Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
66,457
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 2


AMIR MERENUNG KE LUAR JENDELA. Malam itu kedengaran lagi lolongan anjing di sekitar kawasan rumahnya. Kerap pula binatang itu melolong dan menyalak sejak akhir-akhir ini. Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Sesuatu yang bersifat tidak baik. Dia melihat kakaknya Zahlia yang sedang nyenyak tidur. Mujurlah malam ini kakaknya tidur lena. Kalau tidak pasti dia akan menggigil ketakutan mendengar suara lolongan anjing itu.

Sejak beberapa tahun yang lepas kakaknya sering meracau dan menggigil setiap kali mendengar lolongan binatang itu. Arwah ibu dan ayahnya terpaksa membawa kakaknya itu berubat ke serata pelosok tanah air. Habis ke semua ceruk kampung dan pedalaman diterokai ayahnya untuk mencari dukun mahupun ustaz yang terbaik bagi memulihkan anak gadisnya itu. Namun penyakit misteri yang menimpa Zahlia masih tidak dapat diubati.

Kini ibu dan ayahnya pula telah meninggal dunia 6 bulan yang lepas akibat kemalangan motorsikal sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja mereka. Yang tinggal sekarang hanyalah Amir dan Zahlia sahaja. Mereka hidup hasil daripada duit insurans serta sedikit wang simpanan yang ditinggalkan oleh ibu dan ayah.

Mereka tinggal berdua sahaja di rumah usang ini. Saudara mara yang lain tidak mahu mengambil mereka dua beradik untuk tinggal bersama. Mereka takut dengan perangai pelik Zahlia. Mereka katakana Zahlia sudah gila.

Amir tahu Zahlia tidak gila. Dia kenal sangat dengan kakaknya itu. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran Zahlia. Dahulu kakaknya merupakan seorang yang periang. Dia mempunyai ramai kawan tetapi satu persatu meninggalkan Zahlia setelah dia dilanda penyakit misteri itu.

Amir juga turut terkena tempiasnya. Dia turut kehilangan rakan-rakannya. Rakan sekolahnya memulaukan dirinya. Orang kampung menyebarkan cerita yang kakaknya itu terkena saka keturunan keluarga arwah bapanya.

Amir mengeluh berat. Kalaulah kakaknya tidak berdegil juga untuk mengikut Rayyan ke hutan belakang rumahnya itu untuk mencari orkid liar pasti semua ini tak akan terjadi. Pasti Rayyan masih hidup dan pasti fikiran kakaknya tak akan terganggu. Dia pasti kakaknya jadi begitu kerana teringatkan Rayyan. Rayyan dan kakaknya telah lama bersahabat sejak dari kecil lagi. Kakaknya tidak dapat menerima hakikat yang Ryan sudah tiada.

Beberapa tahun sebelum ini kakaknya dan Rayyan telah ke hutan dibelakang rumah lelaki berbangsa campuran itu. Dia ingin mengajak Zahlia menemaninya untuk mencari sejenis tumbuhan herba yang dibacanya di dalam buku. Dia percaya hutan dibelakang rumahnya terdapat tumbuhan itu. Dia memujuk Zahlia menemaninya ke sana dengan mengatakan dihutan itu terdapat banyak orkid liar yang cantik. Jadi sebagai peminat bunga, Zahlia bersetuju untuk mengikut lelaki itu.

"Jangan pergi Zahlia... Ibu rasa tak sedap hati. Kamu tu perempuan. Rayyan tu pulak lelaki. Apa kata orang nanti kalau tengok kamu dengan si Rayyan tu masuk ke hutan tu bersama-sama. Kalau jadi apa-apa malu ibu dengan ayah tau." Ibunya cuba memujuk kakaknya yang memang terkenal dengan sifat degil itu. Naluri keibuannya merasakan pasti akan berlaku sesuatu yang tidak baik jika Zahlia pergi juga ke hutan itu bersama Rayyan.

"Ala, ibu ni... Lia bukan pergi berdua dengan Rayyan. Pak cik dia, Uncle Howard tu pun ikut sekali." Zahlia memasukkan sebungkus roti Gardinia berinti jagung dan sebotol air mineral ke dalam beg. Takut nanti perutnya lapar pula ketika dihutan. Zahlia jenis tak tahan lapar. Kalau lapar, boleh mengamuk gadis sunti itu.

"Lagi pun ibu pun bukannya tak kenal dengan Rayyan dan Uncle Howard tu. Uncle Howard tu pun selalu ajak ayah temankan dia ke kampung orang asli tu kan?" Zahlia mencapai kasut sukan lagi berlalu pergi ke muka pintu. Ibunya mengikut Zahlia dari belakang.

