Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi,
namun mata Zahra masih belum mengantuk. Matanya hanya memandang siling bilik
tidur. Kurang dari tempoh 24 jam lagi dia akan meninggalkan bumi Malaysia.
Meninggalkan bumi tanah tumpah darahnya ini untuk kebaikan. Untuk mencari ilmu
di tanah asing. Di tanah bangsa yang pernah menjajah negaranya. Perginya nanti
tidak tahu lagi untuk berapa lama. Mungkin 4 atau 5 tahun atau mungkin juga
untuk selamanya.
Zahra menghembus nafas berat. London.
Jaraknya beribu batu dari kampung halaman. Mampukah dia menepis kerinduan
terhadap tanah tempat dia berpijak selama ini? Atau mungkinkah dia lebih
gembira di sana meninggalkan segala-galanya di sini? Hatinya berkata ya. Dia
tidak punya apa-apa disini. Yang ada hanyalah kenangan bersama insan tersayang.
Hatinya gementar bercampur teruja.
Selama ini memang dia teringin sekali untuk merasa sejuknya snowflake yang jauh ke atas tangan.
Ingin merasa membina orang salji. Sekarang impiannya bakal tercapai. Atau
mungkin sebenarnya impian mama. Dia mengiring ke kanan lalu mengambil bingkai
gambar di atas kabinet kayu kecil. Lampu tidur dibuka. Ditatapnya gambar wanita
berusia lingkungan 20-an mengengdong anak kecil. Anak kecil itu adalah dirinya
sendiri dan wanita berkulit hitam manis itulah mamanya. Mama yang bersusah
payah membesarkannya selama ini.
“Zahra, nanti Zahra belajar
pandai-pandai tau… Mama teringin nak tengok anak mama ni belajar sampai ke
universiti. Kalau boleh ke luar negara. Macam dalam cerita Cinta Antara Benua tu.” Mama mengusap rambut
halus Zahra yang ketika itu berusia 6 tahun sambil mata memerhati kanak-kanak
lain bermain di taman permainan berhadapan dengan rumah flat yang disewa
mamanya.
“Kenapa nak kena pergi luar negara mama?
Dekat sini tak ada universiti ke?” Tanya mulut petah Zahra. Keropok Super Ring
kegemarannya di masukkan ke dalam mulut kecilnya. Habis comot mulutnya berwarna
oren. Mama hanya tersenyum mendengar soalan itu.
“Dekat sini pun ada banyak universiti
yang bagus-bagus. Tapi kalau boleh mama nak anak mama wakilkan mama belajar
dekat sana. Sebab dulu mama tak dapat pergi. Jadi mama gembira sangat kalau
Zahra tolong jadi mata mama tengok tempat orang.” Mamanya mengambil sehelai
tisu lalu mengelap mulut comel itu.
“Tok Leman cakap mama dulu pandai dapat
pergi tempat orang putih. Tapi mama tak pergi. Kenapa? Kalau mama dah pergi
mesti Zahra tak payah pergi kan?” Tanya Zahra lagi. Walaupun masih kecil, anak
itu sangat pintar. Kadangkala soalan yang diajukan tidak sepadan dengan usianya
yang masih kecil.
Mama tidak menjawab soalan Zahra. Dia
hanya tersenyum sambil mata memerhati langit biru nan luas. Sejak hari itu
Zahra terus berusaha semampunya untuk berjaya dalam pelajaran. Dia terlalu
menyanyangi mamanya. Dia mahu mamanya gembira. Dan sekarang inilah hasilnya.
Dia Cuma menghitung detik waktu untuk menjejakkan kaki ke tempat impian
mamanya.
Kenangan lalu terhadap mama mengusik
jiwanya. Kini mama tiada untuk menyaksikan Zahra menggenggam ijazah. Mama telah
pergi terlebih dahulu menghadap Pencipta-NYA. Mama pergi tanpa sempat Zahra
menunjukkan surat tawaran universiti pun. Rasa kesal mengetuk pintu hatinya.
Dia tidak sempat berbakti kepada mama. Bahkan dia telah bertindak menyakitkan
hati mama. Mama yang telah membesarkannya tanpa meminta sebarang balasan
“Zahra kenapa makin degil sangat ni?
Dulu Zahra tak macam ni. Dulu Zahra dengar cakap mama tapi sejak Zahra berkawan
dengan budak Hafiz tu Zahra dah pandai melawan cakap mama! Mama nasihatkan
Zahra untuk kebaikan juga. Tak lama lagi kamu tu dah nak SPM tahu tak!” Hari
itu mama memang marah dengan Zahra. Semalam dia tidak pulang setelah keluar
dengan alasan untuk study groupbersama
dengan rakan sekolahnya.
“Mama ni bisinglah… Zahra penat tau.
Semalam lepas study Zahra pergi makan dengan Alia tak sedar dah lewat. Nak
balik takut kejutkan mama pulak…” Zahra cuba memberi alasan. Malas mahu
bertekak dengan mamanya. Akhir-akhir ini Zahra sering bertengkar dengan mama
sejak dia mula rapat dengan Hafiz anak Dato’ Iskandar.
