Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
70,274
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 13

Rosman terkocoh-kacah masuk kedalam bilik Samsir. Jeritan rakan serumahnya itu menarik perhatiannya tatkala dia sedang membancuh kopi didapur. Kenapa dengan mamat ni sorang, bisik hatinya. Cemas.

Rosman memegang dan terus mengoncang kaki Samsir yang kelihatan sedang mengeliat resah diatas tilam. Mulut Samsir tidak henti-henti menyebut satu nama yang cukup asing pada pendengaran Rosman.

“Sam! Sam! Kenapa dengan engkau ni!” bimbang dia melihat perlakuan rakannya itu seperti lembu yang hendak disembelih. Meronta-ronta. Tubuhnya juga berpeluh. Selimut sudah tercampak hingga kehujung kaki.

“Sam! Hoi... bangunlah!” makin kuat dia mengerakkan kaki sahabatnya itu.

Samsir membuka matanya. Pantas dia bangun dan bersandar sambil matanya diliarkan kesana dan kemari. Bingung.

“Kau ni kenapa?” soal Rosman dengan suara yang agak kasar. Tidak pernah Samsir berkelakuan begini. Tidurnya meracau-racau.

Samsir meraup wajahnya yang berminyak dengan tangan. Nafasnya dihela dengan panjang. Fikirannya dikerahkan untuk berfikir. Mengimbas kembali apa yang baru dilaluinya tadi. Ternyata agak sukar.

“Apa pasal kau ni? Kau mimpi apa?” 

“Huh?” dengan wajah keliru Samsir membalas pandangan Rosman.

“Siapa yang kau sebut tadi?”

“Huh?” sekali lagi Samsir tersentak. Peluh yang melekat didahinya diseka lagi dengan tangan. Rosman memerhatikan keadaan bilik tidur temannya itu. Pakaian kotor Samsir berlonggok dalam bakul disudut bilik. Majalah hiburan dan misteri bersepah diatas lantai. Tempat ubat nyamuk terletak diatas lantai tidak jauh dari katil. Langsir yang menutup kamar sesekali terselak ditiup angin dari luar. Kemudian Rosman berkalih semula pada Samsir.

“Kau sebut nama siapa tadi?” soalnya lagi.

“Huh? Nama. Nama siapa?” Samsir yang dikuasai mamai bertanya dengan dahi berkerut seribu. Ada ke dia menyebut nama seseorang tadi? Mindanya diputar-putarkan lagi.

“Nama apa? Kau dengar ke?” dia menagih jawapan dari Rosman.

Rosman tersenyum sumbing seolah-olah sedang menyindirnya. Lalu punggungnya dihenyakkan diatas tilam. Duduk dihujung katil. “Apa pulak aku tak dengar. Kuat kau menjerit dan menyebut nama perempuan tadi. Siapa dia?”

Sekali lagi Samsir meraup wajahnya yang masih lagi berminyak. Kipas yang berputar diatas meja disebelah katil ternyata gagal mendinginkan tubuhnya. Kulit badannya dirasakan melenggas. Rimas.

“Aku sebut nama siapa?” dia gagau lagi. Apa yang dialaminya tidak dapat diingatinya. Kenapa dengan aku ni, akhirnya dia merungut sendiri. Romannya tampak keruh seperti bermasalah.

“Jennifer. Siapa dia?” senyum dibibir Rosman bertambah sumbing. 

Samsir tersentak. Bulat matanya memandang Rosman. Dadanya berdebar.

“Betul ke aku sebut nama dia?”

Rosman angguk. Siapa Jennifer masih menjadi tanda tanyanya. Teringin juga dia hendak tahu siapa gadis yang merasuk fikiran rakannya itu hingga tidurnya meracau. Tentu istimewa, fikir Rosman lagi.

“Siapa Jennifer tu?” desak Rosman apabila melihat Samsir seperti tenggelam dalam fikirannya.

“Huh?” Samsir mendongak.

“Buah hati baru kau ke?”

Samsir merenung kolam mata Rosman. Pun begitu bibirnya terus terkunci rapat. Tubuhnya digigit dengan rasa lesu. Tangannya mengosok-gosok rambutnya yang bersimpang siur. Masih gagal mengingati apa yang dimimpikannya tadi. Namun nama Jennifer meniti difikirannya apabila disebut oleh Rosman tadi.

Apa yang aku mimpi tadi? Benarkah aku mimpi tentang Jennifer sehingga terbawa-bawa dalam igauan?

Sedar-sedar bahunya disenggul. Rosman masih lagi tersenyum nakal. “Awek baru kau ke? Jennifer? Orang putih ke?” Samsir tidak pasti apakah pertanyaan itu ikhlas atau pun sindiran.

“Bukanlah,” sahut Samsir pendek. Tidak bernafsu untuk melayani rakan serumahnya itu.

“Habis tu... sampai sebut-sebut nama perempuan tu. Tak kan tak ada apa-apa,” luah Rosman lagi yang sememangnya tidak percaya dengan jawapannya.

Samsir diam. Galak matanya memerhatikan ruang bilik yang bersepah itu. Kemudian dia bingkas bangun dan mencapai tuala mandi dipenyidai.

“Aku mandi dululah. Letih,” ucapnya sambil meninggalkan Rosman yang terkulat-kulat sendiri.

Didalam kamar mandi, Samsir membiarkan tubuhnya disirami air. Fikirannya masih lagi terarah pada mimpi yang gagal dia ingati. Benarkah dia bermimpi tentang Jennifer? Apa yang berlaku? Puas dia mengerahkan fikirannya namun berterusan juga dia gagal. Kenapa susah pulak aku nak ingatkan mimpi aku sendiri? Kali ini dia betul -  betul merasa aneh. Apa-apa sajalah, akhirnya dia mengalah.

Usai mandi dia mengenakan pakaian. Kemudian dia keluar setelah siap dengan seragamnya. Aroma kopi meyerbu hidungnya tatkala dia masuk keruang dapur.

“Sidek mana?” soalnya apabila kelibat rakannya yang seorang lagi tidak kelihatan. Malah suaranya tidak kedengaran.

“Overtime. Dekat-dekat Maghirb karang baru balik,” sahut Rosman. Karipap ditangannya disuapkan kedalam mulut.

“Mana kau beli karipap ni?” Samsir menarik kerusi dan duduk.

“Depan sana,” kata Rosman merujuk pada penjaja yang menjual kuih muih didepan taman perumahan mereka. Samsir tidak bersuara lagi. Dia turut sama menikmati hidangan petang yang tidak seberapa itu. Hidup bujang seperti mereka tidak perlu cerewet. Makan apa yang ada. Jangan hendak banyak sangat bunyi.

Hampir jam lima dia meminta diri. Dia perlu cepat keluar dari rumah. Jika tidak alamat tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Ketika dia sampai, pegawal keselamatan waktu siang masih ada disitu. Samsir meletakkan termos air diatas meja. Ruang lobi itu tidak putus-putus dengan manusia. Masing-masing sibuk dengan haluan sendiri. Bunyi loceng lif juga kerap kedengaran. Berpusu-pusu kakitangan yang bekerja didalam bangunan itu keluar. Ada yang menuju kekawasan letak kenderaan ditingkat bawah. Ada juga yang bergegas menuju kepintu itu.

“Kau dah cucuk?” Samsir tersentak apabila pengawal keselamatan yang masih belum pulang itu bertanya.

“Cucuk?” rasa tidak mengerti memaksa dia bertanya.

“Kan hari ni gaji dah keluar. Kau dah cucuk kad belum?”

Samsir ketawa kecil. “Belum lagi bang. Saya pun belum singgah opis lagi. Menjadi kebiasaan dia akan kepejabat Warisan Jaya untuk menanda tangani slip gaji yang diterimanya setiap bulan.

“Sain tu esok lusa pun boleh,” ungkap lelaki bertubuh rendah itu. Kemudian dia tersenyum.

“Tengoklah bang. Balik kerja nanti saya pergi tengok,” jawap Samsir.

Kadir muncul tidak lama kemudian. Nampak tergesa-gesa. Pengawal keselamatan siang sudah pulang.

“Lambat bang hari ni?” tegur Samsir.

“Pergi bank dulu,” sahutnya Kadir sambil tersengih. Samsir angguk. Belakang tengkuknya digosok-gosok dengan tangan. Entah kenapa urat dilehernya terasa tegang.

Beberapa detik kemudian dia menoleh kearah Kadir. Ada sesuatu yang bermain didalam fikirannya. “Mustafa tak masuk kerja lagi ke? Dah berapa hari dia cuti,” perlahan dia berkata. Kadir menoleh.

“Entah... abang tak tahu. Sakit lagi kot?”

Samsir sendiri tidak mampu menjawap soalan itu. Memang dia tidak ada masa untuk mengambil tahu tentang rakan sejawatanya itu. Paling akhirnya yang dia dengar lelaki itu demam dan tidak mampu bangun. Terpaksa mengambil cutinya tergesa-gesa. Lepas itu dia tidak dengar apa-apa pun tentang Mustafa. Begitu juga dengan Zaidi. Dia hanya sempat bekerja dengan pemuda itu semalam saja. Lepas itu dia tidak lihat bayang Zaidi lagi. Apa yang dia tahu lelaki itu turut demam tidak kebah-kebah. Samsir menghelakan nafasnya dengan panjang.

Semua ini gara-gara gangguan yang mereka terima. Tidak ada lain. Mustafa ada mengadu padanya yang dia ada terdengar bunyi tapak kaki dan bunyi pintu terhempas kuat. Manakala Zaidi pula mengatakan yang dia ada terdengar suara orang bercakap dikawasan tempat letak kenderaan. Tapi tak kanlah sampai demam tidak sembuh-sembuh, rungut Samsir didalam hati.

“Abang ada dengar apa-apa ke pasal bangunan ni,” tidak semena-mena dia bertanya.

Perlahan Kadir menoleh.

“Ada budak-budak kita cerita pasal bangunan ni berhantu?”

Kadir menjuihkan bibirnya. “Tak ada pulak. Kenapa?”

Samsir termenung. “Taklah. Tapi Mustafa dan Zaidi pernah mengadu pada saya yang dia orang pernah kena kacau,” lalu Samsir menceritakan apa yang berlaku pada kedua-dua lelaki itu.

“Yelah... abang baru je kat sini. Tak banyak yang abang tahu. Lagi pun tak ada sesiapa pun yang cakapkan benda ni dengan abang,” jawapan itu membuatkan Samsir kecewa.

“Tapi malam semalam Jennifer ada cerita dengan saya. Macam-macam hantu ada dalam bangunan ni.”

“Jennifer? Siapa tu?” riak hairan terzahir pada wajah Kadir.

Sesaat Samsir tersengih. Kulit mukanya merona merah. Menahan malu sendiri. “Err...,” dia tidak tahu apa hendak dijawapnya. “Ada pekerja ditingkat empat cakap dengan saya.”

“Kau kenal ke? Macam mana boleh tersangkut kat tingkat empat ni,” ada senyum perli berbunga dibibir Kadir.

“Tak adalah bang,” Samsir berusaha menyembunyikan perasaannya. “Dia selalu kerja malam. Selalu juga terserempak dengan dia. Kenal dekat situlah.”

“Oh...,” mulut Kadir melopong. Matanya dilirikkan pada sekumpulan pekerja yang baru keluar dari perut lif. Masing-masing nampak tergesa-gesa. Tiga orang lelaki kelihatan sedang berbual disudut bangunan. Nampak rancak. Dikaunter pertanyaan dua gadis yang bertugas disitu kelihatan bersiap-siap untuk pulang.

“Padanlah kau suka meronda tingkat atas,” perli Kadir lagi. Kemudian dia ketawa agak kuat. Samsir ikut tersengih. Malunya tidak dapat ditahan lagi.

“Jennifer cakap dengan saya dulu ada security jatuh dari bangunan ni,” topik tadi disambung lagi. Lama Kadir memandang Samsir. Ada riak terkejut terpamer pada wajahnya.

“Bunuh diri ke?”

Samsir menjungkitkan bahunya. “Tak pasti bang.”

Kadir melepaskan nafasnya dengan panjang. “Abang pun tak tahu pasal ni Memang tak ada orang bercerita benda ni pada abang,” keluh lelaki itu. Masih banyak cerita tentang Wisma Jaya yang tidak diketahuinya. Cerita-cerita tidak sedap pula tu, keluh hatinya lagi.

“Sekarang ni pun ramai yang bunuh diri,” Kadir mengomel sendiri. Pandangannya dihalakan kearah luar melalui dinding kaca bangunan. Keadaan diluar masih sesak dengan kehidupan yang bertali arus. Semuanya nampak sibuk.

“Kau nak tahu? Kes bunuh diri di Malaysia ni dah jadi kes kedua terbesar selepas penyakit kardiovaskular. Kalau diikutkan statistik enam orang bunuh diri dalam tempoh sehari. Dua ribu lima ratus kes setiap tahun. Bukan main-main tu,” sambung Kadir lagi dengan riak wajah yang agak tegang.

“Fuyooo... macam mana abang tahu?” terkejut Samsir dengan maklumat itu.

