Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
66,692
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 7

CUTI SEKOLAH kali ini dirasakan amat panjang. Selalunya pada musim cuti sekolah hujung tahun, Maisarah serta kedua orang tuanya akan melakukan pelbagai aktiviti seperti melancong, mendaki bukit ataupun sekadar beriadah di taman. Jika kedua orang tuanya sibuk pula. dia dan sahabatnya Aina akan bersama-sama ke perpustakaan awam yang terletak hanya 3 kilometer dari kawasan kediaman mereka.

Walaupun papa dan mama terlalu protective tetapi mama dan papa percaya sekiranya dia keluar bersama dengan dengan Aina. Itu pun sebab Aina mempunyai pengawal peribadinya sendiri. Ayah Aina merupakan salah seorang usahawan Melayu berstatus jutawan. Banyak orang yang dengki melihat kejayaan anak jati Pulau Pinang itu sehingga kereta Ferrari lelaki yang bernama Dato Shahril itu disimbah dengan asid.

Jadi demi keselamatan Aina, pengawal peribadi telah diupah untuk menjaga keselamatan anak gadis tunggal di dalam keluarga itu. Papa dan mama juga pernah merancang untuk mendapatkan khidmat pengawal peribadi untuk diri Maisarah tetapi ditentang hebat oleh remaja itu. Maisarah mengambil keputusan untuk mengunci diri di dalam bilik selama tiga hari. Mujurlah dia sempat menyeludup bekalan makanan ke dalam bilik sehari sebelum itu. Kalau tidak boleh kebuluran jawabnya.

Setelah memberikan makan kepada dua ekor kucing baru miliknya, Maisarah melangkah ke arah meja studi. Telepon pintar berjenama Oppo di ambil lalu jemarinya ligat mencari nombor telefon Aina. Rindu pada sahabatnya seorang itu. Walaupun baru semalam mereka berbalas WhatsApp, Maisarah masih belum puas. Rindu mendengar mulut becok Aina membebel.

"Hello... Nak apa..." Kedengaran satu suara serak dihujung talian.

"Hello, Assallamualaikum. Hoi! Tak bangun lagi ke? Pukul 12 dah ni." Maisarah mengeleng. Aina mesti tidur lambat lagi semalam. Gadis berkulit hitam manis itu bukan tahu bangun awal kalau cuti-cuti begini.

"Aku mengantuk la... Semalam aku layan balik cerita Running Man episod start dari episod satu sampai episod 8. Lepas subuh baru aku tidur..." Aina menguap sambil mengeliat. Mata yang terasa perit digosok perlahan dengan jari.

"Tak habis habis dengan Running Man marathon tu. Ni aku nak tanya, kau jadi ke nak datang rumah aku lusa?" Tanya Maisarah. Tangannya ligat mencari sesuatu di dalam laci.

"Jadi... Kenapa pulak tak jadi..." Jawab Aina, malas.

"Manalah tahu tetiba kau nak pergi melancong dengan bakal mama tiri pulak kan..." Usik Maisarah. Bapa Aina sudah 8 tahun menduda setelah kematian ibu Aina akibat kanser rahim. Baru-baru ini hatinya mula terbuka untuk mencari teman hidup bagi mengisi kekosongan hatinya. Wanita yang telah lama dikenali Aina itu merupakan sahabat baik ayah dan ibunya.

"Banyak la kau mak tiri... Aunty Aishah tak ada dekat sini. Dia balik Singapore seminggu. Nenek Piah tak sihat." Aina menggagahkan dirinya untuk bangun dengan perasaan malas. Rambut yang menutup separuh wajahnya diselak ke belakang. Kakinya melangkah mengambil tuala yang disangkut di atas kerusi dengan mata yang terpejam. .