“Kamu jangan nak tipu Zahra! Semalam
mama nampak kamu dekat KLCC berpelukan dengan si Hafiz tu. Kamu tak malu ke?
Mana maruah kamu sebagai seorang muslimah? Kalau kamu dah tak minat sangat
belajar bagi tahu aje mama. Biar mama
berhentikan kamu sekolah dan kahwinkan saja kamu tu.” Rona muka mama merah
menahan amarah. Tidak pernah mama semarah ini.
“Nak berhentikan Zahra sekolah? Nak
kahwinkan Zahra? Kenapa? Mama takut Zahra mengandung tanpa suami macam mama
dulu?” Satu tamparan hinggap di pipi mulusnya. Zahra memegang pipinya yang
terasa perit. Mama tergamam. Seumur hidupnya ini kali pertama dia mengangkat
tangan terhadap anak kesayangannya. Dia cuba menyentuh bahu lembut Zahra tetapi
ditepis kasar oleh gadis itu.
“Oh,,, Sekarang mama dah tahu pukul
Zahra… Kenapa tak dari dulu aje mama
bunuh Zahra? Biar ajeZahra mati.
Jadi sekarang mama tak payah nak risaukan Zahra buat benda terkutuk macam mama
pernah buat dulu!” Dia mencapai beg sandang diatas sofa lalu keluar tanpa
mempedulikan panggilan ibunya.
Hatinya bengkak. Dia tahu yang dirinya
ini anak luar nikah dari mulut orang lain. Patutlah selama ini mama tidak
pernah pulang ke kampung dan mengelak setiap kali di ajukan soalan mengenai
datuk dan nenek. Rupa-rupanya mama telah dibuang keluarga kerana mengambil
keputusan untuk membesarkannya. Keputusan yang dianggap memalukan keluarga
mereka, Selama ini mama membohongi dirinya dengan berkata yang papanya sudah
meninggal akibat kemalangan. Itulah yang membuatkan dirinya memberontak. Dia
berasa dirinya dipermainkan.
Sejak pertengkaran itu Zahra menumpang
dirumah rakan karibnya yang kebetulan tinggal bersama orang gajinya kerana ibu
bapanya mempunyai urusan perniagaan diluar negara selama 2 minggu. Hari ketiga
dia dikejutkan dengan panggilan daripada Aunty Sara, sahabat ibunya. Ibunya
telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat kemalangan.
Di kafe hospital Aunty Sara telah menceritakan
hal sebenar kepada Sara. Itu pun setelah puas dipujuk kerana bagi Zahra dia
sudah tahu semuanya. Tiada apa lagi untuk di perjelaskan.
“Zahra tak tahu hal sebenar. Apa yang
Zahra tahu mungkin ada yang benar mungkin juga ada yang salah. Aunty mengaku
Zahra memang bukan yang dilahirkan tanpa melalui pernikahan yang sah. Mama
kandung Zahra telah terlanjur dengan tunangnya. Mereka berdua memang merancang
untuk berkahwin terutama sekali selepas papa Zahra tahu waktu itu mama Zahra
mengandung. Tetapi Allah telah menjemput papa Zahra sehari sebelum majlis akad
nikah dilangsungkan.” Zahra terpaku mendengar cerita itu.
“Mama kandung? Apa maksud Aunty?”
“Mama Delaila bukan mama kandung Zahra.
Mama Delaila adalah adik kembar kepada mama kandung Zahra. Mama Zahra yang
sebenar bernama Dalila. Dia membunuh diri selepas melahirkan Zahra akibat
tekanan jiwa. Aunty minta maaf atas apa yang terjadi. Mama Delaila sanggup
mengambil tanggungjawab menjaga Zahra walaupun dibuang keluarga. Arwah nenek
dan datuk Zahra tak mahu menanggung malu dengan membesarkan Zahra. Mama Zahra
juga mengetepikan cita-citanya menyambung pengajian di UK kerana tak sanggup
berpisah dengan Zahra,” Air mata Zahra mengalir tanpa henti.
Dia tidak sangka mama sebegitu sekali
pengorbanan mama. Padahal mama boleh sahaja menghantar Zahra ke rumah anak
yatim. Mengejar cita-cita menjadi seorang doktor tanpa mempedulikan dirinya
yang menjadi bukti cinta terlarang. Dia merasa menyesal atas segala tingkah
laku kurang ajarnya selama ini. Dia berazam untuk menggembirakan hati mama. Dia
ingin menyambung cita-cita dan impian mama. Yang paling penting dia ingin
memohon ampun dan berterima kasih kepada mama yang cekal membesarkan dirinya
seorang diri.
Alhamdulillah dia sempat menjaga arwah
mama sehingga ke hembusan nafas terakhir. 5 bulan setelah kemalangan mama pergi
akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Walaupun mama tak sempat melihat Zahra
pergi menimba ilmu di tempat orang, namun hati Zahra puas kerana cita-cita dan
impian mamanya tercapai.
Air mata yang mengalir segera di kesat.
Dia bangun lalu bergerak ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dia ingin
melakukan solat sunat taubat dan menghadiahkan bacaan ayat suci al-quran kepada
mama Delaila serta ibu bapa kandungnya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah.