Home Novelet Keluarga Menggilap Gerhana
Bab 1

Lelaki itu akhirnya lafaz.

 

Jasmin tiada emosi kerana semuanya seumpama retak yang sedia terbelah. Keputusan mahkamah itu telah dinantikan sekian lama. Izha, yang kini tertulis diatas kertas sebagai bekas suami, memang pun sudah sekian lama keluar meninggalkan kehidupannya.  Bukan setakat itu sahaja, Izha memang pun sudah lebih dulu keluar meninggalkan kediaman mereka, berminggu sebelum urusan mahkamah bermula.

 

Hmm, bukan kediaman mereka pun sebenarnya…tetapi kediaman ibu Jasmin yang mereka huni sedari awal perkahwinan.

 

Proses bicara di mahkamah berlangsung hampir dua bulan. Terseksa sungguh rasanya. Bagai ditimpa kerusi, meja, katil, bumbung rumah dan awan hitam yang berat. Bertindihan.

 

Hari itu, adalah hari akhir untuk bicara. Ingin saja Jasmin mohon diri diangkat ke bumbung, terus ke atas dan teralih dari situ, sebaik keputusan diperoleh. Dia tidak betah untuk berdiri, berjalan atau melihat kelibat lelaki itu berdekatan dirinya. Cukuplah…. tetapi apakan daya, dia masih perlu berjalan, berpijak di bumi dan beriringan dengan Izha.

 

Jasmin yang hanya ditemani kawan baiknya Tina, bergerak perlahan cuba menjauhkan diri. Mujur tiada ahli keluarga lain turut bersama di setiap proses ini. Baik dari pihaknya mahupun pihak mentua.

 

Syukurlah. Persepsi dan kata-kata negatif yang mungkin singgah di telinga akan mematikan jiwa dan hati. Mematikan setiap urat semangat yang seakan sedang berjuang mengelak mati.

 

Siapa lah yang tidak kenal Izha? Panas baran, ambil mudah dan kurang peduli, pentingkan diri sendiri dan sentiasa mahu menang. Mungkin sebab itu juga, tiada siapa mahu menemaninya saat bicara itu. Mungkin…..

 

…dan kenapalah dia sungguh dungu memilih untuk bersama lelaki itu?

 

Persoalan itu sering menyentak kepalanya.

 

Namun ada satu suara lain mengingatkan dirinya. Itu lah Qada’ dan Qadar….

 

Tak kisahlah, kerana kini dia sudah dilepaskan. Perbalahan di dalam mahkamah sedikitpun tidak meriakkan kesal pada diri Izha. Marah lagi ada, walaupun secara terang-terangan dengan semua bukti dan saksi yang ada, Izha tetap sentiasa menafikan.

 

Kerana itu, mula saja bicara dimahkamah Izha sudah mula mengemas kain baju dan berbungkus pulang ke rumah mama. Sarat dengan perasaan yang marah tidak berkesudahan. Izha memang sentiasa rasa diri itu tidak salah. Begitu juga Jasmin, yang kali ini tentunya mahu menang.

 

Di penghabisan, Jasmin mengalah saja. Dia tarik semua pertuduhan dengan syarat Izha lepaskan saja. Dia sudah tidak betah hidup bersama lelaki itu. Cukuplah! Mengaku kalah bukan bermaksud menyerah, tetapi berbalah hanya merugikan banyak masa, tenaga dan perasaan.

 

 Thanks encik ex-husband. I will not surrender easily! Kita pilih jalan mudah saja lah ya. Tengok lah nanti siapa yang serabut!

 

Tiada pernah berlaku sebarang kompromi di dalam rumahtangga mereka. Setiap patah idea atau buah fikiran Jasmin dinafikan sekeras-kerasnya. Tiada pernah lelaki itu akur akan setiap butir yang diajukan pada setiap perbincangan. Semuanya ditolak mentah. Puas sudah Jasmin bertahan, kini semuanya terlerai. Biarlah cinta dan sayang yang disemai selama ini dikorbankan.

 

Benarkah perasaan itu adalah cinta? Mungkinkah ia sekadar penyerahan kerana cubaan menerima kekurangan seorang lelaki bernama suami?

 

Mama ternyata sedih. Izha itu anak kesayangan, kononnya dirinya ini adalah menantu kesayangan. Ibu mertuanya itu kerap menyatakan keberuntungan dirinya bersuamikan lelaki seperti Izha.

 

Celah mana keuntungan tersebut? Kalau lah mama tahu…

 

Sedikit jelak kerana hakikatnya,hati ini sedikit pun tidak menyetujui pendapat mama. 


Namun, biarkanlah.

 

Terlepas dari ikatan itu adalah suatu kemenangan. Kemenangan tersembunyi yang manisnya hanya dia ketahui.Apalah perlunya menghambakan diri, hati dan perasaan untuk seorang suami yang tidak pernah menghargai? Mencipta status nyusuz dan derhaka secara total setiap saat? Merakam diri untuk menjadi hamba neraka?

 

Cukup.

 

Maka perpisahan ini adalah lebih baik dari terus berdosa. Ada hikmahnya perkahwinan lapan tahun ini tidak dikurniakan cahaya mata.

 

Ibunya masih tiada komen. Mungkin kerana dia anak tunggal dan mahu menjaga hatinya atau…mungkin belum masa atau…., mungkin juga tidak akan ada komen secara langsung.

 

Sewaktu di khabarkan pun, ibu cuma diam dan mendengar. Memahami dan menerima apa saja seadanya. Sejak pemergian ayah, ibu memang berusaha sungguh-sungguh untuk mengelak duka nestapa. Masalah besar jarang menjejaskan ibu.Hampir tiada!


Termasuk lah bermenantukan lelaki seperti Izha…

 

Lelaki yang tidak pernah ada perancangan masa depan. Tidak pernah cuba untuk memperbaiki kehidupan perkahwinan mereka, termasuklah tidak cuba untuk keluar dari rumah keluarga Jasmin. Merelakan hidup mereka bertahun-tahun dengan kadar yang serupa. Tiada pasang surut, tiada adventure dan sentiasa di keadaan yang sama.

 

Bukan.

 

Izha kata, kasihan ibu kena tinggal seorang diri. Alasan sungguh kukuh untuk terus menempel secara percuma di rumah ibu nya selama bertahun-tahun. Alasan slapstick seorang lelaki untuk melepaskan tanggungjawab apalagi bila ibu mentua tidak pernah bersuara atau mempersoal. 


Senang cerita, bila mentua baik, menantu menghantu.

 

Bila isteri baik, tindas selalu.

 

Jasmin kini telah berhenti berdiskusi mengenai Izha. Rasanya sudah cukup dia melalui keperitan hidup bergelar isteri lelaki itu. Cinta memang buta. Mungkin benar dia masih cinta, tetapi tidak mengapalah. Buang saja cinta yang tidak berkesudahan ini. Buang saja jauh-jauh kerana ia tidak memberi kemudahan untuk dirinya. Biarlah kalau sampai tua dia tidak akan mempunyai teman hidup lagi. Seperti kata Izha setiap kali mereka bertengkar;

 

“tiada siapa ingin kan perempuan yang banyak hal macam ni…,”

 

Fine.

 

Jasmin simpan semua cerita mengenai lelaki itu. Simpan ketat-ketat dalam peti keramat. Tidak perlu diumpil keluar. Perkahwinan mereka dulu adalah dengan kerelaan dirinya, maka seharusnya perpisahan ini begitu juga. Biar apa pun cercaan Izha terhadapnya, dia akan terima. Dia tidak perlu berduka dengan sekadar cakap-cakap dari seorang bekas suami.

 

Dia setuju dengan penyataan hakim di dalam kamar tempoh hari. Sekiranya bersetuju untuk bercerai secara baik,maka bercerailah. Tidak perlu ada ungkitan dan cercaan di luar mahkamah. Tidak perlu mengata atau mempersalahkan satu sama lain. Dan mereka sudah memilih untuk bercerai secara baik, seharusnya tiada unsur perbalahan lagi. Jasmin sangat setuju. Dia berharap Izha pun sama.

 

Walaupun secara realitinya….TIDAK!

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Linitsu