Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,855
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 5

Bab 5

SEBAIK sahaja kakinya mencecah lantai rumah yang dilapisi jubin hijau pudar, tubuhnya diterpa tiupan angin yang sejuk. Dia tersentak seketika. Betul ke rumah ni? Seram semacam saja, detak hatinya. Tanpa dapat ditahan, anak matanya meliar memperhatikan rumah yang seolah-olah tidak pernah disentuh matahari. Segalanya nampak menyeramkan.

“Dari mana kamu tahu tentang rumah ni?” Meluru sahaja pertanyaan itu daripada bibir wanita bertubuh gempal tadi.

“Ada pekerja di Swenson Land yang beritahu.”

Wanita dalam lingkungan usia 50-an itu mengangguk sambil melemparkan kerlingan yang tajam. Dia duduk di atas sebuah sofa fabrik yang hampir kehitaman ataupun nampak hitam kerana ruang di situ agak gelap. Langsir pun tidak dibuka, hanya mengharapkan cahaya yang masuk melalui pintu hadapan dan dari celah-celah dinding rumah itu.

“Sewanya seratus ringgit sebulan. Ada katil dan almari. Bilik air di luar, kongsi dengan penyewa lain. Tempat sidai baju di belakang,” kata wanita itu lagi.

Rafiq pula yang mengangguk. Entah kenapa, jarinya cepat sahaja menyeluk poket dan mengeluarkan sekeping wang kertas seratus ringgit. Duit itu dihulurkan kepada wanita itu yang tidak memandangnya lagi.

“Kamu juga kena bayar duit air dan api, lima puluh ringgit,” sambung wanita itu lagi sambil mengambil wang yang dihulurkan Rafiq.

Rafiq tidak membantah. Dia mengambil beg dompetnya lalu mengeluarkan sekeping wang kertas lima puluh pula. Duit itu juga diserahkan tanpa sebarang kata. Entah kenapa dia berasa tidak betah berada di hadapan wanita itu, dia hanya mahu naik ke biliknya secepat mungkin.

“Panggil aku Mak Minah. Di rumah ni aku tinggal dengan anak aku, Usop. Kau bawa banyak barang ke?”

Rafiq terus menggeleng.

“Baju dengan barang-barang penting saja.” Dia menjawab tanpa ingin mengatakan bahawa kehadirannya di situ hanyalah sementara. Pada pandangannya, Mak Minah bukanlah seorang yang mudah mesra seperti Jeremy tadi.

Mak Minah merenung tajam ke arah Rafiq. “Jangan bawa kawan-kawan atau perempuan ke sini. Nanti dengan engkau, engkau sekali aku halau keluar.”

Rafiq terkulat-kulat, kulit mukanya mula naik panas. Kini terbit pula rasa kesal di hatinya. Kenapalah dia cepat sangat menyerahkan duit sewa tadi? Keluhnya di dalam hati. Namun, seratus lima puluh ringgit sudah dibayar, dia tidak mungkin membiarkannya sahaja. Mungkin Mak Minah bersikap curiga kerana masih baru bertemu dengannya, pujuk hatinya sendiri. Lalu dia angguk sebagai tanda faham dan patuh pada amaran itu. “Kunci bilik, Mak Minah?”

Mak Minah bangun dari sofa. Perlahan-lahan dia menghayun tubuh gempalnya menuju ke tepi dinding di mana tersangkutnya sebuah tanduk rusa bercabang dua. Dia mengambil segugus kunci yang tersangkut di situ.

“Ni kunci bilik, kunci pintu depan dan kunci pagar depan.” Kunci-kunci itu diserahkan ke tangan Rafiq.

“Saya naik ke atas dulu, Mak Minah.” Rafiq pandang wajah orang tua itu sebagai meminta keizinan.

Mak Minah berpaling dan tangannya menunjuk ke arah sebuah tangga kayu di sebelah kiri rumah itu.

Rafiq tidak menunggu lagi.

*****

SATU demi satu anak tangga dipijaknya. Semakin tinggi, semakin gelap ruang itu. Namun di dalam kesuraman itu, anak matanya ternampak sebuah suis di tepi dinding. Dia lantas memetiknya. Ruang itu pun disinari cahaya yang terpancar daripada sebuah mentol bulat yang tergantung tepat di atas kepalanya. Hatinya lebih lega, sesungguhnya dia tidak suka kepada keadaan yang gelap. Dia rasa tidak selamat dan waswas.

Di tingkat dua terdapat empat buah pintu. Di sebelah kiri tangga ada sederet tiga pintu yang bertutup dan yang bertentangan pula ada sebuah. Setiap pintu pula tidak ada nombor atau sebarang tanda. Dia cuba membuka pintu bilik pertama, berdekatan dengan tangga. Malangnya pintu itu gagal dibuka.

Dia mencuba pula pintu bilik yang kedua. Klik! Pintunya terbuka dan dia hanya menjenguk sebentar ke dalamnya sebelum membuka pintu bilik yang ketiga. Bilik ketiga itu rupa-rupanya sebuah bilik air yang mempunyai sebuah sinki, tandas dan sebuah kolah batu. Tidak ada apa-apa yang menarik di situ kecuali bilik air itu bersepah dengan bekas ubat gigi yang kosong dan baki-baki sabun mandi. Dia hanya menggeleng.

Dia cuba pula membuka pintu bilik ke empat tetapi juga gagal. Kini dia sudah berasa puas hati dan yakin bahawa setiap bilik di situ mempunyai kunci yang berbeza. Dia cuma mahu berhati-hati.

Biliknya sederhana besar, lebih kurang 12 kaki kali 12 kaki persegi. Ada sebuah katil bujang dan almari kayu yang diletak di tepi dinding. Selain itu, bilik itu mempunyai sebuah tingkap dan sebuah kipas dan dua buah lampu kalimantang. Setelah dia membuka tingkap biliknya, dia termenung di situ. Permandangannya sungguh menjemukan, macam tinggal di dalam penjara pokok sukun.

Semasa dia turun semula ke bawah untuk mengambil keretanya yang masih terletak di tepi pagar, dia terserempak dengan seorang pemuda berwajah cengkung di muka pintu. Inilah anak Mak Minah yang bernama Usop tu, fikirnya. Dia tersenyum.

“Anak Mak Minah ya?” Dia menghulurkan salam.

Pemuda itu hanya tersengih. Huluran salam itu disambut dengan gaya yang serba kekok.

“Abang nak masukkan kereta. Boleh, kan?”

Usop mengangguk perlahan.

Rafiq tidak menunggu lama. Dia menyarung kasutnya semula dan menuju ke pagar. Dalam kepalanya masih lagi memikirkan situasi rumah itu yang jauh berbeza daripada rumahnya di Perak. Tiba-tiba ada perasaan sayu dan rindu menyelubungi jiwanya. Dia terbayang ibunya yang rajin berkemas dan ayahnya yang rajin menanam pokok bunga. Mungkinkah ini satu dugaan?

*****

WAKTU sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Beg-beg pakaiannya masih tegak di tepi dinding. Kotak-kotak yang dibawanya juga masih tidak terusik. Cuma katil sahaja yang sudah siap dipasangkan cadar dan bantalnya sudah bersarung elok. Rafiq berbaring di atas tilam sambil termenung sendiri. Tiba-tiba telefonnya berbunyi.

“Macam mana, dekat sana? Fiq, dah dapat tempat tinggal?” Suara ibunya menerpa ke telinganya sebaik sahaja dia selesai menyahut salam daripada ibunya tadi.

Dia membetulkan posisi tubuhnya lalu duduk bersandar pada kepala katil. Sambil menggaru kepalanya, dia menjawab. “Dah dapat dah. Kawan tolong carikan.”

“Fiq sewa bilik ke sewa rumah?”

“Bilik tapi duduk sorang-sorang saja,” balasnya cepat.

“Baguslah tu. Duduk situ baik-baik. Kalau ada apa-apa masalah, telefon ke rumah.”

Rafiq tersenyum sendiri mendengar peringatan yang diberikan itu. Walau sudah berusia hampir 26 tahun pun, ibunya tetap mahu mengulangi perkara yang sama setiap kali dia bermalam jauh daripada keluarga.

“Yalah, mak. Abah dah tidur ke?”

“Belum, dia suruh mak telefon kalau mak risau.”

“Jangan risaulah, mak. Fiq dah ada tempat tinggal yang elok dekat sini,” balasnya sambil tersenyum tawar. Seperti ada rasa menipu dirinya sendiri tetapi juga ada rasa mahu menafikannya. Ada bilik, ada katil dan ada bilik air, apa lagi yang dia perlukan?

“Eloklah kalau macam tu,” balas ibunya pula.

“Esok saya mula masuk kerja.” Rafiq memesongkan rasa risau ibunya ke arah lain. Kerana dia faham sangat sikap ibunya, tentu ibunya tidak boleh tidur selagi belum dapat memastikan dia selamat di bumi Melaka ini. Dia tidak marah, dia tahu ibunya sayang padanya dan sebagai anak dia berasa amat disayangi.

“Kerja baik-baik. Tidur awal sikit.”

Setelah perbualan mereka berdua tamat, Rafiq bangkit dari katil dan menuju ke arah tingkap yang masih dibiarkan terbuka sejak tadi. Dia termenung di situ sambil memikirkan apa yang akan berlaku di tempat kerja barunya esok. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi suara yang halus.

Xiao lau shu, shang deng tai,tou chi you, xia bu lai, miao, miao, miao, mao lai le, ji li ku lu, kun xiao lai.”

Kemudian suara itu berhenti. Dan tidak lama kemudian dia terdengar bunyi tangisan yang hiba dan panjang.

Dahinya berkerut. Tubuhnya terasa seram sejuk. Dengan sepantas yang boleh, dia menarik daun tingkap.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.