Home Cerpen Cinta Dia, yang memanggil aku Cinta.
Dia, yang memanggil aku Cinta.
Maria Kajiwa
6/9/2013 13:14:23
5,096
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

‘Hai, Cinta. Dah makan?’

‘Hai, Cinta. Sibuk tak hari ini?’

‘Hai, Cinta. Sihat tak?’

Cinta.

Cinta. Cinta.

Setiap kali bersua dengan dia, dia mesti memanggil aku ‘Cinta’. Padahal, dia bukan tidak tahu nama aku yang sebenarnya. Nama aku bukan Cinta. Bukan.

Kadang-kadang aku naik rimas dengan panggilan itu. Naik malu. Naik bosan tetapi dia tetap juga memanggil aku Cinta.

“Kenapa kau panggil aku Cinta?” Pada satu hari kira-kira lima tahun yang lalu, kesabaran aku hilang. Aku bertanya juga apa yang ingin sangat aku tahu.

“Sebab aku cintakan kau dan kau lelaki yang aku cinta,” jawabnya selamba. Begitu yakin dan lancar bagaikan di hatinya jawapan itu sudah dipahat kukuh.

Kulit mukaku terus membahang. Walaupun jawapan itu sudah aku duga namun apabila diucapkan dari sepasang bibir seorang gadis sepolos Maya, aku jadi malu.

“Cinta?” Aku kemudian ketawa besar sambil cuba menepis rasa malu dan sekaligus cuba menolak harapan yang dilontarkan oleh Maya. Aku tidak cintakan Maya dan aku tidak mahu Maya mencintai aku. Aku juga mahu Maya tahu, aku bukanlah lelaki yang akan membalas cinta dia. Sayangnya, Maya tetap begitu juga. Dia bukan sahaja tidak mempedulikan semua itu malah tetap memanggil aku ‘Cinta’

Namun satu perkara yang aku puji tentang Maya adalah… dia tidak akan memanggil aku ‘Cinta’ di hadapan orang lain. Yang itu aku memang puji.

****

Hari demi hari berlalu.

Maya tetap begitu. Tetap bersahaja orangnya. Kalau bertemu dengan aku di perpustakaan atau di mana-mana dia tetap dengan ‘Cinta’ nya sehinggakan lama-lama aku sudah berasa lali. Sudah tidak berasa apa-apa lagi. Terpulanglah pada dia, hendak memanggil apa pun. Lagipun panggilan itu tidaklah seteruk mana. Maka hiduplah aku bersama ‘Cinta’ di mana-mana apabila terserempak dengan Maya.

“Cinta, assignment kau dah siap?”

“Ada lagi dua soalan. Dah puas aku buat tapi tak juga dapat-dapat jawapan yang betul,” balasku sambil melepaskan keluhan. Sudah dua jam memerah otak menyelesaikan soalan-soalan tugasan, aku masih berbelit di tempat yang sama. Buntu.

“Meh, aku tolong kau.” Maya terus menarik kerusi di sebelah aku dan meletakkan buku-bukunya di atas meja. Dia keluarkan tugasannya yang sudah siap.

Sejujurnya aku berasa lega. Sememangnya Maya pelajar terbaik dalam jurusan yang aku ambil di kolej itu. Sudah tiga semester, Maya dapat ‘four flat’. Sedangkan aku boleh dikatakan pointer 3.0 pun susah hendak lepas. Dalam hal ini juga aku cukup kagum dengan Maya. Dalam sibuk ‘bercinta’ itu, pelajarannya tetap nombor satu.

“Cinta, engkau salah formulalah…” Maya mula membebel tanpa memandang aku.

Aku tersengih sahaja. Dari sisi aku merenung wajah Maya yang khusyuk membuat kiraan di atas kertas. Maya memang cantik dan menarik tetapi entah kenapa hati aku sahaja yang tidak terbuka untuk dia. Mungkinkah kerana aku seorang lelaki yang setia kepada satu?

