Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
38,531
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 7

DENGAN berat hati, Zed memaksa matanya terbuka. Bunyi panggilan yang masuk dari telefon bimbitnya mengembalikan dia dari alam mimpi ke alam nyata. Walaupun belum puas tidur setelah berlibur hingga ke pukul tiga pagi tapi bunyi telefon yang tidak henti-henti itu seperti memberitahu satu panggilan yang penting sedang masuk.

“Erm….” Itu sahaja katanya semasa menjawab panggilan. Matanya terpejam semula. Kedinginan bilik hotel itu seperti mengajaknya menyambung tidur yang belum cukup.

“Hari ni aku nak kau pergi ke pasar besar.” Botak terus memberikan arahan.

“Buat apa?” Dia sendiri sedar suaranya begitu berat dan lemau.

“Kau ingat Poyi? Kawan lama kau?”

Zed diam. Tidak sukar untuk dia memanggil semula ingatannya terhadap lelaki yang bernama Poyi. Kawan baiknya sejak di sekolah menengah. Namun dia tahu bukan sebab itu Botak menyebut semula nama Poyi pagi itu. Ada sebab lain.

“Aku dapat tahu dia dah balik ke Melaka. Buka gerai jual sayur di sana. Baru tiga bulan.”

“Apa yang kau nak aku buat?” Itu sahaja yang dia mahu tahu.

“Hutang tetap hutang. Aku mahu kau tuntut hutang dia pada aku yang sudah berkulat tu. Demi kau, aku tak minta satu sen pun bunga. Aku nak dia hanya bayar duit pokok. Dua puluh ribu.”

“Kenapa tak hantar saja orang kau pergi? Kenapa mesti aku?” Suara Zed mula meninggi, serentak dengan itu kepalanya berdenyut-denyut.

“Kerana dia pernah berjasa kepada kau, aku beri dia amaran terakhir. Kalau kau juga gagal, anak-anaknya akan jadi anak yatim,” balas Botak sebelum memutuskan panggilan.

Zed terus menyelak selimut.

*******

SUDAH hampir setengah jam, Zed berdiri di tepi sebatang tiang di dalam pasar besar. Sudah selama itu juga, dia memerhati Poyi dari jauh. Kesibukan Poyi melayan pembeli, membuatkan dia serba-salah untuk mendekati kawan lamanya itu. Tetapi dia juga tahu, Poyi harus diberikan amaran.

“Poyi,” tegurnya setelah mendekati lelaki itu.

Poyi yang sedang memulangkan duit baki kepada seorang wanita, tergamam. Untuk beberapa saat mereka saling memandang dan merenung.

“Apa khabar?” tanya Zed lagi. Dihulurkan tangan untuk bersalam.

“Zed?” Akhirnya Poyi bersuara dan tersenyum. Dia tarik tangan Zed, dia peluk tubuh Zed buat sesaat dua sebelum melepaskannya. “Lamanya tak jumpa kau.”

“Aku baru sampai sini minggu lepas.” Zed renung muka Poyi dari balik cermin mata hitam yang dipakai. Dari pandangan matanya, Poyi jauh lebih kurus daripada dahulu namun dia masih dapat mengecam wajah Poyi yang berparut panjang di dagu sebelah kanan naik ke telinga. “Eh! Jom naik atas. Pekena nasi gunting sepinggan dua.”

Pada mulanya Poyi seakan-akan berat hati. Dia pandang kiri-kanan.

Seakan-akan faham, Zed tepuk bahu Poyi lalu berkata, “Aku datang sorang.”

Air muka Poyi berubah. Ditinggalkan pesan kepada seorang wanita bertubuh kurus di situ. Dia ikut Zed naik ke tingkat dua bangunan pasar besar dan akhirnya mereka memilih sebuah meja kecil yang terletak di tepi tembok separas pinggang.

