Home Cerpen Islamik CINTA SELAMANYA
CINTA SELAMANYA
miazahra
22/9/2014 12:40:53
4,259
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

MALAM itu Husna berdiri di jendela bilik tidurnya. Sekadar membuang waktu sambil melihat langit gelap tanpa bintang. Telefon pintar jenama Samsung itu dipandang sekilas. Tidak ada tanda-tanda yang telefon itu akan berbunyi malam ini. Selalunya pada waktu-waktu ini pasti akan ada seseorang yang akan menghantar sms kepadanya.

Dia sibuk agaknya… Husna cuba memujuk hati. Rindunya pada seorang lelaki yang bernama Muhammad Fahrin Irsyad itu kembali menjengah ke lubuk hati. Entah kenapa lelaki yang mencuri hatinya itu kelihatan berlainan sekali sekarang. Irsyad tidak lagi seceria dahulu. Seperti ada beban yang memberati lelaki yang terkenal dengan sifat ceria itu.

“Tok…tok…” Bunyi ketukan pintu menghentikan lamunan Husna.

“Masuk, pintu tak berkunci.” Husna sekadar mengerlingkan mata ke arah pintu. Mungkin adiknya Zulaikha yang datang menjengah. Selalunya jika lampu bilik Husna masih terpasang lewat malam begini, adik bongsunya pasti akan datang menjenguk a.k.a. menyibuk.

“Kak Una tak tidur lagi?” Adiknya itu masuk ke dalam bilik sambil tersengih.

“Eh, tengah tidur la ni. Tak nampak?” Sambil membuka laptop Apple Husna menjeling ke arah Zulaikha. Malas nak melayan soalan berbasa-basi tu.

“Amboi, garangnya… Tak baik tau garang-garang. Kedut muka tu nanti.” Sempat lagi mengusik.

“Iyalah tu. Hah, nak apa? Kamu tu kenapa tak tidur lagi? Esok kan sekolah?” Mata Husna masih terpaku pada skrin laptopnya. Dia ingin mengemas kini status facebook miliknya. Tabiat yang sukar dibuang sejak dibangku sekolah. Setiap hari pasti ada sahaja status yang akan dikemas kini. Status yang ditulis selalunya berkaitan dengan perkara yang berlaku disekelilingnya. Kisah mak cik sebelah rumah yang baru pindah itu pun turut dikongsi untuk tatapan teman-temannya di laman sosial itu.

“Kak Una ni… Esok hari Sabtu lah… Cuti.” Mata Zulaikha mencuri pandang melihat status yang baru sahaja dikemas kini oleh kakak kesayangannya itu.

Malam ini sunyi lagi tanpa khabar dari si dia.

‘Hurm… Status macam ni yang aku tak gemar ni.’ Bisik Zulaikha di dalam hati.Walaupun Zulaikha muda 4 tahun dari Husna, namun kematangan fikirannya lebih terserlah dalam sifat keanak-anakannya.

Zulaikha tidak suka mengemas kini status yang berbaur perasaan cinta serta sesuatu yang tidak berfaedah. Tapi untuk menegur kakaknya itu dia masih belum punya kekuatan. Takut kakaknya itu akan berasa hati pula. Zulaikha kenal sangat dengan kakak kandungnya itu. Terlalu sensitif.

Kalau marah atau berkecil hati dengan seseorang dia boleh tidak bercakap dengan orang itu sehingga berhari-hari lamanya. Dia ingat lagi teguran Zulaikha mengenai tudung pendek yang dipakai Husna ke kolej membuatkan gadis awal 20-an itu tak bercakap dengannya hampir seminggu.

“Kak…” rengek Zulaikha apabila melihat kakaknya itu terlalu asyik melayani laman sosial sehingga terlupa dengan kehadirannya disisi.

“Apa…” Tanya Husna, malas.

“Jom kita solat sekali…”

“Solat apa pukul 12 ni? Zu tak isyak lagi ke?” Kepala diteleng ke wajah putih bersih itu. Hairan pula. Selalunya Zulaikha akan berusaha untuk solat di awal waktu. Jarang sekali adiknya yang berada ditingkatan empat itu melewatkan solat.

“Solat sunat, solat sunat witir, solat sunat taubat, solat sunat hajat…” Dia tahu Husna kurang pengetahuan tentang soal agama. Solat lima waktu yang wajib itu pun kadang kala ditinggalkan juga. Padahal solat itukan tiang agama. Kalau runtuh tiang itu, maka runtuh jugalah agama itu.

Namun dia tidak menyalahkan kakaknya. Husna terlalu lama membesar di Perancis bersama papanya. Tinggal di negara yang mengamalkan sistem sekular serta dikelilingi dengan masyarakat bukan Islam menyebabkan Husna sedikit buta tentang kepentingan beragama itu sendiri.

“Malaslah. Kalau Zu nak solat, Zu solat la…Akak dah mengantuk. Nak tidur.” Husna cepat-cepat menutup laptopnya sambil buat-buat menguap. Sengaja dia buat begitu kerana malas mendengar ceramah dari adik ‘Ustazah’nya itu. Bukan benci, tapi kadang-kadang dia berasa sedikit jengkel apabila sejak akhir-akhir ini Zulaikha kerap sahaja menasihatinya tentang hal-hal berkaitan agama.

“Kalau macam tu tak apalah. Akak tidurlah ye. Nanti Zu kejutkan subuh nanti.” Zulaikha masih cuba tersenyum.

‘Peringkat awal berdakwah memanglah susah sikit. Nabi-nabi Allah pun mengambil masa yang lama sehinggakan ada yang memakan masa ratusan tahun untuk berdakwah kepada umatnya.’ Zulaikha cuba meniupkan semangat kepada dirinya sendiri.

“Tak payah lah. Akak boleh bangun sendiri. Kunci jam.” Sekali lagi Husna cuba mengelak. Dia cukup pantang andai tidurnya diganggu. Padahal bukankah solat itu lebih baik daripada tidur?

Sekali lagi Zulaikha hanya mampu tersenyum. Didalam hati dia tetap berdoa agar satu-satunya kakak kandung yang dia miliki akan dihadiahkan hidayah oleh Allah.

“HUSNA… Saya ada sesuatu yang saya nak beritahu awak. Mulai bulan depan saya akan ke Palestin mengikuti misi kemanusiaan.” Kata-kata Irsyad membuatkan Husna tergamam.

“Buat apa pergi sana? Awak nak mati ke?” Kata-kata jujur dari Husna itu kedengaran sedikit kasar. Seolah-olah dia tidak pernah terkesan dengan tragedi yang menimpa saudara seagamanya. Irsyad yang sedikit terkejut dengan kata-kata itu cuba mengawal riak wajahnya.

“Macam saya cakap tadi, saya akan ikut misi kemanusiaan ke Gaza. Saya nak berjihad menolong saudara-saudara kita yang dalam kesusahan di sana.” Husna hanya mencebikkan bibirnya.

“Kalau nak tolong tak payah susah-susah nak ke sana. Bagi aje derma. Tak pun doakan keselamatan diorang aje. Kan awak sendiri cakap doa tu senjata mukmin.”

“Memang kita boleh bagi derma, memang kita boleh berdoa. Tapi sampai bila? Doa perlu disertakan dengan usaha. Sampai bila umat Islam sekadar nak menjadi pemerhati? Sudah sampai masanya kita turut serta memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas dibumi sendiri.”

“Habis tu, awak nak pergi jugak tinggalkan saya terkontang-kanting dekat sini? Awak kan dah janji nak kahwin dengan saya.” Irsyad terkelu seketika. Memang dahulu dia terlanjur menabur janji. Waktu itu dia belum punya kesedaran lagi untuk membantu saudara seagama. Tetapi setelah mengetahui asal usulnya yang sebenar, hatinya meronta-ronta untuk ke bumi yang terletaknya kiblat pertama umat Islam.

“Maafkan saya Husna. Saya terlanjur berjanji. Tapi saya mesti pergi. Saya tahu suatu hari nanti awak pasti akan faham. Maafkan saya Husna.” Irsyad segera bangun dari bangku taman itu tanpa memandang wajah Husna. Dia takut hatinya akan berbolak-balik untuk ke Palestine. Sungguh dia mencintai gadis keras kepala itu. Dia tidak mahu memberikan harapan palsu. Soal jodoh biarlah masa yang menentukan. Andai Ainatul Husna memang sudah tertulis untuknya, ke hujung dunia mana pun mereka pasti akan bertemu.

BEG sandang yang digalas dihempas ke atas katil. Hatinya masih sakit dengan keputusan Irsyad yang berkeras mahu ke bumi bergolak itu. Entah apa yang ada disana sehingga Irsyad sanggup pergi meninggalkan dirinya. Sambil mengesat air mata, status di facebook masih sempat dikemas kini. Peristiwa hari ini diceritakan untuk tatapan umum.

Dalam tempoh kurang sejam pelbagai kecaman serta kritikan keras diterima oleh Husna. Dia dikatakan tidak sensitif serta peka dengan isu yang menimpa bumi Al-Quds. Akhirnya kerana tidak tahan dengan kecaman itu, status tersebut dipadam begitu sahaja.

Di bilik sebelah Zulaikha yang kebetulan turut melayari laman sosial ciptaan Yahudi turut membaca status tersebut. Hatinya menggeleng hiba. Hati meronta-ronta untuk menasihati kakaknya itu. Zulaikha cuba mencari jalan terbaik untuk menyedarkan Husna tentang isu Palestin yang tidak pernah berkesudahan itu.

Sepanjang hari Husna hanya memerap didalam bilik. Dia hanya turun untuk makan serta mengambil minuman sahaja. Mujurlah mamanya ke Sarawak atas urusan kerja. Kalau tak pasti akan disoal siasat tentang penyebab muka monyoknya ini.

Dirasakan hidupnya hari ini sedikit malang. Irsyad akan ke Palestin. Status facebooknya pula dikecam hebat. Bunyi mesej masuk menghentikan lamunan Husna. Dengan malas dia bangun dari katil menuju ke meja studi untuk mengambil Samsung S4 kesayangannya.

Akak sayang!!! Bukak emel.*smiley face*

‘Budak ni mimpi apa? Duduk satu rumah pun hantar mesej bagai. Banyak sangat kredit dia agaknya.’ Husna menggeleng kepala. Pelik dengan perangai adiknya. Namun, jemarinya tetap laju membuka membuka emel. Satu persatu pautan yang diberikan Zulaikha dibuka. Tanpa diduga hatinya yang selama ini keras mulai lembut. Air matanya tumpah secara tiba-tiba.

Gambar-gambar kekejaman di Palestin di lihat satu persatu. Video yang di hantar pula hanya ditonton separuh. Tak sanggup dia melihat penyeksaan yang dilakukan rejim Zionis terhadap umat Islam. Namun sebuah video menarik perhatiannya.

Dalam video itu dia melihat seorang lelaki berjambang dipukul oleh tentera Israel kerana mempertahankan seorang anak kecil. Lelaki itu dipukul tanpa belas kasihan dan kemudian diheret masuk ke dalam sebuah trak tentera Yahudi. Air matanya semakin deras mengalir. Dia kenal lelaki itu. Itulah bapanya yang telah sekian lama menghilang tanpa jejak.

Husna melulu masuk ke dalam bilik adiknya yang tidak berkunci. Ketika itu Zulaikha sedang mengerjakan solat Isyak. Walaupun hatinya sedang meronta-ronta mahukan penjelasan, dia tetap membiarkan adiknya mengerjakan rukun Islam yang kedua. Selesai sahaja Zulaikha memberi salam, Husna terus duduk berlutut dihadapan adiknya.

“Mana Zu dapat video tu?” Zulaikha melepaskan keluhan berat.

