Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
69,926
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 8

Samsir membuka kelopak matanya. Wajahnya dipanah bahang. Dengan rasa lesu dia melontarkan selimutnya hingga kehujung kaki. Kelopak matanya dipejam celikkan beberapa kali. Perlahan-lahan dia bangun dan menoleh kearah tingkap yang terbuka luas. Segera dia mengusap wajahnya yang dipanah terik matahari petang. Sejenak dia duduk dikatil. Rasa letih dan lesu semakin beransur hilang. Jam loceng ditepi katil dikerlingnya. Jarum menunjukkan keangka empat.

Samsir melentuk-lentukkan kepalanya kekiri dan kekanan. Rasa tegang pada urat ditengkuknya terasa longgar semula. Rambutnya yang bersimpanng siur diramas-ramasnya dengan tangan.

Samsir memerhatikan daun pintu yang tertutup rapat. Disebalik pintu itu dia seperti terdengar bunyi. Bunyi sesuatu berlaga. Siapa didapur?

Samsir bangkit dan berjalan. Pintu dikuak dan dia meloloskan dirinya keluar. Aroma pisang goreng menyerbu hidungnya tatkala dia muncul didapur.

“Baru bangun engkau?” Sidek menoleh. Ditangannya terpegang kemas sudip. Tahulah samsir yang teman serumahnya itu sedang menyediakan makanan ringan. Tidak pula dia pasti hidangan itu nanti untuk mereka serumah atau hanya untuk dirinya saja. Hidup membujang masing-masing lebih mementingkan perut sendiri. Masak benar Samsir dengan perangai teman serumahnya itu.

“Kau tak kerja ke hari ni?” soal Samsir sambil melihat apa yang ada dimeja makan. Kosong. Yang ada cuma pinggan kaca kosong yang beralas dengan sekeping surat khabar lama.

“Cuti. Hari sabtu,” sahut Sidek tanpa menoleh. Pisang didalam kuali dibalik-balikkan.

“Rosman mana?” Samsir mencari kelibat rakannya yang seorang lagi.

“Dia overtime. Kejap lagi baliklah dia,” jawap Sidek lagi.

Sidek dan Rosman masih lagi bekerja dikilang lama mereka. Cuma dia saja yang diberhentikan kerja akibat dari tekanan ekonomi. Pun begitu Sidek dan Rosman bertugas dibahagian masing-masing. Lantaran kerana diberhentikan kerja dia mencari kerja baru. Sudah rezekinya, dia akhirnya diterima sebagai pengawal keselamatan. Samsir tidak tunggu lama. Dari dia duduk melahu, lebih baik dia sambar saja peluang yang ada itu. Lagi pun duduk tanpa kerja lama-lama dikota besar akan mengakibatkan dirinya hidup susah. Bukan itu tujuannya dia datang ke kota besar seperti Kuala Lumpur ini.

Dia ingin berubah. Inginkan pembaharuan dalam hidup. Dia perlukan berhijrah. Hijrah dari baik menjadi lebih baik. Lantaran kerana itu kota Kuala Lumpur ini menjadi pilihannya. Dia berharap Kuala Lumpur mampu mendidiknya. Menjadikan dia matang. Dia mahu mengumpul sebanyak mana pengalaman yang dia dapat. Dia mahu menjadi manusia. Kerana impian itu dia akhirnya meninggalkan semua yang disayanginya dikampung. Semuanya dilakukan demi untuk berubah. Itu tekad Samsir.

“Kau tak overtime ke?” soal Samsir. Sebiji cawan dicapai. Kemudian dia membancuh minumannya sendiri. Dia tahu pisang goreng didalam kuali hanya untuk Sidek seorang. Entah dari mana rakannya itu dapat pisang tidak pula dia tahu. Dia juga malas hendak bertanya. Yang dia tahu perutnya mula digigit dengan rasa lapar. 

“Tak. Line aku tak ada overtime minggu ni.”

