Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
76,714
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 12

“KAU pasti dia?” tanya Zed sewaktu bertemu Poyi di markas Botak, sebuah kedai lama di Jalan Tiga. Markas itu sudah lama ditinggalkan oleh orang-orang Botak setelah kawasan itu diambilalih oleh Geng Naga Tongga.

“Cakap banyak tak guna.” Poyi serahkan telefon bimbitnya kepada Zed.

Zed lantas memasang semula rakaman yang telah dibuat oleh telefon bimbit Poyi. Setelah menontonnya beberapa saat, dia puas hati. Itu memang Adam. Tapi persoalannya kenapa Adam asyik berulang-alik ke situ beberapa hari ini. Apa yang Adam cuba cari?

“Sampai pukul berapa dia di situ?”

“Tengah hari.”

“Tinggal di mana?”

“Jalan Semerang. Sebuah rumah tumpangan murah,” jawab Poyi.

Zed merenung dinding kedai yang sudah berlumut hijau di hadapannya. Lama dia begitu sambil otaknya ligat berfikir. “Aku nak kau ikut saja ke mana dia pergi selepas ni. Aku nak tahu apa dia buat di Melaka. Siapa kawan-kawan dia di sini.”

Poyi angguk.

“Kalau dia datang lagi ke pasar, telefon aku,” katanya kepada Poyi, sebelum Poyi beredar.

******

SEJAM selepas Poyi beredar, datang pula Botak dengan orang-orangnya ke situ. Zed menunggu sahaja apa kata Botak tentang kejadian malam tadi di kawasan itu. Dia harap Botak puas hati.

“Pagi-pagi lagi David sudah sumpah seranah aku.” Botak ketawa kecil semasa memulakan perbualan. “Dia marah betul pada kau. Dua orang, orang kuatnya mati. Dua parah di hospital.”

“Polis?” tanya Zed. Baru dia faham siapa David.

Botak tersenyum sesaat.

Zed tidak menyoal lagi. Dia yakin pihak polis tahu tetapi tidak mahu masuk campur. “Apa lagi yang kau nak aku buat?”

“Banyak,” balas Botak sambil menarik sebuah kerusi lalu duduk. “Aku nak kau kacau kawasan David. Aku nak dia takut pada aku.”

“Boleh aku tahu kenapa? Takkan kawasan ni saja yang dia ambil. Tentu ada kawasan lain.”

Botak angguk. Sambil memandang Zed dia menjawab. “Dia dah ambil tiga kawasan aku. Jalan Tiga, Jalan Tujuh dan Jalan Pulau. Tapi aku tak nak kau rampas dua jalan lagi macam kau rampas jalan ini. Aku nak kau buat sampai David serahkan kawasan itu semula kepada aku dengan cara hormat.”

Zed diam agak lama. Melihatkan keseriusan Botak, dia faham niat abangnya. “Aku cuba.”

Botak menggeleng. “Tidak ada istilah cuba-cuba. Kau buat atau… siapa nama lelaki tu?” Dia menoleh ke arah orang kanannya. Lelaki itu membisikkan sesuatu. Kemudian dia menyambung, “Adam. Kalau tidak aku ambil mayat Adam dan hantar ke balai polis. Lebih menarik.”

“Aku buat,” kata Zed. Panas hatinya apabila diugut oleh Botak. Dia tidak mahu permainannya tamat di tangan Botak.

“Bagus.” Botak kembali berdiri. Sambil menyapu tapak tangannya, dia berkata, “Aku rasa lebih baik kau bersihkan sikit tempat ni. Habuk.”

Zed lihat sahaja Botak beredar dari situ. Kemudian dia menoleh ke arah orang-orangnya.

“Malam ini kita ke Jalan Ciku.”

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.