Home Novelet Seram/Misteri GUNDIK UYANG
GUNDIK UYANG
Maria Kajiwa
7/1/2016 11:46:39
5,052
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 6

1748

Hutan Jeram Pinggir

CUACA lewat petang itu begitu redup. Matahari sudah hampir rebah di balik pohon-pohon hutan yang tinggi menjulang. Langit kian kelam dipayungi awan hitam. Namun gerombolan Tengku Wazir masih tidak berganjak dari tepi sebuah jeram.

“Nampak tak, Tengku?” bisik Sukma, ketua kepada para pengiring yang ikut berburu. Sama-sama memandang ke seberang jeram.

Mata Tengku Wazir tidak berkelip. Seekor pelanduk yang bermain-main di pinggir hutan menarik perhatiannya. Dia pun menarik anak panah dengan berhati-hati. Setelah cukup yakin, dia pun melepaskan anak panah itu tanpa teragak-agak lagi.

Pelanduk itu terus tumbang sebelum terkial-kial cuba bangun semula. Pengiring-pengiring Tengku Wazir pun bersorak riang lalu tergopoh-gapah berlari ke seberang jeram bagi mendapatkan pelanduk tadi. Ada yang rebah-rempah. Ada yang basah lencun.

“Tepat sekali, Tengku,” puji Tengku Syaiful seraya menepuk-nepuk bahu sepupunya.

Tengku Wazir ketawa kecil. Hilang sudah rasa penatnya seharian berburu tanpa apa-apa hasil di hutan itu. Walaupun sebelum itu mereka tidak pernah pulang dengan tangan kosong namun hari itu segalanya tidak berhasil, bagaikan ada malang yang menunggu.

“Sekurang-kurangnya kita tidak pulang dengan tangan kosong,” balas Tengku Wazir. Masih menanti di tempatnya untuk melihat pelanduk yang dipanah tadi.

“Hari pun sudah senja. Eloklah kita bergerak pulang sebelum laluan bertambah gelap.” Tengku Syaiful mendongak ke langit. Secara tiba-tiba sahaja, langit berubah gelap seakan-akan hujan lebat akan turun.

“Tengku! Tengku!” Sukma berlari semula ke seberang jeram. Wajahnya begitu cemas.

“Kenapa, Sukma?” Tengku Wazir bercekak pinggang. “Di mana pelanduknya?”

“Lebih baik ke sana dulu, Tengku,” balas Sukma.

Tengku Wazir dan Tengku Syaiful saling berpandangan. Hatinya sudah terasa tidak enak bak ada geruh yang menimpa.

“Marilah,” kata Tengku Syaiful.

Tengku Wazir langsung mengalah. Ajakan sepupunya itu dituruti. Tanpa banyak soal lagi, mereka berdua meraduk air hingga sampai ke seberang jeram. Setibanya di sana, Tengku Wazir segera mengikut pengiring-pengiringnya masuk ke dalam hutan. Namun, tidak lama kemudian Tengku Wazir terkejut besar. Berderau darahnya.

Tengku Syaiful juga begitu. Dia dan Tengku Wazir sekali lagi saling berpandangan tanpa sepatah kata.

“Kenapa dengan dia?”

Tengku Wazir berpeluh sejuk apabila melihat seorang gadis terbaring dalam keadaan berdarah. Sebatang anak panah miliknya tercucuk di perut gadis itu.

Sukma tidak terus menjawab, malahan menundukkan muka.

“Adakah dia masih hidup?” tanya Tengku Syaiful pula.

Sukma lantas memeriksa nafas gadis itu sebelum menjawab, “Masih hidup, Tengku. Tapi kalau lambat dirawat, gadis ini akan kehilangan lebih banyak darah.”

Tengku Wazir memerhati sekeliling. Hutan yang bertambah gelap membuatkan dia tidak dapat melihat apa-apa, meskipun sebuah denai.

“Cuba hantar orang kita memeriksa. Mungkin ada perkampungan berdekatan tempat ini.”

“Baik, Tengku.” Sukma terus mengatur orangnya untuk menggeledah hutan itu setakat yang terdaya.

Sementara itu Tengku Wazir memerhati gadis itu dengan lebih dekat. Dia terpegun. Gadis itu sungguh rupawan wajahnya. Pakaiannya juga tampak elok dan cantik terletak.

“Siapa agaknya dia?”

Tengku Shaiful menggeleng lemah.

“Tengku.” Setelah beberapa lama, Sukma berlari anak ke situ semula. Mukanya berpeluh-peluh.

“Bagaimana?” tanya Tengku Wazir.

“Kami tidak menemui sebarang tanda pun, Tengku. Lagipun seingat patik, di kawasan ini memang tidak ada yang tinggal,” jawab Sukma.

Tengku Wazir terdiam. Lama matanya merenung wajah gadis itu yang masih lagi tidak sedarkan diri.

“Kalau begitu, buatkan usungan. Bawa gadis ini balik ke istana dengan segera. Panggilkan pawang untuk merawat sehingga sembuh.” Tengku Wazir tidak ada pilihan. Dia tidak sampai hati melihat gadis itu mati di situ.

MENJELANGmalam, barulah rombongan Tengku Wazir sampai semula ke istana. Namun begitu, kepulangannya membawa seorang gadis yang rupawan menjadi inti bualan.

“Dari mana gerangan kanda mendapat gadis itu?” tanya Tengku Rani Baiduri, isteri Tengku Wazir.

Kepulangan suami yang ingin disambut dengan rasa gembira terus hambar jadinya. Entah kenapa sebaik sahaja terlihat wajah gadis itu, meresaplah api kemarahan di dadanya. Panas seluruh tubuhnya.

Tengku Wazir yang masih kepenatan; tidak menjawab.

Sebaik sahaja terpandang wajah Tengku Rani Baiduri yang masam mencuka, terbitlah rasa marah di jiwa. Apatah lagi apabila hal itu dipersoalkan. Terasa hak dan kekuasaannya dicabar.

Lantas, dia memutuskan untuk meninggalkan kamar peraduan dan pergi ke kamar gundik-gundiknya yang seramai dua puluh orang. Dipilih salah seorang untuk diajak menemaninya bermalam. Terasa lebih tenang jiwanya daripada menghadap wajah masam Tengku Rani Baiduri. Namun tatkala dia ingin melelapkan mata, hanya wajah gadis itu yang asyik terbayang-bayang. Tidak sabar hatinya menunggu siang.

“BAGAIMANA, tok pawang?” tanya Tengku Wazir pada keesokan harinya. Resah hatinya selagi gadis itu tidak membuka mata.

Pawang Taib termenung jauh. Sebagai Pawang Di Raja, inilah tugas paling aneh yang pernah dihadapi. Dia percaya gadis rupawan itu bukan sebarangan gadis. Akan tetapi hendak diluah, berat benar rasanya.

“Bagaimana keadaan gadis ini? Bolehkah dirawat? Apakah penawar yang diperlukan?” tambah Tengku Wazir. Sikap Pawang Taib hanya menambah amarah di dada. Dia hilang sabar.

“Pada renungan patik, mungkin sehari dua lagi gadis ini akan sedar, Tengku. Berilah masa untuk dia berehat. Dia akan sedar dengan sendirinya apabila masanya tiba.” Pawang Taib memberikan pandangan selembut mungkin.

Tengku Wazir terdiam seketika.

“Buat apa sahaja. Gadis ini mesti diselamatkan,” kata Tengku Wazir sebelum beredar pergi.

Pawang Taib mengangguk lesu. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu dengan tepat berapa lama lagi gadis itu akan sedar. Namun, daripada apa yang dilihat, dia yakin gadis itu akan terjaga tidak lama lagi. Lantaran, luka di perutnya sudah bertaut dan sembuh hanya dalam satu malam sahaja.

Dan tepat seperti yang diduga Pawang Taib, pada keesokan harinya, sewaktu matahari tenggelam di kaki langit, masuknya waktu senja yang suram; gadis itu membuka mata.

Tengku Wazir gembira tidak terperi. Tetapi Pawang Taib berasa susah hati.

SEPURNAMA telah berlalu. Gadis yang terkena anak panah Tengku Wazir itu pun sembuh dengan cepat. Uyang Candrakani namanya. Cantik rupawan tidak terperi namun amat jarang bersuara orangnya. Hanya dengan Tengku Wazir sahaja dia mahu berseloka. Dengan yang lain, diamlah dia seperti orang bisu sahaja.

“Dinda tidak ingat dari mana asalnya dinda,” jawabnya apabila Tengku Wazir bertanyakan kampung halaman.

“Dinda juga tidak ingat bagaimana dan kenapa dinda boleh berada di sana,” tambahnya lagi.

Tengku Wazir tersenyum tenang. Diusap lembut rambut Uyang yang ikal mayang. Sejak terpandang wajah Uyang, hanya wajah itulah yang terbayang-bayang. Sehingga segala rasa tidak senang. Maka diambilnya Uyang menjadi gundik. Diberikan tempat tinggal bersama gundik-gundiknya yang lain.

“Tidak mengapalah, dinda. Selagi dinda betah tinggal bersama kanda, kanda tidak berhalangan. Tinggallah di sini selama mana dinda mahu.”

Uyang tertunduk. Raut wajahnya perlahan-lahan berubah muram.

“Seandainya sungguh kanda mencintai dinda, dinda mohon untuk pergi dari sini.”

“Pergi?” Tengku Wazir tersentak. Terasa terbang melayang semangatnya.

“Dinda tidak berasal usul. Tidak elok duduk di istana tempat orang berada-ada. Apa yang manis pun terasa tawar di bibir orang. Yang cantik pun terpandang buruk.”

Untuk seketika Tengku Wazir kehilangan bicara. Dia tahuisterinya, Tengku Rani Baiduri tidak senang dengan kehadiran Uyang di situ sejak dahulu lagi. Ada sahaja rungutnya. Ada sahaja yang tidak kena pada Uyang Candrakani menurut jiwanya. Gundik-gundik yang lain juga begitu juga. Ada sahaja cerita dan hasutnya.

“Ke mana dinda hendak membawa diri? Hati kanda berbelah bahagi. Lain kisahnya andai dinda tahu di mana asalnya. Biar kanda sendiri yang menghantar sampai ke depan tangga,” katanya. Hati Tengku Wazir mula walang. Terbayang hidup tanpa Uyang bagailah tubuh tanpa bayang.

“Usahlah kanda bimbang, tahulah dinda membawa diri.”

“Kanda tidak benarkan. Sekiranya dinda tidak betah di sini, biarlah kanda bina sebuah istana untuk dinda.”

“Seandainya kanda kasihkan dinda, biarlah dinda pergi sendiri. Sudah ada tempat tinggal yang elok nanti, akan dinda hantar utusan memberitahu kanda. Dengan itu tidaklah menimbulkan iri di hati isteri mahupun gundik-gundik kanda yang lain.”

Tengku Wazir termenung lama. Cadangan Uyang Candrakani difikirkan secara saksama.

“Elok juga cadangan, dinda. Bawalah beberapa orang sebagai pengiring. Pergilah ke mana sahaja dalam negeri ini. Asal tidak dilupa akan janji kita.”

Oleh kerana hati Uyang Candrakani tidak dapat dipujuk lagi, Tengku Wazir terpaksa mengalah. Mungkin dengan itu, keadaan bertambah baik buat mereka berdua dan seisi istana. Tidak diketahui semua itu satu permulaan kepada kisah yang lebih pedih.

GENAP tiga purnama selepas itu, Sultan Sulaeman menitahkan Pawang Taib masuk menghadap. Bukan di balai rong seri seperti kebiasaan, sebaliknya di kamar peraduan.

“Tak boleh dibiarkan, tok pawang. Makin lama makin banyak kilahnya,” Sultan Sulaemanbertitah. “Anak isteri ditinggalkan, urusan negeri diabaikan.”

Wajah baginda sugul. Jauh menungannya teringatkan anakanda Tengku Mahkota, Tengku Wazir yang semakin lama semakin hilang pertimbangan. Duduknya tidak lagi di istana itu. Hal negara dikesampingkan. Hal keluarga dilupakan. Sebaliknya hanya bersenang-senang di Istana Pelambangan, jauh dari situ.

“Apa yang patik dapat lakukan, tuanku?” balas Pawang Taib. Sama muram. Hal itu bagaikan bengkak menanti pecah namun tidaklah berani berlunjur sebelum duduk.

“Utusan beta untuk memanggil anakanda pulang, tidak dihiraukan,” tambah Sultan Sulaeman. Wajah baginda begitu tegang. Terbayang di ruang mata wajah anakanda, Tengku Wazir yang sudah lama tidak ditatap rupanya.

“Dan berita yang sampai ke telinga beta, lebih menggusarkan. Tengku Mahkota sudah jauh berubah laku. Sejauh mana benarnya beta tidak tahu.”

Pawang Taib tidak berani mengangkat muka. Petang itu baginda begitu murka. Namun dia juga faham, tentu ada sebab lain kenapa dia yang dipanggil menghadap.

“Ada yang menyembah kata; Tengku Mahkota sudah hilang warasnya. Bagai diguna-guna. Sebab itu tidak ingat jalan pulang ke istana.”

Dahi Pawang Taib berkerut. Sungguhpun dia tahu lebih banyak daripada yang dititahkan oleh Sultan Sulaeman namun, biarlah tersalah kain jangan tersalah cakap. Tertarung kaki, boleh diinai. Tertarung hati, susah ubatnya.

“Pawang tolonglah telekkan. Kalau benar seperti yang dibicarakan orang, tok pawang usahakanlah sesuatu. Anakanda beta mesti dibawa pulang ke sini dengan apa pun cara.”

“Ampun, tuanku. Titah tuanku patik junjung,” balas Pawang Taib. Tidak dapat tidak, dialah yang akan menanggung; kerana jauh dalam hatinya yakin, tugas itu bukanlah mudah.

“Sekiranya tok pawang berjaya, beta hadiahkan tanah di hulu istana. Beritahu sahaja di mana tok pawang mahu memacak tanda. Seluas yang tok pawang hajatkan. Ke hulu, ukur-ukurkan. Ke hilir, panjang-panjangkan.”

Hati Pawang Taib semakin berbunga. Terbayang harta yang berganda-ganda.

“Izinkan patik pulang memulakan kerja. Sekiranya perlu patik sendiri akan ke Tangga Tujuh menjemput Tengku Mahkota,” sembah Pawang Taib dengan yakin.

SEPULANGNYAdi rumah dengan diiringi dua orang pembantu, isterinya Mak Melur menyambut di muka pintu. Namun Pawang Taib tidak membuka mulut walau sepatah kata; mahupun tersenyum memaniskan muka. Sebaliknya, terus bergegas masuk ke dalam rumah dan menuju ke sebuah bilik khas, tempat dia melakukan kerja.

Melihatkan gelagat suaminya, Mak Melur pun segera faham. Sekiranya begitu gelagatnya, maka fahamlah dia bahawa suaminya mempunyai kerja dan mahu mengasingkan diri. Apatah lagi suaminya baru pulang dari menghadap sultan, tentu ada titah yang dijunjung. Maka dia akur, lalu beredarlah dia masuk ke dapur menyediakan minuman buat suaminya.

Sementara itu, Pawang Taib sudah berada di bilik tempat dia selalu mengubatkan orang. Di situ tersedia sebuah dupa yang sentiasa dibiarkan berbara, sebuah dulang ayan putih, semangkuk air, tiga ulas buah limau, sepiring bunga pelbagai bau dan rupa, sebilah keris dan sebuah kerambit berbalut kain putih. Juga sebekas keminyan.

Mentera dibaca sambil menabur serbuk keminyan ke atas bara. Asap berkepul-kepul naik memenuhi bilik. Keris dicabut dari sarungnya, dipotong limau nipis dan dibiarkan jauh ke dalam mangkuk yang berisi air. Genap tiga kali hiris, air di dalam mangkuk membuak naik. Air yang jernih bertukar hitam.

Keris di tangan Pawang Taib tercampak ke tepi. Dia sendiri tersandar ke dinding sambil mengurut dada. Badan berpeluh dan matanya berpinar-pinar.

Fahamlah dia; nyawa Tengku Mahkota dalam bahaya. Dan apa yang disangkakan selama ini benar belaka. Uyang Candrakani bukanlah manusia.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.