“Makan,” kata Zed. Dia letakkan sepinggan nasi gunting di hadapan Poyi. Dan sepinggan lagi nasi gunting di hadapan tempat duduknya. Tidak lama kemudian seorang budak lelaki menghampiri meja mereka bersama dua gelas teh ais.

“Aku dah makan tadi,” balas Poyi dengan wajah yang malu-malu.

“Tak apalah… bukan selalu kita dapat makan bersama.”

Poyi angguk namun dia masih tidak menyentuh nasi itu. Hanya air teh yang disedut berhati-hati.

“Aku masih belum cukup duit nak bayar abang kau, Zed,” katanya terus-terang. “Entah apa kenanya dengan hidup aku ni. Dah macam-macam bisnes aku cuba, semua lingkup. Dah banyak tempat aku cuba bina hidup baru, semuanya….” Dia mengeluh panjang sambil menggeleng keras.

“Kau mengambil langkah yang silap balik ke sini, Poyi,” kata Zed. “Kau tahu kan abang aku bagaimana? Walau hutang sehelai rambut pun, dia akan tuntut.”

“Kau nak tahu kenapa aku balik ke sini semula?” Poyi renung muka Zed tidak berkelip.

Zed angguk sambil mengunyah nasi gunting dalam mulutnya.

“Aku dah putus asa dengan hidup aku. Aku dah penat berpindah randah. Aku dah tak sanggup melihat isteri aku, anak-anak aku hidup seperti orang pelarian apabila dikejar along sana-sini. Sekarang, apa nak jadi pun, jadilah. Sekurang-kurangnya jika aku mati, aku mati di tempat aku sendiri.”

“Kau tahu apa maknanya kedatangan aku ke sini, kan?”

Poyi tidak menjawab.

“Kau dah bersedia untuk mati?” tanya Zed lagi sambil merenung muka Poyi.

Poyi masih diam.

Zed menghabiskan nasi gunting di atas pinggannya. Perutnya sudah terasa penuh. Lalu dia tersandar ke dada kerusi dengan tenang sambil mengetuk kotak rokok.

“Aku rasa sekarang masa yang sesuai untuk aku balas budi kau.”

Mata Poyi terkelip-kelip.

“Kau pernah selamatkan nyawa aku dulu. Parut di dagu kau tu, menjadi saksi.” Zed tersenyum nipis.

Dia teringat bagaimana Poyi menyelamatkan dia dari diserang sekumpulan lelaki, musuh abangnya semasa dia bersekolah dalam tingkatan empat. Disebabkan pada masa itu tubuh Poyi besar dan tinggi, Poyi mampu melindungi dirinya walau parah dipukul dengan besi dan helmet. Dia tidak akan melupakan saat itu sampai bila-bila.

Poyi ikut tersenyum. Malah itulah senyuman pertamanya sejak terlihat wajah Zed di situ.

“Jadi kau jangan risau pasal hutang tu.” Zed angguk. “Cuma aku kena datang, supaya abang aku tak syak apa-apa. Kau tahu, kan? Orang dia ada di mana-mana.”

Sebaik sahaja terdengar kata-kata Zed, mata Poyi bergenang. “Terima kasih, Zed. Terima kasih.”

Zed angguk lagi. Di merenung sahaja wajah Poyi yang sedang terharu tanpa berkata apa-apa.

“Tapi Zed, kau… kau kerja dengan abang kau ke?” tanya Poyi pula. Kali ini tiba giliran Zed pula untuk direnung.

“Aku belum buat keputusan tapi aku balik ni bukan sebab tu.”

“Sebab apa?” Dahi Poyi berkerut. Tajam matanya merenung wajah Zed seperti cuba mencari sendiri jawapannya.

“Adalah,” jawab Zed sebelum angkat punggung untuk membayar harga makanan mereka. Namun baru sahaja dia hendak berpaling, dia ternampak seseorang yang seakan dia kenal berjalan masuk menerusi pagar pasar besar.

Dia menerpa ke tepi tembok. Dadanya berdebar. Dia?

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.