Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
37,600
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 9

Bab 9

TUBUH Rafiq menggigil kerana terkejut.Sedang dia sedap-sedap tidur, tiba-tiba telinganya diasak oleh suara marah-marah Mak Minah di luar biliknya. Dia terkejut lalu terbangkit secara spontan di atas katil. Keliru sekejap fikirannya.

“Apa hallah pula ni?” Dia merungut sendiri. Selimut ditolak ke tepi.

Dengan perasaan malas dan berat dia duduk seketika di birai katil sambil memicit kepalanya. Perlahan-lahan dia menghulurkan tangannya untuk mengambil jam tangan yang terletak di bawah bantal.

“Awal lagi,” katanya sambil merebahkan semula kepala ke atas bantal. Baru sahaja hendak terpejam semula, telinganya menangkap bunyi-bunyi bising lagi.

“Engkau tak tahu nak bangun pagi ke? Kan aku dah suruh engkau pergi bayar bil-bil tu?”

“Mak… petang nanti kan boleh? Kenapa nak sibuk pagi-pagi ni?

“Dah berapa lama mak suruh bayar? Kau tak bayar-bayar juga. Kau nak tunggu orang datang potong dulu baru kau nak berlari ke sana?”

“Duitnya mana? Takkan nak bayar dengan gigi saja?”

“Duit? Duit yang kakak kau hantar bulan lepas tu mana? Satu sen pun mak tak nampak.” Perkelahian itu pun berterusan.

Rafiq menekup mukanya dengan bantal namun tidurnya sudah terganggu. Walau dipaksa-paksa mimpinya bersambung, namun akhirnya dia tetap terpejam celik tanpa kesudahan.

“Teruklah kalau hari-hari macam ni…” Dia merungut sambil terlentang di atas katil dan merenung siling. Dia biasa tidur semula selepas bersolat Subuh di awal waktu. Oleh kerana jarak dari situ ke tempat kerjanya cuma tak sampai 10 minit, dia bercadang untuk bangun pada pukul 8.00 pagi. Kini rancangannya musnah dan kepalanya sakit.

Dia bangun semula dan melangkah longlai ke muka pintu. Daun pintu dibuka sedikit dan dia menjenguk keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Mak Minah dan Usop yang belum habis-habis bertengkar berpaling apabila terdengar bunyi pintu bilik Rafiq dibuka.

“Engkau pun baru bangun?” Mak Minah menyergah sambil bercekak pinggang.

Rafiq terkedu tetapi dia tetap mengangguk. “Apa hal ni, Mak Minah?”

Mak Minah menjeling. “Engkau tak usah masuk campur. Ini hal aku.”

Aik? Dia pula yang kena marah? Siapa yang ganggu siapa ni? “Bukan nak campur cuma… terkejut tadi.”

“Terkejut apa bendanya? Matahari dah keluar dah, tak tahu nak bangun lagi? Engkau ni kerja ke tidak?”

“Kerja. Masuk pukul 9.00 pagi.” Rafiq menjawab laju. Ibu dia di rumah pun tidak pernah berleter begitu, fikirnya.

“Eloklah tu. Jangan jadi macam si Usop ni. Suruh cari kerja, tak mahu. Nak tidur saja yang tahu,” balas Mak Minah seraya mengatur langkah menuruni tangga.

Rafiq pandang sahaja. Rasa-rasanya hari tu juga dia hendak berpindah ke hotel.

*****

TEPAT sepuluh minit sebelum pukul 9.00 pagi, Rafiq sudah terpacul di bangunan Swenson Land. Setelah menandakan kad kehadirannya dia terus naik ke pejabatnya yang hanya berselang empat buah pintu daripada bilik Jeremy.

Pejabatnya tidak besar sangat, hanya ada sebuah meja, tiga buah kerusi, sebuah rak panjang dengan pelbagai dokumen dan sebuah sofa dua tempat duduk di tepi pintu. Namun mujurlah permandangan di luar tingkapnya menghala ke jalan besar. Sekurang-kurangnya tidak menghadap pokok sukun dan dia boleh bernafas dengan lebih lancar. Sedang dia menghidupkan komputer di atas mejanya, terdengar ketukan di pintu.

“Masuklah,” pelawanya apabila terpandang muka Jeremy di celah pintu yang dibuka.

Jeremy masuk sambil tersenyum. “Sorry semalam tak dapat jumpa. Kena pergi Johor, cawangan sana ada masalah dengan pekerja.”

“Tak apa, semalam pun saya baru tengok-tengok apa kerja saya dekat sini,” balas Rafiq. Wajah Jeremy yang sentiasa tersenyum itu membuat paginya ceria sedikit. Ada juga perkara yang boleh membuat dia tersenyum pada pagi itu.

“Macam mana rumah tu?”

“Okeylah.” Dia menjawab perlahan. Hendak diadukan masalah pun bukannya Jeremy boleh buat apa-apa. “Tapi kalau boleh, saya mahu cari rumah lain.”

Jeremy angguk. “Memang ada sebuah rumah kosong, tapi tuan rumah dia mahu cat semula dulu. Kalau mahu, saya booking dululah untuk awak. Mungkin lagi dua minggu boleh siap.”

“Boleh juga.”

“Kenapa dengan rumah tu? Tak bagus?”

Rafiq menggumam. Macam mana dia harus bercerita tentang rumah sewa yang kotor, berhabuk, hapak dan gelap? Malah apabila dia balik kerja pada petang semalam, seluar yang dijemurnya di ampaian telah hilang. Apabila ditanyakan kepada Mak Minah, Mak Minah kata tidak tahu-menahu. Macam mana pula dengan pertengkaran yang selalu dengarinya pada setiap pagi dan petang di rumah itu? Apalagi berkenaan suara halus yang menyanyikan lagu Cina pada setiap tengah malam? Akhirnya dia hanya terkebil-kebil memandang Jeremy. Satu apa pun tidak terluahkan.

“Dari siapa awak tahu tentang rumah tu?” Di hatinya mula timbul persoalan.

“Dari Johan. Kita punya despatch boy. Dia tinggal areadekat situ juga.” Wajah Jeremy mula berubah serius. “Betul kan sewanya satu ratus ringgit saja?”

Rafiq angguk. Kini dia mula faham kenapa sewanya murah. Mungkin sebelum dia, sudah ramai penyewa yang datang silih berganti. Siapa yang boleh bertahan lama dengan situasi seperti itu?

“Kalau Johan ada, cakap dengan dia saya mahu jumpa.” Entah kenapa idea itu muncul di benaknya. Mungkin kerana geram atau tidak puas hati. Terasa juga dirinya seolah-olah dipermainkan.

“Boleh, boleh. Nanti saya beritahu staf di bawah suruh dia naik jumpa awak. Tapi kenapa? Awak macam ada masalah saja?”

Kali ini Rafiq tersenyum. Jeremy nampaknya mahu sangat membantu dan ambil tahu. Tidak sanggup pula dia mengecewakan kawan barunya itu. “Rumah tu memang ada masalah sikitlah, Jeremy. Macam ada yang tak kena.”

“Tak kena macam mana? Bilik dia sempit ke?”

Rafiq geleng. Dia belum mahu menyebut dengan terperinci cuma dia mula berasa pelik setiap kali dia pulang ke rumah itu. Macam masuk ke rumah hantu pun ada juga. Rumah itu ada aura yang menyeramkan. Seolah-olah pada dinding-dindingnya ada mata yang memerhati dan ada telinga yang mendengar.

“Bilik okey. Ada katil dengan almari tapi di luar bilik, rumah tu macam pelik sikit.”

“Pelik? Mungkin awak tak pernah tinggal di dalam rumah lama kut… Tentulah awak rasa pelik.”

“Mungkin juga. Rumah tu macam muzium pun ada, semua benda-benda di dalam rumah tu barang-barang lama saja,” katanya untuk menutup cerita.

Namun di matanya terbayang-bayang perabot lama di beberapa sudut rumah itu, termasuklah sepasang tanduk rusa di tepi tangga. Kalau ada orang yang jual tiket di hadapan pintu, jadilah muzium.

“Okeylah, nanti saya suruh Johan jumpa awak.” Jeremy bangkit daripada kerusi. “Kita pergi lunchsama, saya belanja.”

Rafiq senyum tanda bersetuju. Sebaik sahaja pintu pejabatnya tertutup semula, dia menarik nafas dalam-dalam. Mungkin dia patut habiskan masa lebih lama di situ daripada di rumah. Hanya di situ, dia berasa bukan seperti barang antik.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.