“Seorang kawan papa yang bekerja di Al Jazeera. Dia ada waktu kejadian tu tapi terpaksa bersembunyi. Lagipun dia nak buktikan pada dunia tentang kekejaman kaum Yahudi.”

“Kenapa kakak tak pernah tahu pasal ni? Pasal papa ke Palestin pun kakak tak tahu. Kenapa Zu rahsiakan? Mama tahu pasal ni?” Mata Husna masih lagi berkaca. Selama ini dia beranggapan yang papa sudah tidak sayangkan dia lagi. Kerana itulah papa meninggalkan dia di Malaysia kemudian hilang tanpa khabar berita.

“Mama orang pertama yang tahu. Zu sendiri pun dapat tahu secara tak sengaja waktu pinjam laptop mama. Kakak jangan marahkan mama ye? Mama minta Zu rahsiakan hal ni dari kakak. Dia tak nak kakak susah hati. Lagipun papa pun minta mama rahsiakan perjalanannya ke sana daripada pengetahuan kita.” Zulaikha menelan air liurnya sendiri. Dia terpaksa memungkiri janji pada mama. Dia tahu sekiranya sesuatu itu melibatkan papa hati Husna akan menjadi lembut. Dia tak mahu Husna terus pesimis dengan perjuangan membebaskan kota suci itu.

“Sampai hati mama dengan Zu buat kakak macam ni. Selama ni akak ingatkan papa dah tak sayangkan akak lagi…”

“Kak Una, jangan la macam ni…”

“Papa ada lagi?” Zulaikha hanya terdiam mendengar soalan itu kerana dia sendiri pun tidak pasti dengan nasib ayah kandungnya itu. Malam itu buar pertama kalinya, Husna turut bersama-sama Zulaikha mengerjakan qiamullail secara berjemaah. Setelah pulang dari Sarawak, Puan Wilda berasa sungguh gembira melihat perubahan Husna. Doanya supaya anak sulungnya itu berubah akhirnya dimakbulkan Allah.

SETELAH menunggu hampir 3 tahun akhirnya nama Husna disenarai pendek untuk menyertai misi bantuan ke bumi Palestin. Malam ini dia akan terbang bersama-sama rakan NGO yang lain ke Jordan sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Palestin. Hanya Zulaikha yang menghantarnya ke lapangan terbang. Mama sudah setahun meninggalkan mereka berdua. Dia pergi menghadap Allah dalam sembahyang sewaktu bulan Ramadhan tanpa sempat menatap wajah suami yang dicintainya.

“Akak, jaga diri kat sana ye? Sekarang Zu Cuma ada Kak Una sorang aje…” Luahan hati Zulaikha merentap jiwa Husna. Memang dia sedih meninggalkan adiknya sendirian disini. Dia juga tahu betapa Zulaikha ingin sekali mengikutnya ke Palestin membantu saudara seagama namun adiknya itu masih punya komitmen lain. Minggu hadapan dia bakal menduduki peperiksaan akhir semester dua. Tanggungjawab menuntut ilmu harus dilunaskan terlebih dahulu supaya bermanafaat kepada agama.

“Insyaallah…Zu pun jaga diri kat sini ye. Doakan akak dan rakan-rakan seperjuangan disana. Dan doakan akak jumpa papa.” Mereka berpelukan seketika. Air mata yang ditahan mengalir juga. Selepas ini Husna akan menempuh satu lagi pengalaman sebagai seorang pejuang. Walau tidak mengangkat senjata, tetapi dia berjuang dengan jalannya sendiri. Kamera DSLR dipegang erat. Dia mahu meneruskan legasi papa untuk membongkar kejahatan bangsa yang bongkak serta penuh tipu muslihat.

SEMINGGU di bumi yang tidak pernah aman ini memang menguji kemampuan mental serta fizikal Husna. Dengan kepakaran sebagai seorang doktor, Husna membantu sedaya upaya. Sepenjang minggu ini rejim Zionist melancarkan serangan roket secara besar-besaran di Gaza. Dengan keadaan hospital yang serba kekurangan serta kelengkapan yang tidak mencukupi, ramai rakyat Palestin yang syahid.

