Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
38,525
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 4

Bab 4

SELEPAS hampir lima jam meninggalkan Ipoh, kereta yang dipandu Rafiq menuruni Tol Ayer Keroh dan menuju ke arah bandar. Tempat pertama yang ditujunya ialah Bangunan Swenson Land Sdn. Bhd. yang terletak di Jalan Bendahara. Dia mesti mencari Mr. Jeremy untuk menyelesaikan masalah tempat tinggal dahulu. Selagi tidak selesai, perut pun tidak terasa lapar walaupun jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 3.00 petang dan cuaca pula panas terik.

Dengan hanya berpandukan papan tanda di tepi jalan, dia cuba mengagak arah yang patut dituju dan akhirnya dia sampai juga ke kawasan bandar hilir. Bangunan Swenson Land tidak begitu sukar dicari kerana ia adalah bangunan rumah lama yang telah diubah suai menjadi sebuah bangunan pejabat dua tingkat yang bercirikan kolonial. Setelah memakir keretanya di pekarangan bangunan itu, dia mematikan enjin. Serentak itu, hatinya berdebar kencang. Pelbagai jangkaan terbayang di kepalanya.

Cat putih menatari segenap ruang bangunan yang bersimetri dan mempunyai dua menara di kiri-kanannya. Apabila menjengah masuk ke dalam bangunan Swenson Land, yang pertama menarik perhatian Rafiq ialah silingnya yang tinggi dengan dua buah tangga besar di kiri kanan ruang legar. Selepas mendaftarkan diri di meja penyambut tetamu, dia terus menaiki tangga ke tingkat dua.

Dari situ, dia menyusuri pula laluan yang terbuka hingga ke hujung, dia akhirnya bersua dengan bilik Sumber Manusia yang dicari-cari. Dari muka pintu lagi, dia terlihat seraut wajah manis seorang lelaki Cina bertubuh gempal. Dia berasa sedikit gementar.

Lelaki Cina itu mengangkat muka sebaik sahaja Rafiq membuka pintu.

“Encik Rafiq?” Dia menghulurkan tangan seraya mempersilakan Rafiq duduk di hadapannya. “Baru sampai ke?”

Pipi montelnya nampak berkilat. Cara bercakapnya tidak pelat.

Rafiq terangguk-angguk seraya cuba bersikap tenang. Rasa kekok dan segan masih lagi terasa namun sikap Mr. Jeremy yang mesra itu membuat hatinya lega sedikit. Dia tidak ada pilihan selain daripada terus menunggu Mr. Jeremy membuka mulut mengenai rumah itu. Dia segan untuk mendesak.

“Pasal rumah tu, saya dah tanya pada staf, tapi sebab tempat kerja kita ni di tengah bandar jadi susah sikit nak dapat rumah yang sesuai,” kata Mr Jeremy.

Dup! Jantungnya berdegup kuat hingga terasa agak senak. Alamak! Macam mana ni? “Jadi… tak adalah ya?” tanyanya teragak-agak.

Mr. Jeremy tersenyum. “Ada… ada… Ada sorang staf sini beritahu ada sebuah rumah dekat Jalan Semerang mahu sewakan bilik. Murah pula tu… Seratus ringgit saja sebulan. Boleh masuk bila-bila masa.”

Rafiq separuh ternganga. “Seratus ringgit saja? Kenapa murah sangat?”

“Tak tahu. Saya rasa lebih baik awak pergi tengok dululah. Kalau tak suka, kita cari lain.”

“Boleh juga,” jawabnya. Sebenarnya dia berasa agak lega. “Ada alamatnya?”

“Ada.” Mr. Jeremy menarik laci mejanya yang ditimbuni pelbagai kertas dan dokumen lalu mengeluarkan sehelai kertas bersaiz A5 berwarna putih.

“Ni dia. Pergilah tengok dulu. Jalan Semerang dekat saja dari sini. Awak pusing balik masuk ke Jalan Munshi Abdullah, kemudian masuk simpang ke dua sebelah kiri. Lepas tu masuk simpang kanan. Di situ banyak rumah lama-lama. Tapi awak jangan bimbang, ini rumah Melayu.”

“Terima kasih banyak-banyak, Mr. Jeremy.” Rafiq tersenyum lega. Sekurang-kurangnya dia sudah ada tempat tidur malam itu tanpa menyusahkan sesiapa. Itu yang paling dia tidak suka.

“Esok masuk kerja pukul 9.00 pagi. Nanti staf dekat bawah tunjukkan awak pejabat awak.” Mr. Jeremy pandang muka Rafiq lama-lama.

“Okey, esok saya masuk kerja. Biar saya pergi tengok rumah ni dulu,” balas Rafiq sambil berdiri dan menghulurkan salam sekali lagi.

Salamnya bersambut.

“Lain kali panggil saya Jeremy sajalah.” Jeremy ketawa kecil, mata kecilnya bersinar-sinar.

Rafiq angguk. Senyumannya makin lebar. Lega hatinya kerana dia sudah mendapat seorang kawan baru yang baik dan periang, sebuah tempat kerja yang selesa dan sebuah alamat rumah ada di tangannya. Jadi, dia benar-benar bersyukur. Nasibnya mungkin tidaklah seteruk mana.

******

SETELAH singgah makan tengah hari di sebuah restoran terbuka di hadapan sebuah bank, Rafiq terus memandu mengikut arahan yang diberikan oleh Jeremy tadi. Masuk simpang kedua di sebelah kiri, kemudian masuk ke simpang sebelah kanan. Selepas tidak sampai 10 minit, dia sudah berada di Jalan Semerang. Ada papan tanda tertampal pada dinding sebuah bangunan di situ. Jelas tertulis ‘Jalan Semerang’.

Dekat betul ni, kata hatinya. Sedikit terkejut dengan keuntungan nasibnya hari itu. Lalu, dia terus memandu dengan lebih perlahan sambil matanya meliar ke kiri kanan jalan.

Jalan Semerang itu bukanlah jalan utama oleh itu tidaklah begitu besar dan diapit oleh deretan rumah-rumah yang pelbagai bentuk. Namun begitu, daripada rupa bentuk dan keadaan rumah-rumah di situ yang agak kusam, dia bersetuju dengan kata-kata Jeremy bahawa rumah-rumah di situ adalah rumah-rumah lama dan mungkin ada yang boleh diwartakan sebagai warisan bersejarah juga. Dalam terfikir-fikir dia tiba di hadapan sebuah rumah batu dua tingkat. Pagarnya tertutup rapat.

Rafiq membaca semula alamat yang diberikan Jeremy tadi beberapa kali. Nama jalan dan nombor rumahnya sudah betul. Nombor 27 tertera dengan jelas di atas tiang batu yang berdiri tegak di sebelah kanan pagar rumah itu yang sudah berkarat. Rafiq melemparkan pandangan matanya jauh ke dalam. Sebuah rumah bercat putih kekuningan yang kelihatannya sunyi sepi kini berada tepat di hadapannya. Ada ke tidak, tuan rumah ni? Dia mula risau semula.

Setelah memarkir keretanya di tepi jalan, dia lantas membuka pintu pagar dan masuk ke pekarangan rumah itu. Yang pertama dilihatnya ialah pokok-pokok sukun yang berjajaran di kiri kanannya bagaikan memagari halaman yang ditumbuhi rumput liar. Di tengah kawasan itu tegak sebuah rumah dua tingkat yang bentuknya sangat ringkas seperti kotak yang ditebuk empat lubang sebagai tingkap. Semakin dia mendekati rumah itu, semakin hatinya berasa tidak sedap.

Betul ke aku nak tinggal di sini? Hatinya mula berbolak-balik. Seperti ada sesuatu yang tidak digemarinya di situ, mungkin kerana bentuk rumah itu yang sudah ketinggalan zaman ataupun kerana halaman yang seperti tidak terurus. Sambil berfikir, dia tiba juga di hadapan pintu rumah itu. Salam pun dilaungkan.

Sambil menunggu jawapan, dia memerhati ke sekeliling. Serambi rumah itu tidaklah begitu luas dan hanya diletakkan dua buah kerusi rotan yang hampir reput. Pasu-pasu bunga di tepi serambi itu juga kelihatan terbiar kerana pokok bunga di dalamnya sudah layu. Di satu sudut serambi itu pula terdapat longgokan kasut-kasut buruk yang berhabuk tebal. Berdiri lama di situ mula membuatkan hidungnya gatal.

Krek!!! Pintu kayu itu terbuka. Muncul seraut wajah garang dengan mata yang hampir terjengil. Wanita bertubuh gempal dan berkulit pucat itu hanya mengangkat dagu sebagai bertanya.

Rafiq tergamam. Semangatnya lucut seketika.

“Saya… nak cari bilik sewa. Ada kosong lagi tak?” Dia kelam-kabut bertanya. Bimbang pula wanita itu menutup pintu kerana menyangkakan dia hanyalah seorang jurujual.

Wanita itu tidak menjawab. Dia sekadar membuka pintu rumah itu agar lebih besar. Kemudian dia berpaling dan bergerak masuk ke dalam.

Rafiq berasa serba-salah tetapi sudah alang-alang sampai ke muka pintu, dia akhirnya melangkah masuk juga.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.