Kadir tersengih menampakkan barisan giginya yang sudah mula berkarat.

“Dalam surat khabar kan ada tulis,” sahut Kadir. “Kan penting membaca tu,” lanjut lelaki itu lagi. Samsir tidak memberi komen. Tapi apa yang dikatakan itu memang benar. Cuma dia saja yang memang termasuk dalam kategori malas membaca. Sejak dari sekolah dia begitu. Bila sudah menjangkau umur barulah terasa susah hendak hidup. Padan dengan muka aku, dia mentertawakan dirinya sendiri.

“Tapi saya memang tak tahu budak tu bunuh diri ke apa?” dia kesal kerana terlupa hendak bertanyakan sebabnya pada Jennifer malam tadi. Hendak ingat macam mana, asyik sangat dia menikmati kecantikan milik gadis itu membuatkan dia lupa segala-galanya.

“Takut-takut dia ada hutang dengan ah long ke. Kita mana tau masalah orang kan?” Kadir memberikan pendapatnya.

“Masalah cinta ke,” sambung lelaki itu lagi.

Samsir ketawa. “Tak kanlah putus cinta pun nak bunuh diri bang. Macam bodoh sangat rupanya,” celah pemuda itu. Sukar hendak percaya.

“Eh... jangan cakap macam tu Sam. Bukan tak ada kan? orang bunuh diri kerana cinta. Kan ke cinta itu buta?”

Dalam diam-diam dia akur dengan kata-kata Kadir. Memang bukan lagi mustahil. Cuma dia merasakan tidak ada kewajarannya bertindak begitu. Lagi pun dalam Islam berdosa besar.

“Hish... minta-minta dijauhkan bang,” Samsir mengeletar ketakutan. Biar pun dia bukannya alim sangat, namun dia masih tahu akan batas-batasnya.

“Dosa bang,” spontan Samsir menjawap.

Kadir tersengih. “Eloklah kau tahu.” Kemudian mulut masing-masing terkunci rapat. Ruang lobi yang besar itu mula kosong. Sebentar lagi remang senja akan berlabuh menandakan malam akan muncul menghiasi tabir langit.

“Tapi bang cerita Jenifer semalam macam saya pernah dengar,” perlahan dia bersuara. Rakannya yang berperut gendut menoleh.

“Kau pernah dengar?”

Samsir angguk.

“Dimana?”

“Tu yang saya tak pasti bang. Tapi memang saya pernah dengar dulu. Tak ingat dimana,” luah Samsir dengan kesal. Kalaulah dia dia boleh ingat dimana.

Jarinya dipetik dengan tidak semena-mena. Wajahnya berubah. Nampak teruja. Kadir diam dan sekadar memerhatikan saja gelagat lelaki muda itu.

“Baru saya ingat bang!” dia separuh menjerit.

“Apa yang kau ingat?”

“Mus!”

“Mus?”

Ada senyum terpahat dibibirnya. “Ya... Mus. Mustafa. Dia pernah ceritakan pada saya ada budak jatuh dari bangunan. Karim.”

Kadir keliru. Karim? Karim mana pula ni? Pertanyaan itu hinggap kedalam benaknya.

“Ya... Karim yang jatuh dari bangunan ni. Katanya dibunuh.”

Kadir menelan rengkungnya. Terasa perit. Kerongkongnya juga terasa kering. Cepat-cepat dia mencapai kopi yang sudah pun suam didalam cawannya. Laju dia menghirup hingga tidak bersisa langsung.

“Bunuh? Kau biar betul Sam,” sergah Kadir. Kata-kata Samsir tadi mampu membuat hatinya cuak dengan tiba-tiba.

“Macam tulah yang saya dengar bang. Kenapa? Tak percaya ke?”

Kadir membisu. Sememangnya dia sukar untuk menjawap soalan itu. Hatinya berbelah bagi. Mungkin betul, mungkin hanya rekaan saja, bisik hatinya. Entah dia tidak pasti.

“Bunuh? Bunuh macam mana tu?”

Samsir menjungkitkan bahunya. “Tak tahulah bang. Saya sendiri pun tak tahu sangat cerita yang sebenarnya.” Sahut Samsir. Jauh didalam hatinya dia memang teringin sangat tahu apakah yang menyebabkan kejadian itu berlaku. Tentu ada sesuatu, fikir anak muda itu lagi. Kedua-dua lelaki itu termenung jauh sudahnya. Lobi itu kembali dipeluk sepi.

 

 

 

Previous: Chapter 12
Next: Chapter 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh