Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
70,254
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 1

 

TINGKAT ENAM

 

I balik dululah. Tunang I dah tunggu tu.”

Rizal tersentak apabila terdengar suara Maya yang muncul tiba-tiba. Matanya tidak berkelip memandang ke arah gadis itu. Tubuhnya langsing dan tinggi. Rambutnya yang panjang disanggulkan ke belakang menampakkan lehernya yang jinjang dan putih bersih. Kebaya yang tersarung ditubuh gadis itu menampakkan lagi potongan bentuk badannya. Ketika gadis itu melintasi meja Rizal, aroma minyak wangi lavender menyengat hidungnya. Gadis itu melenggok-lenggokkan tubuhnya ketika berjalan. Mampu mengoda sesiapa sahaja yang melihatnya.

Dipintu kaca pejabat kelihatan seorang lelaki bertubuh sederhana sedang menunggu Maya. Segaris senyuman menghiasi bibir lelaki itu tatkala Maya berdiri didepannya. Langsung kedua-dua mereka beriringan meninggalkan pejabat. Rizal sekadar memerhatikan saja tanpa bersuara.

Sedar-sedar dia terdengar bunyi orang berdehem. Lantas dia memalingkan mukanya memerhati ke arah rakan sekerjanya, Anuar yang sedang tersenyum perli padanya.

“Jangan tengok lama-lama brader. Tunang orang tu. Haru jadinya nanti,” usik Anuar.

Rizal tersenyum kelat. Dimeja sebelah Anuar, Megat dan Arfina yang sedang membincangkan sesuatu tadi turut sama tersenyum sumbing ke arahnya. Kulit pipi Rizal merona merah kerana menahan malu.

Bukan niat dia untuk melihat Maya sampai terjojol biji matanya. Cuma dia tidak mampu untuk mengelakkan dirinya dari terus memandang gadis itu setiap kali mereka bertemu. Seperti ada satu aura yang memaksa dia berkelakuan begitu. Memang dia akui yang Maya punya daya penarik. Bohonglah dia kalau dia tidak tertarik pada gadis itu. Gadis itu memang cantik. Kulitnya putih dan bersih. Renungan matanya galak. Bila tersenyum hati lelakinya mudah cair.

“Untunglah tunang Maya tu,” sakat Megat tiba-tiba.

Perbincangan dia dengan Arfina tadi mati dengan tiba-tiba. Alih-alih topik Maya pula yang timbul.

“Orang punya,” Anuar bersuara dengan wajah selamba.

“Puja macam mana pun dah jadi milik orang. Nak buat macam mana,” sambungnya lagi.

Rizal tersengih apabila mendengar ucapan itu.

“Tulah sebabnya kenapa aku cakap tunang dia tu untung. Kalau aku memang aku dah tak lepaskan lagi,” ujar Megat sambil tersengih-sengih dimejanya.

Arfina memandang Megat lelaki itu dengan riak cemburu.

“Heh... kau orang ni dah tak ada kerja lain ke? Ni kerja yang melambak-lambak ni siapkan dulu. Esok tak pasal-pasal kena bambu dengan bos,” kata Arfina sambil mengetuk meja dengan tangannya.

Rizal, Anuar dan Megat saling berpandangan sebelum mereka menghamburkan ketawa masing-masing.

Rizal memberikan tumpuan pada kerjanya semula. Dia baru saja tiga minggu bekerja di syarikat pengiklanan itu. Masih banyak yang perlu dia tahu dan belajar. Biarpun dia adalah graduan lulusan dalam bidang itu, namun dia masih mentah lagi dengan suasana alam pekerjaan.

Masih ada lagi kakitangan di syarikat itu yang dia belum kenal dan mesra. Memang dia akui dia merasa kekok dengan keadaan di dalam pejabat itu. Mujurlah Megat dan Anuar sering memberi tunjuk ajar padanya. Malah kedua-dua lelaki itu amat ramah dengannya. Mereka juga tidak lokek jika dia meminta pertolongan. Apa yang tidak diketahui olehnya, mereka akan beritahu dengan jujur. Tidak keterlaluan jika dia menganggap kedua-duasenior itu bagaikan abang padanya.

Ruang di pejabat itu kembali sepi. Sesekali cuma kedengaran bunyi papan kekunci komputer ditekan. Megat dan Arfina menyambung semula perbincangan mereka. Siang tadi mereka diberitahu bahawa pelanggan mereka tidak berpuas hati dengan pembentangan cadangan pengiklanan mereka. Mahu atau tidak terpaksa pula mereka memerah otak mencari idea yang lebih bernas. Lantaran kerana itulah mereka terpaksa bekerja hingga ke malam. Hal ini termasuklah Rizal sendiri.

Rizal melirik ke arah jam tangannya. Sudah jam 9.00 malam, desis hatinya. Sekilas dia memandang ke arah rakan-rakan sekerjanya yang lain. Anuar masih leka mengadap komputer. Megat dan Arfina masih rancak berbincang. Kamal yang duduk dihujung pejabat masih seperti tadi. Seolah-olah tidak terganggu. Latifah saja yang sesekali bergerak dari mejanya ke meja Kamal.

Rizal mula diasak dengan rasa bosan. Bila nak balik ni? Gumamnya didalam hati.

Kepalanya dilentokkan ke kiri dan ke kanan. Dia meregangkan urat-urat badan yang terasa lenguh. Serta-merta dia merasakan tubuhnya dijajah dengan rasa lesu. Sekali lagi Rizal meliarkan pandangannya.

Rizal bangkit dari kerusi sambil menonong menuju ke arah pintu pejabat. Anuar mengangkat kepala dan menyapa lelaki muda itu.

“Nak ke mana tu?”

Rizal menoleh.

Toilet jap,” jawab Rizal.

Anuar tersengih dan tunduk kembali memandang ke arah skrin komputernya.

Rizal berjalan menuju ke arah hujung bangunan di mana terletaknya bilik air. Sepanjang laluan itu sunyi. Kebanyakan syarikat yang menyewa di aras itu sudah menutup operasi mereka. Pekerja-pekerja di aras itu sudah lama pulang. Hanya tinggal dia dan teman-temannya saja yang masih lagi terperuk di dalam pejabat untuk menyudahkan kerja yang masih lagi belum beres.

Pangkal lehernya ditepuk-tepuk lagi. Terasa tegang dan sakit. Bibirnya terherot menahan pedih.

Rizal terdengar bunyi tapak kaki berlari naik melalui tangga. Sejurus kemudian dia ternampak kelibat seseorang berpakaian seragam sedang mendaki tangga menuju ke tingkat atas dalam keadaan yang tergesa-gesa. Malas dia hendak ambil pusing. Lelaki tadi pun langsung tidak menoleh ke arahnya. Entah apa yang dikejarnya, Rizal tidak tahu. Dan sememangnya dia tidak mahu ambil tahu.

Selesai dia membuang hajatnya dia kembali semula ke pejabat. Dilihatnya Anuar masih seperti tadi. Tekun mengadap komputer di meja. Begitu juga dengan Megat. Arfina sudah kembali ke mejanya. Kamal tidak kelihatan. Manakala Latifah masih lagi berdiri di sisi meja Kamal sedang meneliti sesuatu.

“Kamal mana?” Rizal bertanya pada Anuar.

Sekilas Anuar menoleh ke arah meja lelaki itu.

“Dia turun pergi beli makan. Alah... lupa aku nak suruh dia beli untuk engkau.”

Dahinya ditepuk dengan kuat membuatkan Rizal tersengih.

“Tak apalah bang. Lagipun kerja saya bukannya banyak lagi. Tinggal sikit aje lagi tu. Kejap lagi habislah. Nanti sayapassing pada abang,” ujar Rizal sambil melabuhkan punggungnya dikerusi.

Anuar mengangguk.

Tanpa membuang masa lagi, Rizal segera menghabiskan kerjanya. Sesekali suara Megat dan Latifah mencelah. Adakalanya suara Arfina turut sama menganggu. Pun begitu tumpuannya tidak terjejas. Tekun dia menyudahkan kerjanya.

Seboleh-bolehnya dia ingin lekas-lekas pulang ke rumah. Apatah lagi tubuhnya semakin berlengas. Biarpun duduk terperap di dalam pejabat berhawa dingin namun badannya tetap dirasakan seperti melekit dan rimas. Semuanya gara-gara tidak mandi petang.

Rizal menutup komputernya. Kemudian dia memandang pada Anuar.

“Bang, ni hah.”

Dia menghulurkan sekepingdisc pada lelaki itu.

“Kau simpanlah. Esok aje abang sambung. Abang punya ni belum siap lagi. Takut hilang pulak,” ujar Anuar sambil melirikkan matanya ke arah mejanya yang bersepah dan tidak tersusun.

Rizal menyimpandisc tadi ke dalam laci mejanya.

“Saya balik dululah bang,” ucapnya sambil menyangkutkan beg sandangnya dibahu. Segera bangun.

“Emm... iyalah,”

Anuar langsung tidak mengangkat mukanya.

“Dah nak balik Zal?” tegur Megat.

Panjang lehernya memandang Rizal. Rizal menoleh dan tersenyum. Tangannya diangkat tanda perpisahan mereka malam itu.

“Baik-baik jalan tu. Hujan ni.” Arfina memandang sambil tersenyum.

Rizal sekadar tersengih. Kemudian dia bergerak menuju ke pintu pejabat.

Rizal bergerak ke arah lif di sudut bangunan. Butang ditekan dan dia menunggu pintu lif terbuka.

“Eh... dah nak balik ke?”

Kamal terpacul sebaik sahaja pintu lif ternganga. Ditangannya terpegang kemas beg plastik yang berisi polisterin makanan.

“Ya bang. Kerja saya pun dah habis. Balik dululah,” ujar Rizal sambil tersengih.

“Lah... abang ada belikan kau nasi ni. Ni siapa pulak yang nak makan ni,” gerutu Kamal dengan dahi berkerut.

Rizal ketawa kecil.

“Kenapa abang belikan untuk saya tadi. Saya tak pesan pun?”

“Memanglah kau tak pesan. Tapi masa abang beli tadi abang teringatkan kau. Tu yang abang belikan. Tak tahu pulak kau nak balik,” ujar Kamal separuh kesal.

“Dah tu nak buat macam mana ni?” soal Rizal. Dia meraba tengkuknya dengan tangan. Beg sandang yang terlondeh dibetulkan agar tidak jatuh.

“Tak apa. Kau ambil satu bawak balik. Boleh makan kat rumah nanti,” usul Kamal.

“Hisy... tak mahulah bang.”

“Eh... apa pulak yang tak mahunya ni. Ambillah. Tak ada siapa yang nak makan ni. Membazir aje nanti. Nah ambil satu,” arah Kamal segera mengambil bungkusan polisterin di dalam beg plastik.

Rizal terpaksa menahan pintu lif yang hampir tertutup. Cepat-cepat dia menyambar bungkusan dari tangan Kamal. Kemudian dia melangkah masuk kedalam lif sambil mengucapkan terima kasih.

Rizal diam sambil memerhatikan butang lif bergerak menuju ketingkat bawah. Terasa sunyi pula bersendirian di dalam lif. Entah kenapa belakang tengkuknya terasa kembang semacam. Perasaannya mula merasa tidak enak. Fikirannya diamuk dengan pelbagai usikan yang tidak menyenangkan. Sedaya-upaya dia cuba menghalau perasaan aneh itu pergi. Perasan aku aje, gumamnya di dalam hati. Kalau berseorangan selalunya memang macam inilah, bisik hatinya sendiri.

Pintu lif terbuka, Rizal melangkah keluar. Bunyi tapak kasutnya yang berlaga dengan mamar lantai kedengaran jelas. Beg sandangnya yang rebeh di bahu dibetulkan lagi. Ruang lobi itu juga diselimuti dengan sepi. Bahagian penyambut tetamu dibawah kosong. Malam-malam begini memang tidak ada sesiapa berada di situ. Di ruang berdekatan dengan pintu besar berdiri seorang pengawal keselamatan lelaki. Tubuhnya sasa dan berkumis tebal. Langsung tidak mengendahkan akan kehadirannya. Sesekali kayu cota yang tersisip kemas dipinggangnya diraba dengan tangan. Di satu sudut kelihatan dua lelaki sedang berdiri sambil berbincang. Nampak asyik sekali bercerita.

Rizal terus melangkah.

Tiba-tiba langkah kakinya terhenti. Jeritan suara seorang wanita menarik perhatiannya. Dia lantas memandang ke arah luar bangunan melalui dinding kaca. Seorang wanita terduduk sambil meraung sekuat hatinya. Seperti histeria.

Rizal cemas. Apa yang berlaku? Dadanya berdebar sendiri. Dalam keadaan terkejut dia tercangak-cangak sendiri.

Dilihatnya pengawal keselamatan tadi bergegas berlari keluar sambil diekori oleh dua orang lelaki tadi. Apa yang berlaku diluar sana? Hatinya masih lagi dipalu dengan soalan yang sama. Rizal terpaku sendiri. Sepasang kakinya bagaikan melekat kuat di lantai. Sendi-sendinya terasa lemah.

Salah seorang dari lelaki tadi dilihatnya sedang mententeramkan wanita yang terduduk ditepi bangunan. Manakala dua orang lelaki tadi sedang bertinggung sedang memerhatikan sesuatu tidak jauh dari situ. Ada apa? Terdetik pertanyaan itu di dalam kolam hatinya. Rasa ingin tahu meluap-luap di dalam hatinya. Rizal mengorak langkah ingin melihat dengan mata kepalanya sendiri apa yang telah berlaku. 

“Seorang lagi,” ujar seseorang.

Tiba-tiba langkah kakinya terhenti. Dia menoleh dan mendapati seorang lelaki berperut gendut dan berpakaian pengawal keselamatan berdiri dibelakangnya. Mata lelaki itu tidak memandang ke arahnya sebaliknya dihalakan pada dua lelaki yang masih lagi bertinggung di luar bangunan. Rizal terpana dengan kata-kata dari lelaki tadi. Apa maksudnya? Hatinya bertanya sendiri.

“Macam tulah. Masuk yang ini dah lima orang alami benda yang sama,” ujar pengawal keselamatan itu.

 Seperti tahu dengan apa yang ada di dalam fikiran Rizal, lelaki itu bersuara dengan lembut. Sejurus kemudian dia menghembuskan nafasnya dengan perlahan. Wajahnya keruh dan murung. Rizal terpasung sendiri. Lelaki berperut buncit itu direnungnya dari atas hingga kebawah.

“Tempat ni memang keras. Tak elok,” ucap lelaki itu dengan suara yang ditekan ke dalam.

Sejenak wajahnya yang agak bulat itu menjadi separuh pucat.

“Keras?” ujar Rizal perlahan.

Lelaki itu mengangguk. Sekilas dia memandang ke arah Rizal sebelum melepaskan kembali pandangannya ke arah luar.

“Tempat ini berpuaka. Dari dulu lagi memang macam tu,” sambung lelaki itu.

Rizal melirikkan matanya pada tanda nama lelaki itu. Tertulis namanya Kadir.

Orangnya bertubuh agak rendah. Perutnya buncit dan bulat. Rambutnya kerinting halus dan berkulit cerah. Janggut halus sejemput dihujung dagunya. Keningnya agak tebal.

“Abang dah lama ke kerja sini?” soal Rizal.

Sekilas Kadir melirik ke arahnya. Kemudian dia membuahkan senyum nipis. Senyum yang mengandungi rahsia pada perkiraan Rizal. Satu senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.

“Lama tu taklah lama tapi abang tahu serba sikit pasal tempat ni,” ujarnya lagi.

Entah kenapa Rizal merasa tertarik.

“Setahu abang tak ramai yang suka kerja di sini. Lebih-lebih lagi waktu malam. Kalau siang hari pun ada yang kena ganggu, inikan pulak malam,” ujar lelaki itu lagi.

Sekali lagi dia mengerling ke arah Rizal.

“Kamu baru kerja sini ke?” soalnya pada Rizal.

Teragak-agak pemuda itu mengangguk.

“Baru tiga minggu bang,” jawab Rizal jujur.

“Memang banyak benda yang kamu tak tahu,” ucapnya lagi dengan wajah yang yakin.

“Maksud abang?”

“Macam-macam ada. Semuanya pelik-pelik dan menakutkan.”

Rizal menelan air liurnya sendiri. Pelbagai andaian buruk merasuk mindanya kala itu. Imej-imej buruk dan menakutkan menghantui fikirannya. Belakang tengkuknya terasa kembang semacam. Bulu roma dilengannya juga berdiri tegak dengan tidak semena-mena.

“Bangunan ni berhantu ke bang?”

Rizal meliarkan bola matanya. Segenap ruang lobi diperhatikan dengan rasa was-was.

“Dengar cerita macam tulah. Tapak bangunan ni dulu pun tak elok.”

“Maksud abang?”

Rizal diterkam dengan rasa cemas.

“Dengar cerita dulu masa bangunan ni didirikan memang dah ada orang mati kat sini.”

Rizal menelan lagi rengkungnya jauh ke dalam.

“Bila bangunan ni siap macam-macam benda jadi. Contohnya macam yang di luar tu. Mati jatuh bangunan,” sambung Kadir lagi.

Di luar bangunan orang ramai sudah mula berkumpul di situ. Ada yang berpatah semula kerana tidak sanggup melihat keadaan mayat yang terbaring diatas jalan. Ada yang menekan perut, ada yang menutup mata setelah menyaksikan rupa mangsa di situ. Hati Rizal diburu dengan rasa tidak enak.

Mulanya memang dia berniat untuk melihat apa yang berlaku diluar tadi. Namun setelah mendengar kata-kata Kadir tadi, dia mematikan saja niatnya itu. Bimbang juga buatnya dia tak dapat lelapkan mata kerana badi si mati. Siapa yang nak tanggung, bisik hatinya sendiri. Tak ada penyakit cari penyakit, hatinya mengomel lagi.

“Ni tak lain tak bukan kerja perempuan tu lah.”

Rizal tersentak apabila suara Kadir mencecah cuping telinganya tiba-tiba.

“Perempuan?”

Kadir mengangguk.

“Ya... perempuan. Kerja siapa lagi kalau bukan dia.”

“Abang kenal ke dengan perempuan tu?”

Sejenak Kadir berkalih memandang Rizal. Kemudian dia tersengih seolah-olah mengejek pemuda itu.

“Abang tak pernah kenal dan jumpa perempuan tu. Tapi abang pernah dengar cerita pasal dia. Memang semua ini kerja dia. Bukan orang lain lagi. Malanglah kalau sesiapa yang jumpa dengan perempuan tu,” ujar Kadir kemudian nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum melepaskannya dengan perlahan.

Rizal kaku. Tercegat bagaikan patung. Pun begitu ada sesuatu menarik perhatiannya dengan kisah itu. Dalam ketakutan terselit rasa seronok pula. Lalu dia terus memasang telinganya dengan berhati-hati. Beg sandangnya yang terlondeh dibetulkan lagi.

“Budak-budak sekuriti selalu jumpa dengan perempuan tu. Orang lain payah. Sebab dia selalunya muncul waktu malam.”

Kadir memandang tepat ke anak mata Rizal. Renungan itu tajam seperti mengancam keselamatan dirinya. Pemuda itu mengawal emosinya yang mula terganggu.

“Kawan abang pun pernah jumpa dia.”

“Habis tu?” suara Rizal kedengaran bergetar.

“Nasib dia sama dengan nasib orang yang baru jatuh di luar tu.” Kata-kata Kadir itu menyentap semangat Rizal.

Hampir saja dia rebah ke lantai. Lututnya terasa longgar. Tangannya sedikit mengigil.

“Mati,” sambungnya sambil tersengih.

Rizal meraup wajahnya yang mula berpeluh. Senyuman di bibir Kadir langsung tidak mampu mendamaikan hatinya yang makin di landa gundah gulana.

“Macam ni ceritanya...”

Kadir memandang ke arah Rizal dengan wajah yang agak tegang. 

 

 

 

Next: Chapter 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh