Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
66,592
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 8

RUANGAN SANTAP DIRAJA

"Tuanku, kerajaan musuh sedang gigih berlatih. Penyelamat mereka juga semakin mahir dengan taktik-taktik peperangan. Perlukah kita mempersiapkan bala tentera kita untuk menyerang?"

Seorang lelaki berpakaian serba hitam mengadap Maharaja Mozad yang sedang bersedia untuk bersantap. Ruangan santapan diraja itu agak gelap. Hanya sedikit sahaja cahaya yang masuk ke dalam ruangan itu melalui celah-celah langsir tebal di tepi tingkap. Walaupun ruangan itu bersih dari segala kotoran dan habuk, tetapi ruang itu kelihatan sangat suram lagi menyeramkan.

Tambahan lagi dengan potret lukisan pemerintah Merlin yang berusia ratusan tahun tergantung di dinding. Kesemua lukisan itu kelihatan menyeramkan kerana mata potret itu seperti memerhati setiap gerak-geri sesiapa sahaja yang berada di situ. Walaupun ruangan itu boleh memuatkan 200 orang pada satu-satu masa, tetapi ruangan itu sudah lama tidak menerima tetamu seramai itu. Hanya Maharaja Mozad sahaja yang akan berada di situ setiap kali waktu santap tiba.

Tidak ada sesiapa dibenarkan berada disitu kecuali dengan izinnya. Pelayan-pelayan istana juga hanya akan menghidangkan makanan kemudian berlalu pergi untuk membiarkan Maharaja bersendirian. Lelaki berkulit putih pucat itu memang suka bersendirian. Dia cuma akan berjumpa dengan para menteri dan orang suruhannya untuk perkara penting sahaja.

"Jangan, kita tunggu dahulu. Aku mahu lihat sejauh mana kehebatan penyelamat mereka itu." Maharaja Mozad meneguk air anggur yang telah diperam ke dalam kerongkongnya. Walaupun rasanya agak keras tetapi lelaki itu amat menggemari minuman yang haram untuk umat Islam itu.

"Tapi Tuanku, tidakkah nanti mereka akan bertambah kuat sekaligus menjadi ancaman besar untuk kita?" Tanya orang suruhannya itu. Terpancar sedikit wajah ragu atas keputusan Sang Maharaja..

"Kau memperikaikan keputusan aku Hitam?" Maharaja Mozad memandang tepat ke dalam anak mata lelaki dihadapannya. Lelaki itu segera melarikan anak matanya yang berwarna merah itu dari pandangan Maharaja Mozad. Ketakutan jelas terpancar di wajahnya. Tidak ada sesiapa pun yang berani untuk membantah titah ketua kerajaan Merlin. Sesiapa yang mempertikaikan titahnya, umpama menempah maut sendiri.

"Tidak tuanku, patik tidak bermaksud begitu. Cuma pada pandangan patik, wajar sekiranya kita menyerang disaat mereka tidak bersedia." Hitam memberanikan dirinya untuk bersuara. Maharaja Mozad tertawa kecil. Dia berpuas hati dengan jawapan Hitam.

"Kau benar Hitam, tetapi aku mempunyai rancangan sendiri. Kau cuma perlu menjalankan amanah yang aku berikan sahaja. Iaitu memerhatikan setiap tingkah mereka. Sekarang kembali ke sana."

Orang suruhan yang bernama hitam itu sekadar mengangguk menurut perintah. Lelaki bermata merah itu duduk melutut sambil mengibaskan kot labuhnya menutup muka. Kelihatan asap hitam berkepul-kepul menyelubungi tubuh lelaki itu. Serta-merta tubuhnya yang kekar berubah menjadi seekor burung gagak. Burung gagak itu kemudian terbang ke arah jendela terbuka lalu menuju ke satu arah yang tidak diketahui. Mungkin terbang ke ruang angkasa kerajaan Almeera.

Mahajara Mozad pula hanya duduk bersilang kaki sambil menikmati minuman peraman anggur tadi. Tetapi kali ini dia menitiskan sejenis cecair berwarna merah pekat ke dalam gelas minumannya. Minuman itu dihirup dengan penuh nikmat. Cecair merah pekat itu merupakan darah ketua agama kerajaan Almeera yang diculik kemudian dibunuh oleh Maharaja Mozad. Bagi pemerintah kejam itu, darah seorang ulama mampu memberikan khasiat awet muda dan panjang umur kepadanya. Makanan yang terhidang di atas meja dibiarkan tanpa di sentuh. Seleranya mati. Tetapi bukan kerana Almeera.

Dia sebenarnya tidak sabar untuk memusnahkan kerajaan Almeera dan menakluk negeri itu. Permusuhan antara dua buah kerajaan itu sudah berlangsung lebih daripada 200 tahun. Sejak dari zaman nenek moyangnya lagi. Dan api persengketaan itu kembali membara 30 tahun yang lepas, sejak kematian satu-satunya adinda Maharaja Mozad akibat daripada anak panah sesat. Maharaja bertubuh kekar dan berambut putih itu menyalahkan Sultan Addin atas kematian adindanya.

