Home Novelet Keluarga Menggilap Gerhana
Bab 3

Min diajak beberapa rakan sekerja berkunjung ke sebuah cafe baru dipinggir bandar. Sejak selesai urusan mahkamah belum pernah lagi Min keluar bersosial, melainkan dengan Tina dan Ibunya. Kini dia sudah rasmi digelar ‘makjan’.

 

Gelaran yang ditakuti oleh ramai wanita berpasangan didunia sebelah sini.

 

Sungguh, Min tidak kisah langsung. Tidak bangga, juga tidak menyeksa!

 

Cafe yang disebut-sebut itu adalah antara yang terbaru tumbuh bagai cendawan. Wujudnya kawasan komersial yang cuma berjarak kira-kira10 minit pemanduan dari pejabatnya, memungkinkan dia turut serta.

 

Waktu dibuka seperti kebanyakan yang lain, Isnin hingga Jumaat 10 am hingga 11 pm, Sabtu dan Ahad 9 am hingga 2 am. Yang menariknya ialah, ada live band bermula pada awal malam sekitar jam 8 setiap hari. Muzik!

 

Berkurun ditinggalkan hal yang satu ini. Lebih-lebih sewaktu di alam perkahwinan dahulu.

 

Min meliarkan mata memandang hias-atur segenap penjuru dan pengunjung yang mula memenuhi ruangan. Live band hanya akan bermula lebih-kurang 3 jam lagi. Tetapi di jam 6 sudah ada pengunjung yang menaiki pentas mini dan ber-akuastik sendirian. Bergilir-gilir di antara pengunjung yang naik dan turun mendendangkan lagu baru dan lama. Kelihatannya kebanyakan mereka seperti sudah biasa membuat persembahan pentas.

 

Segerombolan lelaki sibuk berbual sesama mereka disatu sudut, riuh-rendah sambil melayan dari kalangan mereka yang berterusan mendendangkan lagu mengikut emosi tanpa henti.

 

Lagak lepas geram, kemudiannya ditertawakan beramai-ramai.

 

Dasyat betul kawan-kawan tu gelakkan, hakikatnya yang memetik gitar tu memang tidak ada masalah pun! Tebal pulak muka yang naik pentas tu.Tapi suara sedap. Main gitar pun hebat.

 

Min terus memandang sekitarnya. Freddy, Jiha dan Sharifah masing-masing sibuk bertukar ulasan dan bersulam tawa. Bersembang bermacam perkara, menyuap mulut dengan pelbagai makanan sedap yang berselang datang. Boleh tahan. Boleh lepak lepas balik kerja. Makanan pun sedap belaka!

 

Tidak sedar mereka sudah terlebih masa. Minum petang yang dirancang kini hampir menjadi makan malam. Min perlu beredar.

 

“errr, bukan macam dah nak malam ke ni?” Min mematikan perbualan sesama mereka.

 

Jiha membulatkan mata melihat jam ditangan. Bergegasan masing-masing menghabiskan minuman dan bergerak ke kaunter bayaran.

 

Tatkala kesibukan itu, Min menyedari kelibat seseorangyang duduk dikalangan gerombolan lelaki yang gamat tadi. Lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang tajam. Jarak antara mereka mungkin... lebih kurang empat ke lima meter.

 

Min mula rasa kurang selesa. Dia cuba memastikan dan merenung semula, namun dia tetap tidak dapat menangkap empunya mata.

 

Perasaan aku saja kah?

 

Min menoleh lagi beberapa kali. Benar. Dia hampir pasti renungan itu untuknya, kerana yang lain sudah pun beredar. Dia keseorangan berdiri di situ.

 

Kemudian tiba-tiba, lelaki itu melangkah datang. Min yang kini mula bergerak menuju ke kaunter bayaran kian gugup. Segera dia mengalih pandang. Mahu saja rasanya mencelah di antara rakan-rakan dihadapan untuk menyelamatkan diri, tapi rasa macam tak perlu. 

 

Degupan jantungnya tidak sedikit pun kompromi, laju mengepam dan kuat bunyinya macam enjin motobot. Entah kenapa dia rasa sangat gelabah dan berharap saat cemas itu segera berlalu. 

 

Berharap ianya cuma mainan perasaan. 

 

Berharap suatu salah faham.

 

Pelik! Sudah acapkali dia menerima renungan sebelum ini. Banyak sahaja mata-mata nakal yang membuat pandangan gatal, tetapi kenapa kali ini dia rasa sangat......semacam?

 

Segera dia menundukkan kepala pura-pura membelek ke kasut.

 

Lelaki itu akhirnya berhenti betul-betul disebelah, dan menghulur tangan. Min memandang huluran salam itu dengan kerutan di dahi. Huru-hara rasa perasaan di dalam jiwa. Masih dia tidak mengangkat muka.

 

"Nak balik dah?" Suara itu menggetar gegendang, membuatkan Min mengangkat mukanya perlahan dan... wajah itu membuat mata dia membesar dan kening terangkat tanpa sengaja.

 

“Hadani?” Degupan jantungnya normal terus!

 

Min melepaskan helaan nafas yang tertahan. Lelaki itu rupanya adik Izha - Danny nama panggilannya.

 

Bekas adik ipar.

 

Min sengih sambil menyambut huluran salam itu. Adik iparnya nan seorang ini memang jarang berjumpa. Sepanjang perkahwinan dengan Izha dulu pun Danny jarang berada di rumah. Penuh konflik. Antara Min dan Danny, mereka sangat jarang berkomunikasi.

 

Min pernah rasa macam Danny tidak suka kepadanya.Tiada kemesraan dari Danny sejak hari pertama dia menjadi kakak ipar kepada anak muda itu.

 

Pantas Min bertanyakan soalan namun seperti dijangka, Danny tidak segera menjawab. Sentiasa biar orang tertunggu-tunggu dan membiarkan soalan berlalu sendiri. Mungkin itu yang menyebabkan Min kurang berkomunikasi selama ini.

 

Danny kemudiannya mempelawa dia duduk di kerusi paling dekat, yang kebetulan tiada berpenghuni. Min berkira-kira sebentar, tetapi akhirnya dia menurut.

 

Adik iparnya yang tinggi lampai itu agak kemas berkemeja, walaupun sudah tidak dimasukkan dengan kemas ke dalam seluar. Baru habis kerja barangkali. Memang dari ukuran saiz badan, Danny lagi tinggi dan berisi dari abangnya.

 

Namun, agak pendiam. Izha? Mulut manis, peramah dan sangat pandai bergaul.

 

Sibuk berbasa-basi dengan Danny, Jiha tiba-tiba muncul di hadapannya sambil mengangkat kening dan membuat isyarat tangan.

 

‘Hei, apahal? Tak mau balik kah?’ seakan terpacul maksud isyarat itu dari rakannya.

 

Danny tidak nampak kehadiran si Jiha yang hanya beri hint dari jauh.

 

Eh! Lupa pulak!

 

Min laju membuat isyarat '5 minit'. Dia tumpang Jiha untuk pulang kerumah. Maka dia perlu bergegas sama.

 

Segera Min memandang Danny di sisi. Sekali lagi, cuba meramahkan diri sebelum beredar. Dah alang-alang Danny yang menegur, maka Min pun cuba bereaksi baik. Laju-laju dia menutur soalan.

 

Buat apa sekarang? Sihat? Dah makan? Soalan Min dibalas dengan senyum dan angguk sahaja.

 

“sihat ke?” Danny menyoal balas.

 

Min turut angguk perlahan, senyum sambil menghela nafas. Punya banyak soalan ditanya, soalan jugak yang dibalasnya.

 

Mata yang sentiasa merenungnya itu tajam dan tepat keanak mata, membuatkan Min segera menamatkan perbualan yang sedia hambar. Tidak berdaya lagi Min untuk meneruskan, lalu dia gunakan kesempatan itu untuk mengunjuk ke arah kawan-kawannya yang sudah bersedia untuk beredar.

 

Tiada sebarang soalan tentang perceraian seperti dijangka. Lantas, Min kembali menghulur salaman. Dia berdiri dan mohon diri lantas laju melangkah keluar dari café tersebut.

 

Pantas Min berlari anak menuju ke kereta Jiha yang sedia menanti di tepi jalan dekat pintu masuk. Pastinya gadis genit itu sudah separuh sabar. 5 minit - ngam-ngam. Sedikit penjelasan sebelum kereta Myvi hitam itu bergerak pantas. 20 minit dia tiba di rumah dengan jam di tangan lewat pukul 7.30 malam.

 

Berjam-jam lewat dari biasa.

 

Mujur ibu tiada soalan lebih. Min bergegas terus, membersihkan diri, bersolat dan menyiapkan makan malam. Memang itu antara tugas-tugas Min dirumah, daripada sebelum berkahwin, dah kahwin sampailah ke status terbaru ini.

 

Makan malam disempurnakan. Selesai di meja makan, bersambung pula cerita mereka dua beranak hingga ke depan tv. Melarat hingga lewat malam.

 

 

 

Keesokannya di pejabat, cerita lepak petang semalam menjadi bualan. Ada yang sudah terpengaruh dengan cerita cafe baru itu dan mula menyusun jadual untuk makan malam, makan pagi dan setiap makan yang berkemungkinan.

 

Min terkekeh-kekeh ketawa melayan setiap soalan serta pelawaan kepadanya. Jadualnya bakal padat sehingga ke beberapa minggu berikut. Semenjak sendiri, memang ramai orang suka mengajaknya ke sana sini.

 

Sementelah isu hangat cafe baru itu, tanpa diduga isu lain pula tiba-tiba muncul hangat sepulangnya dia kerumah.

 

Ibu turut mempunyai isu semasanya tersendiri. Isu-isu kebahagiaan – ujar ibu.

 

Kebahagiaan yang buat Min bungkam, sepanjang malam itu.

 

Kisah Cafe baru telah lenyap terus.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Linitsu