"Okey. Just nak confirmkan je...Dah pergi mandi. Bau kambing kau tu dah sampai ke rumah aku dah ni." Maisarah mematikan talian. Malas mahu mengganggu rakannya itu lama-lama.Telefon pintar hadiah hari jadi dari mama dan papa itu diletakkan kembali ke atas meja. Matanya masih galak mencari sesuatu di dalam laci.

"Mana aku letak buku tu semalam? Rasanya semalam aku letak dalam laci ni." Kepalanya melilau melihat sekeliling biliknya. Akhirnya dia jumpa apa yang dicari.

"Bila masa aku letak dekat sini? Hurm... Tak kisahlah. Baik aku sambung baca." Maisrah menyelak ke helaian yang ditinggalkannya sebelum ini. Kesibukannya menolong ibunya mengemas rumah setelah selesai kenduri dua hari lepas membuatkan dia tidak sempat untuk membaca diari itu.

Aku mulai mengetahui rahsia ini melalui jurnal tinggalan Haji Abdullah. Namun jurnal itu terpaksa aku hapuskan untuk mengelakkan ianya jatuh ke tangan mereka yang tidak sepatutnya.Untuk mencatatkan didalam diani ini sahaja aku sudah berasa tidak enak. Tetapi aku perlu juga mencatatkannya. Aku takut MEREKA akan tiba ke sini. Andainya waktu itu tiba, sekurang-kurangnya catatan aku ini dapat digunakan untuk menentang MEREKA.

Mereka? Siapa mereka? Persoalan itu bermain-main difikiran Maisarah. Dia membelek-belek lagi sepintas lalu setiap helaian diari lusuh itu. Pelik. Hanya itu sahaja yang terlintas difikiran gadis itu. Dia tetap meneruskan pembacaannnya.

Hidup aku berubah setelah aku pergi melihat kerajaan disana. Mereka bukan kerajaan biasa. Mereka merupakan kerajaan yang kuat. Kekuatan mereka mungkin takkan tertanding dengan kekuatan tentera diseluruh dunia ini. Aku pernah melihat peperangan diantara mereka. Tentera manusia tidak akan dapat berdepan dengan mereka.

Apa benda ni? Menarik. Mungkin ini draf untuk novel agaknya. Itulah yang difikirkan Maisarah.

"Aduh!" Maisarah yang baru sahaja ingin meneruskan bacaan menghentikan niatmya. Kakinya berdarah kesan akibat dicakar.

"Black..kenapa kau cakar aku?" Tanya Maisarah kepada kucing berwarna hitam itu. Kucing itu menyeringai seperti sedang marah. Maisarah mengurut sedikit betisnya yang berdarah itu. Mujurlah luka itu tidak begitu serius. Petang nanti dia akan meminta papa membawanya ke klinik untuk dicucuk. Takut juga sekiranya berlaku jangkitan kuman. Tapi perkara ini harus dirahsiakan daripada mama. Kalau mama tahu, pasti mama tak akan membenarkan dia membela kucing-kucing ini lagi.

"Kenapa la kau benci sangat dengan aku Black? Aku ni cuma nak menumpang kasih aje. Aku ni dah la tak ada kawan dekat sini. Kak Melissa pun dah lama meninggal. Aku sunyi tau..." Rintih Maisarah. Setelah sakitnya beransur lega, Maisarah menapak ke almari pakaian miliknya. Pintu almari itu dibuka. Dia mengambil kotak medical aid kit lalu dia duduk di birai katil.

Selepas menyapu lukanya dengan anti septic dan ubat, dia melekatkan plaster di kawasan luka tersebut. Dia kemudian mengeluh sambil memandang kembali ke arah Black. Kucing hitam itu sudah tidak menyeringai lagi. Black hanya duduk sambil memandang ke arah Maisarah.

"Aku tak tahu kenapa? Tapi aku rasa kau tak sukakan aku kan, Black?" Kata Maisarah sendiri. Dia perasan dari hari mula dia membawa membawa masuk Black dan juga White ke rumah ini, Black seperti anti dengan dirinya. Tetapi dia manja pula dengan papanya. Setiap hari binatang itu akan menggesel-geselkan badannya di kaki papa. Black juga sering mengikut papa ke bilik bacaan di tingkat bawah.

Maisarah melangkah perlahan ke arah Black apabila kucing itu kelihatan seperti mula ingin melelapkan mata. Dia teringin sekali untuk membelai haiwan comel itu. Tetapi apabila tangan mula mahu menyentuh kepala Black, binatang itu segera bangun dan kembali menyeringai. Maisarah mengeluh hampa. Dia tak tahu kenapa? Tetapi dia memang tertarik dengan kucing berbulu hitam itu. Jika kucing lain, mungkin dia akan membiarkan sahaja kucing itu. Tetapi dengan Black, entahlah. Dia pun tak tahu.

Bunyi loceng mematikan lamunannya. Dia mengintai melalui jendela bilik tidurnya. Kelihatan seorang lelaki berdiri dihadapan pintu rumahnya. Loceng di dinding ditekan sekali lagi. Maisarah segera turun ke bawah untuk membuka pintu. Mamanya tiada. Mama ke kedai runcit di hujung kampung sebentar tadi untuk membeli Milo. Kalau stok minuman itu tiada, boleh merajuk papa dengan mama. Kadang-kadang terasa comel pula melihat perangai papa.. Dalam tegas, ada juga sifat kebudak-budakkannya.

"Kalau iya pun tunggu la sekejap. Tak sabar betul." Maisarah merengus kasar. Dia tidak suka orang menekan loceng rumahnya berkali-kali. Terasa keamanan rumah itu seperti diganggu.

"Yes..." Kata Maisarah sambil membuka pintu. Seorang remaja lelaki yang kelihatan sebaya dengannya tercegat dihadapan muka pintu sambil terkesima memandang ke arah Maisarah.

"Er... Assallamualaikum, Mak Cik Shima ada? Saya..."

"Mama tak ada. Awak ni siapa?" Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya Maisarah sudah menyampuk. Suaranya kedengaran agak kasar, tetapi gadis itu tidak sedikit pun menyedarinya. Moodnya tidak begitu baik hari ini. Dia tidak ada masa untuk beramah mesra dengan lelaki dihadapannya.

"Saya Amir, saya datang sebab Mak Cik Shima..."

"Sekejap lagi mama balik. Awak boleh tunggu dia di sana." Sekali lagi Maisarah mematahkan kata-kata lelaki itu. Jarinya menunjuk ke arah pondok buluh yang berada tidak jauh dari porch kereta papa. Pondok buluh itu dibeli papa bulan lepas. 2 minggu sebelum mereka berpindah ke sini.

"Ok..." Jawab Amir. Pintu rumah ditutup kasar oleh Maisarah. Amir melangkah ke arah pondok buluh itu dengan perasaan bengkak. Dia memang benci dengan orang yang bersifat kurang ajar dan berlagak. Tambah lagi kalau perempuan. Dia memang ada masalah sikit dengan kaum Hawa selepas kematian orang tuanya.

Semuanya bermula dengan kedatangan Mak Long Temah dan sepupunya Iman. Selepas ibu dan ayahnya meninggal, Mak Temah dan Iman mengambil keputusan untuk menjaga mereka dua beradik. Zahlia dan Amir tak kisah pun sebenarnya untuk tinggal berdua sahaja. Tetapi Mak Temah beriya-iya untuk menjaga mereka. Katanya dahulu sewaktu arwah ibu masih ada, dia tidak pernah melayan arwah adiknya itu dengan baik.

Dahulu Mak Long Temah memang cemburu apabila arwah Atok Din menghadiahkan set barang kemas arwah nenek Piah. Mak Long Temah memang nak sangat barang kemas pusaka tu. Tambah menyakitkan hatinya lagi apabila tanah kebun getah yang diidamkannya turut diberikan kepada arwah ibu. Padahal Mak Long Temah sebenarnya lebih kaya daripada arwah ibu. Suaminya memiliki rangkaian pasar raya Bumiputera yang terbesar di selatan tanah air.

Sepanjang seminggu pertama Mak Long Temah dan Iman berada dirumah mereka, semuanya sempurna. Mak Long Temah sangat baik. Segala keperluan, makan minum mereka dijaga. Dia juga rajin mengemas rumah mereka. Tapi yang peliknya sampai 4,5 hari sekali. Katanya dia memang suka mengemas.

Masuk minggu kedua perangai sebenarnya mula terdedah. Mak Long Temah dah macam cacing kepanasan. Macam ada yang tak kena. Kali ini dia tak mengemas rumah, tapi menyelongkar barang-barang dalam rumah. Gayanya bagai sedang mencari sesuatu. Bila ditanya Zahlia, Mak Long Temah Cuma berkata yang dia sekadar ingin mengubah suai sedikit susun atur barang-barang di dalam rumah itu agar lebih kemas dan ceria.

Masuk minggu ketiga, Zahlia dapat tangkap Mak Long Temah dan Iman mencuri masuk ke biliknya dan menyelongkar segala sudut bilik kecilnya. Waktu itu Zahlia sepatutnya keluar sebentar ke bandar untuk memperbaharui lessen memandunya, tetapi dia pulang semula ke rumah kerana tertinggal purse pink miliknya.

Sampai sahaja dirumah, Zahlia terus menuju ke bilik tidurnya. Dia terdengar Mak Long Temah mengarahkan anaknya mencari barang kemas rantai berloket batu Zamrud. Zahlia tahu rantai itulah yang menyebabkan Mak Long Temah dengki kepada arwah ibu. Tak sangka rupa-rupanya kedatangan Mak Long Temah ke rumah mereka hanyalah semata-mata untuk merampas kembali peninggalan atok.

Hampir sahaja pasu bunga kecil di atas meja studinya tepat mengenai kepala Mak Long Temah. Iman pula cuba memukul kepala kakaknya dengan penyapu. Riuh rendah dan suara nyaring wanita separuh abad itu telah menarik perhatian jiran-jiran mereka. Merekalah yang meleraikan pergaduhan antara dua beranak itu dengan kakaknya. Mak Long Temah menuduh Zahlia cuba membunuhnya.

Dia membuat cerita yang Kak Zahlia gila. Bila Mak Long Temah cuba mempengaruhi jiran-jirannya, Zahlia yang mendengar fitnah itu lagilah buat perangai. Sengaja dia buat berkelakuan seperti kena rasuk. Hari itu juga Mak Long Temah dan Iman packing barang untuk balik semula ke rumah mereka. Tapi padahnya bila mak cik-mak cik bawang yang tak tahu apa-apa mula mensensasikan kejadian itu. Mereka percaya yang kakaknya itu memang gila.

Di sekolah Amir pula, budak-budak perempuan sering bergosip tentangnya dibelakang. Masing-masing mereka pelbagai cerita negatif sehinggakan tiada seorang pun yang mahu berkawan dengannya. Amir sebenarnya tak kisah kalau tak ada yang mahu berkawan dengan dirinya. Yang penting dia masih ada Kak Zahlia. Dia berazam ingin mengumpul duit dan belajar bersungguh-sungguh supaya dia dapat menyambung pelajaran ke luar negara. Dia ingin membawa Zahlia pergi bersamanya. Pergi jauh dari kampung ini.

Lamunannya terhenti apabila sebuah kereta BMW putih memasuki perkarangan banglo lama itu. Shima keluar dari perut kereta sambil menghadiahkan senyuman kepada Amir. Hatinya yang tadi panas mula berasa sejuk melihat senyuman wanita itu. Dia terkenang akan arwah ibu. Rindu pada arwah ibu semakin menggunung. Dalam hati dia menghadiahkan Al-Fatihah kepada kedua orang tuanya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.