Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
69,929
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 3

Samsir meloloskan tubuhnya keluar sebaik saja pintu lif terbuka. Dengan langkah yang kejap dia melangkah menelusuri ruang lobi menuju kearah meja yang dikhaskan untuknya. Dilihatnya tiada sesiapa pun disitu. Kemana perginya Mustafa? Bola matanya diliarkan cuba mencari kelibat lelaki berusia sekitar pertengahan tiga puluhan itu. Namun bayang Mustafa tetap tidak kelihatan.

Samsir duduk dan mencapai sebatang pen. Buku laporan dibuka. Seperti kelazimannya dia akan menulis didalam buku laporan setiap kali dia selesai melakukan rondaan.

Samsir mendongak apabila mendengar bunyi tapak kaki bergesel dengan lantai marmar. Terhegeh -–hegeh Mustafa berjalan mendekatinya. Tangan lelaki itu dilihat sedang mengosok perutnya disebalik seragam yang dipakainya. Samsir tersengih gelihati. Dia tahu sangat apa yang dialami oleh rakannya itu. Dah tentu sakit perutnya belum hilang lagi, hatinya berkata sendirian.

“Perut kau tu buat hal lagi ke?” dia bertanya tanpa menoleh.

Mustafa tidak menjawap. Dia duduk sambil menyeringai. Tangannya masih lagi seperti tadi. Menggosok perutnya sendiri.

“Haah lah... tak hilang lagi rasa mendidih ni,” berkeriut wajahnya menahan rasa memulas. Sejenak Samsir mengerling lalu tersengih lagi. Kepalanya digeleng-gelengkan.

“Kalau kau tak tahan, balik ajelah. Nak buat apa menyusahkan badan,” ulas Samsir.

Mustafa tidak menjawap. Sebaliknya dia memandang wajah teman sekerjanya agak lama.

Kalau dia tahu yang sakit perutnya itu berlarutan, memang dia malas hendak kerja. Mungkin saja tadi dia boleh meminta orang lain menggantikan tempatnya malam ini. Namun apabila memikirkan yang dia kemudiannya akan mengantikan tempat orang lain pula selepas itu membuatkan dia mematikan saja niatnya itu.

“Alah... sikit je ni. Kejap lagi okaylah tu,” sahut Mustafa perlahan. Masih lagi cuba menahan rasa memulas yang dirasakan mula kurang.

Suasana menjadi sepi semula. Samsir leka menulis didalam buku laporan. Mustafa pula sekadar memerhatikan ruang lobi yang mula diselubungi sepi.

“Banyak lagi ke pejabat yang bukak?” tidak semena-mena Mustafa memecah keheningan diantara mereka.

“Tingkat tiga ada dua. Tingkat lapan, tiga. Yang lain dah tutup,” balas Samsir. Buku yang sudah siap ditulis ditutup kembali. Sedetik dia mengerling kearah Mustafa. Tangan lelaki itu masih lagi menggosok-gosok perutnya.

“Teruk sangat ke sakit perut kau tu?” dia bertanya.

“Taklah... dah kurang sikit ni.”

“Kalau tak tahan, balik aje. Aku ada malam ni,” cadang Samsir.

Seperti ada yang lucu, Mustafa meledakkan ketawanya. “Kau biar betul Sam,” Sam adalah panggilan yang selalu digunakan dikalangan teman-teman sekerjanya.

“Kenapa pulak?” sengaja Samsir bertanya.

“Kau berani ke?” kata-kata itu seperti memperlinya.

Samsir membetulkan duduknya. Kemudian wajah Mustafa yang semakin bulat hari demi hari itu direnungnya dalam-dalam.

“Kau ingat aku ni apa? Pondan?” biji matanya dibeliakkan. Mustafa ketawa sebelum disusuli dengan keluhan nipis. Sejurus kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tak lah macam tu.”

“Dah tu?” Samsir agak menyingga. Rasa tidak puashatinya cuba dikawal.

“Aku dengar bangunan ni tak berapa ‘clear’,” ucap Mustafa dengan suara yang rendah.

“Maksud kau?” Samsir inginkan kepastian.

Belum pun sempat Mustafa menjawap terdengar bunyi loceng. Kedua-dua lelaki itu menoleh kearah lif. Pintu terbuka dan keluar beberapa orang kaki tangan yang bekerja disitu. Rancak sangat mereka berbual sehingga tidak mempedulikan akan mereka berdua.

