Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
890
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 6

"ABANG..." Suara Shima lembut memanggil suaminya. Diperhatikan suaminya melalui pantulan dari cermin meja solat. Rambut Shima yang panjangnya separas bahu itu disikat lembut.

"Iya... Ada apa sayangku..." Jawab Mikael sekadar berbasa-basi. Matanya masih melekat pada Tablet berjenama Samsung miliknya. Walaupun terdapat pelbagai lagi tablet dari jenama lain, tetapi dirinya masih setia dengan produk dari Korea Selatan itu.

"Saya ingat, saya nak ambil tukang kebunlah... Boleh tak abang?" Tanya Shima. Rambutnya yang panjang itu disisir rapi dengan sikat. Dia masih memerhatikan suaminya melalui cermin di hadapannya. Kelihatan dahi suaminya sedikit berkerut.

"Tu kenapa pulak berkerut dahi tu? Abang tu mula la... Mesti abang tak setujukan?" Wanita yang berusia 38 tahun itu serkap jarang. Shima memuncungkan mulut.

"Awak ni, saya tak sempat cakap apa-apa lagi awak dah serkap jarang." Mikael meletakkan tablet miliknya di atas katil. Hilang moodnya untuk membaca review mengenai sebuah filem seram yang sedang ditayangkan di panggung wayang. Dia ingin tahu ulasan filem itu kerana dia berminat untuk membawa Maisarah menonton bersamanya hujung minggu nanti. Kalau ulasannya tidak menarik Mikael tidak ingin membazirkan duitnya untuk tidur di dalam panggung.

"Alah... Saya tengok muka awak tu pun saya dah tahu yang awak tak setujukan? Dengan saya pun awak nak berkira." Sikat rambut yang dipegangnya diletakkan kasar diatas meja solek. Kakinya dilangkahkan ke sebuah sofa berwarna merah hati yang terletak di sudut bilik. Dia kemudiannya duduk diatas kerusi itu sambil memeluk lutut. Merajuk dengan sikap suaminya.

"Hurm...Saya bukan tak setuju..."

"Jadi maksudnya boleh lah ye?" Belum sempat Mikael menghabiskan kata-kata, Shima sudah menyampuk. Air mukanya yang mencuka tadi kini kelihatan ceria. Matanya bercahaya manakala bibir wanita yang berwajah keanak-anakkan itu terukir senyuman sehingga menampakkan barisan gigi putih yang tersusun cantik.

"Er... Tak?"

"Abang ni memang. Kalau saya minta apa-apa abang mesti berkira. Kalau dengan Maisarah boleh pulak. Dia nak bela kucing abang pun abang bagi. Padahal abang bukan tak tahu yang saya tak suka binatang berbulu tu!" Wajah cerianya tadi kini kembali masam. Lebih masam dari lemon. Mikael menepuk dahinya dengan tapak tangan.

"Hai! Takkan dengan anak sendiri pun nak jealous? Maisarah tu lain. Saya bagi dia bela kucing-kucing tu sebab saya tahu dia sunyi. Lagipun bela kucing tak banyak sangat belanja. Awak tu pulak nak gaji tukang kebun... Membazir awak tau tak..." Mikael cuba berlembut dengan isterinya. Dia bukan kedekut. Tetapi permintaan isterinya kali ini tidak masuk akal. Tukang kebun? Mikael menggeleng kepala.

"Bukan jealous... Tapi abang tu... Kalau saya minta apa-apa je mesti berkira. Kalau abang tak nak bayar tak apa... Saya boleh bayar dengan duit saya sendiri." Mikael menggeleng kepalanya sekali lagi. Kalau dia kedekeut tentulah dia tak akan benarkan isterinya itu menghabiskan duit untuk shopping itu ini.

"Abang bukannya nak berkira, tapi awak fikirlah balik, membazir la tukang kebun semua tu. Awak pun boleh uruskan sendiri bunga-bunga kesayangan awak tu... Lagipun Puan Shima, bunga awak tu ada sepuluh pasu je... Bukannya beratus sampai nak kena upah tukang kebun."

"Awak ni, memang la bunga saya tu ada sepuluh pasu aje, tapi lepas ni saya nak tambah lagi koleksi bunga saya tu. Saya dah pesan lagi sepuluh jenis bunga dekat kedai bunga di bandar tu. Lepas tu saya cadang nak berkebun. Saya ingat nak bercucuk tanam. Nak tanam sayur, pokok pisang, pokok ubi... Awak dengan Maisarah jugak yang suka makan semua tu kan? Lagi satu, Rumput di halaman rumah kita tu? Siapa yang nak potong? Awak tu dah la selalu outstation. Kalau ada tukang kebun kan senang, dia boleh uruskan. Saya ni fikirkan tentang awak dan Maisarah. Tapi awak pulak selalu fikir yang saya ni nak membazir duit aje..." Shima menarik kembali muncung setelah puas membebel panjang.

"Oh... Kenapa tak cakap? Okey lah...Okey..." Mikael terpaksa bersetuju. Mendengar bebelan isterinya tadi sahaja sudah membuatkan dia hampir termuntah. Pening. Kalau isterinya merajuk nanti susah pulak hendak dipujuk.

"Boleh ye? Terima kasih abang... Sayang abang sangat-sangat... Esok saya panggil tukang kebun tu datang ye?" Shima melompat ke arah Mikael. Hampir sahaja lelaki terhumban ke atas katil.

"Eh? Dah ada orang? Cekap awak ye?" Mikael memeluk pinggang isterinya dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi digunakan untuk mencubit pipi bulat cinta hatinya itu.

"Mestilah. Isteri siapa?" Shima melakukan aksi flip hair. Tingkahnya mengundang ketawa kecil si suami. Bahagia suaminya melihat kegembiraan isteri tercinta. Benarlah bak kata P.Ramlee, 'siapa yang tak sayang bini oi...'

"AMIR... Kau nak pergi mana pagi-pagi buta ni?" Zahlia yang sedang menyapu di ruang tamu memandang ke arah adiknya yang sudah siap berpakaian seluar track dan baju jersi bola sepak pasukan kegemarannya, JDT. Padahal keluarga mereka bukannya berasal dari Johor pun. Keturunan Perlis jati, cuma bermastautin di negeri orang sahaja.

"Kerja." Jawab Amir pendek sambil melihat dirinya dihadapan cermin. Kemudian dia menghadiahkan senyuman untuk dirinya sendiri dihadapan cermin tersebut.

"Kerja? Kerja apa? Kau tu budak sekolah lagi. Kau jangan cakap kau berhenti sekolah... Aku hempuk kepala kau dengan sofa ni karang..." Zahlia memberi amaran kepada adik lelaki kesayangannya itu. Walaupun hidup mereka tidak semewah orang lain, tetapi itu tak bermaksud mereka sampai tak cukup makan pakai. Duit insurans dan juga wang simpanan orang tuanya masih mampu untuk menanggung kehidupan mereka sampai Amir ke universiti.

"Akak ni, ke situ pulak... Amir ni kerja part time aje la. Takkanlah Amir nak berhenti sekolah? Agak-agaklah... Kalau Amir berhenti sekolah macam mana Amir nak jadi pilot. Kalau Amir tak jadi pilot, tak dapatlah akak nak beriparkan stewardess hot..." Amir mengenyit mata kepada Zahlia. Gadis itu sekadar mencebikkan muka.

"Kau tu budak lagi. Jangan nak gatal sangat. Belajar dulu. Dah kerja baru fikir bercinta." Tegas Zahlia. Amir sahajalah harapannya kini. Zahlia sendiri masih belum tahu bila dia akan mempunyai kekuatan untuk menyambung kembali pengajiannya yang tertangguh. Dia ingin melunaskan impian ibu bapanya untuk melihat dia mengenggam ijazah.

"Eleh... Macam la akak dulu tak gatal. Keja berkepit dengan abang Rayyan je..." Amir tersengih sumbing. Sengaja dia menyebut nama lelaki itu untuk melihat reaksi Zahlia. Kalau dahulu dia tidak berani langsung menyebut tentang lelaki bermata biru itu kerana takut Zahlia bersedih, tetapi kini dia tahu Zahlia lebih kuat. Masa telah mematangkan kakaknya.

"Apa kau cakap?" Penyapu yang dipegang digunakan untuk mengejar Amir sehingga ke muka pintu. Amir hanya berlari keluar rumah sambil mengekek ketawa melihat wajah kakaknya yang sudah bertukar merah.

"Kau balik nanti siap kau!" Jerit Zahlia dihadapan pintu. Mujurlah rumah mereka terasing dari rumah orang lain. Kalau tidak malu Zalia dengan jiran-jiran mendengar suara Zahlia terpekik-pekik begitu.

"Eh, lupa nak tanya dia kerja dekat mana? Hurm... Tak apalah. Balik nanti aku tanya. Sekarang fikir nak masak apa..." Zahlia mengunci pintu rumahnya setelah melihat adiknya kian menjauh. Langkah kaki dibawa ke dapur sambil memikirkan tentang menu tengah hari untuk mereka dua beradik.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.