Dia terkilan kerana tidak dapat membunuh Sultan Addin dengan tangannya sendiri. Jadi sekarang dia ingin melunaskan dendam itu dengan mencabut nyawa dua orang warisnya iaitu Putera Mateen dan juga Puteri Alissa. Sengaja dia menunggu hampir 30 tahun untuk melunaskan dendam itu.

Sememangnya dia boleh sahaja membunuh dua beradik itu sewaktu mereka kecil. Tetapi dia bersabar kerana ramalan daripada tukang tilik istananya. Kuasanya akan lebih kukuh jika dia berjaya mendapatkan sesuatu daripada 'Penyelamat' kerajaan Almeera. Dan sekarang 'Penyelamat' itu sudah berada disana.

Maharaja Mozad cuma menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan rencananya. Sekiranya rancangannya berjaya, dia akan menjadi penakluk terhebat di zaman ini. Bibir pucat itu kemudian mengukir senyum. Maharaja itu kemudian meletuskan tawa. Suaranya bergema di seluruh istana.

"GERHANA, BERAPA LAMA LAGI KITA HARUS BERADA DI SINI?"

"Aku pun tak pasti bayang. Kita perlu menjaga rumah ini. Tempat ini. Rahsia itu harus disimpan rapi. Kalau ada mana-mana pihak yang tahu tentang rahsia ni, kemungkinan akan berlaku peperangan yang besar untuk merebut kuasa."

"Bayang, apa kata kalau kita ceritakan sahaja kepada keluarga Maisarah? Aku percaya mereka daripada golongan yang baik-baik. Lagi lama mereka berada disini, lagi bahaya. Kita tak tahu bila pihak musuh akan menjejak kaki mereka ke kampung ini."

"Jangan! Kau ingat mereka akan percaya cakap kita? Silap hari bulan mereka semua pula yang akan menjadi gila."

"Habis tu? Apa yang kita nak buat. Masa dan semakin suntuk. Kita tak tahu sama ada Rayyan sudah bersedia di balik sana." Gerhana memandang tepat ke arah kembarnya yang bernama Bayang. Wajahnya menunjukkan riak cemas.

"Aku pasti Rayyan akan berjaya. Dia seorang pemuda yang kuat. Lagi pun kau pun dah pernah lihat keistimewaan yang ada pada dirinya bukan?" Bayang memandang jauh ke hadapan. Walaupun misi mereka kedengaran seperti mudah, iaitu hanya memerhatikan rumah agam dengan rekaan Eropah, tetapi sebenarnya ia lebih mencabar daripada itu.

Mereka telah berada di kampung itu dalam tempoh masa yang sangat lama. Mereka sendiri sudah tidak ingat berapa lama mereka berada disitu. Mereka terpaksa meninggalkan keluarga untuk menjaga rahsia yang berada di dalam banglo tersebut. Pada masa yang sama menjamin keselamatan penghuni banglo lama itu.

"Hurm... Sekarang kita tunggu dan lihat sahaja dulu. Berdasarkan maklumat yang aku dapat, rancangan tersebut akan berlaksanakan tak lama lagi. Buat masa sekarang kita kena perhatikan Maisarah. Aku rasa tak sedap hati."

"Maksud kau?"

"Dia dah jumpa buku merah tu. Kita kena halang dia dari menghabiskan bacaan tu. Kita perlu sembunyikan buku tu di tempat lain."

"Tapi kita perlukan buku tu. Maisarah keturunan Weiser. Hanya dia sahaja yang boleh tolong kita!" Tingkah Gerhana. Bayang terlalu prejudis terhadap Maisarah. Bukan sahaja Maisarah. Tetapi semua orang. Baginya tiada sesiapa pun yang boleh dipercayai kecuali Rayyan dan mendiang pak ciknya.

"Aku tak percayakan Maisarah. Aku rasa dia tak bersedia untuk terima tanggungjawab ini." Bayang melihat melalui susuk Maisarah melalui tingkap kaca di tepi meja studi. Kelihatan Maisarah sedang memeluk seorang gadis berambut merah karat yang baru tiba dengan kereta BMW berwarna hitam.

"Hurm,,, Ikut suka engkaulah. Aku rasa tengok Maisarah tu baik aje." Gerhana melompat ke atas katil empuk. Malas hendak bertingkah dengan kembarnya itu. Bayang memang degil. Sejak peristiwa dia dibelot, dia terus tidak mempercayai sesiapa lagi.

Bayang masih melihat tingkah laku Maisarah dan gadis berambut karat itu. Dia cuba merencanakan sesuatu. Keluarga Maisarah perlu pindah dari kawasan ini. Mereka tidak sesuai berada disini. Fokus Bayang tiba-tiba terganggu. Terdengar dengkuran kuat daripada Gerhana.

Bayang menoleh ke arah Gerhana dengan perasaan jengkel. Cepat betul adiknya itu melelapkan mata. Dia melihat jam kecil di atas meja studi. Pukul 12 tengah hari. Patutlah. Memang waktu lazim untuk adiknya melelapkan mata. Bayang menguap sambil matanya kembali fokus ke arah Maisarah. Matanya berasa mengantuk pula. Di gagahkan juga dirinya untuk mengintip anak gadis itu. Matanya semakin memberat. Akhirnya dia tewas juga di atas meja studi itu.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.