*****

Selepas meninggalkan kolej, aku, Maya dan sahabat-sahabat yang lain masih saling berhubungan. Sudah rezeki yang tersurat, aku dan Maya mendapat kerja di bandar yang sama, Kuala Lumpur. Kami selalu berhubungan walau bekerja di tempat yang berbeza. Yang sejujurnya, Maya lah yang sering menghubungi aku atau menghantar SMS bertanya khabar dan keadaan diri aku. Aku?

“Cinta, hujung minggu nanti kita pergi main bowling nak?” tanya Maya lewat suatu petang yang dingin. Petang itu ibu kota bermandi hujan yang lebat.

“Hujung minggu ini aku kena balik kampung.”

“Balik kampung? Kenapa? Ada hal ke?”

“Kalau aku bagitahu kau, kau jangan sedih pula.”

“Sedih? Kenapa aku mesti sedih? Lainlah kalau kau mati…”

Aku terdiam. Walaupun aku tidak mencintai Maya namun aku sedar apa yang ingin aku sampaikan kepada Maya nanti, bukanlah sesuatu yang mudah. Dapatkah Maya menerimanya? Itu yang membuatkan aku selalu tertangguh-tangguh memberitahu dia berkenaan hal itu. Apa-apa pun, Maya adalah sahabat aku.

“Aku… aku akan berkahwin, Maya.”

Diam.

Lama Maya terdiam.

“Tahniah, Im,” katanya kemudian.

Im? Maya panggil aku Im? Aku berasa sungguh janggal, seperti bukan Maya yang sedang bercakap di hujung telefon.

“Maafkan aku sebab tak beritahu kau lebih awal. Kawan-kawan lain pun aku tak beritahu juga.”

“Kenapa? Kan berita baik ni? Jemputlah semua kawan-kawan kita ke kampung kau. Nak juga kenal dengan isteri kau nanti. Tentu semua orang gembira sebab engkaulah dari batch kita yang pertama berumah tangga.”

“Kalau aku ajak kau datang… kau mahu datang, Maya?”

“Kenapa tidak, Cinta?”

Cinta lagi. Aku fikir Maya akan berhenti memanggil aku Cinta rupa-rupanya hanya seketika. “Kalau kau sudi datang, datanglah pada hari kenduri aku nanti. Aku buat kecil-kecilan saja.”

“Aku akan datang,” balas Maya.

“Maya…”

“Ya, Cinta?”

“Boleh tak jangan panggil aku Cinta lagi?”

Maya terus diam. Tidak lama kemudian talian dimatikan.

Sejujurnya aku tidak dapat membayangkan perasaan Maya ketika itu. Adakah Maya sedang menangis? Adakah Maya sedang kecewa? Adakah Maya akan membenci dan menjauhiku? Jauh dalam hatiku, aku bersimpati pada Maya namun aku juga masih setia kepada Nana.

****

SEPERTI yang dijanjikan, Maya hadir di majlis perkahwinanku. Tetap selamba seperti selalu, tetap tersenyum, tetap ketawa. Ada juga aku melihat kawan-kawan lelakiku cuba mendekati dia. Namun Maya tetap seperti selalu, agak dingin apabila didekati lelaki lain. Seperti hatinya sudah beku.

“Cinta, selamat menempuh hidup baru,” ucap Maya sewaktu kami berpeluang berdiri berdekatan.

Mujurlah pada waktu itu, Nana ditarik teman-temannya untuk bergambar di tempat lain. Sejujurnya juga pada saat itu aku menggelabah. Kalaulah Nana mendengarnya…tentu sukar jadinya.

“Maya…” Aku pantas menegur.

Maya tersenyum seperti selalu walau di matanya aku terlihat kedukaan yang terlalu dalam. Ada sendu yang tidak terselam oleh aku yang melihatnya.

“Don’t worrylah, Cinta. Jaga isteri kau baik-baik. Jangan kurang pula apa-apa nafkah.” Pesan Maya disambung gelak ketawa.

Melihatkan Nana yang sedang melangkah ke arahku bersama senyum simpulnya, aku segera berdehem. “Kenalkan, ini kawan sekolej abang dulu. Namanya Maya.”

Nana terus menyambut huluran tangan Maya. Pada saat itu entah kenapa, hati kecilku tersentuh. Kalaulah Nana tahu siapa Maya…

“Tahniah untuk kau orang berdua ya. Okeylah, Im. Aku blah dulu…” Maya terus meminta diri dengan gaya selambanya.

Aku lepaskan Maya pulang bersama-sama kawan-kawan lain yang datang. Melihatkan Maya langsung tidak menoleh lagi kepada aku, hatiku sedikit terasa walaupun tangan Nana erat dalam genggamanku.

Sangkaku selepas itu Maya semakin menjauhkan diri dari aku, sayangnya…

****

“Cinta, orang rumah kau dah pregnantke belum?”

Oh! Maya. Masih dengan cintanya walau sudah setahun aku berkahwin dengan Nana. Selama itu juga dia tetap begitu-begitu juga. Selalu menelefon bertanya khabar namun tidak lagi menghantar SMS kerana katanya bimbang Nana tersalah sangka. Maya juga tidak lagi mengajak aku keluar bermain bowling pada hujung minggu atau menemankan dia menonton wayang. Sesekali terlintas di fikiran aku, apa yang Maya lakukan pada hujung minggu tanpa kehadiran aku. Mungkinkah Maya sunyi dan bosan? Atau adakah Maya kini sudah punya teman pengganti?

“Maya, bila engkau nak kahwin? Makin lama makin tua?” usikku kadang-kadang. Adakalanya aku runsing melihat Maya yang seperti tidak menunjukkan langsung minat untuk mencari pasangan hidup. Sampai bila agaknya Maya mahu hidup begitu?

Namun seperti biasa Maya akan tersenyum dan menutup mulutnya rapat-rapat bagai menahan dirinya dari mengeluarkan kata-kata yang mungkin akan membocorkan sesuatu rahsia. Aku makin syak yang kini Maya sudah ada seseorang dalam hatinya selain aku.

“Sharelah, Maya. Takkan makan sorang,” usikku lagi.

“Share apa?” Seperti biasa juga Maya akan berlagak selamba.

Aku mengeluh sendiri. Sekiranya Maya tidak mahu berkongsi hal itu kepada aku, aku tidak dapat memaksa namun jauh di sudut hatiku terasa amat lega. Terasa seperti terlepas satu beban dari bahuku. Sejujurnya aku tidak mahu Maya terus ‘mencintai’ aku dan mengorbankan kehidupannya yang sudah layak menjadi seorang isteri dan mempunyai kehidupan yang lebih bermakna. Namun sayangnya, walau dua tahun telah berlalu namun kad undangan ke majlis perkahwinannya tetap juga tidak tiba-tiba.

Dan yang ironinya… perkahwinan aku dan Nana pula yang dilambung badai.

*****

“Ni mesti salah kau Mesti sebab kau tak pandai ambil hati dia, kan?” komen Maya apabila dia dapat mengesan ada yang tidak kena dalam perkahwinan aku walaupun tanpa aku membuka mulut. Itulah hebatnya tentang Maya. Dia dan aku seolah-olah saling berhubungan tanpa suara.

Aku hanya dapat menggeleng. Aku sendiri kecewa kerana cinta aku terhadap Nana kini sudah tidak ada harganya lagi. Nana sudah berubah, tidak lagi mencintai aku sebagai seorang suami. Aku terkapai-kapai mencari erti dan mencari di mana silap aku sebagai seorang lelaki dan juga seorang pemimpin dalam rumah tangga. Namun, sehingga ke saat itu aku tidak dapat memahami apa puncanya Nana berubah sikap.

“Okeylah. Maafkan aku,” sambung Maya apabila aku tetap membisu pada pertemuan di sebuah café atas permintaan aku sendiri.

Setelah penat bekerja seharian di pejabat dan hanya akan pulang ke sebuah rumah yang kosong… sudah tidak ada maknanya lagi. Lalu dalam keadaan yang kebingungan itu aku teringatkan Maya.

“Aku simpati. Tidak seharusnya sebuah hubungan cinta yang telah terjalin begitu lama berakhir begini,” kata Maya. “Tapi siapa yang lebih berhak menentukan takdir hidup manusia? Siapa yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia kalau bukan Tuhan?”

Aku menghela nafas panjang. Persoalan demi persoalan yang dilontarkan oleh Maya tidak banyak membantu aku menyelesaikan kekusutan yang ada. Aku masih memikirkan kenapa Nana berubah laku. Namun pada masa yang sama egoku sebagai seorang lelaki semakin tercabar.

“Macam inilah, Cinta. Kalau kau masih sayangkan Nana, masih mahukan dia dalam hidup kau… pergilah pujuk dia balik. Yakinkan dia yang kau adalah satu-satunya lelaki dalam hidup dia. Jangan biarkan saja macam ni. Orang perempuan suka dipujuk. Suka merasakan dirinya diperlukan.”

“Kau rasa macam tu?” Bagus juga mendengar pendapat dari seorang perempuan. Mungkin betul kata Maya.

“Aku tak tahu apa yang kau dah buat pada dia tapi aku yakin tak semudah itu hati seorang perempuan terluka. Tak semudah itu hati seorang perempuan membeku dan berpaling. Mesti ada sebab. Dan hanya kau dan dia yang tahu. Itu soal rumah tangga kau orang berdua.”

Aku diam sahaja. Puas aku cuba mengingati apa salah aku pada Nana sehingga Nana mengambil keputusan untuk balik ke rumah ibu bapanya. Bukan tidak pernah aku memujuknya namun, Nana terus begitu.

“Pujuklah dia. Mana tahu…kesungguhan kau dapat melembutkan semula hati dia,” sambung Maya.

*****

Seminggu selepas itu…

“Cinta, macam mana? Dah okey?” Suara Maya tetap ceria seperti selalu.

Oh! Maya…

“Belum,” jawabku sepatah. Nampaknya hati Nana keras bagaikan batu. Sudah tidak boleh dipujuk lagi. Nana meminta perpisahan. Muktamad.

“Pujuklah lagi.”

“Tak payahlah.”

“Mana boleh macam tu, Cinta? Kau kena kuat semangat.”

“Dia mahu berpisah.”

“What!!!” Maya tersenyap seketika. “Jangan macam tu, Cinta. Jangan ikutkan…pujuklah dia lagi. Dia Cuma test kau aje tu… bukan betul-betul.”

Pada waktu itu suara Maya serak. Aku dapat merasakan Maya menangis di hujung telefon dan sejujurnya mata aku bergenang. Untuk seketika aku benar-benar merasakan aku tidak keseorangan dalam hal itu, aku ada seorang kawan yang sanggup menangis bersama dan sangat memahami apa yang aku rasa. Itulah Maya.

“Kau rasa macam tu?” tanyaku perlahan. Mungkinkah benar permintaan Nana itu juga satu ujian buatku?

“Ya, kau cuba pujuk dia lagi. Jangan cepat mengalah.”

Dengan nasihat Maya itu, aku memujuk Nana buat sekian kalinya. Namun sayang… rupa-rupanya itu bukanlah ujian untuk aku tetapi apa yang sebenarnya memang dihajati oleh Nana. Tanpa aku tahu, Nana sudah ada lelaki lain di hatinya. Lelaki yang dicintainya sekian lama sewaktu aku menuntut di kolej lagi. Baru aku tahu, Nana hanya terpaksa menerima aku selama ini namun akhirnya tewas apabila perasaannya tetap tidak merelakan aku dalam kehidupannya.

