Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,778
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 11

“JOM!Dah pukul 1.00 petang ni,” ajak Rafiq sebaik sahaja ternampak wajah Jeremy melalui pintu pejabat yang terbuka.

Dia terkejut juga, dalam banyak-banyak bilik di situ, cuma bilik Jeremy yang tidak menutup pintu. Mungkin Jeremy lemas, fikirnya. Maklumlah bilik itu lebih kecil daripada biliknya dan Jeremy bagaikan muat-muat sahaja di situ. Kalau dia pun, mungkin dia juga akan membiarkan pintunya terbuka supaya kurang rasa seperti ditempatkan di dalam kotak.

Jeremy tersentak. Dia kelam-kabut mengemaskan kerja-kerjanya dan mematikan komputer. Nampak sangat Jeremy seorang yang tekun bekerja sehingga tidak ingat waktu makan tetapi anehnya badan Jeremy tetap berisi macam belon juga. Setelah dia berpuas hati, baru dia tergesa-gesa meninggalkan mejanya.

“Kita makan asam pedas hari ni.” Dia menarik lengan Rafiq.

“Boleh. Saya makan tak kisah punya, janji halal,” jawab Rafiq.

Sebenarnya itu sahaja yang merisaukan dia sejak menerima ajakan Jeremy pagi tadi. Manalah tahu kalau Jeremy tidak mengambil berat soal itu.

“Jangan bimbanglah… ini kedai kan, Melayu punya. Asam pedas dia macam ni…” Jeremy acung tangan tanda bagus.

Rafiq ketawa sahaja sambil menepuk bahu Jeremy. Dia mula faham macam mana Jeremy boleh dapat badan sebesar itu.

“Okeylah, saya drive.

Kini mereka berdua berjalan menuruni tangga marmar yang lebar di sebelah kiri berdekatan dengan kaunter pertanyaan. Tiba-tiba Jeremy bersuara lantang.

“Johan!” Dia melambaikan tangan ke arah seorang lelaki bertubuh kecil yang baru masuk ke dalam bangunan itu.

Lelaki yang belum menanggalkan helmet dari kepalanya itu menoleh. Dengan wajah yang kehairanan, lelaki itu mendekati tangga dan menanti Jeremy dan Rafiq tiba di bawah.

“Inilah Johan, despatch boy kita.” Jeremy menoleh ke arah Rafiq.

Johan terkelip-kelip. Pandangan matanya berlari-lari di antara wajah Jeremy dan wajah Rafiq.

“Ada apa, Encik Jeremy?”

Jeremy mendekati Johan lalu memaut bahu lelaki itu dengan mesra. Kini mereka bertiga berjalan bersama hingga keluar dari bangunan itu. Di kaki lima, Jeremy berkata lagi.

“Ni, Encik Rafiq. Akauntan baru kita, dialah yang tinggal di rumah yang awak cari tu. Dia nak tanya sikit…”

“Rumah?” Johan berkerut dahi. Riak wajahnya yang pada mulanya tenang kini berubah keruh.

Serentak itu juga, Jeremy dan Rafiq mengangguk.

“Rumah Mak Minah.” Rafiq pandang muka Johan yang sedang keliru. Mungkin selain rumah itu, Johan juga bertanggungjawab mencarikan rumah sewa yang lain.

“Ooo… rumah Mak Minah. Kenapanya?” Johan bertanya balik, kini dia memandang wajah Rafiq pula.

Rafiq tunduk sebentar dan menghela nafas. Dia sendiri tidak pasti apa yang mahu ditanyakan kepada Johan. Mungkin sesuatu tentang Mak Minah?

“Mak Minah tu saudara awak ke?”

“Taklah.” Cepat-cepat Johan menggeleng.

“Habis tu dari mana awak tahu dia nak sewakan bilik? Tak ada pun dia letakkan papan tanda depan rumah dia tu.”

“Mak Minahlah yang cakap. Dah setahun bilik-bilik di rumah dia tu disewakan pada orang. Tapi… tak tahulah kenapa penyewa tak ada yang lama tinggal di situ. Encik Rafiq ada dengar apa-apa ke?”

“Dengar apa? Dengar suara Mak Minah memetir pagi-pagi tu adalah.” Rafiq ketawa kecil walaupun perasaannya mula kacau. Pertanyaan Johan itu sungguh tidak diduga.

Johan juga tersengih tetapi tidak lama.

“Manalah tahu, kalau-kalau Encik Rafiq pun terdengar suara…” Johan telan air liur.

“Suara apa?” Entah kenapa hatinya bergetar ketika menantikan jawapan daripada Johan.

Johan mula garu kepala. Helmet yang londeh di kepalanya terus dicabut. Kini wajahnya seakan sarat dengan persoalan dan bebanan yang ditanggung.

“Entahlah, saya tak pernah dengar. Mungkin sebab saya tak tinggal di situ. Tapi ada penyewa di situ dulu cakap, mereka selalu dengar budak kecil menyanyi dan kadang-kadang menangis di tengah malam.”

“Aiya, Johan… tentu ada budak menangis malam-malam. Itu biasalah,” sampuk Jeremy yang berdiri di tengah-tengah di antara Rafiq dan Johan. “Anak saya pun cukup suka nangis malam-malam. Banyak pening.” Jeremy geleng kepala beberapa kali.

“Bukan bunyi macam itulah, Encik Jeremy. Ini macam bunyi…” Johan terhenti lagi, dia mengangkat muka memandang wajah Rafiq seakan meminta kepastian.

Rafiq angkat bahu. Walau dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Johan, tetapi sukar sekali mulutnya untuk menyebut perkataan ‘hantu’. Terpulanglah kepada Johan untuk mentafsirkan apa pun.

Lagipun dia lebih mempercayai kata-kata Jeremy, mesti suara anak-anak jiran di sebelah-menyebelah rumah. Semasa di Perak dulu pun, dia selalu mendengar anak jirannya menangis di tengah malam. Kadangkala hingga ke pukul dua pagi. Cuma dia juga perasan, bunyi yang selalu didengarinya itu tidak serupa pula dengan suara tangisan anak-anak jirannya. Hisy!

Johan mengeluh, dahinya masih berkerut.

“Tak apalah, kalau Encik Rafiq okey dekat situ. Tapi kalau rasa apa-apa, cabut sajalah,” pesannya sebelum meminta diri.

Jeremy ketawa mendengar kata-kata Johan itu. Sambil menggeleng dia mengajak Rafiq meneruskan rancangan mereka tadi.

Rafiq hanya tersenyum tawar. Pesanan yang diberikan oleh Johan tadi makin membuat hatinya berdebar. Bagai terbayang-bayang rumah Mak Minah itu berubah bentuk menjadi makhluk hitam dengan empat tangan yang panjang. Lengkap pula dengan suara yang didengari sesekali itu. Hisy! Nak balik petang nanti pun, sudah cuak. Menyesal pula terjumpa Johan tadi.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.