Samsir memerhatikan salah seorang dari mereka. Seorang wanita muda. Gadis cina. Rambutnya lurus dan agak berkilat. Kulitnya putih bersih. Matanya agak sepet tetapi menarik. Bibirnya nipis. Tubuhnya agak lampai tetapi tidak terlalu kurus. Memang cantik orangnya. Sewaktu gadis tionghua itu melintasi mejanya, pandangan mata masing-masing  bertaut. Samsir agak ragu-ragu untuk menghulurkan senyumannya. Bimbang senyuman ikhlasnya nanti tidak berbalas. Pengawal keselamatan sepertinya siapa yang sudi pandang. Rasa rendah diri bermukim dalam dadanya.

“Heh! Kau tengok apa?” Samsir tersentak apabila bahunya disentuh dengan kasar. Cepat-cepat dia berkalih pada sahabatnya itu.

“Tak ada apa-apalah,” tungkasnya dengan wajah yang masam. Sesaat kemudian Mustafa ketawa lagi. Samsir sengaja tidak ambil pusing.

“Hah... sambung cerita tadi. Kau cakap tadi yang bangunan ni tak berapa clear. Apa yang tak clearnya ni?” soal Samsir buat kali kedua.

Mustafa menarik nafasnya dalam-dalam sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Wajahnya yang agak bulat itu tampak redup. Jauh matanya menyorot sesuatu. Keluhan nipis terlontar tanpa disedari. Seolah-olah sedang cuba mengingatkan sesuatu yang telah lama ditinggalkan. Samsir mula menyampah. “Heh! Ni nak bercerita ke nak termenung ni?” tempelak Samsir sambil menyiku rusuk Mustafa. Lelaki itu tersengih lagi. “Nantilah. Kau ni tak sabar-sabarlah,” sahut Mustafa kemudiannya.

“Nak cerita pun susah,” balas Samsir dengan hati separuh bengkak. Kalau diikutkan hati mudanya mahu saja kepala lelaki itu dilukunya dua tiga kali.

“Bukan tak nak cerita tapi...,”

“Tapi apa?”

Mustafa ketawa kecil. “Takut.”

“Kalau takut apa pasal kau bukak topik ni tadi?” seranah Samsir.

Sekali lagi Mustafa ketawa “Tersasul sebut.”

Samsir membuang pandang kearah lain dengan wajah mencuka. Apa yang aku dah buat sampai dapat kawan macam ni? hati kecilnya mengomel sendiri.

“Dah tua-tua bangka macam ni pun takut lagi?” sindir Samsir seketika kemudian. Sahabatnya itu dijelingnya. Mustafa tersengih. “Kau jangan cakap besar. Nanti padah kau yang tanggung sendiri,” pantas Mustafa meningkah. Samsir menjuihkan bibirnya.

Dia bukan tidak percaya dengan cerita-cerita aneh seperti itu. Sejak dari kecil lagi telinganya sudah diasak dengan cerita-cerita yang menakutkan. Poconglah, hantu galahlah, pontianaklah dan macam-macam lagi. Namun semua itu padanya cuma cerita. Masuk ikut telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Tidak berbekas langsung dalam hati dan mindanya. Lagi pun selama dia hidup ini haram sekali pun dia tidak pernah terserempak dengan hantu. Sukar untuk dia mempercayainya. Kalau ada orang mengatakan yang dia terjumpa itu dan ini, susah untuk dia hadam begitu saja. Sifat skeptikalnya semakin menjadi-jadi.

Dia anak kampung dan membesar dikampung juga. Kata orang dikampung memang banyak hantu yang berkeliaran. Meski pun begitu dia tidak pernah mengalami sesuatu yang aneh. Tidak pernah sekali pun dia melihat gentayagan hadir dan menganggunya. Tidak sekali pun dia terdengar bunyi atau suara yang aneh-aneh. Sewaktu dia kecil dia selalu berjalan kaki sendirian menuju ke rumah Haji Salleh untuk mengaji. Adakalanya dia akan pulang bersama-sama dengan teman-temannya.

Masih dia ingat lagi akan suasana kampung waktu dia masih diusia kanak-kanak. Kedudukan rumah orang-orang kampung agak jarang-jarang. Masih banyak lagi tanah-tanah dikampungnya ditumbuhi dengan semak dan belukar kecil. Jalan dikampungnya akan menjadi sunyi dan sepi tatkala malam menjelang. Tidak ramai orang kampung yang keluar diwaktu malam melainkan anak-anak muda yang suka duduk bergebang disimpang dijalan besar. Selebihnya hanya orang-orang tua yang suka duduk minum dan berborak diwarung Pak Leman tidak jauh dari simpang masuk kekampung.

Kanak-kanak seusianya ketika itu jarang keluar diwaktu malam. Biasanya dihabiskan dengan menonton tv diruang tamu sebelum masuk tidur. Tidurnya juga awal. Tidak betah untuk berjaga hingga kejauh malam.

Paling dia ingat ketika dia mahu ke rumah Haji Salleh dia perlu melalui bawah sebatang pokok ara dipertengahan jalan. Masih dia ingat lagi akan pokok besar dan tinggi itu. Tumbuhan parasit seperti pokok sakat yang menumpang dipokok besar itu menambahkan lagi keseraman orang kampung. Pokok itu memang sudah ada sejak dia lahir lagi. Melihat pokok sebesar itu sesiapa pun akan merasa takut. Lebih-lebih lagi diwaktu malam.

Dari apa yang dia pernah dengar kebanyakan orang kampung takut untuk melintasi pokok itu. Lebih-lebih lagi ketika malam semakin larut. Upah seribu pun belum tentu ada yang mahu.

Yang selalu disantak ketelinganya ialah ramai orang kampung diganggu ketika melintasi pokok besar itu. Macam-macam cerita yang dia dengar. Ada yang pernah nampak kelibat perempuan berdiri dibawah pokok tersebut. Ada yang mengatakan mereka pernah terdengar suara perempuan mengilai ketika pulang diwaktu malam. Ada juga mengatakan yang mereka ternampak kelibat perempuan duduk bertenggek dipokok puaka itu dan macam-macam lagi. Tapi semuanya keluar dari mulut orang. Bukan dari mulut dia. Sebabnya? Dia tidak pernah bertemu atau mengalami apa-apa yang aneh dan menakutkan ketika melewati pokok tersebut.

Memang dia akui setiap kali dia lalu dibawah pokok yang dianggap puaka oleh orang kampung hatinya sering menjadi gundah gulana dan bimbang. Semua itu kerana cerita-cerita yang kurang enak dia dengar sebelum ini. Masih dia ingat tatkala dia mahu mendekati pokok ara itu dia akan menggengam Muqaddam ditangannya seerat mungkin. Mulutnya pula tidaak henti-henti membaca Al-Fatihah. Sepasang lututnya menjadi longgar dengan tiba-tiba. Pun begitu apa pilihan yang dia ada? Mahu atau tidak, suka atau terpaksa dia harus melaluinya juga. Tidak ada jalan lain yang boleh digunakan untuk dia ke rumah Haji Salleh atau pulang ke rumahnya. Itulah satu-satunya jalan yang ada.

Kalau dia pulang bersama-sama dengan teman-temannya yang lain mereka akan segera berlari sewaktu melintasinya. Masing-masing tidak mahu menunggu lama. Dalam kepala terbayang pelbagai wajah aneh dan menakutkan. Semua itu hanya lahir dari fikirannya masing-masing. Tidak lebih dari itu. Ada yang terkencing dalam seluar. Semuanya gara-gara pokok Ara yang dianggap berpuaka dan berpenunggu oleh orang kampung.

Itu dulu, waktu dia masih kanak-kanak. Waktu itu dia tidak boleh berfikir dengan baik. Tidak mampu menimbang apa yang dia dengar dengan neraca kewarasannya. Apabila dia menginjak dewasa, cerita tentang pohon Ara berpuaka itu sekadar cerita saja. Tidak lebih dari itu. Dia tidak kisah lagi untuk lalu dibawah pokok itu biar pun diwaktu malam. Tidak sekali pun dia diganggu oleh penunggu pokok tersebut. Lalu cerita tentang pokok berpuaka itu hanyut bersama waktu yang berlari kian deras. Tidak ada apa-apa pun tentang pohon besar itu, begitulah dirumuskan didalam hatinya.

Semakin dia dimamah dengan usia semakin dia menjadi tidak percaya dengan cerita-cerita pelik dan menakutkan. Tidak mudah baginya untuk mempercayai cerita-cerita yang selalunya dianggap karut dan merapu itu.

“Kau percaya hantu ke?” dia berkalih menoleh semula kearah Mustafa.

Rakannya memberi reaksi terkejut. Bulat matanya memandang wajah Samsir. “Kau jangan cakap macam ni. Jangan cakap besar,” ujar Mustafa dengan rasa kurang senang. Baginya tidak patut Samsir berkata begitu. Lebih-lebih lagi ketika ini. Dia bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.

“Mulut kau tu celupar sangat,” tempelak Mustafa lagi. Mukanya masam. Seakan-akan kesal dengan apa yang baru dia dengar tadi dari mulut rakannya itu.

Samsir ketawa perlahan. Termos diatas meja dicapai lalu dia menuangkan kopi kedalam cawan. Asap nipis segera menerawang keatas. Aroma kopi yang enak segera mengasak kehidung masing-masing. Lantas selera terangsang dengan sendirinya.

“Kalau jadi apa-apa nanti, siapa yang susah?” ujar Mustafa seketika kemudian. Samsir tidak memberi sebarang reaksi. Kopi pekat didalam cawannya dinikmati dengan penuh selera.

“Pernah jadi benda yang bukan-bukan ke dalam bangunan ni?” Samsir menyandarkan semula tubuhnya kekerusi. Sesaat dia menjeling lagi kearah Mustafa. Dilihatnya lelaki itu mendengus. Romannya nampak tegang. Seperti ada sesuatu yang membuat fikirannya gusar tidak menentu.

“Dah lama aku kerja kat sini,” ucapnya. Suaranya kedengaran mendatar tidak bermaya. Jauh dia merenung kedepan.

Samsir diam. Menunggu kata-kata yang bakal diucapkan oleh rakan sekerjnya itu. Sepasang kaki dibawah meja dilunjurkan. Cuba mengendurkan urat-urat dikaki yang terasa tegang. Betisnya terasa bisa dengan tiba-tiba.

“Macam-macam yang aku dah dengar,” Mustafa melanjutkan kata-katanya lagi. Sementara itu Samsir terus membatukan dirinya. Untuk beberapa detik lelaki itu tidak bernafsu utnuk mencelah. Hanya telinganya saja dipasang dengan hati-hati.

Samsir akui dia baru saja ditugaskan untuk mengawal bangunan ini. Sebelum ini dia diarahkan untuk mengawal sebuah bank dipinggir kota. Tidak banyak masalah yang dia hadapi ketika bertugas disana. Semuanya berjalan dengan lancar biar pun adakalanya dia takut. Manalah tahu buatnya berlaku rompakan, siapa yang nak tanggung. Dia yang masih baru bertugas sebagai pengawal keselamatan belum lagi mempunyai lesen senjata api. Buat masa ini dia masih belum lagi dipanggil untuk menjalani latihan dan kursus bagi mendapatkan lesen tersebut. Senjata yang boleh digunakan hanyalah sebatang cota. Tak mungkin dia mampu berhadapan dengan perompak hanya berbekalkan sebatang cota pendek.

Mujur saja tidak berlaku apa-apa sewaktu dia bertugas disana. Dan tiga minggu lalu dia diarahkkan untuk bertugas sini pula. Seperti biasa, dia tidak membantah.

“Dua bulan lepas ada orang jatuh bangunan lagi,” perlahan-lahan Mustafa memandang Samsir. Wajahnya masih lagi tegang seperti tadi. Tidak ada secubit senyuman pada bibirnya. Tangannya juga tidak lagi menggosok perutnya. Barangkali perutnya sudah berhenti memulas.

“Bunuh diri?” soal Samsir. Tidak pula dia tahu tentang perkara itu.

Mustafa tersenyum seketika lalu kepalanya digeleng-gelengkan.

“Bukan bunuh diri. Tapi dibunuh.”

Samsir tersentak. Tubuhnya ditegakkan. Kata-kata itu memancing perhatiannya. Dia teruja sendiri.

“Siapa yang bunuh?”

Mustafa diam. Memandang kearah luar melalui dinding kaca bangunan. Kenderaan masih lagi bertali arus seperti tadi. Masih ramai lagi orang yang lalu lintas disitu. Ada yang kelihatan tergesa-gesa. Tiga lelaki lain pula kelihatan sedang berdiri ditubir jalan sambil bersembang.

“Siapa yang bunuh?” Samsir membuka mulutnya. Rasa ingin tahu yang semakin meluap-luap memaksa jejaka itu bertanya lagi.

“Aku tak pasti. Tapi yang aku tahu semua tu angkara seorang perempuan. Perempuan cantik,” sahut Mustafa dengan suara yang rendah.

“Perempuan cantik?”

Mustafa mengangguk-anggukkan kepalanya. “Yang aku dengar cerita Karim pernah cakap macam tu.”

Samsir termenung panjang. Cuba mengingati akan wajah dan susuk tubuh lelaki bernama Karim. Entah... dia tidak pasti. Bukan sedikit kaki tangan disyarikat dia bekerja. Bukan mudah untuk dia mengingati mereka semua.

“Kau tak kenal dia. Orangnya tak banyak cakap. Tapi dia memang tak kisah. Tak suka masuk campur urusan orang,” Mustafa yang seolah-olah dapat membaca fikiran Samsir memberitahu sambil tersengih. Samsir hanya mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Siapa perempuan cantik tu Mus?” Samsir memang ingin tahu. Jauh dilubuk hatinya dia merasa ada seperti tidak kena dengan cerita Mustafa itu. Bagaimana seorang perempuan cantik boleh jadi pembunuh? Macam tidak masuk akal, fikirnya berulang kali.

Mustafa mengeluh. Kepalanya ditundukkan kebawah. “Entah... aku sendiri tak tahu. Karim pun tak banyak cerita pasal perempuan tu. Apa yang pernah dia cakap perempuan tu memang cantik. Lembut dan agak peramah.”

Kembali Samsir termenung. Perempuan cantik? Lembut dan peramah? Ah... mana mungkin gadis seperti itu jadi pembunuh. Mustahil. Ini betul-betul macam cerita kartun, rungut Samsir didalam hatinya. Memang tak munasabah kalau difikirkan berkali-kali. Gelas yang berasap nipis diatas meja direnungnya lagi. Pun begitu seleranya sudah tumpul. Tidak bernafsu untuk menghirupnya seperti tadi.

“Tak kan perempuan macam tu boleh jadi pembunuh Mus. Macam tak logik aje,” akhirnya Samsir meledakkan rasa was-wasnya pada Mustafa.

Lelaki itu menoleh dan kemudian ketawa halus terburai dari mulutnya. Samsir menahan perasaan. Terasa seperti dipermain-mainkan. Wajahnya mencuka lagi.

“Jangan tertipu dengan paras rupa Sam. Yang nampak baik tu belum tentu betul-betul baik. Apa kata orang, jangan nilai buku dari kulitnya,” Mustafa ketawa lagi.

“Yalah Mus. Tapi ini perempuan. Kalau lelaki tu memanglah. Ini perempuan ni, susah nak percaya ni,” rungut Samsir lagi.

Mustafa tidak segera menjawap. Dia mencapai cawan dan menuangkan sedikit kopi pekat setelah meminta izin dari Samsir.

“Dendam,” sepatah dia berkata setelah kopi didalam cawannya dihirup.

Samsir melonggo. Romannya tampak keliru. “Dendam?”

Mustafa angguk. “Ya dendam. Itu yang aku dengar. Kata orang, perempuan tu memang berdendam.”

“Dendam dengan Karim?”

Gelengan dikepala Mustafa menjadikan Samsir bertambah keliru. Ni apa cerita ni, sumpahnya lagi didalam hati. Kekeliruan menjadikan dia tidak selesa.

“Bukan dengan Karim.”

“Kalau bukan dengan Karim... dengan siapa?”

“Dengan lelaki,” sahut Mustafa. Suaranya kedengaran berat dan gementar.

“Lelaki...?” hampir-hampir suaranya tidak keluar. Mindanya diasak dengan pelbagai pertanyaan dan teka-teki. Apa yang membuatkan keadaan jadi begitu? Dendam pada lelaki? Tetapi apa puncanya? Persoalan-persoalan itu semakin kuat menjerut fikirannya.

“Tapi... kenapa?” soal Samsir.

Mustafa menoleh dan menjungkitkan bahunya. Memberi isyarat yang dia tidak tahu tentang perkara itu. Samsir terdiam. Fikirannya mencanai sesuatu. Pun begitu dia gagal untuk menemukan sebarang jawapan.

“Kata orang perempuan tu masih ada disini,” ujar Mustafa lagi tidak lama kemudian. Kembali Samsir memandang lelaki berperut gendut itu.

“Dia masih bekerja disini?”

Mustafa ketawa lagi. “Dia tak bekerja disini. Sebab perempuan dah mati.”

Wajah Samsir pucat dengan tiba-tiba. Ditelannya air liur jauh kedalam kerongkongnya. Sepasang lututnya terasa lembik dengan tiba-tiba.

 

 

 

 

 

 

 

 

Previous: Chapter 2
Next: Chapter 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh