain dari anak papa sendiri. Pada papa, apa yang mereka cakap semua betul. Que, salah. Lebih baik papa tukar Que ni jadi anak mereka dan anak mereka jadi anak papa. Kan senang!”

“Que!!!”

Que pandang papanya tunak. Hendak marah, marahlah. Apa dia kisah. Bukan tidak biasa kena marah dengan papa.

“Inilah padahnya berkawan dengan budak motor yang tak berakhlak tu. Kerja nak melawan cakap orang tua aje.”

Wah! Ini betul-betul buat Que panas. Panas hati. Apa kes hendak babitkan budak motor yang tiada kena mengena dengan ini cerita? Kes dia, langsung tidak ada tempias dengan mereka semua.

“Papa tak payahlah nak babitkan mereka dalam kes Que.”

“Tak betul ke apa yang papa cakap? Membela sangat kalau bercakap pasal kawan-kawan dia. Baik sangatlah tu! Sejak Que berkawan dengan mereka, Que pun jadi rosak!

Que bingkas bangun dari duduknya. Tegak berdiri memandang tajam pada papanya.

“Pa! Que rosak?” tanya Que sambil menunding jari ke mukanya sendiri. Kemudian dia menyambung. “Rosak apanya, pa? Part mana kat diri Que ni yang papa rasa rosak?”

Papanya mencerun memandang Que. Bergerak-gerak rahangnya berlaga kerana menahan marah.

“Tengok! Berani Que melawan cakap papa sebab nak bela budak-budak motor tu, kan?”

“Papa yang buat Que jadi macam ni. Bukan mereka, pa. Papa yang cabar Que sebenarnya. Papa yang nak Que rosak! Papa yang...”

Pang!!!

Belum pun habis Que meluahkan rasa, dia sudah dihadiahkan dengan sebuah tamparan. Anugerah paling bermakna kerana dia dianggap anak yang paling bermasalah. Anak yang sudah rosak akhlak. Masalah yang cari dia. Bukan dia yang cari masalah. Akhlaknya tetap terpelihara. Cuma, dengan papa saja dia bisa hilang kewarasan akal dan jadi sebegitu.

Mama sudah menangis melihat itu. Matanya tidak lepas dari memandang Que dan papanya. Tidak mampu menelah apa yang bakal berlaku seterusnya. Keadaan ini melelahkan dia. Meruntun jiwa. Jiwanya sakit melihat perbalahan antara anak dan papanya sejak sekian lama. Macam manalah dia tidak sakit. Jiwanya terdera dengan keadaan ini.

Pergh! Terasa pijar pipi kanannya. Que mengusap lembut pipinya yang terasa perit sambil perlahan-lahan melirik pandangan pada papanya.

“Papa tampar Que...”

“Itu habuan untuk anak yang tak dengar kata macam Que.”

Que mengangguk beberapa kali. Dia mendekat lebih rapat ke arah papanya. Pipi disuakan lebih dekat sambil jari telunjuk menunjuk ke arah pipinya beberapa kali.

“Tamparlah lagi, pa. Tampar. Kalau itu yang boleh membayar setiap kesalahan Que pada papa. Tampar Que sampai hati papa puas.”

Matanya dan mata papanya berlaga. Masing-masing merenung tajam di antara satu sama lain.

“Que, jangan macam ni, dik...”

Que menoleh ke arah Alongnya.

“Ini yang papa nak, Long. Papa kata, Que anak yang tak dengar kata, anak yang bermasalah, yang dah rosak. Kalau ini boleh puaskan hati papa, biarlah Long. Mungkin dah lama papa simpan niat nak tampar Que, kan? Dah lama... Sekarang ni, Que dah ada depan papa. Tamparlah, pa.”

Papanya sudah mengangkat tangan dengan wajah yang merona merah menahan marah. Sikap dan kelakuan Que yang semakin berani, membuatkan dia hilang sabar. Ringan saja tangannya melayang, tapi pantas di sambut oleh Uda sebelum sempat ia mendarat di pipi Que buat kesekian kalinya.

“Pa... Sudahlah. Biar Uda dengan Along yang bercakap dengan Que.”

Papanya menggenggam jemari erat. Bagai melepaskan marah begitu. Wajahnya merah padam kerana menahan marah.

“Kamu berdua manjakan sangat dia. Tengok, sekarang dengan papa langsung dia tak hormat. Nak melawan aje kerjanya,” marah papanya tanpa hala. Tempiasnya sudah terkena pada Along dan Uda.

“Pa, let me and Along talk to her,” pujuk Uda lagi. Lembut tuturnya.

Que mencebik.

“Tak payahlah Uda nak cakap apa-apa dengan Que. Jawapan Que tetap sama. Que tak salah. Jangan campur urusan Que.”

Pang!!!

Kali ini, memang tiada sesiapa sempat menahan. Sekali lagi pipinya menerima habuan tamparan papa. Lebih perit dari tadi. Hinggakan dia terduduk dibuatnya. Mama kelam kabut mendekat padanya dan memeluk Que erat. Que tidak berkutik. Tetap begitu. Merenung papanya tajam. Setitis air mata pun tidak tumpah. Dia keraskan hati melawan situasi itu.

“Dengan papa kamu kurang ajar. Dengan abang-abang kamu pun, kamu kurang ajar. Tak rosak ke namanya tu? Akhlak kamu dah rosak, Que. Ini ke yang kamu nak papa percaya yang kawan-kawan motor kamu tu baik-baik belaka? Ini ke, Que?” selar papa tanpa belas.

“Pa, Que tak maksud nak kurang ajar dengan kami. Dia cuma suarakan apa yang dia rasa. Dia tertekan, pa. Asyik kena tuduh yang bukan-bukan. Que tak macam yang papa sangkakan tu,” bela Along.

Sesungguhnya, kedua abangnya amat memahami dirinya. Mama juga. Hanya papa yang berkeras tidak mahu sedikit pun cuba memahami apa mahunya. Jadi, dia ikut perangai siapa? Perangai papa juga.

“Kamu manjakan sangat dia, Long. Esok, lusa dia buat perkara lebih besar dan memalukan kita, baru kamu percaya cakap papa ni.”

Que pantas memandang papanya. Sampai begitu sekalikah tanggapan buruk papa padanya selama ini? Papa tetap menganggap yang dia hanya pencetus masalah dalam keluarga. Papa labelkan dia sebagai anak yang bermasalah. Papa langsung tidak percayakan dirinya. Sampai begitu sekali, kah? Sampainya hati papa. Pada tidak sedikit pun memberi dia ruang untuk membuktikan yang dia tidak seperti apa yang disangka.

Apa salahnya jika papa cuba untuk memahami dirinya. Beri dia peluang untuk buktikan bahawa dia juga anak yang baik. Bukan anak bermasalah. Que tidak pernah mahu menentang papa. Tidak pernah. Tapi, apa yang papa lakukan hanya menambah jurang antara mereka. Papa yang meluaskan sempadan itu.

“Ini keputusan papa. Apa jadi sekalipun, Que kena kahwin dengan budak tu. Papa dah berbincang dengan keluarga budak tu. Mereka pun berkeras nak perkara ni disegerakan. Faham!”

Que yang baru hendak selesa duduk, terus bangun dari duduknya. Tindakan drastik. Semakin tunak dia merenung papanya, menghantar rasa tidak puas hatinya dengan cara begitu. Terlerai pelukan mama serta-merta. Abang-abangnya juga turut berdiri sepertinya. Terperajat dengan keputusan papa yang langsung tiada diplomasi. Keputusan membabi buta. Keputusan yang tidak sepatutnya papa buat dan setujui.

“Pa! Bila masa papa jumpa dan berbincang dengan mereka? Along tak tahu pun,” bantah Along.

Dia pun tidak setuju dengan tindakan papa. Tidak adil bagi Que. Ini soal masa depan adiknya. Jika perkara sebegini, dia mesti masuk campur.

“Papa bercakap dengan mereka melalui telefon. Itu yang mereka nak. Mereka orang berkedudukan. Kalau perkara ini tersebar, mereka malu. Kita pun malu. Jadi, elok kalau Que dan budak tu dinikahkan. Ada baiknya jugak. Senang bila Que dah ada suami. Biar suami dia pulak yang jaga dia. Mana tahu dia boleh berubah.”

Que renung papanya semakin tajam. Mudahnya papa membuat keputusan. Mudahnya papa melepaskan tanggungjawabnya begitu saja. Main serah Que pada seorang lelaki yang dia sendiri tidak kenali. Sekarang ini, Que ke papa yang kurang sedar? Papa buat keputusan tanpa usul periksa. Papa seperti mahu melepaskan diri dari tanggungjawabnya tanpa berfikir panjang. Sampainya hati papa... Sudah terbetik kesayuan di jiwanya saat itu. Tapi, dia cekalkan hati.

“Pa... Mana boleh macam ni. Kesianlah kat Que. Tak boleh ke kita semua, dua keluarga bincang elok-elok. Berjumpa dan selesaikan cara baik, pa. Mana boleh berbincang melalui telefon aje. Que bukan anak kucing, nak main serah macam tu aje, pa. Uda tak setuju,” tokok Uda melampiaskan rasa tidak puas hatinya pula.

Memang mereka banyak berdiam, tapi tak bermakna mereka setuju dengan tindakan papa. Papa keterlaluan. Melampau. Macamlah Que barang yang tidak bernilai, dibuat sesuaka hati begitu. Papa macam orang yang tiada perasaan.

“Kenapa tak boleh? Adik kamu nak buat perkara tak senonoh, ada dia fikir pasal kita? Pasal keluarga? Ada dia berbincang dulu dengan kita sebelum buat apa-apa? Ada? Tak ada, kan? Jadi, kenapa papa perlu berbincang dengan dia sebelum buat keputusan. Dia kena ikut cakap papa. Muktamad!”

“Bang, jangan buat macam ni pada anak kita. Kesian dia, bang. Mesti ada jalan lain nak selesaikan perkara ni.”

Mama sudah menangis hiba. Sedih kerana perbalahan papa dan anak semakin berpanjangan.

“Awak ni, tak habis-habis nak kesian kan dia. Fikir pasal perasaan dia. Dia, ada fikir pasal perasaan awak? Perasaan kita?”

Saat itu, Que langsung hilang kata-kata. Hatinya marah. Marah benar. Tapi, dia tidak mampu menyalurkan rasa marah itu secara terang-terangan lagi. Hanya Allah yang tahu hatinya saat itu. Terlalu remuk. Hancur. Berkecai jatuh berderai-derai bila mendengar keputusan papa yang langsung tidak meminta persetujuannya. Keputusan yang sangat tidak adil. Inikah tanda kasih papa padanya? Inikah bukti sayang papa pada satu-satunya anak perempuan yang dia ada? Ini, kah? Ini bukan sayang, tapi benci! Papa tidak sayangkan Que! Papa bencikan Que!


Previous: (BAB 28)
Next: (BAB 30)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin