Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
38,528
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 2

BAB 2

SEMENTARA itu di tingkat 8 sebuah pangsapuri mewah di Pulau Melaka, dua orang lelaki sedang duduk berbual di beranda. Sambil duduk menghadap Selat Melaka, mereka berdua bercerita tentang masa kecil yang telah hampir luput dari ingatan. Sesekali mereka berdua ketawa, sesekali mereka berdua saling menyalahkan sehingga hampir tercetusnya pergaduhan.

“Sepatutnya kau dah lama balik sini,” kata Botak tanpa memandang adiknya. Matanya lurus melihat laut yang gelap gelita di hadapan pangsapuri itu.

Zed tidak terus membalas. Diteguknya air botol yang berperisa oren tanpa henti. Dia memang menjangkakan akan mendengar kata-kata itu lahir dari bibir abangnya tetapi ada sebab dia datang ke situ. Dia sudah bosan menjadi buruan.

“Berhentilah buat kerja tak guna tu. Zaman sekarang ni, orang hanya fikirkan pasal duit bukan pasal dendam. Lagipun perempuan boleh dibeli. Dan untuk kau abang boleh beri percuma. Cakap saja nak dari negara mana, bangsa apa, semuanya ada.” Botak ketawa sendiri.

“Kau mana faham?” balas Zed. “Kau bukan pernah bercinta.”

“Cinta? Ada apa pada cinta?” Botak ketawa besar bagaikan orang mabuk. “Cinta itu alasan budak-budak yang tak ada duit. Hulur cinta dapatlah perempuan yang boleh dibawa tidur. Tapi kita orang kaya. Kita tak pakai cinta, kita pakai duit. Pakai duit!”

Zed tidak membalas. Wajahnya tetap dingin dan beku seperti hatinya juga. Dia tidak peduli apa pendirian Botak pasal cinta, dia cuma percaya kepada pendiriannya sahaja.

“Aku perlukan tenaga kau, Zed. Kawasan aku sekarang makin luas. Aku perlukan orang yang aku percaya takkan menikam aku dari belakang.” Botak paut bahu Zed sambil memandang jauh ke Selat Melaka.

“Orang kanan kau bagaimana? Kau nak campakkan ke mana?”

“Ikut suka akulah nak campak ke mana pun. Yang pentingnya sekarang kau dah balik ke sini. Kau kena bantu aku.”

Zed menarik nafas sepenuh dada. Bukan itu tujuannya datang ke situ. Namun dia tahu Botak tidak akan melepaskan dia begitu sahaja. “Tengoklah nanti bagaimana. Kalau aku rajin, aku terima offer kau.”

Botak ketawa lagi.

“Susah nak percaya kita ni satu mak dan satu ayah. Kau berbeza betul dari aku. Tapi aku nak ajar kau satu perkara, dengan duit kau boleh beli mana-mana perempuan yang kau nak. Anak dara? Janda? Isteri orang? Kau cakap saja siapa yang kau nak, aku boleh dapatkan. Tapi kalau kau tak ada duit…” Botak menggelengkan kepala. “Yang percuma pun belum tentu kau dapat.”

Zed mengetap bibir. Apa pun yang Botak cakap tidak akan mengubah pendiriannya terhadap cinta. Baginya duit hanya boleh membeli tubuh badan tetapi bukan cinta sejati. Dia tahu sangat apa yang tidak pernah diketahui oleh orang seperti Botak yang selalu membeli cinta palsu menggunakan duit. Di situlah kesilapan Botak.

“Zed, aku serius nak kau bantu aku. Geng Naga Tongga sudah cuba buat kacau kebelakangan ini. Aku perlukan seseorang yang kuat untuk memimpin orang-orang aku.” Botak kembali serius.

“Aku dah lama tinggalkan itu semua. Aku dah lama tak berlawan,” balas Zed. Sekarang dia menghembus asap rokok pula sambil memandang bulan yang dilindungi tompokan awan.

“Kerana perempuan tu kau jadi baik?” Suara Botak meninggi semula. “Tapi kalau kau benar-benar sudah jadi baik, perempuan berambut pendek dalam bilik tu apa hal?”

Zed mengeluh. Pertanyaan Botak dibiarkan tidak berjawab.

