Home Novel Fantasi Gerbang Rahsia
Gerbang Rahsia
miazahra
5/9/2019 21:45:06
66,693
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 9

"Aina!!! Kenapa tak call dulu?" Maisarah memeluk erat tubuh sahabat baiknya. Rindu benar dengan gadis berkulit hitam manis itu.

"Saja la. Konon nak surprisekan engkau. Macam mana? Berjaya tak? Terkejut tak?" Tanya Aina bertalu-talu. Rambut yang mengerbang ditiup angin di ikat dengan getah ikat rambut.

"Berjaya! Aku ingatkan mak cik rambut rosak mana la tadi yang datang rumah aku. Rupa-rupamya kau."

"Hey! Kurang ajar. Mana ada rosak. Ni aku salah pilih brand la. Selalu aku pakai pewarna rambut brand Korea. Kali ni aku guna pewarna brand U.S yang kawan Jessica bagi. Tak sesuai agaknya. Habis rambut aku. Aku nak pergi buat rawatan rambut kat salon tapi bapak aku tak kasi. Dia cakap kalau aku pergi jugak dia nak botakkan rambut aku ni. Kononnya balasan sebab aku colour rambut. So nak tak nak terpaksa aku redhakan aje rambut aku macam ni."

"Padan la dengan muka kau. Dah tau bapak kau tak bagi kau colour rambut bagai, kau nak jugak colour. Habis nanti bukak sekolah macam mana?" Tanya Maisarah. Walaupun Ain bersekolah di sekolah antarabangsa, tetapi sekolah itu mempunyai peraturan yang ketat. Pelajar-pelajar dilarang mewarnakan rambut dan membuat potongan fesyen rambut yang keterlaluan.

"Alah, nanti aku potong la pendek sikit rambut aku ni. Lepas tu sarungkan tudung. Habis cerita." Aina mengenyitkan matanya kepada Maisarah.

"Kau ni, orang pakai tudung sebab nak ikut tuntutan agama. Bukan sebab nak terlepas dari denda." Maisarah menggeleng.

"Tak pe la. Aku pun memang dah niat mulai tahun depan aku nak start belajar-belajar pakai tudung." Kata Aina. Matanya melilau melihat kawasan sekitar. Kemudian matanya difokuskan ke satu arah. Maisarah tidak perasan dengan kelakuan rakan baiknya itu.

"Iya ke? Alhamdulillah. Aku harap nanti aku pun ada kekuatan macam kau jugak untuk bertudung. Maisarah menguntum senyuman ikhlas. Dia juga ingin menutup auratnya dengan sempurna. Tetapi buat masa sekarang dia masih belum bersedia. Harap-harap satu hari nanti sebelum usianya 20 tahun, dia akan mula memakai hijab.

'Ha'ah. InsyaAllah. Eh! Siapa mamat tu? Handsomenya..." Aina menolak kepala Maisarah ke arah belakang supaya Maisarah dapat melihat lelaki itu. Tubuh Maisarah terpaku untuk beberapa saat. Kemudian dia menjulingkan mata ke atas.

"Tukang kebun mama kot. Kenapa berkenan ke?" Maisarah menghadiahkan senyum sinis.

Entah kenapa dia berasa meluat kepada lelaki yang mungkin sebaya dengan dirinya itu. Mungkin sebab dia tak suka cara lelaki itu memandang mama sewaktu majlis kenduri masuk rumahnya tempoh hari. Dia perhatikan lelaki itu sering mencuri pandang ke arah mama. Takkan jatuh hati pada mama. Tahulah mama tu awet muda.

"Iya ke? Nama apa? Kenalkan dengan aku? Handsome kot." Aina menggoncang tangan Maisarah. Aina ni memang gedik sikit kalau bab lelaki-lelaki handsome ni. Gatalnya dah ibarat perempuan-perempuan dalam drama Korea.

"Kau ni, bawak mengucap boleh tak? Istighfar. Kata nak pakai tudung. Tingkah laku tu pun kena jaga. Jangan nak menggedik sangat. Tak sesuai dengan imej muslimah. Simpan gatal tu dalam hati dah. Buat malu je nanti." Maisarah mendengus kasar.

"Alah, kau ni. Tu pun nak marah. Relax la. Kenapa? Kau suka dekat mamat tu erk..."Usai sahaja Aina menghabiskan kata-katanya, satu tamparan dihadiahkan ke bahu gadis tinggi lampai itu. Gadis itu mengaduh kesakitan.

"Merepek la kau ni. Dah jom masuk dalam. Takkan kau nak terpacak tengah panas terik ni sampai ke petang? Tu, driver kau pun dah lesap balik dah. Entah dah sampai tengah pekan dah tu. Jom angkat beg kau masuk dalam. Ni kau bawak beg besar gedabak ni nak pindah masuk rumah aku terus ke?" Maisarah melihat ke arah dua buah luggage besar bercorak bunga-bungaan berwarna pink milik Aina.

"Bergantung pada keadaan. Lagi lama mamat handsome tu kerja kat sini, lagi lama la aku tinggal kat rumah kau." Sengih Maisarah. Kali ini satu cubitan pula diterima lengannya. Sekali lagi gadis berambut karat itu mengaduh kesakitan akibat bisa cubitan Maisarah. Jeritan kecil Aina menarik perhatian Amir.

"Kau ni gatal erk? SPM pun tak lepas lagi!" Gerutu Maisarah. Tangannya pantas mengheret sebuah lagi milik sahabatnya menuju ke dalam rumah. Sebuah lagi beg dibiarkan disitu untuk dibawa sendiri oleh pemiliknya. Terkedek-kedek Aina mengheret beg besarnya membontoti Maisarah. Dalam pada masa yang sama sempat juga dia menoleh ke arah mamat handsomenya sambil menghadiahkan senyuman. Amir hanya terpaku lalu menggelengkan kepala.

'Girls are weird,' katanya di dalam hati.

"AMIR... SUDAH-SUDAHLAH TU. MARI MINUM DULU." Pelawa Shima. Kasihan pula hatinya melihat Amir yang sejak dari tadi berjemur dibawah terik mentari.

Amir meletakkan cangkul yang digunakannya tadi di atas tanah. Batas untuk pokok ubi kayu sudah disiapkan. Petang ini selepas asar bolehlah dia kembali untuk memacak batang-batang ubi kayu di atas batas itu. Dia mengesat peluh di dahi dengan tuala Good Morning yang tersangkut elok di batang tengkuk. Langkah kaki di bawa ke pondok buluh tempat Shima berdiri.

"Terima kasih mak cik, buat susah-susah saja. Saya pun ada bawa bekal air ni." Amir menunjukkan botol air yang berisi air kosong di dalamnya kepada Shima. Terasa segan pula majikan apabila majikan yang baru dikenali itu menyediakan air untuk dirinya.

"Alah, tak susah mana pun. Marilah minum. Terima kasih ya sebab tolong mak cik." Shima menghulurkan gelas berisi air Sunquick kepada Amir. Piring berisi sandwich tuna turut dihulurkan kepada anak muda itu. Amir mengambil sepotong sandwich itu lalu dikunyah perlahan.

"Mak cik, petang ni lepas asar saya sambung buat kerja ye? Tak lama lagi nak masuk waktu zuhur. Saya nak minta izin balik rumah dulu." Pinta Amir. Takut nanti risau pula kakaknya yang seorang itu.

"Petang ni Amir tak payah datanglah. Lagipun dah banyak sangat kerja yang Amir buat pagi ni. Cukup-cukuplah tu. Esok sambung pula ye?" Shima menghadiahkan senyuman untuk remaja dihadapannya itu. Amir membalas kembali senyuman wanita yang dianggap seperti arwah ibunya. Buat seketika mereka berbual-bual kosong demi menghabiskan waktu.

"Assallamualaikum tuan rumah... " Suara garau memecahkan suasana tengah hari itu. Kelihatan Mikael berjalan ke arah mereka berdua sambil menjinjing beberapa bungkus beg plastik.

"Wa'alaikumussallam Tuan Besar. Lambat balik?" Usik Shima sambil mengambil bungkusan-bungkusan plastik dari tangan suaminya.

"Nak buat macam mana? Tuan Besar ni ada masalah sikit dekat pekan tu. Anak pokok manggis yang awak nak tu tak ada. Ada anak pokok langsat saja. Awak bukan makan pun buah langsat." Rungut Mikael sambil mengibas-ngibas baju kemeja yang dipakai untuk menyejukkan diri.

"Alah, takkan tak ada? Baru kelmarin saya tengok ada." Shima mula menarik muncung. Baru sahaja dia berniat untuk menanam pokok manggis dibelakang rumah agam lama itu. Tanah di kawasan itu memang sesuai untuk ditanam pelbagai jenis pokok buah-buahan. Mungkin kerana kawasan itu berdekatan dengan kawasan bukit.

"Pak cik dan mak cik kalau nak anak pokok manggis saya boleh bawak esok. Dekat rumah saya ada dua, tiga pokok. Kakak saya semai." Sampuk Amir. Belum sempat Shima membuka mulut, suaminya terlebih dahulu menyatakan persetujuannya.

"Alhamdulillah. Senang kerja pak cik. Tak payah la pak cik ulang-alik ke pekan tu tiap-tiap hari semata-mata nak mencari anak pokok manggis. Eh, tak lama lagi dah nak masuk waktu zuhur ni. Amir solat dekat sini nak?"

"Tak apalah pak cik. Saya solat dekat rumah saja, Lagipun kakak saya seorang diri dekat rumah tu." Amir menolak lembut pelawaan lelaki yang berusia awal 40-an itu.

"Kalau macam tu mari pak cik hantarkan."

"Tak apalah pak cik. Saya jalan kaki saja."

"Tak apalah. Jom pak cik hantar." Pujuk Mikael sambil menepuk bahu Amir. Shima yang tadi hendak melenting kerana diperli Mikael turut memujuk remaja itu supaya menumpang suaminya. Setelah meminta izin dari Shima untuk pulang ke rumah, Amir berjalan beriringan bersama-sama dengan Mikael ke kereta Toyota Hilux.

"Terima kasih pak cik susah-susah nak hantarkan saya balik."

"Eh, tak apa. Lagipun memang pak cik kena keluar balik sebab pak cik sebenarnya terlupa nak beli air mineral yang mak cik kamu pesan. Nanti bernanah telinga pak cik ni dengan Mak Cik Shima kamu tu membebel."

"Oh, jadi pak cik gunakan saya la ni?"

"Sikit-sikit. Jangan marah..." Sengih Mikael. Amir sekadar tertawa melihat kerenah lelaki itu. Dia semakin selesa dengan pasangan suami isteri itu. Keramahan mereka menambat hati sesiapa sahaja. Cuma satu sahaja yang dia tidak suka. Anak perempuannya yang sombong itu. Yang tu memang Amir pangkah awal-awal lagi.


*ni bab 9 yang saya tertinggal tu. Hope you guys enjoy it. Jangan segan-segan untuk komen. Saya minta maaf kalau ada kesalahan bahasa atau ejaan. 


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.