Paling menyayat hatinya apabila mendengar rintihan para ibu yang kehilangan anak kecil mereka. Apakah dosa anak kecil ini sehingga sanggup dibunuh? Kamera yang dibawa tidak sempat digunakan untuk mengambil foto-foto bukti kekejaman.

Dentuman bom menggegar perkarangan hospital Al-Shifa. Husna yang kebetulan berada dipintu masuk hospital segera berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dari jauh dia dapat melihat kepulan asap tebal. Jerit pekik penduduk awam membingitkan suasana. Serta merta perkarangan hospital dipenuhi dengan mangsa-mangsa yang tercedera. Hatinya memberontak. Inilah pengganas sebenar! Merekalah yang perlu diperangi! Betapa masyarakat antarabangsa menganak-tirikan orang Islam. Husna kembali ke dalam hospital sambil membimbing seorang wanita tua yang cedera terkena serpihan bom.

MALAM itu Husna menghabiskan masanya dengan membaca al-quran disebuah bilik kecil untuk para doktor yang bertugas. Kalau nak di ikutkan tugasnya berakhir petang tadi tetapi dia kembali semula ke hospital selepas solat isyak. Niatnya mahu merakamkan foto-foto mangsa. Dia melangkah perlahan. Keadaan mangsa yang menyayat hati melemahkan langkah kakinya.

Tiba-tiba dia berhenti disebuah katil yang menempatkan seorang pesakit lelaki. Walaupun kehilangan tangan kanan serta kaki kiri, lelaki itu masih mampu mengalunkan bacaan ayat suci al-quran dengan begitu merdu melalui hafazan. Tanpa sedar dia memeluk lelaki itu. Itulah Muhammad Frank Abdullah, bapanya yang telah lama menghilang.

PERTEMUAN itu telah membuatkan Husna mengambil keputusan untuk berkampung dihospital itu. Sambil merawat penduduk Palestin, Husna mahu sentiasa berada disisi papanya. Berita tentang papanya telah diberitahu kepada Zulaikha melalui sms. Adiknya itu meminta agar Husna mengusahakan untuk membawa pulang papa mereka ke Malaysia. Segalanya telah diuruskan Husna. Sekarang mereka cuma perlu menantikan kelulusan pihak berkuasa sahaja.

“Husna…” Husna yang sedang menuang air mengalih pandangan ke wajah papanya. Gelas ditangan disua kepada papanya. Dengan kalimah bismillah air itu diteguk perlahan.

“Papa nak cakap sikit boleh?”

“Apa dia papa? Cakap la.” Senyuman ikhlas dihadiahkan kepada papanya.

“Papa nak minta maaf sebab tinggalkan mama, Husna dan Zulaikha.”

“Tak perlu minta maaf papa. Una tahu yang papa terpaksa tinggalkan kami sebab nak bantu saudara-saudara kita.”

“Tapi papa tetap rasa bersalah. Papa tak jalankan tanggungjawab papa kepada kamu berdua. Kepada arwah mama. Tolong sampaikan maaf papa pada Zulaikha.” Ada air jernih mengalir dipipi papanya. Hati Husna berasa sayu.

“Kenapa papa cakap macam tu? Kami semua tak pernah marahkan papa. Zulaikha pun tak sabar nak tunggu papa balik. Dia nak peluk papa.”

“Entahlah Husna. Papa takut papa tak sempat…Hurm tak apalah. Papa nak minta tolong Una boleh?” Papanya cuba menukar topik, Dia tak mahu Husna bersedih.

“Apa dia papa?” Husna mengesat air mata dengan hujung kain selendang yang dipakainya.

“Papa nak kahwinkan Husna dengan seseorang. Itu pun kalau Husna setuju. Papa nak ada orang yang akan menjaga Husna serta Zulaikha nanti.” Permintaan papa membuatkan Husna terdiam. Bagaimana mungkin dia berkahwin dengan lelaki lain sedangkan hatinya masih pada lelaki yang bernama Muhammad Fahrin Irsyad.

Tapi demi papa dia sanggup berkorban. Dia tahu papa mesti akan memilih lelaki yang terbaik untuk menjadi pembimbingnya. Irsyad pula tidak tahu dimana keberadaannya tika ini. Kali terakhir dia berjumpa dengan Irsyad ialah sewaktu lelaki itu menyuarakan hasrat untuk ke Palestin. Setelah itu mereka terputus hubungan.

Hari yang dinanti telah pun tiba. Segala persiapan pernikahannya dibuat secara ala kadar. Sebentar lagi dia akan menjadi suri untuk seorang lelaki yang belum sempat dia temui. Yang Husna lelaki itu juga merupakan rakyat Malaysia dan telah berada disini bertahun-tahun lamanya demi mencari ibu kandungnya. Ibunya telah meninggal sebulan yang lepas dan mengamanatkannya supaya pulang sahaja ke pangkuan keluarga angkatnya. Dia mahu anak lelaki itu menyebarkan maklumat tentang keadaan sebenar dibumi ambia ini.

Mendengar sahaja cerita tentang ketaatan lelaki yang di panggil Yasser itu sudah cukup membuatkan hati Husna meronta-ronta untuk bertemu dengan bakal suaminya itu. Namun perasaan malu masih lagi menguasai. Dia masih tahu batas-batasnya sebagai seorang Muslimah.

Sepanjang majlis akad nikah itu berlangsung Husna hanya menundukkan wajahnya. Malu untuk mencuri pandang pada bakal suaminya itu. Sewaktu mencium tangan suaminya yang sah dia masih juga menundukkan wajahnya sehinggalah namanya dipanggil oleh sang suami. Saat bertentang mata, pasangan pengantin baru itu terkedu. Sambil menitiskan air mata kedua-duanya melafazkan rasa syukur. Ainatul Husna akhirnya milik Muhammad Fahin Irsyad.

SEPASANG kanak-kanak kembar lelaki yang bermain dipantai itu kelihatan riang sekali disamping Acu Ika mereka. Husna serta suaminya hanya memerhati keletah nakal anak-anak kembar mereka itu sambil tersenyum. Muhammad Fateh Irsyad dan Muhammad Mehmed Irsyad menjadi penceria kehidupan Irsyad dan Husna.

“Seronok tengok anak-anak kecil itu ketawa kan? Alangkah indahnya andai anak Palestin dan Syria dapat mengecapi kebahagiaan yang sama.” Irsyad memeluk bahu isterinya. Kata-kata isterinya itu turut bermain-main difikirannya. Mereka turut berkongsi rasa serta impian yang sama. Untuk melihat bumi Palestin kembali aman.

“Insyaallah. Cepat atau lambat bumi para ambia itu akan kembali ke tangan umat Islam. Kita sebagai umat Islam kenalah bersatu untuk membebaskan bumi Palestina. Takkan kita nak harapkan orang bukan Islam yang berjuang untuk kita kan?” Husna turut mengangguk mendengar kata-kata Irsyad. Pandangan matanya tiba-tiba terpaku pada seorang lelaki berusia lewat 50-an.

“Kalau papa ada, mesti dia sebaya dengan pak cik tu kan?” Hatinya tiba-tiba rindu pada arwah papa. Arwah papa hanya sempat memijak kaki di bumi Malaysia selama 2 minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir disisi mereka. Mujurlah papa sempat berjumpa dengan adiknya. Jenazah papa di kebumikan bersebelah dengan kubur arwah mama.

“Sama-samalah kita doakan kesejahteraan mereka disana. Yang pergi tak akan kembali. Yang ada pula pasti yang menyusul pergi.” Sambil mendoakan ahli keluarga yang telah pergi, mereka turut mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang masih tertindas. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan serta cabaran. Mereka suami isteri serta masyarakat Islam yang lain akan turut berusaha membantu mengikut kepakaran masing. Mereka akan berusaha untuk menyedarkan masyarakat dunia tentang kekejaman Zionis.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.