Home Novel Seram/Misteri SUARA TENGAH MALAM
SUARA TENGAH MALAM
Maria Kajiwa
23/6/2013 11:30:52
38,525
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Bab 8

BAB 8

SEKEPING cek ditolak perlahan di hadapan Botak. Zed menunggu.

Botak mengambil cek itu. Membacanya, kemudian tersenyum. “Aku dah jangka,” katanya.

“Dia pernah selamatkan nyawa aku.” Zed menjawab. Tidak perlu dia menyembunyikan apa-apa kerana yang pentingnya dia sudah membayar harga nyawa Poyi dengan cek itu. Sepatutnya Botak tidak mempersoalkan duit itu datang dari siapa atau dari mana. Duit tetap duit dan tetap akan bernilai selagi tidak palsu. Itu sahaja yang penting buat orang macam Botak.

Botak angguk. Cek itu diserahkan kepada pembantunya pula. Dia lantas bangun dan berdiri di tepi tingkap pejabatnya sambil membelakangkan Zed. Lama dia termenung di situ seperti berfikir. Kemudian dia menoleh semula ke arah Zed.

“Kau sudah bersedia?” tanyanya.

Zed geleng.

“Kenapa?” Botak seperti tidak menjangkakan jawapan itu.

“Aku akan tinggalkan tempat ini malam ini juga,” jawab Zed.

“Kau baru seminggu di sini. Hari tu kata nak duduk sini lama-lama.” Botak renung wajah adiknya.

“Dia ada di sini.”

“Siapa?”

Zed diam. Dia tahu Botak pasti tahu siapa yang dimaksudkan.

Kemudian Botak menggeleng beberapa kali sambil merenung wajah Zed lagi.

“Sampai bila kau nak main kejar-kejar macam ni? Sampai bila?” Suaranya sudah tinggi. Jelas sekali Botak tidak setuju dengan keputusan Zed kali ini.

“Selagi dia hidup,” jawab Zed.

“Kalau macam tu,” kata Botak. Sepucuk pistol jenis Revolver dikeluarkan dari dalam laci mejanya dan diletakkan di hadapan Zed. “Habiskan saja dia. Kau tak perlu lari lagi.”

Zed tersenyum sinis.

“Kalau aku nak bunuh dia, aku tak perlukan pistol kau. Cukup dengan duit saja. Bersih.” Pistol itu ditolak semula ke hadapan Botak.

“Tapi aku tak setuju kau lari lagi. Cukuplah tiga tahun kau ke sana sini dengan perempuan tu. Cukuplah kau buang masa muda kau. Tamatkan saja. Kau dah menang,” balas Botak dengan tenang sekali.

Zed melepaskan nafas. Terasa panas. Terbayang di matanya kelibat Adam di pasar besar pagi tadi. Kenapa Adam boleh tiba begitu cepat kali ini? Adakah Adam makin cekap atau dia yang makin cuai? Dia tidak ada jawapan cuma dia harap bukan jawapan yang kedua. Dia belum puas bermain.

“Aku perlukan kau di sini.” Botak merenung muka Zed lagi. “Dan aku akan buat apa saja supaya kau kekal di sini.”

Dahi Zed perlahan-lahan berkerut. Dia dapat menangkap maksud kata-kata Botak dengan jelas. Serentak dengan itu terasa hatinya panas dan sejuk berulang-ulang.

“Jangan buat apa-apa pada dia. Dia milik aku,” katanya.

“Okey, aku tak ganggu barang permainan kau tapi dengan satu syarat,” kata Botak.

Mata Zed terkebil-kebil. Dia sedar abangnya sedang mengambil kesempatan di atas kelemahan dia. Silapnya kerana masuk ke gelanggang yang salah. Ini tempat permainan Botak. Dia silap besar.

“Kau kerja dengan aku. Sambil tu kau bermainlah dengan dia sepuas-puas hati kau. Lagipun aku percaya, tak lama lagi dia tentu akan berambus dari sini.”

Zed tidak memberikan apa-apa jawapan. Dia masih berfikir.

“Kau nak tahu bagaimana untuk buat permainan kau lebih menyeronokkan?” Botak ketawa. “Steel cage. Saling membunuh dalam satu sangkar. Baru betul-betul maco. Bukan main kejar-kejar macam kucing dengan tikus, itu permainan budak-budak kecil.”

“Asalkan kau tak sentuh dia,” balas Zed. Nampaknya Botak sengaja mencabarnya. Dia juga tidak ada pilihan. Dia masih mahukan Adam dan Liyana terus hidup supaya kedua-duanya merasa apa yang dia rasa setiap saat, setiap minit dan setiap hari.

Botak angguk. “Buat apa yang aku suruh.”

“Deal,” balas Zed. Mungkin betul juga kata Botak, steel cage lebih menyeronokkan. Dia akan buat Adam gila. Dia akan buat Adam serik mengejarnya dalam negeri itu. Dia akan buat Adam takut pada bayang-bayangnya. Ya, lebih seronok.

“Tengah malam ni aku nak kau ke Jalan Tiga. Usir Naga Tongga dari kawasan aku. Kau tahu apa yang kau perlu buat, kan?” Botak terus memberikan arahan yang pertama.

Zed tidak menjawab, sebaliknya dia hanya merenung wajah abangnya lama-lama. Kemudian dia bangun dan menolak kerusi.

“Tak perlu tunggu tengah malam.” Dia pun beredar.

*******

PUKUL 4.00 pagi,Zed sampai ke pangsapurinya semula. Rumah yang sunyi sepi, kini sedikit riuh dengan suara-suara orang-orangnya yang diajak ke situ. Walaupun dia balik dengan kesakitan dan luka sana-sini, dia tetap menjenguk Liyana di dalam bilik.

Selak besi pada pintu Liyana ditarik perlahan. Bilik itu pun terbuka. Dia mencelah masuk, sebelum menutup pintu di belakangnya. Dalam remang cahaya lampu tidur yang terpasang di tepi kepala Liyana, dia dapat melihat perempuan itu sedang tidur dengan nyenyaknya. Berselimut dari kaki ke paras dada.

Lalu perlahan-lahan, dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan duduk menghadap katil. Terasa penatnya menjalar turun dari kepala ke hujung kaki namun kesejukan bilik itu seperti menambah bisa pada kesakitan yang dirasainya. Kesakitan yang tidak dapat menandingi kesakitan di hatinya sejak lima tahun yang lalu.

“Saudara kena lepaskan dia. Pulangkanlah dia kepada keluarganya,” pujuk seorang lelaki yang kemudian diketahui namanya sebagai Adam.

Pada waktu itu dia dan Azreen baharu sahaja keluar dari Hotel Holiday di Wilayah Patthalung, Thailand. Dia berhajat mahu membawa Azreen, isteri yang baru dinikahinya sehari ke Pesta Long Rua-Lae-Nok-Thale Noi untuk melihat sebuah tasik besar yang dipenuhi bunga teratai. Sayangnya hajat mereka tidak kesampaian.

Dan hajat itu terus tidak kesampaian hingga ke hari ini. Semuanya gara-gara lelaki itu. Adam.

“Dia sudah jadi isteri aku,” katanya dengan tegas sambil mencekak pergelangan tangan Azreen dengan kuat. Dia tidak akan biarkan Azreen dibawa pergi darinya. Azreen miliknya, Azreen isterinya, cintanya.

“Aku tahu kamu berdua dah nikah semalam tapi dengarlah nasihat aku. Kembalilah ke negara kita secepat mungkin. Berjumpalah dengan ibu bapa Azreen. Kita selesaikan hal ini dengan cara baik,” pinta Adam.

“Sudah terlambat,” balasnya. “Perkara ini tak boleh diselesaikan dengan cara baik. Mereka tak suka aku bernikah dengan Azreen, sedangkan kami saling mencintai.”

“Kau sendiri tahu sebabnya, kan?”

Dia diam tetapi hatinya masih menolak.

“Azreen masih bersekolah. Baru berusia 14 tahun,” tambah Adam.

“Diam!” Dia menjerit lalu menolak Adam sampai tersungkur ke kaki lima. “Kalau aku jumpa kau lagi, kau mati.”

Lalu dia pun beredar bersama Azreen. Sangkanya dia berjaya mengawal segalanya hanya dengan sekeping surat nikah. Dia tersilap. Adam seperti bayang-bayang yang mengejarnya ke mana sahaja dia pergi.

“Erm…” Liyana bergumam sebelum mengalihkan tubuhnya ke kanan. Kini Liyana tidur mengiring.

Dia tersedar. Ingatannya kepada Azreen terus pudar. Isterinya yang dicintainya itu sudah lama mati tetapi perempuan yang berada di hadapannya akan menggantikan tempat Azreen sampai bila-bila. Semua ini berlaku kerana lelaki itu.

Lelaki yang bernama Adam.

******

LIYANA terjaga dari tidur apabila telinganya menangkap bunyi azan. Dia yakin, bunyi azan yang merdu itu datangnya dari Masjid Selat, yang boleh dilihat dari bilik itu. Cuma dia kesal setiap kali bunyi azan berkumandang, dia hanya boleh mendengar tanpa berbuat apa-apa. Sejak ditawan oleh Zed, dia sudah tidak pernah melihat kain telekung lagi malah tudung yang sentiasa menutup rambutnya selama ini, sudah lama dibuang oleh Zed. Hidupnya sudah benar-benar berubah.

Apabila dia mencecahkan kakinya ke lantai yang sejuk, baru dia sedar Zed sedang tertidur di atas kerusi sambil duduk dengan kepala yang terlentok. Muka Zed calar-balar malah dia terlihat kesan darah di baju dan seluar yang sudah mengering. Tetapi dia tidak bersimpati, apatah lagi berasa kasihan. Lelaki itu memang patut mati sahaja.

“Dah bangun?” tanya Zed.

Liyana terkejut. Sungguh dia terkejut apabila Zed tiba-tiba sahaja membuka matanya. Kalaulah dia bangun lebih awal, mungkin dia boleh menghentak kepala Zed dengan apa sahaja benda yang boleh dicapainya. Biar kepala itu pecah berderai dan dia boleh cabut lari. Sayangnya semua bayangan itu hanya berlegar dalam kepalanya. Zed seorang lelaki yang teramat peka, telinganya bagaikan telinga lintah. Sukar untuk dia melihat Zed terleka.

“Pukul berapa ni?” Zed bertanya lagi sambil menggosok rambutnya ke belakang. Kemudian bangun menggeliat dan melegakan pinggang.

“Dekat pukul enam,” balas Liyana sebelum berjalan menuju ke bilik air. Tiga tahun bersama Zed, dia tetap berwaspada walaupun Zed tidak pernah cuba menyentuh dirinya kecuali dengan niat untuk menyakiti.

Zed melepaskan keluhan, kemudian berjalan menuju ke arah pintu. Berhenti sekejap dan menegur Liyana.

Katanya, “Maafkan aku, semalam.”

Liyana tidak membalas apa-apa. Dia hanya meneruskan langkah ke bilik air dan menutup pintu. Di situ, dia termenung.

Setiap kali Zed membelasahnya sampai pengsan atau berdarah-darah, Zed akan minta maaf selepas itu. Dia sudah lali. Hanya kerana dia percaya semua penderitaan itu akan berakhir apabila ditetapkan Tuhan, dia terus bertahan. Dia terus berdoa. Dia tidak mahu putus asa.

Air matanya yang menitik, membuatkan dia tertunduk. Kemudian tangisannya menjadi lebat. Dia ingin pulang.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.