Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
66,950
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 10

"EH, SARAH, BUKU APA NI?" Tanya Aina kepada Maisarah yang sedang mengemas kini status terbaru di akaun media sosial miliknya. Buku dengan kulit berwarna merah itu dibelek sepintas lalu. Diselak lembaran buku itu tanpa sebarang minat.

"Oh, aku pun tak tahu. Aku jumpa buku tu dekat library bawah."

"Dah ada private library? Wow! Kau tak cakap pun..."

"Tak payah buat muka monyok. Aku mana sempat nak tunjuk tadi. Elok kau sampai ke mama terus bawak kau layan instagram tengok baju. Lepas makan pulak papa ajak kau layan badminton. Masa bila aku nak tunjuk library aku kat kau." Kata Maisarah tanpa berpaling kepada Aina yang dia yakin sedang bermuka monyok. Sahabat baiknya itu kembali mengukir senyum.

Sememangnya Aina seorang yang mempunyai karakter yang disenangi semua orang. Gadis berkulit sawo matang itu pandai mengambil hati orang sekelilingnya. Dia pandai menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja tidak kiralah tua atau pun muda. Mungkin kerana sikapnya yang peramah dan periang.

Bayangkanlah nenek Aina disebelah arwah ibunya pun boleh jatuh sayang kepada Aina. Padahal selama ini, neneknya itu tidak pernah peduli dengan Aina. Ini kerana dahulu neneknya itu menentang keras perkahwinan ayah serta ibu Aina. Biasalah, cinta dua darjatlah katakan. Tetapi sikap periang anak gadis itu telah menyambung kembali ikatan kekeluargaan yang hampir terputus. Itulah keistimewaan gadis tinggi lampai itu.

"Bak balik buku tu."

"Aku tengok tak menarik pun buku ni." Aina mengembalikan buku itu kepada Maisarah yang sedang menuju ke katil.

"Kalau kau, semua buku Melayu tak menarik. Maklumlah, orang tu layan buku English je..."

"Siapa kata? Aku layan jugak la buku bahasa Melayu ni. Baru ni, aku baca buku Ramlee Awang Murshid tau..." Kata Aina dengan bangga.

"Eh, sejak bila?" Maisarah mengerut kening. Setahunya, Aina memang susah nak baca novel berbahasa Melayu. Dia lebih menggemari karya-karya Barat. Paling diminati gadis itu tentulah karya dari penulis Britain tersohor J.K. Rowling.

"Sejak aku berkenalan dengan Abang Rizki..."

"Rizki mana pulak ni?"

"Cikgu sementara Bahasa Melayu dekat sekolah." Aina tersengih gatai. Maisarah sekadar menggeleng. Rakannya itu kalau masuk bab lelaki hensem, memang gatai mengalahkan ulat bulu.

"Kau tak payah geleng-geleng. Kau tak tengok lagi muka dia. Handsome... Tinggi lampai, sado, kulit tan... Dah ala-ala Cristiano Ronaldo pun ada." Cerita Aina bersungguh-sungguh. Maisarah menyambar patung teddy bear kesayangannya daripada pelukan Aina. Sahabatnya itu sekadar mencebik.

"Banyak la kau punya Cristiano Ronaldo. Dah, tidur. Aku nak baca buku ni kejap."

"Tu la kerja kau. Buku, buku, buku! Sebab tu la tak ada boyfriend."

"Eh, Mak Cik! Kita ni sekolah lagi tau? Baru 16 tahun. Tak ada masa nak berboyfriendboyfriend ni. Tahun depan nak SPM."

"Yalah... Yalah... Aku nak tidur dulu. Nak mimpi abang handsome. Esok cerita dekat aku buku ni pasal apa." Kata Aina sambil memejamkan mata. Dalam tempoh 10 minit sahaja Aina sudah berada di alam mimpi. Mudah sungguh gadis itu lelap. Maisarah pula kembali membaca buku misteri itu.

Semuanya bermula apabila aku ke hutan di belakang tapak rumah itu. Aku ingin mengkaji pokok-pokok herba yang ada sering digunakan oleh orang Melayu dan juga orang asli.Sengaja aku ke sana seorang diri. Sebelum ini aku pernah ke sana bersama dengan Tok Batin. Jadi aku tidak lagi berasa kekok di kawasan itu.

Kawasan yang mempunyai pelbagai herba berharga itu sangat cantik. Hilang semua rasa rinduku pada bumi England apabila melihat persekitaran air terjun yang mendamaikan. Airnya yang jernih itu kelihatan seperti kristal apabila terkena biasan cahaya matahari.

Sedang aku leka melihat bunga gergasi yang busuk baunya, aku terdengar suatu bunyi. Seperti bunyi derapan tapak kaki kuda. Pabila aku melihat sekeliling, suasana masih tenang seperti tadi. Tiada apa yang aneh. Sangkaanku ia cuma perasaanku sahaja. Tetapi kali ini bunyi itu semakin kuat berserta dengan bunyi tempikan.

Aku mula mencari arah bunyi itu. Mata aku terarah ke kawasan air terjun. Aku melihat dibelakang air terjun itu aku terlihat satu cahaya berwarna putih. Dengan langkah berhati-hati aku menyusuri batuan besar untuk ke belakang air terjun itu. Tidak sangka di sebalik air terjun itu ada seperti satu pintu atau gerbang. Cahaya yang aku lihat tadi juga semakin terang, Aku berasa pening. Apabila aku mendekati kawasan pintu tanpa tombol itu aku berasa seperti aku disedut sesuatu. Kemudian aku pengsan.

Dum! Dum!

Bunyi dari luar bilik membuatkan Maisarah menghentikan bacaannya. Maisarah menutup buku yang dibaca. Telinganya dipicingkan untuk mendengar bunyi tadi.

"Dum! Dum!" Bunyi itu semakin kuat. Bunyinya seperti orang sedang memukul atau menghempas sesuatu yang berat. Maisarah menoleh ke arah Aina yang tidur mati. Perlahan-lahan Maisarah memberanikan diri melangkah ke muka pintu. Bunyi itu dari tingkat bawah.

Dengan langkah berhati-hati Maisarah turun untuk melihat apa yang berlaku. Dia sempat melihat jam dinding sebelum turun. Sudah hampir pukul 1 pagi.

'Takkan mama dan papa tak habis-habis lagi mengubah suai susun atur rumah itu?' Fikir Sarah. Mama memang susah untuk berpuas hati dengan susun atur rumah ini. Sejak mereka berpindah disini hampir 10 kali papa membantu mama untuk mengubah segala sofa, tv dan almari. Sampai naik lenguh badan papa. Akhirnya semua perabot itu diletakkan ditempat asalnya juga.

"Dum! Dum! Kreuk..." Maisarah yang baru sahaja sampai ke tingkat bawah melihat sekeliling. Mencari dari mana datangnya bunyi itu. Hatinya berasa cuak juga, tetapi dia tetap cuba untuk melawan rasa takut yang mula bersarang di dalam hatinya.

Matanya kemudian tertumpu pada sofa mewah di ruangan tengah rumah barunya. Dia melihat sofa itu seperti bergerak-gerak sedikit. Matanya dikecilkan untuk cuba fokus ke arah sofa itu. Tangannya meraba dinding untuk mencari suis lampu. Pada masa yang sama matanya masih tertumpu pada sofa besar itu. Belum sempat dia menekan suis lampu sofa itu tiba-tiba terangkat ke udara sebelum terhempas ke lantai.

Dalam masa seminit Maisarah sudah berada di dalam biliknya. Dia mengunci pintu sebelum melompat ke atas katil. Selimut yang sedang membaluti tubuh Aina turut ditarik. Mujurlah Aina masih tidur tidak sedarkan diri. Maisarah menggigil di dalam selimutnya. Dia memang agak berani tetapi tidak untuk perkara-perkara angker seperti tadi.

Malam itu Maisarah tidak dapat melelapkan mata. Dia hanya terlelap apabila waktu hampir menginjak subuh. Pagi itu Maisarah terlajak melakukan solat subuhnya. Padahal dia sudah dikejut berkali-kali oleh Aina. Mungkin kerana terlalu penat jadi dia lansung tidak sedarkan diri.

DI MEJA MAKAN Maisarah berlagak seperti biasa. Dia tidak menceritakan kejadian semalam kepada mama dan papa. Dia takut mereka berdua tidak akan mempercayai dirinya. Jika percaya pun, dia risau mereka berdua akan mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah lain. Maisarah tidak mahu menyusahkan kedua orang tuanya itu. Lagipun sekali ini sahaja perkara pelik itu berlaku. Maisarah berdoa supaya kejadian semalam tak akan berlaku lagi selepas ini.

"Hari ni, Maisarah dengan Aina nak buat apa?" Tanya Shima sambil menuangkan teh panas ke dalam cawan. Cawan itu dihulurkan kepada Aina.

"Hurm... tak tahu lagi mama. Sarah ingat nak ajak Aina jalan-jalan sekitar kawasan kampung ni, boleh tak mama?" Maisarah cuba membuat muka comel. Dia tahu mama memang susah untuk membiarkan dia keluar dari rumah berdua sahaja dengan Aina tanpa pemantauan sesiapa. Selalu kalau dia keluar dengan Aina pun, bodyguardnya ada bersama. Tetapi kali ini Aina tidak membawa bodyguardnya sekali. Maisarah terlupa untuk bertanya kenapa.

"Tak boleh. Sebab hari ni mama nak ke pekan. Mama nak pergi beli pokok bunga. Mama nak suruh Amir tu ajar mama macam mana nak tanam pokok bunga tu."

"Siapa Amir tu mak cik?" Tanya Aina sambil menyuap bihun goreng putih yang di masak Shima ke dalam mulut.

"Amir tu budak kampung ni, mak cik minta tolong dia jadi tukang kebun di rumah ni sementara cuti. Baik budaknya. Sebaya dengan kamu berdua jugak. Tapi kesian, muda-muda lagi dah jadi yatim piatu. Sekarang dia tinggal berdua dengan kakaknya aje." Shima menggeleng. Terbit rasa simpati kepada Amir. Dalam usia yang muda terpaksa menyara keluarga. Mengikut kata-kata orang kampung yang didengarinya, kakak Amir tidak sihat. Tetapi Shima sendiri kurang pasti penyakit apa yang dihadapi kakak Amir itu.

Shima mengupah Amir bukan berdasarkan simpati semata-mata, tetapi Shima juga menyenangi anak muda itu. Dimatanya Amir sangat santun budaknya. Selain itu rajin pula. Apa yang paling penting Amir pandai dalam bidang tanaman. Dia tidak loket berkongsi ilmu dengan Shima tentang cara penanaman pokok yang betul.

"Oh, kira yang Aina nampak dekat taman kelmarin tu Amirlah ye?" Mata Aina bersinar-sinar. Maisarah pula sekadar menjulingkan mata ke atas. Gatal Aina dah mula muncul.

"Alah, boleh la mama. Maisarah teringin sangat nak tengok kampung ni. Lagipun Maisarah dengar dekat kawasan belakang rumah kita ni ada air terjun. Boleh la mama... boleh ye? Ye?" Maisarah menukar topik. Kalau dibiarkan nanti Aina bertanya soalan pelik-pelik pula tentang Amir kepada mamanya. Lagipun Maisarah tidak suka mendengar cerita tentang Amir. Dia tak tahu mengapa, tetapi dia tidak menyukai budak lelaki itu.

"Eh, mana Sarah tau dekat belakang rumah kita ada air terjun? Sarah curi-curi keluar waktu mama dengan papa tak ada ye?" Shima mengecilkan mata. Dia mula berasa curiga dengan Maisarah. Dia takut Maisarah sudah berani keluar tanpa pengetahuannya.

"Tak adalah mak cik, Aina yang bagi tahu Sarah. Aina saja Google pasal tempat ni sebelum datang. Manalah tahu ada tempat-tempat menarik, bolehlah Sarah ajak mak cik dan pak cik ke sana hujung-hujung minggu." Aina berbohong untuk menyelamatkan Sarah. Dia sendiri tidak tahu dari mana Maisarah tahu tentang air terjun yang dikatakannya itu. Dia cuma tidak mahu Maisarah dimarahi Shima andai kata memang Maisarah pernah curi-curi keluar dari rumah agam ini.

Dia tahu sejarah keluarga Maisarah. Dia tahu tentang kematian yang menimpa kakak gadis malang itu. Dan dia juga tahu yang Maisarah dahulu pernah curi-curi keluar keluar dari rumahnya di bandar pada waktu tengah malam semata-mata bosan berada di rumah. Mujurlah tiada apa-apa perkara yang buruk berlaku. Kalaulah Shima dan Mikael tahu tentang perkara ini, mungkin Maisarah akan dikurung terus di dalam sangkar emas ini.

"Oh, kalau macam tu... Nanti mak cik tanya dekat Amir dulu. Nanti mak cik suruh dia temankan kamu berdua." Aina menarik nafas lega. Mujur Shima tidak menyoal lebih jauh. Hatinya turut berbunga apabila mendengar Amir akan mengikut mereka.

"Tak payah la mama. Sarah dengan Aina boleh pergi sendiri. Lagipun Amirkan kena jaga pokok-pokok-pokok mama tu." Maisarah cuba beralasan. Benci sungguh dia mendengar nama itu. Entah kenapalah mama dia itu berkenan sangat dengan budak lelaki itu.

"Jangan banyak bunyi Sarah. Kalau tak nak Amir ikut, kamu tak payah pergi. Duduk aje dalam rumah ni." Muka Maisarah masam mencuka. Nampaknya mama telah mengeluarkan kuasa vetonya. Maisarah terpaksa mengikut. Kerana dia memang ingin sangat untuk ke kawasan air terjun itu. Lagipun dia ingin tahu apakah apa yang ditulis di dalam buku merah itu benar ataupun sekadar fiksyen sahaja.

Maiasarah menyinggung siku Aina yang sedang tersengih hingga ke telinga itu. Nampak sangat sahabatnya itu menyukai idea mama supaya Amir turut serta bersama mereka. Terpaksalah Maisarah menahan geli melihat gadis manis disebelahnya ini menggedik nanti.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.