Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
70,217
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 10

Tangannya menolak pintu kecemasan. Terasa berat. Kemudian dia meloloskan tubuhnya. Memerhatikan kearah tangga yang menuju kebawah. Kosong. Tidak ada sesiapa pun disitu melainkan dia. Samsir menarik nafasnya panjang-panjang. Cota yang tersisip dipinggangnya diraba sejenak. Kemudian tangannya menarik lampu picit. Masih tidak dipasang kerana ruang disitu diterangi dengan lampu disiling.

Setelah mengetahui dari Zaidi tadi yang pintu luar dibahagian tempat letak kenderaan masih tidak ditutup dia memaksa dirinya untuk tugas itu. Samsir tahu kalau dikerah sekali pun tidak mungkin Zaidi mahu turun semula kebawah. Silap-silap kalau diupah seribu pun belum tentu lagi lelaki itu mahu. Suka atau tidak semua itu sudah tergalas dibahunya. Sekali lagi Samsir menghelakan nafasnya dengan panjang.

Pintu luar itu harus dikunci bagi mengelakkan orang luar masuk kedalam. Itu memang penting. Jika tidak keselamatannya boleh terancam. Sipenceroboh akan mudah masuk dan terus bergerak kelobi melalui pintu itu. Jika ada pekerja yang datang untuk mengambil barang-barang yang tertinggal mereka kena letakkan kenderaan mereka diluar.

Satu demi satu anak tangga dijejaknya menuju ketingkat bawah. Biar pun dia tidak diasak dengan rasa takut, namun bulu roma dibelakang tengkuknnya mula berdiri sendiri. Tubuhnya juga terasa sejuk semacam. Ah! Perasaan aku aje tu, rasa kurang enak itu dihalau pergi. Kalau dilayan, makin menjadi-jadi pula, rumusnya lagi didalam hati.

Sejenak Samsir berdiri didepan pintu yang memisahkan ruang tangga dengan kawasan tempat letak kenderaan. Pria itu mengumpul kekuatan yang mula dirasakan hilang sedikit demi sedikit. Tak ada apa-apa. Jangan takut, dia memujuk dirinya sendiri.

Tangannya mula memegang tombol pintu. Perlahan-lahan tombol itu dipulas lalu daun pintu ditarik sedikit demi sedikit. Dikesempatan itu bola matanya mengintai kearah ruang tempat letak kereta. Dengan rasa berat hati dia melangkah. Sejenak dia berdiri bagaikan patung. Hanya matanya saja yang bergerak kekiri dan kekanan.

Hatinya diserbu dengan rasa takut. Memang benar tidak ada sesiapa pun disitu. Malah tidak ada satu kenderaan pun yang ada disitu. Kesunyian itu membuatkan dia diterkam dengan perasaannya sendiri. Rasa cuak dan cemas semakin kuat bergayut ditangkai hatinya. Kuatkan semangat engkau Sam! Batinnya menjerit dari dalam. Untuk seketika kakinya teragak-agak untuk melangkah. Hati dan perasaannya memang terasa berat semacam. Dari tempat dia berdiri dia dapat melihat pintu yang sepatutnya sudah ditutup masih ternganga lagi. Samsir berdengus.

Samsir mengorak langkah kakinya menuju kearah pintu besi yang sepatutnya sudah ditutup dan dikunci. Bunyi tapak kasutnya berlaga dengan simen kedengaran jelas. Cukup kuat. Setapak demua setapak dia semakin hampir.

Bulu roma dilengannya berdiri dengan tiba-tiba. Samsir tidak pasti kenapa. Mungkin hawa diruang itu dingin menyebabkan bulu romanya merinding sendiri. Semakin dia hampir semakin dia merasa tidak sedap hati. Lalu dia meliarkan matanya. Kekiri dan kekanan. Diawasinya kawasan sekitar ruang itu dengan hati-hati.

Pintu besi ditutup lalu dikuncinya. Kemudian dia berpatah semula. Sebolehnya dia ingin meninggalkan ruang itu secepat mungkin. Serasanya dia tidak sanggup lagi untuk berlama-lama disitu. Telinganya cuba mendengar sebarang bunyi asing selain dari bunyi tapak kasutnya yang berlaga dengan simen. Tidak ada. Hatinya lega. Langkah kakinya semakin deras. Matanya dihalakan pada pintu kecemasan yang tertutup rapat.

Langkah kakinya terus diaturkan. Setapak demi setapak dia terus melangkah. Derap bunyi tapak kasutnya cukup jelas kedengaran.Bergema didalam ruang yang luas itu. Bola matannya diliarkan lagi.

Beberapa detik kemudian dia mula merasa ada sesuatu yang tidak kena. Telinganya bagaikan menangkap bunyi derap tapak kasutnya beriringan dengan bunyi tapak kasut lain. Samsir cuba mengesan lagi dengan hati-hati.

Memang tidak salah lagi. Ada  bunyi tapak kaki lain berjalan seriringan dengan bunyi tapak kasutnya. Samsir segera berhenti. Dadanya kembali berdebar-debar. Matanya disorotkan kearah kawasan sekitar. Perasaan tidak enak membadai hatinya.

Samsir berpusing kebelakang. Cuba melihat kelibat seseorang. “Zaidi!” nama itu diserunya perlahan. Mungkinkah Zaidi berada disini? Mungkin saja pemuda itu takut bersendirian dilobi lalu dia turun kesini?

“ Zaidi?” bola matanya melingas lagi. Meninjau kesana dan kesini.

“Zaidi?” serunya lagi. Sesaat kemudian Samsir menunggu. Sepi.

Kembali Samsir melangkah. Kali ini dia berjalan perlahan-lahan.

Bunyi tapak kaki asing itu muncul seiring dengan derap tapak kasutnya. Sekali lagi Samsir berhenti. Jejaka itu tertoleh-toleh lagi.

“Zaidi!” suaranya dikuatkan sedikir. Bergema-gema nama itu melantung didinding ruang letak kenderaan yang luas itu.

“Heh! Kau jangan main-main dengan aku boleh tak?” dia menyingga sendiri. Berpusing-pusing lagi sambil cuba mengintai dimana lelaki itu berada. Mungkin dia ada disebalik tiang-tiang yang ada disitu?

Samsir bergerak dan menjengah beberapa batang tiang disitu. Tidak juga dia menemui Zaidi. Keluhan nipis dilepaskan.

“Zaidi?” nama itu diseru lagi. Namun begitu seruannya hanya disambut dengan kesepian. Ruang besar itu kembali sunyi.

Mungkin bunyi tadi cuma lahir dari khayalannya saja? Sejenak andaian itu berlabuh dalam kotak fikirannya. Andaian itu ditimbangnya dengan neraca kewarasannya sendiri.

Meski pun begitu akalnya menafikan andaian tadi. Telinganya memang jelas mendengar bunyi derap tapak kaki tadi. Cukup jelas. Susah untuk dia menyangsikannya.

Ah... mungkin saja gema yang terhasil membuatkan dia berperasaan begitu, hatinya berbisik lagi. Samsir berpusing lagi mengawasi kawasan sekitar. Kawasan luas itu diterangi dengan lampu disiling. Terasa seram. Bulu roma dilengannya merinding lagi. Belakang tengkuknya juga terasa kembang. Tubuhnya dimamah dengan rasa lesu. Sepasang lutut miliknya terasa lembik dengan tidak semena-mena.

“Zaidi?” bola matanya diliarkan lagi.

Hanya kesepian yang menyahut panggilannya itu. Hati jejaka itu dikuasi dengan rasa cuak.

“Zaidi! Kau jangan main-main dengan aku, boleh tak?” kesabarannya mula menipis.

Sepi lagi.

Samsir mencari lagi. Beberapa batang tiang dijengah. Pun begitu bayang Zaidi tetap tidak ditemui.

Samsir tidak mahu buang masa lagi. Dia segera kembali menuju kepintu kecemasan. Laju dia melangkah. Serentak dengan itu bunyi tapak kaki kedua muncul lagi. Sama laju dengan bunyi tapak kasutnya sendiri. Samsir menoleh namun dia terus melangkah. Peluh dingin mula merenek didahi. Tubuhnya dibalut dengan rasa seram sejuk. Tangannya mula mengeletar. Semakin dia dekat dengan pintu kecemasan semakin dia diasak dengan rasa takut. Sesekali dia menoleh kebelakang. Bunyi tapak kaki itu terus seiring dengan langkah kakinya. Biar betul! Seranahnya didalam hati.

Samsir tidak menunggu lama. Sebaik saja dia sampai dipintu kecemasan dia terus meloloskan tubuhnya. Dengan langkah yang tergesa-gesa dia mendaki tangga naik ketingkat atas.

Samsir duduk disebelah Zaidi. Kepalanya ditundukkan kebawah. Tangannya masih lagi mengigil biar pun tidak sekuat tadi. Cuba mengawal perasaannya sendiri.

“Bang,” Zaidi yang duduk disebelahnya menegur.

“Huh!” Samsir tersentak. Mengawal riak wajahnya.

“Abang dah kunci pintu  kat bawah?”

Samsir menjawap pertanyaan itu dengan anggukkan dikepalanya. Peluh didahinya dikesatnya dengan tangan. Seluruh badannya masih lagi diamuk dengan rasa seram sejuk. Buku laporan diatas meja langsung tidak disentuhnya.

Botol air mineral dicapai. Dengan tangan separuh mengigil dia meneguk air tersebut. Kemudian dia duduk bersandar. Masih berusaha menenangkan perasaannya.

Sekilas Zaidi disebelahnya dijeling. Apa yang dialami lelaki itu turut menimpa dirinya. Samsir memejamkan kelopak matanya untuk sesaat dua. Malam ini dia betul-betul diganggu.

Mungkin benar kata mereka, bangunan ini memang ada penunggunya. Dia tidak pasti bunyi tapak kaki yang didengarnya tadi milik siapa. Dan sememangnya dia tidak mahu ambil pusing. Yang dia tahu bunyi itu sudah cukup membuatkan hati lelakinya menjadi kecut.

Keegoannya selama ini mula tercabar. Sikap skeptikalnya mula dipersoalkan sendiri. Ya semalam ini dia memang sukar untuk mempercayai cerita-cerita yang dianggap karut. Makin misteri sesuatu persoalan itu, semakin karut pada angggapannya.

Setahunya selama dia hidup haram sekali pun dia tidak pernah diganggu. Apatahlagi terserempak dengan entiti-entiti yang menakutkan. Cerita-cerita yang pernah didengarnya sebelum ini hanya masuk telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Tidak berbekas langsung.

Tetapi malam ini? Samsir menelan rengkungnya jauh kedalam.

Sejenak dia menongkat kepalanya dengan tangan. Tidak pula ada sesiapa menceritakan apa-apa tentang kawasan letak kenderaan padanya sebelum ini. Yang dia pernah dengar ialah bangunan itu berhantu. Ada orang mati bunuh diri dan macam-macam lagi. Tapi tidak seorang pun bercerita tentang tempat letak kereta berpenunggu. Atau mungkin cerita itu sengaja disembunyikan? Entah, Samsir tidak tahu. Haram jadah betul! Hatinya menyumpah lagi.

“Kenapa bang?” dia tersentak apabila ditegur oleh Zaidi. Segera dia berpaling dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sebolehnya dia ingin menyembunyikan perasaan takutnya dari pemuda itu. Sisa-sisa keegoan masih berbekas dalam hatinya. Sebagai lelaki tak mungkin dia membiarkan dirinya kelihatan lemah. Dia mahu dikenali dengan sifat berani. Itu lelaki! Akhirnya dia berdengus dengan kasar. Kepalanya digeleng-gelengkan lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

Previous: Chapter 9
Next: Chapter 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh