Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
70,161
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 15

Langsir yang menutup jendela dikuaknya selebar mungkin. Serentak dengan itu cahaya mentari menjelajah kesetiap ruang didalam kamar. Samsir kemudiannya menghenyakkan punggungnya diatas katil. Rasa lesu masih lagi mengigit sekujur tubuhnya. Kepalanya digosok-gosok dengan tangan. Kakinya dilunjurkan bagi merenggang urat-urat yang terasa tegang. Kepalanya pula dilentukkan kekiri dan kekanan. Satu helaan nafas panjang dilepaskan. Roman wajahnya nampak keruh. Kelopak matanya yang dicucuk rasa pedih dipejam celikkan beberapa kali. Fikirannya kosong. Seketika kemudian dia cuba mengingati apa yang dilaluinya. Samsir mendengus.

Kenangan malam tadi mula terbayang dilayar fikirannya. Makin lama makin jelas dan terang. Ya... malam tadi. Malam yang dirasakan panjang dan seolah-olah tidak berakhir. Seksanya Tuhan saja yang tahu. Buat pertama kalinya dalam hidup, dia tidak sabar-sabar untuk menunggu matahari muncul dikaki langit. Berharap agar malam menyisih pergi. Sekali lagi kepalanya digeleng-gelengkan. Sekelumit rasa kesal membuak didalam dadanya. Apa kena dengan dia malam tadi?

Samsir melontarkan pandangannya kearah langsir yang terselak. Membiarkan angin dari luar masuk dan menerjah ketubuhnya yang tidak berbaju. Nafasnya dihela panjang. Perlahan-lahan di bangkit dari katil. Mencapai tuala dan terus melangkah kekamar mandi. Untuk seketika dia malas untuk memikirkan apa yang berlaku malam tadi. Sebolehnya dia ingin cepat bersiap untuk ketempat kerja.

Seawal jam empat petang dia kesyarikat Wawasan Jaya untuk mengambil slip gajinya seperti selalu. Seorang gadis menunggunya dipejabat. Usai saja urusannya dia terus keluar. Sejenak dia berhenti apabila berselisih dengan Amirudin seorang pegawai ronda disebelah siang. Teragak-agak dia memanggil lelaki itu.

“Ada apa?” wajah garang Amirudin membuatkan dia diterkam dengan perasaannya sendiri.

“Boleh saya tanya sesuatu encik?” dengan hormat dia memulakan bicaranya.

Amirudin angguk.

“Encik kenal dengan pegawal keselamatan bernama Karim?”

Berkerut dahi Amirudin. Bola matanya bergerak kekiri dan kekanan cuba mengingati nama itu.

“Karim kalau tak silap saya dia pernah ditugaskan mengawal bangunan Wisma Jaya,” Samsir cuba membantu lelaki itu mengingati lelaki yang dimaksudkannya.

“Oh... kalau tak silap saya dia yang...,” Amirudin teragak-agak untuk meneruskan tutur katanya. Seolah-olah ada yang menganggu fikirnnya ketika itu.

“Ya... dia yang dikatakan mati terjatuh dari bangunan,” seperti dapat menbaca fikiran Amirudin, Samsir berkata. Namun suaranya kedengaran seperti berbisik. Amirudin angguk lagi.

“Encik kenal dengan dia. Tahu macam mana dia boleh jatuh bangunan? Kata orang dia dibunuh? Betul ke?” bertalu-talu soalan keluar dari bibirnya. Amirudin termenung lama. Cuba ,menarik kenangan yang sudah berlalu pergi. Ada riak tidak pasti terzahir pada air muka lelaki itu.

“Macam mana kau tahu?” Amirudin bagaikan menduga kesahihan cerita yang keluar dari mulut Samsir.

“Saya difahamkan begitulah,” ucapnya dengan penuh sopan dan berbahasa.

“Saya tak pastilah tentang itu. Yang saya tahu dia memang mati akibat terjatuh dari bangunan. Pasal mati kena bunuh tu saya memang tak tahu. Maaf,” kata-kata Amirudin membuatkan hati Samsir dilanda badai kecewa. Kepalanya ditundukkan dengan rasa kesal.

Dimana dia hendak korek cerita yang sebenarnya? Siapa yang boleh membantunya? Memang dia teringin hendak tahu apa yang berlaku pada lelaki bernama Karim itu. Benarkah ada hantu perempuan membunuhnya? Boleh percayakah cerita seperti itu? Kalau hendak difikirkan dengan kewarasan akalnya sebagai manusia, memang sukar hendak percaya. Cerita tentang hantu memang selalu dia dengar. Tapi cerita manusia mati kerana dibunuh oleh hantu, mana ada? Cerita tentang orang terserempak dengan pontianak selalu dia dengar. Tapi cerita tentang manusia kena cekik dengan pontianak tak pernah sekali pun dia dengar. Samsir mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kemudian dia meminta diri. Terus keluar dari bangunan dan menuju kearah motorsikalnya yang diletakkan ditempat letak kenderaan diluar. Panas petang masih menyengat kulit. Rasa seperti terpanggang dibara api.

Sebelum dia ke Wisma Jaya dia singgah membasahkan tekaknya disebuah warung ditepi jalan. Sedang enak dia meneguk teh tarik kegemarannya, sedar-sedar bahunya dari belakang. Hampir tersembur teh didalam mulutnya. Pantas dia menoleh dan mendapati Kadir berdiri sambil tersengih memandangnya.

“Apa ni bang. Main tepuk-tepuk belakang. Bagilah salam,” pantas sehelai tisu dicapai lalu dikesatnya lelehan teh ditepi bibirnya.

“Sorrylah... melatah jugak kau ye?” tanpa diminta Kadir menarik sebuah kerusi lalu dia melaung memesan minuman kegemarannya.

Samsir tidak menyahut akan usikan itu. Hatinya yang panas cuba disabarkan. Mujur saja Kadir itu lebih tua usianya, jika tidak mahu juga dia tuam muka lelaki itu dua tiga kali. Baru puas hatinya.

“Tak pernah tengok kau minum sini. Selalu port sini?” soal Kadir. Lehernya dipanjangkan meninjau pengungjung yang tidak seberapa dalam warung kecil itu.

“Taklah bang. Tadi balik dari opis singgah sini. Lepas ni nak masuk kerjalah,” sahut Samsir kemudian menghirup semula teh didalam gelasnya.

“Kau tahu cerita pasal Mustafa? Kawan kau tu,” dengan tidak semena-mena nama Mustafa meniti dibibir Kadir. Secepat kilat Samsir menoleh. Matanya dikecilkan. Memandang tepat kewajah Kadir.

“Cerita pasal apa pulak ni?” dadanya mula berdebar-debar. Dia dapat merasai ada sesuatu yang tidak enak bakal disumbatkan ketelinganya. Biar betul, sumpahnya didalam hati.

“Abang dengar dia minta tukar.”

“Tukar? Tukar kemana?”

“Tak pasti. Yang abang tahu dia memang nak mintak tukar. Tak kiralah mana-mana pun, asalkan dapat tukar,” sahut Kadir dengan wajah selamba. Minuman yang dipesannya sudah pun ada diatas meja. Lantas dia meneguknya dengan rakus.

Ini berita betul-betul mengejutkannya. Tidak pula dia menyangka yang Mustafa mahu minta ditukarkan dari bertugas dibangunan Wisma Jaya. Perlahan-lahan dia berkalih semula pada Kadir.

“Abang tahu apa pasal dia mintak tukar?”

Kadir menjungkitkan bahunya seraya bibirnya dicebikkan. Nampak terjuih dan hodoh. Kembali Samsir termenung. Teh didalam gelasnya tidak dihiraukan lagi. Nafsunya sudah hilang.

Kalau Kadir tidak cakap pun dia boleh agak. Ini tidak lain dan tidak bukan semuanya berpuca dari gangguan yang dialami oleh Mustafa hinggakan dia deman tidak boleh bangun. Samsir pasti benar tentang itu. Begitu juga dengan Zaidi. Entahkan sudah sihat atau belum kebah, dia tidak pasti.

“Abang tahu cerita pasal Zaidi?” soal Samsir.

“Tak tahu. Kenapa dengan dia?”

“Taklah. Demam dia dah baik?”

Sekali lagi Kadir menjuihkan bibirnya. “Tak pastilah abang. Tapi sehari dua ni tak nampak pun batang hidung dia. Demam lagi kot,” ternyata Kadir main serkap jarang. “Kalau dia dah sembuh mesti dia dah gantikan balik tempat abang kan?” Kadir merenung Samsir.

“Yelah bang,” ringkas Samsir menjawap. Dia pun dungu, kenapalah dia tidak terfikirkan tentang itu.

“Kenapa ni? Jauh termenung? Ingatkan awek tingkat empat ke?” sedar-sedar bahunya disenggol. Samsir terpana untuk sesaat dua. Awek tingkat empat? Tiba-tiba senyumnya mekar. Wajah manis Jennifer mula menari-nari ditubir matanya. Rindu berbunga dikolam perasaannya.

Manakan tidak rindu. Semalam dia tidak bertemu dengan gadis bertubuh langsing dan bertahi lalat dipipi kiri itu. Puas dia membina harapan namun sayang, Jennifer tidak bekerja. Kehampaannya bagaikan tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

“Mana ada bang,” Samsir cuba memyembunyikan perasaannya.

Kadir tergelak perli. “Ye ke. Kalau tak, tak kan jauh sangat termenung. Macam tembus tembok,” lalu lelaki berperut gendut itu meledakkan ketawa. Samsir ikut tersengih.

“Tak adalah bang,” Samsir tersipu-sipu sendiri.

“Saya nak tanya abang ni,” serta-merta Samsir mengubah topik perbualan mereka. Sebolehnya dia tidak mahu memanjangkan lagi tentang perihal dia dan Jennifer.

“Kau nak tanya apa?”

“Abang ronda tingkat atas tak ada rasa apa-apa ke?”

“Tak pulak. Kenapa?” bulat mata Kadir memandang wajah Samsir. Hatinya bergolak sendiri.

“Kau ada rasa apa-apa ke?” sebentar kemudian Kadir pula bertanya.

“Tak ada bang,” entah kenapa dia merahsiakan apa yang terjadi pada dirinya malam tadi. Masih dia ingat lagi tentang bunyi derap tapak kaki orang berjalan naik ketingkat atas. Bunyi itu diselang selikan dengan bunyi dentuman pintu kecemasan yang dihempas dengan kasar. Dan yang paling dia tidak boleh lupa akan kelibat seseorang yang melintas didepan pintu lif sewaktu dia hendak bergerak turun ketingkat bawah. Pun begitu dia tidak jelas bayang siapa yang dia lihat semalam. Dia tidak pasti jantinanya. Ketika itu keadaan agak gelap. Dia hanya nampak samar-samar saja.

“Tapi Mus dengan Zaidi pernah mengadu pada saya bang,” nama kedua-dua teman sekerjanya itu meniti dibibirnya.

Kadir diam.

Lantas Samsir menceritakan sekali lagi pada Kadir apa yang pernah dialami oleh Mustafa dan Zaidi. Kadir sekadar menganggukkan kepalanya. Sesekali dahinya berkerut.

“Hish... entahlah. Memang abang ada dengar yang bangunan ni ada puaka. Tapi tak pernah pulak abang kena ganggu. Kau macam mana?” soal Kadir. Secepat kilat Samsir menggelengkan kepalanya. Dia tidak pasti kenapa dia mesti berbohong pada lelaki itu. Yang dia tahu dia memang tidak ada niat untuk menceritakan akan gangguan yang dialaminya. Baik semasa meronda dikawasan tempat letak kereta mahu pun ditingkat atas. Buat masa ini biarlah semua itu menjadi rahsianya dulu, fikir anak muda itu lagi.

“Mungkin sebab tulah agaknya Mus nak mintak tukar,” celah Samsir seketika kemudian. Kadir sekadar menganggukkan kepalanya. “Mungkin,” ucapnya pendek. Ssejurus kemudian keadaan menjadi sepi semula.

“Berdoa ajelah agar kita tak kena ganggu,” akhirnya Kadir bersuara kembali. Samsir menoleh dengan sepasang bibirnya yang terkunci rapat.

 

 

 

 

 

 

 

Previous: Chapter 14
Next: Chapter 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh