Home Cerpen Keluarga ZAHRA
ZAHRA
miazahra
6/9/2015 22:02:04
2,731
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi, namun mata Zahra masih belum mengantuk. Matanya hanya memandang siling bilik tidur. Kurang dari tempoh 24 jam lagi dia akan meninggalkan bumi Malaysia. Meninggalkan bumi tanah tumpah darahnya ini untuk kebaikan. Untuk mencari ilmu di tanah asing. Di tanah bangsa yang pernah menjajah negaranya. Perginya nanti tidak tahu lagi untuk berapa lama. Mungkin 4 atau 5 tahun atau mungkin juga untuk selamanya.

Zahra menghembus nafas berat. London. Jaraknya beribu batu dari kampung halaman. Mampukah dia menepis kerinduan terhadap tanah tempat dia berpijak selama ini? Atau mungkinkah dia lebih gembira di sana meninggalkan segala-galanya di sini? Hatinya berkata ya. Dia tidak punya apa-apa disini. Yang ada hanyalah kenangan bersama insan tersayang.

Hatinya gementar bercampur teruja. Selama ini memang dia teringin sekali untuk merasa sejuknya snowflake yang jauh ke atas tangan. Ingin merasa membina orang salji. Sekarang impiannya bakal tercapai. Atau mungkin sebenarnya impian mama. Dia mengiring ke kanan lalu mengambil bingkai gambar di atas kabinet kayu kecil. Lampu tidur dibuka. Ditatapnya gambar wanita berusia lingkungan 20-an mengengdong anak kecil. Anak kecil itu adalah dirinya sendiri dan wanita berkulit hitam manis itulah mamanya. Mama yang bersusah payah membesarkannya selama ini.

“Zahra, nanti Zahra belajar pandai-pandai tau… Mama teringin nak tengok anak mama ni belajar sampai ke universiti. Kalau boleh ke luar negara. Macam dalam cerita Cinta Antara Benua tu.” Mama mengusap rambut halus Zahra yang ketika itu berusia 6 tahun sambil mata memerhati kanak-kanak lain bermain di taman permainan berhadapan dengan rumah flat yang disewa mamanya.

“Kenapa nak kena pergi luar negara mama? Dekat sini tak ada universiti ke?” Tanya mulut petah Zahra. Keropok Super Ring kegemarannya di masukkan ke dalam mulut kecilnya. Habis comot mulutnya berwarna oren. Mama hanya tersenyum mendengar soalan itu.

“Dekat sini pun ada banyak universiti yang bagus-bagus. Tapi kalau boleh mama nak anak mama wakilkan mama belajar dekat sana. Sebab dulu mama tak dapat pergi. Jadi mama gembira sangat kalau Zahra tolong jadi mata mama tengok tempat orang.” Mamanya mengambil sehelai tisu lalu mengelap mulut comel itu.

“Tok Leman cakap mama dulu pandai dapat pergi tempat orang putih. Tapi mama tak pergi. Kenapa? Kalau mama dah pergi mesti Zahra tak payah pergi kan?” Tanya Zahra lagi. Walaupun masih kecil, anak itu sangat pintar. Kadangkala soalan yang diajukan tidak sepadan dengan usianya yang masih kecil.

Mama tidak menjawab soalan Zahra. Dia hanya tersenyum sambil mata memerhati langit biru nan luas. Sejak hari itu Zahra terus berusaha semampunya untuk berjaya dalam pelajaran. Dia terlalu menyanyangi mamanya. Dia mahu mamanya gembira. Dan sekarang inilah hasilnya. Dia Cuma menghitung detik waktu untuk menjejakkan kaki ke tempat impian mamanya.

Kenangan lalu terhadap mama mengusik jiwanya. Kini mama tiada untuk menyaksikan Zahra menggenggam ijazah. Mama telah pergi terlebih dahulu menghadap Pencipta-NYA. Mama pergi tanpa sempat Zahra menunjukkan surat tawaran universiti pun. Rasa kesal mengetuk pintu hatinya. Dia tidak sempat berbakti kepada mama. Bahkan dia telah bertindak menyakitkan hati mama. Mama yang telah membesarkannya tanpa meminta sebarang balasan

“Zahra kenapa makin degil sangat ni? Dulu Zahra tak macam ni. Dulu Zahra dengar cakap mama tapi sejak Zahra berkawan dengan budak Hafiz tu Zahra dah pandai melawan cakap mama! Mama nasihatkan Zahra untuk kebaikan juga. Tak lama lagi kamu tu dah nak SPM tahu tak!” Hari itu mama memang marah dengan Zahra. Semalam dia tidak pulang setelah keluar dengan alasan untuk study groupbersama dengan rakan sekolahnya.

“Mama ni bisinglah… Zahra penat tau. Semalam lepas study Zahra pergi makan dengan Alia tak sedar dah lewat. Nak balik takut kejutkan mama pulak…” Zahra cuba memberi alasan. Malas mahu bertekak dengan mamanya. Akhir-akhir ini Zahra sering bertengkar dengan mama sejak dia mula rapat dengan Hafiz anak Dato’ Iskandar.

“Kamu jangan nak tipu Zahra! Semalam mama nampak kamu dekat KLCC berpelukan dengan si Hafiz tu. Kamu tak malu ke? Mana maruah kamu sebagai seorang muslimah? Kalau kamu dah tak minat sangat belajar bagi tahu aje mama. Biar mama berhentikan kamu sekolah dan kahwinkan saja kamu tu.” Rona muka mama merah menahan amarah. Tidak pernah mama semarah ini.

“Nak berhentikan Zahra sekolah? Nak kahwinkan Zahra? Kenapa? Mama takut Zahra mengandung tanpa suami macam mama dulu?” Satu tamparan hinggap di pipi mulusnya. Zahra memegang pipinya yang terasa perit. Mama tergamam. Seumur hidupnya ini kali pertama dia mengangkat tangan terhadap anak kesayangannya. Dia cuba menyentuh bahu lembut Zahra tetapi ditepis kasar oleh gadis itu.

“Oh,,, Sekarang mama dah tahu pukul Zahra… Kenapa tak dari dulu aje mama bunuh Zahra? Biar ajeZahra mati. Jadi sekarang mama tak payah nak risaukan Zahra buat benda terkutuk macam mama pernah buat dulu!” Dia mencapai beg sandang diatas sofa lalu keluar tanpa mempedulikan panggilan ibunya.

Hatinya bengkak. Dia tahu yang dirinya ini anak luar nikah dari mulut orang lain. Patutlah selama ini mama tidak pernah pulang ke kampung dan mengelak setiap kali di ajukan soalan mengenai datuk dan nenek. Rupa-rupanya mama telah dibuang keluarga kerana mengambil keputusan untuk membesarkannya. Keputusan yang dianggap memalukan keluarga mereka, Selama ini mama membohongi dirinya dengan berkata yang papanya sudah meninggal akibat kemalangan. Itulah yang membuatkan dirinya memberontak. Dia berasa dirinya dipermainkan.

Sejak pertengkaran itu Zahra menumpang dirumah rakan karibnya yang kebetulan tinggal bersama orang gajinya kerana ibu bapanya mempunyai urusan perniagaan diluar negara selama 2 minggu. Hari ketiga dia dikejutkan dengan panggilan daripada Aunty Sara, sahabat ibunya. Ibunya telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat kemalangan.

Di kafe hospital Aunty Sara telah menceritakan hal sebenar kepada Sara. Itu pun setelah puas dipujuk kerana bagi Zahra dia sudah tahu semuanya. Tiada apa lagi untuk di perjelaskan.

“Zahra tak tahu hal sebenar. Apa yang Zahra tahu mungkin ada yang benar mungkin juga ada yang salah. Aunty mengaku Zahra memang bukan yang dilahirkan tanpa melalui pernikahan yang sah. Mama kandung Zahra telah terlanjur dengan tunangnya. Mereka berdua memang merancang untuk berkahwin terutama sekali selepas papa Zahra tahu waktu itu mama Zahra mengandung. Tetapi Allah telah menjemput papa Zahra sehari sebelum majlis akad nikah dilangsungkan.” Zahra terpaku mendengar cerita itu.

“Mama kandung? Apa maksud Aunty?”

“Mama Delaila bukan mama kandung Zahra. Mama Delaila adalah adik kembar kepada mama kandung Zahra. Mama Zahra yang sebenar bernama Dalila. Dia membunuh diri selepas melahirkan Zahra akibat tekanan jiwa. Aunty minta maaf atas apa yang terjadi. Mama Delaila sanggup mengambil tanggungjawab menjaga Zahra walaupun dibuang keluarga. Arwah nenek dan datuk Zahra tak mahu menanggung malu dengan membesarkan Zahra. Mama Zahra juga mengetepikan cita-citanya menyambung pengajian di UK kerana tak sanggup berpisah dengan Zahra,” Air mata Zahra mengalir tanpa henti.

Dia tidak sangka mama sebegitu sekali pengorbanan mama. Padahal mama boleh sahaja menghantar Zahra ke rumah anak yatim. Mengejar cita-cita menjadi seorang doktor tanpa mempedulikan dirinya yang menjadi bukti cinta terlarang. Dia merasa menyesal atas segala tingkah laku kurang ajarnya selama ini. Dia berazam untuk menggembirakan hati mama. Dia ingin menyambung cita-cita dan impian mama. Yang paling penting dia ingin memohon ampun dan berterima kasih kepada mama yang cekal membesarkan dirinya seorang diri.

Alhamdulillah dia sempat menjaga arwah mama sehingga ke hembusan nafas terakhir. 5 bulan setelah kemalangan mama pergi akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Walaupun mama tak sempat melihat Zahra pergi menimba ilmu di tempat orang, namun hati Zahra puas kerana cita-cita dan impian mamanya tercapai.

Air mata yang mengalir segera di kesat. Dia bangun lalu bergerak ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia ingin melakukan solat sunat taubat dan menghadiahkan bacaan ayat suci al-quran kepada mama Delaila serta ibu bapa kandungnya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.