Samsir tidak bersuara lagi. Kopi pekat didalam cawannya dihirup perlahan-lahan.

 “Malam ni kau kerja?” Sidek menoleh dan bertanya. Samsir tersentak dan seketika kemudian jejaka berambut lurus pendek itu menganggukkan kepalanya. “Kerja. Kerja macam aku mana ada cuti. Kalau ada kecemasan baru minta cuti,” sahutnya dengan suara yang tidak bersemangat. Sidek merenung simpati. Gaji sebagai pengawal keselamatan tidaklah sebesar mana. Walau pun dapat seribu lebih sebulan, namun hidup dibandar besar seperti Kuala Lumpur mana cukup. Untung saja Samsir masih bujang. Kalau sudah berumahtangga bagaimana? Mahu pening kepala sahabatnya itu, fikir Sidek. Kemudian dia tersenyum sendiri.

Pisang didalam kuali diangkat lalu diletakkan didalam pinggan kaca yang sudah siap dialas dengan surat khabar lama. Hidung Samsir mula kembang kempis. Seleranya bangkit tanpa dipinta. Kebetulan perutnya memang lapar sebaik saja dia bangun dari tidur tadi. Cawan kopi ditolak ke tengah meja. Tangannya mencapai seketul pisang yang masih panas.

“Gelojoh betullah engkau ni,” sergah Sidek sebelum dia sendiri ketawa. Pisang yang sudah siap dilumur dengan tepung dimasukkan lagi kedalam kuali. Diantara mereka bertiga Sidek memang rajin untuk kedapur. Kalau cuti, dia akan menyediakan masakan untuk mereka. Sidek tidak cerewet. Apa yang ada didalam peti sejuk dan dapur, itulah yang akan dimasaknya. Dari cerita yang dia tahu Sidek sewaktu dikampung memang rajin menolong ibunya didapur. Jadi soal masak memasak, bukan perkara baru bagi dirinya.

Sambil menunggu pisang didalam kuali masak, Sidek melabuhkan punggungnya dikerusi. Pisang goreng didalam pinggan dicapainya dan ditiup perlahan-lahan.

“Aku dengar kau kena jaga tempat baru,” kata Sidek kemudian pisang yang masih panas disuapkan kedalam mulutnya.

“Em... bangunan Wisma Jaya.”

“Kau tetap ke dekat situ?” Sidek memandang Samsir.

“Taklah. Kalau kena tukar aku ikut aje. Lagi pun tak semua orang dapat tempat yang tetap,” sahut Samsir sambil bibirnya dijuihkan.

“Payah jugak macam tu,” Sidek bersuara lagi. Namun kata-kata itu lebih ditujukan pada dirinya sendiri.

“Nak buat macam mana. Dah kerja,” jawap Samsir dengan muka selamba. Pisang goreng yang sudah suam ditangannya disuap lagi kedalam mulutnya. Terasa enak. Sidek pula mengganguk tanda setuju. Kemudian dia tidak bersuara lagi. Masing-masing menikmati hidangan yang tersaji diatas meja.

Tepat jam lima petang Samsir sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Termos yang sudah berisi dengan kopi panas sudah terletak kemas diatas meja. Lazimnya dia akan bertolak cepat dari rumah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Apatahlagi waktu puncak seperti ini. Jalanraya akan menjadi sesak dengan tiba-tiba. Ramai warga kota yang ingin pulang kerumah masing-masing setelah seharian penat bekerja. Dia juga yang akan terperangkap. Terkemut-kemut ditengah jalan nanti. Pun begitu itu sudah menjadi rutin hariannya. Sudah menjadi santapannya setiap hari. Bukan lagi sesuatu yang pelik. Seperti orang lain juga, dia makin bosan dengan keadaan yang ada ini. Apa lagi yang boleh dia buat selain dari menghadam saja apa yang ada. Dalam erti kata yang lain dia tidak punya pilihan.

“Dah nak pergi kerja Sam?” Rosman yang baru pulang dari kerja menegurnya. Samsir yang ketika itu sedang menyarungan kasutnya, mendongak.

“Haah Man.”

Rosman tidak bersuara lagi. Lelaki itu terus masuk kerumah. Samsir pula terus menghidupkan enjin motornya dan berlalu pergi.

Ketika dia melangkah masuk kedalam lobi bangunan dia tidak melihat Mustafa dimana-mana. Barangkali lelaki itu masih lagi dalam perjalanan. Termos diletakkan diatas meja. Kemudian dia duduk dan membuka buku laporan. Sekadar meneliti saja. Kaki tangan yang bekerja didalam bangunan itu sudah ramai yang pulang. Melainkan mereka yang terpaksa bekerja lebih masa. Itu pun tidak ramai.

“Dah lama ke sampai bang?” Samsir mendongak apabila ada suara menegurnya. Terpacak seorang lelaki yang agak muda usianya. Tersenyum. Seragam yang tersarung ditubuhnya menyatakan bahawa dia bekerja disyarikat yang sama dengannya. Dahi Samsir berkerut. Mana Mustafa?

“Kau kena tukar sini ke?” teragak-agak Samsir bertanya.

Pemuda bertubuh kurus dan tinggi itu menganggukkan kepala. Samsir melirik nametag yang tersangkut didada pemuda itu. Tertera nama Zaidi.

“Saya gantikan tempat abang Mus. Dia tak datang hari ni,” sela Zaidi. Seperti tadi masih lagi tersengih. Samsir angguk. Pun begitu dia tidak paasti kenapa Mustafa cuti malam ini.

“Dia ada cakap ke kenapa dia cuti malam ni,” soal Samsir tidak lama kemudian. Ruang lobi semakin diterkam dengan sepi. Seorang lelaki sedang berdiri disudut ruang sambil bercakap didalam telefon. Sengaja Samsir tidak ambil pusing. Mungkin salah seorang dari kakitangan yang bekerja didalam bangunan ini, rumus jejaka itu lagi. Pintu utama sengaja dibuka luas.

“Tak pasti bang. Tapi yang saya dengar dia tak sihat,” sahut Zaidi. Telaga mata mereka bertaut lagi.

“Tak sihat?”

“Katanya demam. Tak boleh bangun.”

Kembali Samsir termenung. Agak terkejut dia menerima perkhabaran itu. Macam ada sesuatu yang pelik pada fikirannya.

“Eh... semalam aku tengok okay aje. Aleh-aleh deman pulak,” kata-kata itu lebih ditujukan pada dirinya sendiri. Dalam waktu yang sama dia cuba mencari akan kewajaran yang menimpa Mustafa.

Seperti ada yang lucu Zaidi meledakkan ketawa halusnya. “Manalah saya tahu bang. Kalau dah nak sakit tu, tak boleh nak mengelak.”

Samsir ikut tersengih. Takdir Tuhan, tiada sesiapa yang dapat menahannya, fikir pria itu lagi.

“Iyelah kalau macam tu,” Samsir malas untuk memanjangkan cerita itu. Dia tidak kisah walau siapa pun rakan setugasnya. Yang penting dia tidak ditinggalkan sendirian disini. Bukan kerana dia takut, cuma dia tidak suka diasak dengan rasa bosan. Kalau ditakdirkan yang dia ditugasnya seorang, mahu nanti dia akan terlelap sendiri. Tidak ada kawan yang hendak diajak berbual nanti.

“Kita ronda gilir-gilir, setuju?” soal Samsir sambil menentang anak mata pemuda itu dengan renungan tajam. Romannya juga nampak serius. Zaidi menganggukkan kepalanya.

“Kau budak baru ke?” Samsir menjeling kearah Zaidi.

“Barulah jugak bang. Baru  sebulan.”

“Sebelum ni kau kena jaga mana?” pertemuan pertama itu mula dirasakan mesra.

“CIMB dekat Petaling,” sahut Zaidi agak pendek.

Samsir angguk macam belatuk. Tidak lagi bersuara. Dia pun pasti yang rakan barunya itu tidak perlu ditunjuk ajar. Pandai-pandailah Zaidi nanti, fikirnya lagi.

Mereka berdua berbual sambil menunggu kaki tangan di Wisma Jaya itu pulang. Lobi semakin diselubungi sepi. Dikaunter pertanyaan ditengah lobi sudah kosong. Gadis yang selalu bertugas dimeja itu sudah lama pulang.

Samsir kemudiannya meminta diri untuk ketingkat bawah tanah bangunan. Selalunya Mustafa yang ditugaskan kesitu. Namun hari ini dia terpaksa mengambil alih. Menjadi kelaziman dia akan memastikan kawasan tempat letak kereta di Wisma Jaya itu selamat. Selalunya pintu masuk ketempat letak kenderaan itu akan dikunci sebaiksaja kenderaan terakhir keluar. Setiap mereka akan masuk kedalam bangunan itu melalui pintu kecemasan ditepi bangunan. Tidak ada jalan lain lagi. Pintu kecemasan itu terus bersambung menuju ke lobi.

Tidak banyak kenderaan yang ada disitu. Cuma tiga empat buah kereta dan tiga buah motorsikal. Masih ada yang kerja lebih masa, fikir Samsir. Ruang tempat letak kenderaan itu diperiksa dengan teliti. Apabila berpuashati dia kembali semula ke lobi.

Zaidi masih lagi duduk dimeja ketika dia sampai. Mereka memyambung semula perbualan tadi. Samsir mendongak apabila terdengar derap tapak kaki dilobi. Serta-merta jantungnya berdegup kencang. Telaga matanya terpaut pada gadis berambut panjang dan lurus hingga kedada. Itulah gadis yang berkerja disyarikat pelancongan ditingkat empat. Berjalan disamping seorang lagi gadis berambut pendek dan berkaca mata. Samsir terkaku dikerusinya tatkala melihat senyuman tergaris dibibir wanita bertubuh tinggi lampai itu. Dia senyum kat aku? Hati mudanya berkocak seketika. Cepat-cepat Samsir membalas senyuman itu. Lalu sigadis yang masih tidak keketahui namanya itu melirik sebelum berpaling. Sekali lagi Samsir terpana. Jejaka itu dilambung oleh perasaannya sendiri. Seperti ada kuasa ghaib memaksa matanya terus memandang kearah gadis yang sedang berjalan menuju ke lif. Samsir tersedar sendiri sebaik saja pintu lif tertutup.

“Kenapa bang?” dia dikejutkan oleh Zaidi. Pemuda itu merenung wajahnya dengan riak hairan.

Cepat-cepat Samsir menggelengkan kepalanya. “Tak ada apa-apa,” perasaan gemuruhnya cuba disorokkan.

Kembali dia menyandarkan badannya kekerusi. Fikirannya melayang-layang. Yang jelas gambaran gadis itu mula menguasai fikirannya. Wajah manis itu terus menari-nari dan melambai. Gelora perasaannya semakin menjadi-jadi. Siapa perempuan itu? Buat sekian kalinya pertanyaan itu bercambah lagi dalam sanubarinya. Dia teruja lagi. Perlahan-lahan dia mengukirkan senyum dibibirnya. Pasti gadis itu kerja lagi malam ini. Sekurang-kurangnya waktu meronda nanti dia punya kesempatan untuk bertemu dengan si manis tadi. Paling tidak pun dia dapat menatap wajah si jelita tadi. Aku mesti nak tahu namanya, tekad itu bulat didalam hatinya. Aku mesti!

 

 

 

 

 

 

Previous: Chapter 7
Next: Chapter 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh