Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,970
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 10

Bab 10

SEMENTARA itu, Adam baru meninggalkan biliknya bersama kamera digital dan buku hitamnya. Setelah memastikan biliknya terkunci rapi, dia melangkah dengan penuh harapan.

“Ingat tau, awak kena check out sebelum pukul 12.00,” tegur wanita Cina yang sedang menyapu dan mengemaskan ruang tamu itu. Kini ruang tamu rumah tumpangan itu kembali sunyi tanpa kelibat ‘wanita-wanita cantik’ seperti malam tadi. Semuanya sudah hilang.

“Okey, nanti saya datang balik ambil barang.” Adam melangkah menuruni tangga dengan tergesa-gesa. Dia sebenarnya belum pasti berapa lama lagi dia di situ. Jika cepat dia menemui Liyana, cepatlah dia meninggalkan tempat itu. Semuanya bergantung kepada hasil pencarian dia pagi ini. Memikirkan soal itu, hatinya mula bergetar.

Setibanya di bawah, perutnya terasa pedih. Dia tahu, jika tidak dilayan, gastriknya akan berulang lagi. Melihatkan ada sebuah warung kecil di tepi jalan masuk yang menuju ke situ, dia segera menyambung langkah ke situ.

Dia menarik sebuah kerusi plastik di tepi dinding papan. Dia duduk bersendirian sambil matanya memerhati ke sekeliling. Sewaktu dia tiba di situ malam tadi, warung itu sudah ditutup tetapi nampaknya pagi ini, warung itu begitu meriah dengan pelanggan. Hampir tidak ada kerusi kosong.

“Teh satu.” Dia membuat pesanan kepada pembancuh air di situ sambil menarik sebungkus nasi lemak.

Seusai makan, jam di tangannya sudah menunjukkan waktu 7.15 pagi. Dia bangkit untuk bergegas ke pasar besar pula. Namun jalan raya yang menuju ke Lebuh AMJ sesak teruk. Waktu masuk kerja dan persekolahan sesi pagi menyebabkan kenderaan bersesakan dari segenap arah. Terpaksalah dia menahan sabar mengikut arus kenderaan yang bergerak seumpama siput.

Semakin dekat dia ke tempat yang dituju, semakin sejuk rasa urat perutnya. Debar di dadanya makin kencang hingga nafasnya menjadi pendek. Mungkinkah saat-saat yang dinantikan itu sudah tiba? Mungkinkah hari itu dia akan bertemu semula dengan Liyana? Soalan itu berlegar-legar di fikirannya, menjadi tenaga yang mengujakan.

Keretanya menyusuri Jalan Melaka Sentral menuju ke Jalan Sentral dan membelok ke hadapan bangunan Pasaraya Mydin utuk mencari tempat parkir. Dari situ dia hanya berjalan kaki kerana bangunan Pasar Besar Melaka terletak bersebelahan tempat itu sahaja. Dia cuba melangkah dengan tenang, menyembunyikan degupan jantungnya yang semakin laju.

Kamera sudah tersedia di tangannya. Dari jauh, lagaknya tidak ubah seperti seorang pelancong. Hakikatnya, hanya Tuhan yang tahu. Dia berhenti berdekatan sebuah gerai menjual sayur-sayuran kampung di dalam pasar besar itu sambil memerhati ke arah tempat letak kereta di kiri kanan pintu utama pasar. Kereta semakin banyak yang datang, ruang parkir itu hampir penuh.

Dia bergerak pula dari hujung ke hujung pasar, namun kereta yang dicari masih belum nampak bayang. Dia berlegar pula di dalam pasar, mencari lokasi intipan yang paling sesuai. Dia yakin penculik itu kenal siapa dirinya, oleh itu dia tetap berwaspada walau dia terlalu ingin melihat semula wajah Liyana. Dia terlalu rindu.

Pukul 9.00 pagi. Pasar besar itu mula riuh rendah dengan suara-suara penjual dan pembeli. Teriakan dan panggilan mereka memenuhi suasana. Masing-masing cuba menarik perhatian pelanggan untuk membeli barangan mereka. Dia hanya memerhati dengan teliti jika Liyana dan lelaki yang dicari tiba-tiba muncul di situ tetapi hampa.

Pukul 10.30 pagi, kakinya mula terasa kebas. Dia beralih duduk di atas tangga untuk mengurangkan keletihannya namun anak matanya masih tidak lekang dari memerhati suasana di pasar besar itu. Namun setelah matahari mula meninggi dan penjual-penjual di situ juga sudah beransur pulang, Adam terpaksa menelan hakikat. Liyana tidak muncul pada hari itu.

Tanpa dia sedar, seorang lelaki berkulit cerah memerhati dia dari jauh.

*****

“SATU hari lagi,” kata Adam apabila tiba semula di kaunter pendaftaran rumah tumpangan. Kali ini wanita Cina yang menjaga kaunter itu telah tiada, tempatnya digantikan pula dengan seorang lelaki Cina yang lebih kurang sama baya dengan wanita itu.

Sambil membetulkan letak kaca matanya lelaki Cina itu bertanya.

“Bilik nombor 23, kan?” Suaranya agak tenggelam di sebalik lehernya yang agak besar dan pendek.

Adam angguk sambil menarik beg dompetnya. Beberapa helai duit kertas sepuluh ringgit, diletakkan di atas meja. Dia tahu, itu sahaja bahasa yang difahami di situ.

Melihatkan duit itu, buku daftar dihulurkan ke hadapan Adam bersama sebatang pena mata bulat berwarna biru.

Tanpa berlengah, Adam mengisi butir-butir dirinya sekali lagi. Setelah selesai, duit itu ditolak ke depan sedikit lalu diambil dengan cepat oleh lelaki Cina itu. Urusan selesai, Adam melangkah lemah ke biliknya sambil memikirkan langkah seterusnya.

Baru tengah hari. Hanya 20 minit melepasi angka 12 pada jam tangannya. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam. Selimut nipis merah muda berkotak-kotak yang mengalas bantalnya ditolak ke tepi. Dia termenung seketika, perasaan hampanya masih terasa-rasa.

Kenapa lelaki itu tidak muncul? Mungkinkah lelaki itu bukan lelaki yang sedang dicarinya? Mungkinkah Syamsul tersalah pandang? Keyakinannya mula goyah.

Dia mengeluh perlahan, bukan sekali dua perasaan itu dialaminya. Sudah banyak kali dia berkejar ke sana ke sini setiap kali mendapat maklumat mengenai Liyana. Dia tidak ada pilihan. Dia akan buat apa saja demi mengembalikan isterinya ke pangkuan dia dan anak mereka. Sedang dia leka berfikir, telefon bimbitnya berbunyi.

Waalaikumusssalam,” jawabnya laju sebaik sahaja si pemanggil menuturkan salam dari jauh.

Dia lantas bangkit duduk untuk bercakap dengan lebih selesa dengan si pemanggil iaitu Borhan, kawan baiknya yang sedang menjaga Aiman, anaknya di Kuantan. Borhanlah kawannya yang paling memahami dan banyak membantu dari segala segi. Dia sangat terhutang budi kepada Borhan dan keluarganya. Tanpa sokongan mereka, dia sudah lama kehilangan arah.

Sorrylah, aku tak tahu engkau nak singgah rumah.”

Adam ketawa kecil, ketawa yang hanya keluar di hujung bibir namun tidak ada langsung rasa sukanya. “Tak apalah, nanti aku balik aku singgahlah tengok Aiman.”

“Mak Yah pun telefon selepas kau pergi, kalau dia telefon awal, bolehlah aku balik cepat sikit.”

“Bukan salah Mak Yah, aku yang tak beri dia telefon kau,” jawab Adam dengan tenang. Dia tidak mahu Borhan menyalahkan Mak Yah, pembantu rumah Borhan yang sudah dianggap seperti ibunya juga. Di tangan orang tua itulah, anaknya Aiman dibesarkan di rumah Borhan.

“Macam mana?”

Adam menelan air liur. Dia terdiam seketika sebelum membalas sambil menahan nafas.

“Negatif.” Kini baru nafasnya menderu turun perlahan-lahan. Entah bilalah dia dapat memberikan jawapan yang lain.

Borhan menggumam seperti sedang berfikir keras. “Habis tu?”

“Aku nak cuba cari dua tiga hari lagi.” Kemudian Adam terdiam kerana tiba-tiba saja bibirnya menuturkan keputusan itu tanpa sempat dia berfikir panjang. Aneh pula rasanya.

“Kau tak perlu risaukan apa-apa, kau carilah di sana sampai puas.”

“Terima kasih, Borhan. Aiman… apa khabar?” Serentak itu perasaannya terasa sayu. Jauh di sudut hatinya terasa ngilu.

“Aiman! Mari sini, nak. Cakap dengan abah.” Terdengar suara Borhan memanggil Aiman.

Adam kehairanan. Darahnya berderau seketika. Dia sekadar bertanya, tidak sangka pula Aiman ada di situ. “Dia ikut kau ke pejabat ke?”

“Haah, pagi tadi asyik merengek nak ikut, aku bawalah ke sini sampai separuh hari.” Borhan ketawa kecil.

Tidak lama selepas itu terdengar suara kecil di telefonnya. “Abah!”

“Ya, Aiman. Aiman sihat?” Adam bertanya sambil menyeka air matanya yang bergenang. Rasa rindu yang bertakung sekian lama, akhirnya runtuh dek suara Aiman yang manja itu.

“Sihat,” jawab Aiman.

“Aiman dah makan?”

“Belum. Papa, kita makan KFC nak?” Aiman bercakap dengan Borhan pula yang dipanggil papa.

Adam tertunduk seketika, air matanya semakin laju menuruni pipi. Kata-kata Aiman itu membuat rasa hatinya tercalar semakin dalam. Sepatutnya sebagai bapa, kepada dialah Aiman harus meminta tapi apa dayanya?

“Cakaplah dengan abah tu.” Terdengar suara Borhan menegur sikap Aiman.

“Abah, bila nak balik?” tanya Aiman.

Adam mengurut dada. Soalan itu sungguh sukar untuk diterangkan kepada seorang kanak-kanak yang berusia empat tahun lebih. “Nanti bila kerja abah selesai, abah balik ya?”

“Nak lollipop tau,” tambah Aiman.

“Baiklah, nanti abah beli. Beri telefon pada Papa Borhan.” Dia tak sanggup lagi mendengar suara Aiman. Hatinya makin rindu. Ingin saja dia terbang balik ke Kuantan pada masa itu juga.

“Kalau ada apa-apa masalah dekat sana, cakaplah pada aku.” Suara Borhan kedengaran semula.

“Okey, setakat ni tak ada masalah.”

“Aiman sihat, tak payahlah engkau risaukan dia.”

Adam terdiam lagi. Dia sedar Borhan peka pada perasaannya saat itu tetapi sebagai ayah, sedikit sebanyak perasaan bersalah itu mengekorinya. Mana mungkin dia tidak susah hati apabila tanggungjawabnya diserahkan kepada orang lain.

“Cari Liyana, okey,” tambah Borhan lagi.

“Okey.” Itu sahaja jawapannya sebelum menyambut salam sekali lagi daripada Borhan. Panggilan itu berakhir di situ. Kamar kecil itu kembali menjadi sunyi.

Dia merenung telefon bimbitnya lama-lama. Suara Aiman masih terngiang-ngiang di telinganya. Suara yang menjadi azimat dan penguat semangat. Tunggu nak… abah akan bawa mak Aiman balik, rintih hatinya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.