"Masalahnya sekarang kamu tu perempuan. Kalau jadi apa-apa macam mana? Mana ibu nak letak muka ibu ni?" Ibunya bercekak pinggang. Susah betul nak fahamkan Zahlia mengenai kerisauannya. Memang dia tahu Rayyan itu anak yang baik. Walaupun dia anak kacukan Melayu-Inggeris tetapi dia tetap memiliki jati diri Melayu yang kuat.

Rayyan juga dibesarkan dengan didikan agama yang kukuh. Boleh dikatakan setiap hari pasti dia akan bersolat jemaah di masjid. Ibunya juga telah menganggap Rayyan seperti anaknya sendiri. Dari kecil pun Zahlia dan Rayyan sering menghabiskan masa bermain dan belajar bersama. Tetapi, kini mereka berdua sudah meningkat dewasa. Tidak manis untuk membiarkan mereka berdua bersendirian.

"Ibu ni... jangan la fikir yang bukan-bukan. Lia tahu la batas-batas Lia dengan Rayyan tu. Ibu jangan risau ye? Okeylah Lia pergi dulu ye... Bye!" Selepas mencium tangan dan pipi ibunya Zahlia terkocoh-kocoh pergi. Mungkin kerana tak mahu ibunya membebel panjang lagi,

"Jangan balik lewat sangat. Baca doa nak masuk hutan tu. Jangan seronok sangat kat hutan tu, nanti kena sorok dek bunian baru tahu!" Sempat lagi ibunya melaungkan amaran kepada anak gadisnya yang keras kepala itu.

Disorok bunian? Adakah itu yang terjadi? Amir mengeluh lagi. Amir ingat lagi bagaimana risaunya ibu setelah Zahlia tidak pulang. Ibu meminta bapanya menjemput Zahlia di rumah agam milik Howard. Ibunya menyangka Zahlia tidak sedar waktu sudah beranjak senja. Kadangkala Zahlia akan belajar bersama dengan Rayyan di vila itu kerana dengarnya Uncle Howard memiliki perpustakaannya sendiri.

Sampai sahaja disana bapanya terkejut apabila mendapati Howard juga sedang menunggu kepulangan Rayyan. Katanya dia tidak menemani mereka berdua ke hutan kerana mendapat panggilan penting yang memerlukan dia ke pejabat. Dia juga telah menyuruh dua anak muda itu membatalkan rancangan mereka untuk menerokai hutan itu tetapi tidak menyangka yang mereka berdegil juga pergi tanpa ditemani sesiapa.

Mereka mengambil keputusan untuk meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari remaja itu. Namun pencarian mereka gagal. Laporan polis terpaksa dibuat. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan oleh pihak berkuasa. Di rumah ibunya terpaksa ditenangkan oleh jiran tetangga dan saudara mara terdekat. Solat hajat dan bacaan Yassin turut diadakan.

Setelah tiga hari, Zahlia ditemui berhampiran dengan kawasan air terjun. Badannya basah kuyup dan menggigil. Badannya penuh dengan kesan calar dan luka. Dia ditemui dalam keadaan meracau-racau. Manakala Rayyan pula masih tak dapat dikesan. Dia meracau-racau mengatakan Rayyan disambar seekor burung yang besar. Melihat keadaannya itu Zahlia segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Operasi mengesan Rayyan terus dilakukan. Tetapi setelah sebulan operasi itu terpaksa dihentikan kerana menemui jalan buntu. Mereka kehilangan jejak Rayyan. Yang dijumpai hanyalah lampu suluh yang ditemui tidak jauh dari kawasan Zahlia ditemui. Setiap kali ditanya Zahlia tetap mengatakan yang Rayyan disambar seekor burung yang besar seperti garuda. Dia menjerit histeria apabila mengetahui operasi untuk mencari Rayyan dihentikan.

Doktor yang merawat Zahlia mencadangkan agar gadis itu dirujuk kepada pakar psikitri. Katanya mungkin Zahlia masih trauma dengan kejadian yang menimpa. Cadangan doktor itu ditentang ayah. Bagi ayah, menghantar Zahlia ke pakar psikitri samalah dengan mengakui anaknya itu tidak waras. Sejak itu ayah berusaha sendiri mengubati Zahlia dengan rawatan tradisional. Pada mulanya Zahlia menolak untuk diubati.

"Lia tak sakit! Betul, Rayyan kena sambar dengan burung garuda. Ibu dengan ayah kena selamatkan dia. Kita mesti ke hutan tu semula!"

Setiap kali diajak berjumpa ustaz atau bomoh, itulah yang akan dikatakan oleh Zahlia. Lama kelamaan Zahlia menjadi seorang yang pendiam dan suka memencilkan diri. Dia berasa tertekan kerana tidak ada sesiapa yang percaya akan dirinya. Kadangkala dia akan menangis dan bercakap seorang diri apabila teringatkan Rayyan.

Amir menggeleng lagi. Alangkah bagus jika dia mempunyai kuasa untuk mengembalikan Zahlia menjadi Zahlia yang dulu. Kalau boleh dia ingin memhilangkan segala memori Zahlia mengenai Rayyan dan kehilangannya di hutan. Dia mahu Zahlia mengejar kembali cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

"ADIK...KENAPA TAK TIDUR LAGI?" Amir tersentak. Rupanya Zahlia terjaga dan memerhatikannya sejak dari tadi lagi.

"Saja, sekarangkan cuti. Rugi la tidur awal..." Amir menghadiahkan senyuman buat kakaknya. Dia tak mahu Zahlia tahu apa yang bermain di fikirannya sekarang.

"Pandai la kau rugi. Yang kau melangut dari tadi, termenung macam pungguk rindukan bulan tu lagi rugi tau tak? Rugi masa! Daripada kau termenung yang tak untung satu sen tu, lebih baik kau buatkan akak Nescafe. Akak haus la..." Zahlia mengangkat kening sambil tersenyum sumbing memeluk anak patung Mickey Mouse kesayangannya.

"Ni la susah jadi adik. Asyik kena buli je... Selamatlah Mir ni gentlemen tau. Kalau tak... tak kuasa la nak layan perangai Kak Lia ni." Bebel Amir sambil kaki melangkah ke ruang dapur. Sejak kehilangan oorang tua mereka Amir selalu memanjakan Zahlia dengan melakukan apa yang disuruh gadis itu. Dia tidak mahu Zahlia merasa terpinggir dan tertekan.

"Alah... kasilah can akak nak bermanja dengan kau kejap... Nanti tahun depan sekolah kau dah start balik akak kena berdikari duduk sorang-sorang dalam rumah ni tunggu sampai kau balik."

"Iya lah tu... Kalau bosan masak la banyak-banyak. Nanti Amir balik Amir makan."

"Tu la keja kau erk? Tau suruh akak masak je. Makan tak banyak mana pun." Zahlia mencapai mug berisi Nescafe panas yang diletakkan di atas meja kopi.

"Mir nak bagi akak praktis masak. Mana la tahu lepas ni akak nak kahwinkan, tak adalah kekok sangat nak pegang senduk kat dapur tu." Zahlia mencampakkan patung Mickey Mouse ke kepala Amir tetapi sempat dielak adiknya. Patung yang jatuh di atas lantai segera disambar Amir.

Amir menjelir lidah sambil menjulingkan mata. Zahlia mengejarnya di seluruh pelusuk rumah. Dari ruang tamu sehinggalah ke ruang dapur. Rumah itu dipenuhi gelak tawa dua beradik itu. Keriangan jelas terpancar diwajah mereka. Namun dari jauh tanpa mereka sedari, ada dua pasang mata yang memerhati setiap tingkah laku mereka.

"MEREKA NAMPAK GEMBIRA..." Kata seorang lelaki berkumis nipis.

"Baguslah. Bukan ke itu yang kau nakkan selama ni?" Sahabatnya menyandarkan diri dibatang pokok. Matanya turut memerhatikan dua beradik itu.

"Iya... Memang aku nakkan Zahlia gembira. Dia berhak untuk gembira. Sudah terlalu lama dia tersiksa." Lelaki berkumis itu memberikan senyuman hambar. Sahabatnya menepuk lembut bahu lelaki berkumis nipis itu.

"Sudah la tu. Jom kita pergi. Tak lama lagi azan subuh. Susah kalau ada orang lain yang nampak kita dekat sini. Lagi pun aku tak tahan la... Sejuk..." Lelaki berkumis itu melihat sahabatnya menarik hud baju menutupi kepala. Badannya sedikit menggigil. Lelaki berkumis hanya menggelengkan kepala.

"Kau ni lemah betul. Cakap hebat, kalau bertarung dengan sepuluh orang, sepuluh-sepuluh tu tumbang. Ni sejuk sikit pun gigil, apa hal?"

"Eh, tu lain. Aku bukan tak tahan sejuk. Aku elergik dengan embun. Mak aku cakap air embun tu boleh buat kita demam. Aku ni ikut cakap mak aku aje. Aku kan anak yang baik..."

"Iya lah tu, dah jom..." Lelaki berkumis menarik lengan sahabatnya. Tak mahu lelaki itu terus merepek yang bukan-bukan. Mereka melangkah pergi dalam kepekatan dinihari. 


Previous: Gerbang Rahsia
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.