*****

"Cinta, kau main bowling ke kau main apa? Semua ke longkang….” Bidas Maya pada satu hujung minggu. Kami ke gelanggang bowling lagi untuk menghabiskan masa dan melepaskan tekanan kerja.

Aku hanya terseyum pahit. Walaupun sudah tiga bulan aku melepaskan Nana dari hidupku namun entah kenapa keadaan tidak kembali pulih dengan cepat. Aku masih dibayangi trauma rumah tangga yang hancur di tengah jalan. Egoku benar-benar berderai. Untuk mengangkat muka pun aku rasa tidak berdaya. Terasa seluruh dunia mentertawakan aku dan menyalahkan aku kerana tidak pandai memimpin sebuah rumah tangga kecuali Maya.

Sejak aku sibuk menguruskan penceraian aku dengan Nana, aku lihat Maya seakan-akan berkabung. Wajahnya selalu sahaja muram. Pandangan matanya selalu sahaja sendu. Ingin aku bertanya tetapi aku tidak ada masa.

“Kau tengok perempuan tu, Cinta,” kata Maya sebaik sahaja duduk di sisi aku. Lurus pandangan matanya ke arah sekumpulan gadis yang leka bermain bowling tidak jauh dari kami. “Yang baju purple tu.”

Aku toleh sekilas. Aku yakin aku tahu siapa yang dimaksudkan oleh Maya. Seorang gadis berbaju ungu dan bertudung bawal ungu muda sedang bergelak ketawa. Manis orangnya, berlesung pipit.

“Kau kenal ke?” tanyaku bersahaja. Mungkinkah kawan Maya?

“Kalau kau nak nombor telefon dia, aku boleh usha….” Begitu selamba Maya membalas.

“Huh!” Aku bangkit meninggalkan kerusi. Rupa-rupanya Maya mengusik aku. Aku tahu Maya cuma mahu aku melupakan Nana dan melupakan kisah pahit itu. Aku tahu Maya mahu aku memulakan kisah hidup yang baru. Maya mahu aku kembali normal.

“Aku serius ni, Cinta. Kalau kau nak…sekarang juga aku pergi minta.” Maya datang mendekati aku.

Bola bowling dalam tangan aku terlepas dan meleret masuk longkang.

“Kau punya pasallah!” Tidak sedar aku membentak Maya.

Maya tergamam. Air mukanya berubah.

Sejak itu aku tidak bertemu lagi dengan Maya.

Maya juga tidak menelefon atau menghantar SMS. Yang lebih teruknya, apabila aku ke tempat kerja Maya… Maya sudah berhenti.

Oh! Maya…

****

SEJAK itu aku mencari Maya. Kepada kawan-kawan aku bertanya dan berpesan namun usaha aku terus hampa. Setiap hujung minggu aku mengunjungi semua tempat yang pernah kami lewati bersama. Ke Pusat bowling, ke panggung wajah, ke gerai kesukaan Maya, ke mana-mana sahaja yang aku fikirkan Maya akan berada. Aku bertanya kepada sesiapa sahaja. Aku tunjukkan gambar Maya. Sayangnya Maya seakan-akan ghaib dari ibu kota yang pernah menjadi saksi persahabatan kami bertahun-tahun. Lalu, hari demi hari aku lewati tanpa Maya dan tanpa sapaan ‘Cinta’nya...

Sejujurnya kehilangan Maya lebih menyiksa diri aku berbanding kehilangan Nana. Sewaktu aku kehilangan Nana, aku masih ada Maya di sisi. Namun sewaktu kehilangan Maya…..aku benar-benar keseorangan.

Genap enam bulan tanpa Maya, aku menerima sekeping kad undangan perkahwinan.

“Maya?”

Menggigil tubuh aku sebaik sahaja terbaca nama penuh Maya yang tertera di atas kad undangan tersebut. Terasa runtuh segenap perasaan. Terasa gelap segala pandangan. Tidak sedar, air mata lelaki aku menitik. Sejak itu aku rasa benar-benar kehilangan Maya.

Lalu, aku teringatkan majlis perkahwinan aku dan Nana beberapa tahun yang lalu. Bagaimanakah perasaan Maya pada waktu itu? Sedangkan aku pada saat itu terasa tidak berdaya untuk memenuhi jemputannya. Entah kenapa, aku seperti tidak rela melihat Maya berada di sisi lelaki lain. Dan adakah benar hati Maya telah berubah? Mungkinkah aku bukan ‘Cinta’ nya lagi?

Dengan itu aku terus berusaha menjejaki Maya sehingga berjumpa.

****

“Maya,” panggil aku sebaik sahaja Maya yang baru balik kerja masuk ke ruang tamu rumah ibunya.

Maya tergamam lama. Berubah air mukanya. Pucat bagaikan hendak pitam. “Kau… kau buat apa di sini?”

“Aku datang nak jumpa kau.”

Maya menjeling ke arah dapur.

“Majlis aku dua minggu lagi. Kau tak dapat datang minggu depan ke?” Maya semakin tenang.

Aku melihat sedikit perubahan dalam diri Maya.Aku tidak melihat Maya yang telus, aku melihat Maya yang sedang berpura-pura. Dan semua itu membuatkan hati aku tambah tersiksa. Aku tahu Maya melakukan semua itu kerana aku.

“Berapa lama kau kenal bakal suami kau?” Aku tidak endahkan pertanyaan Maya.

Mata Maya terkelip-kelip.

Aku tahu Maya terkejut kerana itulah kali pertama aku bertanyakan soal peribadi dia. Kali pertama aku mengambil berat soal dia. Ya, akulah kawan yang terlalu asyik dnegan diri aku sendiri sehinggakan tidak pernah memikirkan perasaan dan kebajikan Maya. Namun aku berharap belum terlewat untuk aku menyelamatkan dia dari melakukan kesilapan yang serupa dengan Nana.

“Bukan soal kau.”

“Aku tak mahu kau melakukan kesilapan yang sama seperti Nana. Mengahwini lelaki yang kau tak cintai, menghukum diri kau kerana berputus asa pada kehidupan.”

“Dia jodoh aku.”

Aku menggeleng.

“Selagi akad belum disahkan, dia belum lagi menjadi jodoh kau.”

“Kenapa kau seperti cuba menghalang perkahwinan aku? Dulu kau juga yang beria-ia suruh aku kahwin,” bidas Maya.

Tiada jawapan yang dapat aku berikan kepada Maya. Aku sekadar mampu mengeyakan sahaja kata-katanya. Memang benar, suatu ketika dahulu aku berasa runsing melihat keadaan Maya. Kalau boleh aku juga mahu Maya merasakan nikmat alam perkahwinan seperti aku dan Nana tetapi kini… aku tidak mahu Maya berkahwin. Aku tidak mahu Maya menjadi hak orang lain. Aku tidak mahu sesiapa pun memiliki Maya.

“Aku tak menghalang perkahwinan kau, Maya. Tapi aku dapat rasa kau berkahwin atas sebab yang salah. Kau marahkan aku, kan?”

Maya terdiam.

“Maya… aku mengaku. Selama ini aku selalu mengabaikan kau. Aku selalu menyakitkan hati kau dengan macam-macam hal. Tapi kau… kau tetap panggil aku ‘Cinta’. Kau tetap berada di sisi aku dalam keadaan apa pun. ” Air mataku mula bergenang semula. Puas aku tahan.

“Lupakan sajalah. Kau binalah hidup baru. Jangan sia-siakan hidup kau yang masih muda. Ramai lagi perempuan yang cantik manis di luar sana yang boleh dijadikan isteri kau. Aku doakan kau bahagia dan hidup happy hingga ke akhir hayat,” balas Maya dengan tenang.

Kata-kata Maya tidak aku balas terus. Aku hanya merenung wajah Maya yang muram dan lesu. Aku tidak melihat lagi wajahnya yang polos, tenang dan selamba. Sejujurnya aku dapat merasakan betapa hancurnya hati Maya sewaktu mengucapkan kata-kata tersebut. Tanpa Maya sedar, hati aku turut hancur luluh.

“Aku hanya mahu hidup dengan kau, Maya,” bisikku perlahan. Itulah pengakuan aku yang sejujur-jujurnya dapat aku luahkan. Memang ramai yang boleh menjadi pengganti Nana tetapi tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan tempat Maya.

Serentak dengan itu pandangan mata kami bertaut lama. Alam pun menjadi diam.

“Jangan tinggalkan aku.” Aku menyambung dengan segunung harapan yang aku tadahkan seikhlas-ikhlasnya. Aku benar-benar sedar, itulah peluang yang terakhir untukku menjelaskan perkara yang sebenar. Aku perlukan Maya dalam hidup aku. Tanpa Maya hidupku terasa tidak lengkap. Aku jadi lemah. Terumbang-ambing.

Maya terus diam.

“Tanya hati kau betul-betul, Maya. Jangan buat silap. Perkahwinan bukan tempat untuk membalas dendam dan menghukum diri sendiri. Aku tunggu kau di Kuala Lumpur.”

Dengan itu aku tinggalkan Maya untuk membuat keputusan.

Aku tahu Maya perlukan masa untuk berfikir dan bertindak dalam tempoh yang begitu kritikal. Pada waktu itu… aku hanya dapat menadah tangan berdoa… meminta Maya dikembalikan semula ke dalam hidupku. Namun seandainya Maya bukan rezekiku, aku berdoa semoga Tuhan memberikan aku ketenangan dan kekuatan untuk menerima takdir yang telah ditetapkan untuk kami berdua.

Setahun berlalu selepas pertemuan itu. Maya tetap juga berkahwin dan bergelar seorang isteri.

****

BEGITU sunyi. Itulah yang aku rasakan kini.

Berada di perpustakaan yang hampir lengang, mengheret aku kembali mengenang masa lampau. Di situlah aku selalu duduk bersama Maya menyiapkan tugasan atau mengulangkaji pelajaran. Kini aku bersendirian.

“Cinta, jom turun. Laparlah….”

Spontan aku menoleh ke arah Maya yang datang bersama beberapa buah buku di tangan. Beberapa minit dia menghilangkan diri sudah cukup membuatkan aku terlontar ke daerah kenangan yang begitu mendebarkan aku. Sungguh aku jadi serik dengan segala yang pernah aku lalui. Serik kerana hampir kehilangan Maya.

“Jomlah, Cinta…. Baby lapar….” Maya merengek dengan selamba di situ, bagaikan perpustakaan itu hanya milik kami berdua.

Aku ketawa kecil. Perut Maya memang sudah besar. Dan kebelakangan ini Maya semakin kuat makan. Namun aku bahagia dan teramat mensyukuri segala yang Tuhan pulangkan kepada aku. Maya, tidak aku persia-siakan lagi.

“Jom, sayang. Ayah baby pun dah lapar.” Aku tolak kerusi dan memegang erat tangan Maya.

Maya membalas dengan senyuman yang manis.

Aku memandangnya dengan rasa bahagia dan bangga. Akhirnya aku tahu Maya tidak pernah berhenti dari mencintai aku. Cinta Maya hanya untuk aku dan cinta aku hanya untuk Maya…

Dia, satu-satunya yang memanggil aku, Cinta. Dia, satu-satunya yang aku cinta…

TAMAT


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.