Home Cerpen Cinta Cerpen cinta : Tiada lagi gurauan
Cerpen cinta : Tiada lagi gurauan
Maria Kajiwa
12/11/2013 21:59:01
4,890
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

“Kenapa mesti di tepi laut?”

“Apa Azmi tanya?” Aku menoleh ke arah Azmi. Menunganku terganggu.

“Saya tanya kenapa cerita-cerita cinta mesti ada babak di tepi laut? Kenapa laut? Kenapa bukan di tengah ladang kelapa sawit?”

Aku tersenyum. Sebagai seorang penulis aku faham, Azmi sedang dihujani pelbagai persoalan. Mungkin kerana pada waktu itu kami berdua sedang duduk termenung menghadap Laut Cina Selatan yang begitu ganas ombaknya, maka hal itu ditimbulkan.

“Kenapa Azmi pilih untuk menetap di pulau ini? Kenapa tak cari kerja di bandar-bandar besar?” balasku seadanya. Aku tak akan memberikan jawapan dengan mudah kepada dia. Seorang penulis adalah juga seorang pemikir.

“Itu lain,” katanya sambil tersenyum.

“Tiada yang lain dari kehidupan kita. Apa yang kita tulis selalunya tak jauh berbeza dari kehidupan yang sebenar. Apa yang kita suka, apa yang kita tidak suka, apa yang menyedihkan kita dan apa yang menjadi impian kita, semuanya akan kita gunakan secara jujur.”

“Kalau begitu, itu bukan watak, kak. Itu tanda kita tidak dapat menjiwai watak-watak kita,” bantahnya.

Aku angguk.

“Itulah perbezaannya kenapa orang pilih laut dan bukan ladang kelapa sawit.”

Azmi terdiam.

“Kakak datang dari jauh ni bukan nak beri saya kelas penulisan novel, kan?” tanyanya kemudian sambil ketawa kecil.

“Apa yang dapat akak beri sebagai bayaran? Makan minum free. Tempat tinggal free,” balasku dengan tenang. Ya, rasa sedikit kekok apabila tiba sahaja di situ dan diberitahu Azmi yang tempat tinggal dan makan minumku semua sudah diurus oleh abang dan kakak iparnya dengan syarat aku sudi menetap di sebuah rumah nelayan.

Mana mungkin aku menolak kesempatan itu walaupun aku menolak tawaran semuanya ‘percuma’ Namun penolakanku ditolak dengan budi bahasa yang baik sehingga aku terpaksa mengalah.

“Kak, cakaplah.” Azmi memandang wajahku lama-lama.

“Nak cakap apa?”

“Lari sampai ke hujung pulau ni… takkan tak ada apa-apa?”

“Tak ada apa-pa,” balasku lagi seraya menyambung menunganku. Mustahil tidak ada apa-apa yang membawa aku ke pulau nelayan yang kecil itu namun untuk mencurahkan segala-galanya kepada Azmi juga tidak mudah.

“Cinta tak kesampaian?” tekanya pula.

“Akak sedang memujuk hati, okey?” Keras sedikit suaraku.

Azmi tergamam.Kemudian mengangguk.

“Semoga pulau ini dapat memujuk akak,” katanya dengan lembut. “Dan dapat memberikan inspirasi untuk novel akak seterusnya.”

Aku diam sahaja. Entah kenapa aku seperti merasakan Azmi sedang mengejekku. Ada rasa kurang senang menjalar dalam hati. Bentakan ego barangkali.

“Perli?”

Azmi ketawa pula.

“Sampai bila akak nak lari dari menulis kisah cinta? Padahal saya tahu, akak boleh saja tulis, kan?”

“Baca cerita orang lain lebih senang. Lagipun dapat tolong kawan-kawan lain. Mereka dah penat menulis.”

“Semua tu alasan saja, kan kak?” balas Azmi dengan selamba. “Alasan untuk tidak berdepan dengan ketakutan sendiri.”

Aku diam. Disebabkan mulut Azmi yang selalu lepas itulah, aku mencari dia walaupun jarak tempat tinggalku dari situ hampir 400 km. Disebabkan keberanian dia itulah aku rela dilambung ombak selama sejam untuk sampai di situ walaupun aku sangat fobia pada air dalam. Hanya dia yang selalu dapat menyakitkan hati aku dengan kenyataan-kenyataan yang pahit. Tetapi benar.

****

HARI kedua aku di Pulau Damai. Sebuah pulau kecil yang penduduk majoritinya adalah nelayan kecil. Cuma ada sebuah resort yang baru dibina di hujung tanjung berdekatan jeti. Sebuah kedai runcit yang merangkap kedai cenderamata yang dihasilkan oleh penduduk pulau itu. Sebuah surau dan beberapa buah rumah. Itu sahaja namun aku berasa lebih damai.

“Kata Kak Nab, akak tak tidur malam tadi,” tegur Azmi. Dihulurkan sebiji kelapa muda yang sudah ditebuk di bahagian atas. Ada sebatang straw dan sudu panjang.

Aku terus tersenyum apabila menerima pemberian itu. Pada waktu panas begitu, sememangnya air kelapa muda amat menggoda jiwa.

“Akak biasa qiamullail?” tanyanya lagi.

Aku pandang dia. Antara aku dan dia sudah seperti adik-beradik. Banyak yang aku tahu pasal dia dan banyak yang dia tahu pasal aku.

“Takkan Azmi sorang saja yang nak qiamullail?”

“Alhamdulillah. Tapi takkan sampai tak tidur langsung?”

“Siapa pula yang tak tidur? Akak tidur tapi tak lama,” balasku sejujurnya.

Sememangnya kebelakangan ini aku kurang tidur. Kalau terlelap pun hanya sejam dua. Selepas itu akan terjaga dan melakukan solat sunat sehinggalah aku penat. Kadang-kadang aku terlelap di atas sejadah dan aku sangat bersyukur kerana masih diberikan sedikit nikmat tidur.

“Solat dan bersabar ya, kak?” Tanya Azmi penuh makna. Menjeling sekilas sebelum melemparkan pandangan matanya jauh ke tengah laut.

Aku angguk perlahan. Aku faham Azmi cuba memahami masalah yang sedang aku hadapi tetapi aku belum terbuka hati untuk berbicara.

*****

PETANG itu aku ke tepi pantai. Menyepak-nyepak air laut, merendam kaki sampai tenggelam dalam pasir. Sesekali berlari mengejar gigi ombak yang pasang surut dan sesekali tunduk mengutip kulit kerang yang pecah-pecah.

“Ini untuk akak,” kata Azmi.

Aku terkejut besar. Entah sejak bila Azmi mengekori aku, aku pun tidak perasan.

“Apa benda ni?” Aku ambil juga sebuah kotak kecil berbentuk bulat berwarna merah muda metalik. Aku buka dan mataku tertancap kepada seutas mutiara. Hendak dikatakan rantai bukan, hendak dikatakan gelang juga bukan.

“Tasbih,” kata Azmi bagaikan mengerti kekeliruan yang berlegar di kepalaku.

Aku tersenyum lebar.

“Terima kasih, cantik!” Aku puji sejujurnya. Sememangnya itu tasbih yang cukup indah di mataku. “Akak akan pakai setiap hari.”

Azmi angguk dan kami terus menyusuri pantai itu sambil melihat beberapa orang kampung membersihkan bot.

“Sudah jumpa apa yang akak cari di sini?”

“Azmi tak suka akak tinggal di sini?” tanyaku pula.

“Akak tahu kan itu bukan maksud saya?”

“Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Insya-Allah, segala kelukaan ini akan sembuh,” kataku penuh makna. Aku tahu Azmi faham. Masalah cinta adalah satu masalah yang sangat universal. Kalau tidak kecewa kerana cinta tidak kesampaian, pastilah kerana cinta yang dihancurkan.

“Cinta, satu kuasa yang sungguh aneh, kan? Ada kalanya seperti sebilah pisau. Ia boleh jadi sesuatu yang sangat berguna. Tapi boleh juga jadi sesuatu yang boleh menghancurkan kehidupan,” balas Azmi. “Tapi manusia tak pernah serik-serik mencari cinta walaupun kisah kekecewaan boleh kita jumpa di mana-mana.”

“Semua orang memerlukan cinta,” kataku. “Cinta itu makanan jiwa.”

“Makanan jiwa yang salah arah,” kata Azmi.

Aku terdiam lama untuk memahaminya.

“Cintakan Allah SWT. Cinta yang lain akan dipenuhi.”

Aku terus angguk.

“Tapi hati tetap perlukan masa untuk dipujuk. Nafsu manusia,” kataku. “Bukannya tak faham, bukannya tak tahu Allah SWT itu sempurna. Sudah cukup Allah SWT itu untuk manusia tapi….”

“Kita hidup dikelilingi dunia yang materialistik. Termasuklah cinta manusia yang juga dijadikan bahan sanjungan. Rumah tangga adalah kebanggaan bukan lagi amanah. Anak-anak adalah harga diri bukan lagi amanah,” balas Azmi. “Semuanya kita hendak miliki. Kalau tidak, kita rasa kekurangan. Bagaikan ada kelompangan dalam hidup kita. Tetapi kita tetap kata cukuplah Allah SWT itu bagiku.”

Aku terdiam lama jadinya.

“Kelukaan akak akan sembuh, Insya-Allah. Berfikir secara positif. Apa yang bakal akak dapat dari semua pengalaman ini,” katanya lagi.

“Yang pastinya bukan sebuah novel cinta.” Aku ketawa kecil.

“Kak, pernahkah akak terfikir bahawa berdepan dengan ketakutan itu adalah penawarnya?”

Aku terdiam makin lama.

“Kak, malam ni jemput ke surau. Ada bacaan hadis.” Pesan Azmi sebelum meninggalkan aku sendirian di situ menatap langit senja yang semakin berwarna-warni. Alangkah indahnya jika dia ada bersama..

****

“Akak sedang belajar menerima kenyataan.” Keesokan harinya aku membuka mulut juga kepada Azmi. Disaksikan langit biru dan angin pagi yang menderu-deru datang dari arah laut.

“Bahawa cinta itu bukan milik akak?” sambung Azmi.

“Cinta itu tak pernah jadi milik akak.”

Azmi angguk.

“Cinta itu tak pernah jadi milik kita,” balas Azmi. “Ia milik Allah SWT. Andai diberikan kepada kita, kita dapatlah. Kalau tak… usaha macam mana pun kita takkan dapat. Banyak orang lupa bahawa cinta itu juga satu rezeki. Ramai yang fikir cinta itu milik hati. Namun mereka lupa siapa yang memiliki hati manusia. Siapa yang berkuasa membolak-balikkan hati dan perasaan manusia?”

Setiap kali Azmi bercakap, aku mesti terdiam lama.

“Usah bersedih selama-lamanya, kak. Sebagai hamba-Nya kita selalu kata kita reda. Kalau kita reda, kenapa kita sedih dan marah? Kita marah siapa sebenarnya?”

“Akak bukan tak terima. Akak faham tapi bukan senang nak membuang perasaan kecewa dalam hati akak,” balasku. Itu sahaja masalahnya. Sebagai manusia biasa, aku punya kehendak, aku punya cita-cita, aku punya angan-angan. Aku ada perasaan kecewa, sedih, dan marah.

“Yang marah itu ego. Yang kecewa itu nafsu. Yang reda itu iman,” kata Azmi. “Biarlah keredaan itu lebih besar daripada ego dan nafsu. Baru hidup kita seperti kapal yang ada kemudi. Bukan kapal hanyut dek perasaan duniawi.”

Aku menghempas nafas. Rasanya gelora di jiwaku lebih hebat daripada gelora yang menghempas laut pada waktu itu. Sekurang-kurangnya berada di pulau kecil itu fikiranku dapat mengasingkan sedikit masalah kerja dengan masalah peribadi. Dan aku benar-benar berharap aku pulang nanti dengan perasaan yang lebih kuat untuk menempuh kehidupan.

“Cinta tak harus memiliki,” kataku. Merumuskan sebuah hakikat yang pedih. Ternyata aku masih mencintainya.

“Tiada apa yang kita punya, kak,” balas Azmi. “Perasaan cinta itu pun, kalau Tuhan ambil balik, kita jangan terkejut. Bersyukurlah setiap manusia yang masih diberikan cinta dan menjadi manusia yang dicintai manusia lain.”

Air mataku mengalir deras.

“Dia tak mencintai kakak lagi?” Tanya Azmi perlahan.

“Sudah terlalu lama akak mencintai dia. Tapi akhirnya akak terpaksa menerima, dia tak mencintai akak,” balasku dengan lebih tenang. Aku tahu Azmi tidak pernah tahu kisah cinta yang aku sembunyikan bertahun-tahun.

“Kecewa kerana apa yang akak nak tak dapat? Merajuk?”

“Bukanlah merajuk. Kalau merajuk pun bukan ada yang nak pujuk. Akak faham soal jodoh tapi hati dan perasaan sahaja yang tak boleh nak rasa gembira seperti biasa. Kalau boleh, akak nak tarik dia keluar, nak cuci dengan air laut tu.” Aku ketawa kecil. Marah pada hati sendiri yang masih mengenang lelaki yang sudah pun menjadi suami orang. Dia sedang berbahagia sedangkan aku berendam air mata setiap hari. Bodoh sungguh!

“Hidup ni kalau tak diuji dengan pelbagai perasaan bukan manusia namanya, kan? Bezanya kita dengan haiwan dan tumbuhan ialah kita boleh meluahkan perasaan kita dengan banyak cara. Mereka tidak. Paling tinggi pun boleh berbunyi atau memberi reaksi.”

Aku angguk faham.

“Akak jangan fikir ini ujian yang terakhir. Selepas ini akak mungkin akan kecewa lagi, menangis lagi, marah lagi. Tapi tak apa, pulau ni ada saja untuk akak datang menangis. Itu pun kalau pulau ni tak dilanda tsunami.”

Aku ketawa kecil.

Azmi tersenyum.

“Macam tulah. Luka tetap luka tapi kita tak dijadikan untuk menangis sepanjang hidup. Kalau kita faham tujuan hidup kita, soal hati bukanlah soal yang terlalu besar, kan?” katanya dengan selamba. “Sentiasa bersangka baik pada Allah SWT. Kita tak tahu semua perkara. Ya, memang hati akak suka dia tapi akak tak tahu semua perkara tentang dia, kan? Tapi Allah SWT tahu dia bukan yang terbaik untuk akak. Kalau akak reda dengan aturan Tuhan dan berserah pada Allah SWT untuk tentukan jodoh akak, saya percaya Allah SWT akan berikan yang terbaik untuk akak nanti.”

“Akak faham tapi….”

“Solat dan bersabar,” tambah Azmi. “Itulah penawar semua kelukaan dalam dunia ni.”

Akhirnya aku angguk. Sememangnya tidak ada jawapan yang lain untuk mengubati kelukaan ini. Lari ke hujung dunia pun tidak akan membantu kerana yang luka itu adalah hati. Ke mana pun aku pergi, aku akan membawanya.

“Hadapi saja ketakutan tu kak,” pujuk Azmi lagi.

Aku diam.

****

HARI ketiga aku di Pulau Damai. Hatiku sememangnya makin damai di sini. Siang bercumbu dengan ombak, malam berqiamullail sambil ditemani bintang dan bulan. Waktu yang tersisa, aku habiskan dengan mengaji dan mengaji. Kak Nab dan suaminya membiarkan aku buat sesuka hatiku di situ. Mungkin mereka faham. Aku sedang bergelut dengan kesedihanku sendiri.

“Esok akak balik,” kataku apabila dikunjungi Azmi di rumah Kak Nab.

“Dah bersedia?”

“Insya-Allah,” balasku. Aku sememangnya berharap aku sudah bersedia kerana setelah memikirkannya masak-masak, aku sedar aku tetap mencintai dia. “Akak tetap mencintai dia. Akak masih belum dapat melupakan dia. Membenci lagi tak boleh.”

Azmi tersenyum.

“Cinta sejati,” katanya. “Dia beruntung kerana mendapat cinta sejati akak. Dan akak sebenarnya beruntung kerana dianugerahkan cinta sejati seperti itu. Akak tahu tak? Tak semua orang dapat merasainya. Selalunya selepas kecewa, hubungan terputus terus. Tidak ada doa untuk orang yang pernah dicintai. Malah mungkin ada yang mendoakan yang tidak baik.”

“Kerana kenangan itu menyakitkan,” balasku sambil tersenyum. Itu sahaja masalahnya. “Tapi dengan memaafkan, sakit itu akan kurang.”

“Tak semua orang punya kekuatan untuk memaafkan macam akak.”

“Mungkin di situlah beza antara cinta dan cinta sejati. Cinta mahu memiliki tapi cinta sejati tidak meminta apa-apa hak. Dia hanya mahukan apa yang terbaik untuk yang dicintainya dunia dan akhirat.”

“Saya percaya hati akak sudah tenang,” balas Azmi. “Jadi bolehlah tulis kisah cinta selepas ini.”

Aku tersenyum lebar. Ya, hatiku telah tenang setelah mengambil keputusan. Bagaimanapun untuk menulis kisah cinta…. Aku belum bersedia.

“Akak takut, kisah yang akak tulis tu akan jadi kisah sedih. Kisah cinta yang tak kesampaian seperti realiti kehidupan akak juga.”

“Ada saja orang yang suka baca kisah sedih, kak.Asalkan kisahnya memberikan penyelesaian yang betul. Kalau kisah putus cinta lepas tu bunuh diri, memanglah salah,” balas Azmi.

“Entahlah. Akak belum punya kekuatan,” kataku.

“Hadapi ketakutan, kak. Akak seorang yang kuat.”

Aku diam lagi.

Keesokan harinya aku tinggalkan Pulau Damai. Aku ucapkan selamat tinggal kepada Kak Nab sekeluarga dan juga Azmi yang menghantarku ke jeti. Dalam genggamanku, tasbih pemberian Azmi kugenggam kemas seperti aku mengenggam keazaman. 

Biarlah cinta aku tidak kesampaian tetapi tidak seharusnya aku hidup dalam kesedihan yang berpanjangan. Sungguh akan tiada lagi gurauan. Tiada lagi kenangan manis. Namun aku tetap akan mendoakan kebahagiaan dia dalam setiap doaku. Kebahagiaannya... kebahagiaanku jua.


* terima kasih kerana sudi meluangkan masa membacanya ya ~MK


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.