LIYANA menanggalkan kain cadar
putih yang membaluti tubuhnya sejak tadi. Walaupun agak panas, dia bersyukur.
Setelah sekian lama, akhirnya di situ dia dapat juga menunaikan solat walaupun
tidak dalam keadaan yang sempurna.
Tuala yang dijadikan sejadah
dilipat semula. Dalam debar yang masih terasa, dia berdoa tanpa henti agar
kiblat yang dipilihnya mengikut kedudukan matahari itu betul. Dia juga berharap
agar solatnya tetap diterima dalam keadaan sebegitu. Sedang dia mengemas semula
kain cadar yang dijadikan telekung ala-kadar, pintu biliknya dibuka. Hampir
terhenti nafasnya apabila terlihat muka Zed di celah pintu.
“Buat apa?”
Dia menggeleng laju. Dia harap Zed
tidak tahu lalu dia berpura-pura mengemaskan katilnya.
Zed memerhati sikap Liyana dengan
teliti, kemudian dia berkata, “Kau nak turun ikut beranda tu? Turunlah. Biar
pecah kepala kau.”
Liyana menggeleng lagi. Dia tahu
yang Zed mengesyakki dia mahu turun ke bawah menggunakan cadar tetapi dia
sendiri tidak terfikirkan cadangan itu. Dia ngeri dan gayat. Lagipun dia belum
mahu mati. Jika dia mahu mati, dia tidak bertahan hingga ke hari itu.
“Ikut aku keluar,” kata Zed lagi
sebelum membuka semula pintu. Pintu itu kemudiannya dibiarkan sahaja terbuka
lebar.
Liyana hairan. Sejak dia dibawa ke
rumah itu, belum pernah dia dibenarkan keluar ke ruang tamu. Apa kenanya dengan
Zed hari ini?
“Mari makan.” Zed yang menunggu di
ruang tamu menunjukkan meja makan yang sudah dipenuhi makanan. Ada jambangan
bunga ros merah sekali di situ.
Mata Liyana membesar. Kini dia tahu
apa maknanya. Sudah setahun lagikah berlalu? Namun dia tetap patuh kepada
arahan Zed. Dia bergerak ke arah meja dan duduk tanpa disuruh.
Setelah Liyana duduk, Zed menarik
kerusinya lalu duduk dengan selesa. Dia buka bungkusan makanan Liyana.
“Hari ini kita makan Lamb Chop,” katanya sambil tersenyum.
Matanya tajam menyorot wajah Liyana.
Liyana tenang-tenang sahaja.
Seperti kebiasaannya, dia akan diberi makan tanpa sudu ataupun garfu, apatah
lagi pisau. Rasanya Zed mengambil langkah berjaga-jaga. Zed tidak pernah
percaya pada dia.
“Happy
Anniversary, Azreen.” Zed angkat botol air mineral
ke arahnya. Lalu meneguknya dengan laju. Bergerak-gerak halkumnya turun naik.
Azreen, bisik hati Liyana. Sampai
bilakah dia harus menjadi Azreen dalam hidup Zed? Setiap tahun, Zed pasti tidak
akan lupa meraikan ulang tahun perkahwinannya dengan Azreen dan dia terpaksamenggantikan
Azreen untuk saat itu.
“Bunga ros itu untuk kau. Kau suka,
kan?” Mata Zed terus bersinar-sinar. “Aku tak dapat celebrate anniversary kita malam ni, jadi aku mahu kita celebrate tengah hari ni, boleh? Malam
ni aku ada kerja.”
Liyana dengar sahaja. Dia bukan
Azreen. Dia tidak pernah kisah pasal ulang tahun perkahwinan Zed dan Azreen
atau sambutannya. Semuanya tidak ada makna langsung dalam hidupnya.
“Kau tak nak tanya apa kerja yang
aku buat?” Sambil makan Lamb Chop
dalam bekas makanannya, Zed terus cuba berbual.
Liyana menggeleng.
“Ini kawasan abang aku, Botak. Aku
kerja dengan dia, jaga kawasan dia. Tapi malam ni aku kena buat kacau di
kawasan orang lain pula. Botak nak ketua-ketua lain rasa takut pada dia.”
Liyana tidak mempedulikan cerita
Zed. Dia hanya meneruskan suapannya kerana dia tidak pasti bila lagi dia akan
diberi makan selepas itu. Cuma dia agak terkejut kerana inilah kali pertama dia
mendengar Zed menyebut perkataan ‘kerja’. Selama tiga tahun ke sana–sini dibawa
Zed, Zed langsung tidak pernah menyebut tentang perkara itu. Apa yang dia tahu
Zed sentiasa banyak duit dan kawan.
“Kau tengok ni.” Zed tunjukkan pula
lengannya yang berparut panjang. “Kena tetak malam tadi. Mujur tak luka dalam.”
Untuk sesaat dua, Liyana memandang.
Kemudian dia menyambung makan. Dia peduli apa jika Zed luka atau tercedera. Dia
cuma harap, jika Zed mati, dia tidak akan terus terkurung dalam bilik dan mati
kebuluran pula selepas itu. Itu sahaja doanya.
“Hey!!!” Zed hentak meja dengan
penumbuknya. “Kau dengar tak apa aku cakap?”
Liyana angguk. Hampir lagi dia
tercekik kerana terperanjat. Namun belum sempat dia mencapai botol air meneral,
Zed sudah bangun menolaknya sehingga dia jatuh ke lantai dengan kerusi yang
sedang didudukinya tadi. Dan belum sempat dia bangun, satu tendangan sudah
hinggap di tubuhnya. Dia senak seketika, tersembur makanan dalam mulutnya.
“Aku tak suka, kalau aku cakap kau
diam!!!”
Zed terus menarik lengannya
sehingga dia terbangun pula. Kemudian dagunya dicekak kuat sehingga terasa
tulang dagunya sakit.
“Kalau aku bercakap, kau mesti
layan!!!”
Tubuhnya didorong ke lantai hingga
dia tersungkur. Belum sempat, dia mengangkat tubuhnya, dia disepak lagi
beberapa kali. Dan akhirnya tubuhnya diheret masuk ke bilik tidur.
Akhir sekali yang dia dengar adalah
hempasan pintu bilik dan suara jeritan Zed di luar sana. Dia tidak ingat
apa-apa lagi selepas itu.
******
LIYANA tidak tahu berapa lama dia
pengsan di atas lantai. Sedar-sedar sahaja dia terasa amat sejuk sekali.
Apabila dia menjeling ke arah celahan langsir di pintu gelangsar, baharu dia
tahu yang hari masih siang walaupun mungkin sudah mula petang. Perlahan-lahan,
dihela tubuhnya naik ke atas tilam. Dia menarik selimut hingga ke leher.
“Kau nak lari ya? Kau nak lari?”
tanya Zed sambil menampar mukanya seminggu selepas dia diculik. Waktu itu dia
dibawa ke Labis dan tinggal di sebuah rumah sewa. Dia cuba melepaskan diri ikut
pintu belakang sayangnya dia dapat ditangkap oleh orang-orang yang diupah Zed
untuk mengawasinya.
Dia menggeleng.
“Kalau kau cuba lari lagi, bukan
kau yang akan mati tapi ini!” Zed tunjukkan dia gambar anaknya Aiman yang
sedang bermain di tepi pantai.
Dia hanya boleh menangis. Dia tidak
tahu apa tujuannya Zed menculiknya. Dia bukan sesiapa. Dia tahu suaminya tidak
ada duit berjuta untuk membayar tebusannya. Dia cuma seorang perempuan biasa. Seorang
isteri. Seorang ibu.
“Mulai sekarang, kau jangan sesekali
fikir nak cabut lari dari aku. Belum sempat kau sampai ke balai polis, anak kau
akan sampai ke rumah mayat dulu. Orang-orang aku akan sentiasa mengawasi anak
kau.”
Bulat matanya memandang wajah Zed.
Dia masih keliru.
Kemudian Zed ketawa berdekah-dekah
di hadapannya.
“Jangan takut… aku bukan nak bunuh
kau. Aku bukan nak potong telinga kau atau jari kau. Aku nak kau hidup… dengan
aku. Aku nak kau ikut saja ke mana aku pergi. Aku nak kau jadi milik aku.”
“Tapi… tapi aku tak kenal kau,”
balasnya sambil menggeleng.
“Kau memang tak kenal aku tapi
suami kau kenal. Sangat kenal.” Zed ketawa lagi.
Liyana mula faham. Semua yang
berlaku itu ada kena-mengena dengan suaminya, Adam. Tentunya ada kena-mengena
pula dengan tugas Adam selama ini. Dia buntu. Dia tidak nampak jalan bagaimana
mahu menyelesaikan hal ini kecuali dengan berdoa kepada Tuhan agar polis dapat menjejakki kehilangannya.
Sayangnya hari demi hari berlalu,
harapannya masih tinggal harapan. Dan dia disuakan dengan penderitaan demi
penderitaan. Sehinggalah penderitaannya pernah sampai ke kemuncak pada suatu
masa.
“Tolong aku… jangan tendang aku
lagi,” rayunya pada suatu malam apabila Zed balik ke rumah sewa dalam keadaan
marah. Darah sudah menyembur-nyembur keluar dari rahimnya, hingga membasahi
lantai. Kesakitan yang ditanggung sudah terasa seperti ke hujung nyawa.
Semangatnya untuk hidup hampir luput bersama gugurnya janin yang dikandung.
“Maafkan aku… aku tak tahu kau
mengandung,” kata Zed dua hari selepas itu.
Mujurlah dengan bantuan seorang
doktor, darahnya dapat dihentikan. Namun kesakitan yang ditanggung memakan masa
untuk hilang. Lebih-lebih lagi sakit di jiwanya. Pernah sesekali ajakan maut
datang menghampiri tetapi mujur imannya masih kuat. Dia takut mati sia-sia.
Hanya ingatannya kepada Tuhan menghalang dia dari berputus asa. Dia percaya
suatu hari nanti dia akan mati juga tetapi jika sudah sampai ajalnya dia tetap
mahu mati dalam keadaan beriman.
Sayangnya, Zed bersikap baik hanya
sementara. Dari Labis, mereka ke Nilai pula. Di sana Zed tetap akan memukul dia
apabila marah atau tidak puas hati tentang sesuatu.
“Kenapa kau tak lepaskan aku
sahaja?” Dia bertanya kepada Zed satu ketika dulu. Dia sudah bosan asyik
dipukul bantai.
Zed menggeleng.
“Sampai mati pun, aku takkan
lepaskan kau.”
“Tapi kenapa? Apa yang suami aku
dah buat pada kau hingga kau buat pula aku begini?”
“Kau nak tahu?” Zed bertanya.
Dia angguk. Dia ingin tahu sangat
apa salah Adam kepada Zed.
“Dia dah bunuh isteri aku, Azreen.
Dia dah buat hidup aku merana. Sekarang… aku nak dia pula merana setiap saat.
Baru adil, kan? Kan?” Zed terus ketawa dan ketawa.
Mulai saat itu, dia tahu yang Zed
benar-benar akan buat hidup dia, Adam dan Aiman merana. Dia juga tahu, tidak
guna jika dia cuba melarikan diri kerana keselamatan Aiman sentiasa diawasi Zed
walau dari jauh.
Dia cuma berharap agar Tuhan
mendengar doanya setiap hari dan malam. Dia tidak akan putus asa menanti saat di mana dia akan kembali semula ke
pangkuan keluarganya. Dia yakin masa itu akan tiba, jika bukan di dunia. Di
akhirat sana.
Dia kembali memejamkan matanya. Dia
harap kesakitannya hilang.