Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,834
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 1

BAB 1

Sekarang…

KIRA-KIRA pukul 11.00 malam,Adam tiba di Melaka. Walaupun hampir setahun dia tidak menjengah negeri itu namun daripada pemerhatiannya jalan utama tidak banyak yang berubah. Dari arah Cheng dia memasuki kawasan bandar sambil matanya memerhatikan jika ada hotel-hotel kecil yang sesuai untuk ditumpangi semalam dua. Akhirnya dia berhenti di tepi sebatang jalan.

“Berapa ringgit?” ulangnya sekali lagi kepada gadis yang menjaga kaunter hotel itu. Harganya seperti munasabah.

“Rm 25.00 satu malam.” Gadis berkaca mata itu menjawab sambil terkelip-kelip. Selepas itu dia diam menanti keputusan Adam.

“Ada toilet?”

Gadis itu menggeleng.

“Mau yang ada toiletsekali, angkat single bed lah, ini macam katil saja dalam satu dorm.”Gadis itu menjawab dengan ramah, mungkin mahu menunjukkan betapa rasionalnya harga yang ditawarkan di hotel itu.

Single bed berapa harga?”

“Rm 85.00 saja. Boleh check in sekarang.” Gadis itu mengangguk. Kemudian dia menunggu lagi sambil merenung wajah Adam.

Adam termenung beberapa saat. Bunyinya memang menarik tetapi banyak faktor lain yang perlu difikirkan juga. Dia bukannya orang kaya.

“Tak apalah, biar saya fikir dulu. Kalau saya nak nanti saya datang ke sini lagi. Beri saya kad.” Dia meminta dengan baik. Serta-merta dia dihulurkan sekeping kad perniagaan hotel itu. Dia pun berlalu pergi.

Dari sebuah hotel ke sebuah hotel, dia singgah. Harganya tidak jauh berbeza. Dia termenung lagi di dalam kereta. Bukan dia tidak ada duit tetapi dia sentiasa beringat untuk berjimat cermat. Dia bukannya ada sumber pendapatan lagi buat masa itu, hanya mengharapkan duit simpanan yang sentiasa menyusut. Menyedari hal itu dia menghidupkan enjin keretanya. Tentu ada yang sesuai, kata hatinya.

Keretanya kini bergerak mengikut arus kenderaan. Dia tidak ada arah yang tertentu tetapi cuba mengelakkan diri dari masuk ke bandar. Dia percaya pasti banyak hotel-hotel murah di pinggir bandar itu. Matanya meliar memperhatikan deretan bangunan di kiri kanan jalan yang dilaluinya.

Hotel yang dikunjungi seterusnya, adalah bangunan yang agak terasing setinggi lima tingkat. Dihiasi pula dinding kaca berwarna gelap. Lobinya agak besar dengan hiasan barang-barang antik dari negara China. Sayangnya harga bilik yang ditawarkan masih tidak mampu diterima olehnya. Susah juga jika bukan orang kaya, keluhnya sendiri.

Sambil melayani fikirannya yang bingung, dia memandu menyusuri jalan itu semakin jauh ke dalam. Di suatu perhentian lampu isyarat, dia terpandang sebuah papan tanda rumah tumpangan yang terdapat di simpang sebelah kiri. Dia pun tidak berlengah lagi.

“Rm 40.00 satu malam. Bilik tak ada aircond tapi ada kipas,” terang seorang perempuan Cina yang berusia dalam lingkungan 40-an. Rambutnya kembang dan berkerinting. Hanya dia yang ada di kaunter pertanyaan rumah tumpangan di situ.

“Toilet?” Adam bertanya dengan suara yang kuat bagi menyaingi bunyi televisyen di belakang kaunter itu.

Wanita itu mengangguk.

Adam berasa sungguh lega. Soal lain dia tidak kisah sangat tetapi jika soal bilik air, dia tidak sanggup berkongsi dengan sembarangan orang. Dia mudah jijik, tandas awam pun dia selalu elakkan.

“Saya mahu satu malam dulu.” Hatinya kini lega. Akhirnya dia dapat juga tempat bermalam. Tempat untuk merebahkan badan dan melepaskan rasa penat setelah memandu seharian.

Wanita Cina itu menghulurkan buku daftar dan sebatang pena mata bulat berwarna hitam. Setelah pendaftaran dibuat, dia menyerahkan kunci, sehelai tuala dan sebuku sabun.

“Kalau awak mau air panas, boleh ambik sini,” katanya lagi sambil menunjukkan sebuah meja kecil di tepi kerusi rotan yang terdapat di ruang itu.

Adam memerhati sekeliling. Nampaknya ruang itu adalah tempat untuk segala-galanya. Di situ ada televisyen kecil untuk penyewa, ada satu set kerusi rotan berkusyen coklat dan sebuah peti ais kecil. Itulah lobi dan itulah ruang legar.

Adam menoleh sebentar ke arah yang ditunjukkan wanita tadi. Di meja kecil itu terdapat sebuah tarmos besar berwarna merah dengan penutup aluminium. Terdapat juga beberapa gelas putih jernih. Hatinya tidak tertarik sedikit pun dengan pelawaan itu. Akhirnya, dia menunjuk ke arah sederetan botol air mineral yang tersusun kemas di dalam peti ais di belakang kaunter.

“Beri saya air mineral tu sebotol.”

Setelah menjelaskan bayaran air mineral yang dibeli, Adam menyusuri sebuah lorong kecil di sisi kaunter. Di kiri kanan lorong kecil itu adalah deretan bilik-bilik yang berdinding plywood. Pintu-pintunya bertutup rapat. Adam perasan, setiap bilik mempunyai nombor yang saling bertentangan. Lantas, dia mencari nombor bilik yang ke 23.

Dia berjalan dan berjalan menyusuri lorong sempit itu. Sedar-sedar sahaja dia sudah sampai ke beranda yang dipenuhi oleh kain-kain yang bersidaian dan segala jenis barang. Di mana pula bilik ni? Dia resah sendiri dan apabila dia menoleh ke arah kanan beranda, baru dia perasan ada beberapa bilik yang dibina menghadap ke situ. Setelah diperiksa, bilik yang bernombor 23 terletak di hujung sekali.

Dia bersyukur.

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.