Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT - HOTEL TEPI HIGHWAY
KISAH SERAM MALAM JUMAAT - HOTEL TEPI HIGHWAY
Maria Kajiwa
26/5/2016 20:18:40
4,872
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

SEJURUS tiba di bilik, Mardiah terus melemparkan kunci ke atas meja solek. Telefon dan beg tangan juga diletakkan sahaja di situ. Tidak ada apa yang diinginkan selain melelapkan mata seketika. Setelah memandu sebegitu jauh, tenaganya terasa tidak lagi bersisa. Sayangnya, baru sahaja mimpi ingin bermula; tidurnya terganggu.

Mata Mardiah terus sahaja terbuka lebar. Pandangan matanya tertumpu ke arah siling di atas kepala. Tubuhnya kaku namun telinganya masih dapat menangkap bunyi jatuhan air di bilik mandi. Sesekali terdengar juga bunyi gayung menghentam dinding kolah.

Nafasnya tertahan. Dahinya berkerut.

Siapa pula yang sedang mandi? Sewaktu dia tiba tadi, dia yakin bilik itu kosong. Bahkan tidak kelihatan apa-apa barang di situ. Tidak ada beg pakaian, mahupun pakaian. Lagipun rasanya mustahil pekerja di bahagian pendaftaran memberikan dia bilik yang dihuni orang lain. Sedang ligat berfikir, pintu bilik air terbuka.

Mardiah terlompat duduk. Sekiranya mahu keluar dari bilik itu pun, dia terpaksa melalui bilik mandi yang terletak di tepi pintu masuk. Tidak sedar dia meromok di sudut katil; menanti apa sahaja yang bakal berlaku. Namun apa yang berlaku selepas itu bukanlah seperti apa yang dijangka

Pintu bilik air sudah lama terbuka.Tetapi tidak ada sesiapa yang keluar dari situ. Bagaimanapun Mardiah dapat mendengar bunyi tapak kaki yang basah berlegar-legar di sekitar bilik lantaran bilik itu hanya dialas dengan jubin berwarna merah terracota. Tidak lama kemudian pintu almari pula terbuka dengan sendirinya. Belum sempat menjerit, katilnya pula bergegar.

Tilam melendut bagaikan menampung sesuatu yang berat. Dia terdengar pula bunyi seseorang mengeluh keletihan.

Tanpa berlengah lagi, dia melompat turun dari katil dan berlari membuka pintu.

******

TANPA menoleh ke belakang, dia berlari dan berlari meninggalkan bilik. Satu demi satu pintu bilik dilewati. Semuanya nampak sama. Dia kehilangan arah. Koridor seolah-olah menjadi sangat panjang.

Bukan ke aku dah jumpa nombor bilik ni tadi? Kenapa jumpa lagi? Kepalanya makin pening. Dia seolah-olah berpusing-pusing di tempat yang sama beberapa kali sehingga keletihan. Akhirnya dia terduduk di lantai. Ketika itulah dia ternampak tangga yang dicari. Jauh di hujung koridor.

Dia menerpa lalu berlari turun ke tingkat bawah.

“Puan,” tegur seorang pemuda yang berdiri di tepi kaunter. Dia sedang menulis sesuatu sewaktu ternampak Mardiah meluru ke bawah.

Mardiah menghela nafas lega apabila ternampak Din di kaunter.

“Kenapa, puan?”

Mardiah mengangkat muka memandang Din. Daripada riak wajah pemuda itu yang begitu tenang, dia menjadi serba-salah pula untuk bercerita. Lalu dia hanya mendiamkan diri sambil menyusun nafasnya semula.

“Puan ada masalah ke? Apa masalahnya, puan? Boleh kami bantu?” Din bertanya dengan teratur.

Mardiah masih kelu. Memang dia ingin mengadu perihal apa yang baru berlaku di biliknya tetapi pada saat itu dia kehilangan kata-kata yang mampu disusun. Mungkinkah semua itu hanya illusi?

Melihatkan keadaan Mardiah yang serba kepayahan begitu, Din mencadangkan sesuatu; “Apa kata kalau puan minum susu di kafe kami? Sekejap, saya panggilkan Kak Yam.”

Sehabis berkata-kata, Din berjalan ke arah sebuah bilik lalu mengetuk pintu sebelum membukanya. Dia menjengulkan kepala lalu bercakap dengan seseorang. Kemudian dia menoleh ke arah Mardiah semula lalu berkata, “Saya dah minta Kak Yam buatkan susu untuk puan.”

Mardiah tidak tahu apa yang patut dikatakan. Walaupun dia bukanlah penggemar susu namun untuk naik ke biliknya semula; dia belum berani. Sedang dia termenung, seorang perempuan menghampirinya. Orangnya cantik manis dan bertahi lalat di hujung bibir. Itulah orang ketiga yang ditemui di hotel itu sejak tiba di situ.

“Marilah, puan,” katanya dengan lembut.