“Aku tak mahu berdongeng panjang dengan kau lagi. Aku nak, besok kau datang ke tempat aku. Aku nak kenalkan kau pada orang-orang aku.” Botak meletakkan semula botol yang dipegang ke atas meja kecil di beranda itu. Dia tepuk bahu Zed dua kali sebelum beredar dari situ.

Zed terus termenung.

******

SEJAM selepas itu, Zed sudah berada di sebuah kedai mamak di Bandar Hilir. Dia baru selesai mengisi perut dengan dua keping roti canai dan kari ikan. Sambil menonton televisyen yang dipasang pada sudut di sebelah kiri kedai itu, dia menghabiskan sisa-sisa air teh. Kemudian, dia bangkit meninggalkan kedai itu bersama satu bungkusan yang mengandungi dua keping roti canai juga. Dia balik ke pangsapuri.

“Roti canai,” katanya kepada seorang perempuan yang asyik termenung di tepi pintu gelangsar. Apabila kata-katanya tidak dipedulikan, dia letakkan sahaja bungkusan itu di atas katil. “Aku pun makan roti canai juga tadi. Kari di kedai tu sedap, kau patut cuba.”

Namun usahanya untuk berbual dan mengendurkan suasana di situ seperti sia-sia. Perempuan itu masih termenung jauh seperti tiga tahun yang lalu. Masih tidak mahu bercakap, masih degil.

Dia hanya memerhati. Ada ketikanya, dia begitu hampa tetapi di hujung kehampaan itu timbul rasa marah. Dia tidak boleh putus asa dan mengalah. Dia mesti dapatkan apa yang menjadi miliknya. Miliknya.

“Makanlah.” Suaranya sedikit tegas. Dia mengeluh lalu duduk di atas kerusi kayu di tepi dinding berdekatan dengan pintu gelangsar itu. Sambil memerhati perempuan di hadapannya itu, dia mengeluarkan kotak rokoknya. Tidak lama kemudian sebatang rokok diselit ke celah bibir tanpa dinyalakan. Dia tahu Liyana tidak suka bau rokok.

“Besok kau tinggal sini. Tengah hari, aku akan cuba balik untuk hantarkan kau nasi. Kau jangan tak makan pula,” katanya lagi.

Kali ini kata-katanya menimbulkan reaksi. Liyana merenungnya pula.

“Kalau kau nak tahu berapa lama kita akan tinggal di sini, aku boleh kata mungkin selama-lamanya. Kau tentu suka, kan? Rumah kita di tepi laut. Hari-hari kau boleh tengok laut, tengok langit, tengok kapal…”

Tetapi belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Liyana tiba-tiba terjelepuk di atas tilam. Liyana menangis. Tubuh Liyana terhinggut-hinggut.

“Tolonglah lepaskan aku… lepaskan aku.” Suara Liana tenggelam timbul dalam esak tangisnya.

“Hei!” Zed bangkit berdiri apabila mendengar kata-kata Liyana. Rokok yang terselit di celah bibirnya dicampak ke lantai. Dia terus mendekati Liyana yang masih belum mengangkat muka.

“Jangan menangis,” katanya. Kepala Liyana disentuh lembut.

Liyana menggoyangkan kepalanya sehingga tangan Zed terjatuh. Dilarikan tubuhnya ke kepala katil. Dia terus menangis.

Melihatkan reaksi Liyana menjauhinya, Zed termenung seketika. Perempuan itu masih degil. Hati perempuan itu masih keras walau sudah pelbagai cara dia buat untuk melembutkannya. Dia rasa sangat tercabar.

“Aku kata diam! Diam!”

Dia menghayun penampar sekuat hati. Dua kali, tiga kali. Berkali-kali sehingga timbul rasa puas apabila Liyana berhenti berbunyi. Kemudian rambut Liyana dicekak dengan tangan kiri sekuat hati. Muka Liyana terdongak. Dia tampar sekali lagi sekuat yang dia mampu sehingga tubuh Liyana tersungkur ke atas tilam. Apabila Liyana terus terbaring di situ, dia tinggalkan katil perlahan-lahan.

Dia harap Liyana akan serik.

Previous: Bab 2
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.