Tanpa membantah, Mardiah ikut sahaja perempuan berkebaya kain kasa itu ke sebelah kiri hotel. Sekurang-kurangnya dia sudah berteman.

*****

RUANG yang gelap gelita tadi, kini bersimbah cahaya. Walaupun tidak begitu terang namun cukup untuk Mardiah melihat keadaan di situ. Kafe itu sungguh kemas, bersih dan mempunyai susunatur yang menarik, tidak ubah seperti sebuah restoran zaman 60-an. Lantainya bercorak papan catur, kerusi kayu dengan meja bulat beralas marmar putih. Pada dinding yang dilapik kertas berbunga-bunga kecil pula dipaparkan gambar-gambar hitam putih besar dan kecil. Kini Mardiah berasa lebih tenang.

“Duduklah, puan.” Kak Yam tersenyum mengajak. Dia menarik sebuah kerusi kayu untuk Mardiah. “Puan tunggu sebentar ya? Saya mahu panaskan susu.”

“Er… tak payah. Kalau ada air sejuk pun dah cukup,” kata Mardiah. Setelah punggungnya mencecah kerusi barulah dia rasa lebih berani bersuara.

Senyuman di wajah Kak Yam mendadak pudar tetapi dia tidak berkeras.

“Baiklah, tunggu sebentar.”

Sementara menanti Kak Yam mengambilkan dia air sejuk, Mardiah membetulkan baju sejuk yang dipakai. Walaupun berada di dalam kafe yang tertutup namun tubuhnya kesejukan bagai dielus angin pagi yang bertiup entah dari mana; seolah-olah dia berada di tempat yang terbuka.

Krekkk!!!

Bahu Mardiah terangkat. Bunyi itu membuatkan dia menoleh ke arah kiri. Kelihatan pintu kafe itu terbuka; kemudian tertutup. Terbuka semula, kemudian tertutup lagi; berulang kali sebelum akhirnya tertutup terus. Di tengah ruang pula kerusi bergerak-gerak bagaikan ditarik orang, meja juga bergerak sedikit. Kedengaran suara-suara orang bercakap namun agak sayup-sayup.

Mendengarkan perbualan yang datang entah dari mana, bulu roma Mardiah mula meremang semula. Lehernya terasa sejuk dan kaku. Dia ingin memanggil Kak Yam tetapi lidahnya kelu. Dia ingin lari tetapi kakinya bagai dipaku. Akhirnya dia terus di situ sambil telinganya diasak oleh suara-suara orang yang berbual entah apa. Sesekali dia melihat kerusi ditarik dan ditolak, meja bergegar dan ketawa yang berderai-derai.

Makin lama perasaannya makin sebu. Dia menggeletar ketakutan.

****

“INI air, puan.”

Mardiah yang terketar-ketar tadi terus terjerit dan bangun memeluk Kak Yam. Di bahu wanita itu dia cuba menenangkan hatinya yang berdebar kencang.

“Bertenang, puan. Cuma ada kita saja di sini,” kata Kak Yam lagi sambil menepuk bahu Mardiah.

“Tapi, Kak Yam. Tadi saya… saya…” Dia tidak tahu bagaimana harus menerangkan apa yang dilihat dan apa yang didengar. Sesungguhnya dia tidak mempunyai apa-apa bukti. Apatah lagi apabila dia menoleh semula ke arah meja yang menakutkannya tadi, semuanya sudah kembali kemas seperti tidak pernah pun terusik.

“Kak Yam tahu… Kak Yam tahu.” Kak Yam tarik bahu Mardiah lalu mengajaknya duduk semula di kerusi. “Puan minum sikit. Nanti puan lebih tenang.”

Kali ini Mardiah ikut sahaja arahan Kak Yam. Mungkin ada betulnya. Dengan jari yang terketar-ketar, dia meneguk air sekali lalu sehingga habis.

“Kenapa puan turun ke bawah? Bilik puan tak selesa? Kalau puan tak suka bilik tu, kami boleh beri puan bilik lain.”

“Bukan macam tu Kak Yam,” jawab Mardiah. Susah untuk dia bercerita.

“Habis tu macam mana?”

“Bilik tu macam… macam ada orang lain dalam bilik tu. Saya dengar… bunyi air dari bilik air, pintu almari terbuka, tertutup kemudian seperti ada orang lain yang menggunakan katil. Tapi tak ada orang.”

Kak Yam yang mendengar cerita itu mengangguk perlahan. “Itu perkara biasa di sini.”

“Perkara biasa?” Dia hampir rasa tercekik. Semena-mena udara dirasakan begitu dingin. “Adakah hotel ini ber... hantu?”

“Hotel ni hotel lama, puan. Dibina pada tahun 1924. Puan tentu boleh bayangkan berapa banyak kejadian yang berlaku di sini selama ini,” kata Kak Yam lagi.

“Jadi… apa semua tu? Tadi pun saya terdengar suara orang berbual. Tapi saya tak nampak sesiapa selain kita.” Dia masih cuba menghilangkan rasa seram sejuk yang dirasainya tadi. Dia yakin bukan dia seorang sahaja yang merasainya.

“Mereka ada di mana-mana. Mereka datang dan pergi bila-bila mereka suka,” balas Kak Yam.

“Kak Yam dan pekerja-pekerja di sini tak takut ke?”

“Kami dah biasa.”

Dia kematian kata-kata. Walaupun dia tahu jin, iblis dan syaitan itu makhluk ALLAH jua namun dia belum bersedia untuk bertemu dan berkongsi ruang dengan mereka. Dia tidak bersedia, apatah lagi berkongsi bilik dan katil.

“Kak Yam,” panggilnya lagi. “Ada tak bilik lain yang kosong?”

“Ada,” jawab Kak Yam. “Tapi bilik tu jauh sikit. Bilik yang hujung sekali. Bilik tu jarang sesiapa nak duduk.”

“Kenapa?” Dia mula bimbang.

“Biliknya kecil sikit. Letak pulak di hujung sekali.”

“Tak apalah kalau orang lain tak nak duduk, biar saya duduk. Daripada duduk dengan ‘mereka’ tu, biarlah saya duduk seorang di situ,” balas Mardiah.

Dia sudah buat keputusan. Dia tidak sanggup diganggu lagi oleh entah apa. Padanya cukuplah dua kali menempuh pengalaman yang menakutkan di situ, pagi esok dia mahu meninggalkan hotel itu secepat mungkin dan tidak akan kembali lagi ke situ. Sekarang baru dia faham kenapa hotel itu tidak ramai pelanggan walau secantik itu hiasan dalamannya. Dia percaya tidak ada yang berani menginap di situ lebih daripada satu malam. Itu pun disebabkan tidak ada pilihan. Seperti dia juga. Kalau ada pilihan, dia sendiri sudah tinggalkan tempat itu.

“Kalau sudah begitu kata, puan. Marilah Kak Yam hantarkan ke kaunter. Kak Yam yakin Din akan benarkan.”

Mardiah cepat-cepat bangun.

******

TIDAK LAMA selepas itu mereka tiba di hadapan bilik bernombor 181. Kak Yam hanya menghantar sampai di luar. Mardiah masuk dengan rasa yang lebih lapang. Sebaik sahaja meletak punggung di atas katil barulah terasa letih yang teramat sangat. Tetapi baru sahaja mahu melelapkan mata, dia terdengar bunyi tapak kaki berlari-larian di hadapan pintu biliknya.

Matanya segera terbuka luas dan terarah ke pintu. Dalam hati dia berdoa agar biliknya tidak diganggu lagi.

Krekk!! Pintu biliknya terbuka. Lampu biliknya dipasang.

Dia yang sedang berbaring di atas katil, terus duduk. Bagaimana boleh jadi begini? Pintu biliknya kan berkunci? Ataupun dia terlupa tadi? Dia mula dibelit rasa kesal dan keliru semula. Kepala berdenyut-denyut. Banyak perkara seperti tidak masuk akal. Dan dia semakin letih.

Bunyi tapak kaki mundar-mandir; kedengaran jelas. Kemudian pintu bilik air terbuka. Akhirnya pintu bilik seperti dibuka lebih lebar dan dibiar terbuka begitu sahaja. Suasana berubah senyap seolah-olah bilik itu telah ditinggalkan.

Setelah dirasakan keadaan sudah selamat, dengan terketar-ketar dia menjenguk di pintu. Koridor nampak kosong seperti tidak ada apa-apa yang baru berlaku. Sunyi.

“Puan,” tegur Kak Yam.

Mardiah berpaling. Besar matanya apabila terlihat Kak Yam dan Din tercegat di belakangnya.

“ALLAH!” Kerana terlalu terkejut, nama TUHAN terpacul daripada mulutnya. Lantas dia berlari sekuat hati tanpa arah tujuan. Yang difikirkan saat itu hanyalah mahu pergi dari situ secepat mungkin. Kerana apa yang dilihat sungguh menakutkan.

Bukan wajah Kak Yam. Bukan wajah Din. Tetapi wajah makhluk-makhluk yang sangat hodoh. Wajah yang tidak pernah dilihat seumur hidupnya. Namun semakin jauh dia berlari, dia semakin keliru.

Alam seolah-olah berubah. Tidak ada lagi lantai hotel yang dipijak. Tidak ada lagi tangga yang pernah dijejak. Apa yang ada hanyalah hutan belantara yang tebal. Dia terpinga-pinga. Keliru dan sesat. Dalam keadaan yang tidak lagi berdaya itu, dia ternampak cahaya yang terang.

Dia berlari ke arah itu. Tibanya di situ, bunyi azan yang sangat kuat memukul pendengarannya.

Dia jatuh ke lantai.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.