Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
69,924
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 4

Samsir menolak daun pintu dan kemudian tubuhnya yang dimamah dengan rasa lesu diloloskan kedalam. Topi keledarnya diletakkan diatas meja. Beg yang berisi termos diletakkan dimeja dapur. Sambil melangkah menuju kekamar, dia membuka seragamnya. Lalu baju itu dicampakkan kehujung kaki katil. Jejaka berambut lurus pendek itu menghenyakkan punggungnya dibirai katil. Melepaskan lelah yang sudah berkurung dalam tubuhnya sejak tadi. Rasa mengantuknya bagaikan tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Suis kipas dibuka dan kemudian dia berbaring diatas katil. Bantal yang mengalas kepalanya terasa empuk. Lalu perlahan-lahan kelopak matanya dipejamkan. Fikirannya melayang-layang entah kemana. Bayang-bayang yang melintasi mindanya dibiarkan berlalu begitu saja. Sesaat kemudian dia terlelap. Lena bersama mimpi yang datang bertamu.

 Samsir tersedar apabila matahari sudah terpacak diatas umbun-umbun kepala. Segera dia bangun. Memerhatikan kearah kipas meja yang berputar ligat. Ruang kamar yang agak sempit itu terasa membahang. Langsir yang menutupi jendela direnungnya. Sudah pukul berapa ni, hatinya bertanya. Jam tangan dimeja bersebelahan dengan katil dicapai.

Sudah tengahari. Patutlah perut aku lapar, rungut Samsir. Kepalanya digeleng-gelengkan. Seketika kemudian dia mengeliat. Mengendurkan urat-urat yang terasa tegang. Satu keluhan berat dilepaskan perlahan. Rasa mengantuk masih lagi bersisa. Bantal disisinya seakan-akan mengajak dia untuk menyambung semula tidurnya.

Namun perut yang mendidih dengan tiba-tiba membuatkan dia membatalkan saja keinginannya itu untuk terus beradu. Dia perlu mandi dan keluar untuk mencari makan.

Bujang terlajak sepertinya memang hidup susah. Semuanya hendak dibuat sendiri. Lebih-lebih lagi bila duduk bersendirian. Kalau malas alamat nasi tak masuk dalam perutlah jawapanya. Siapa yang hendak sediakan semua itu kalau bukan diri sendiri.

Bilalah aku nak kahwin ni, pertanyaan itu berbunga dalam mindanya. Samsir tersenyum sendiri. Merasakan soalan yang baru ditanya pada dirinya itu cukup bodoh. Dengan keadaan dirinya ini siapa yang hendak jadikan dia menantu? Makan pun tidak tentu. Cara mana dia mampu untuk menyuap nasi kedalam tempolok anak dara orang? Diri sendiri pun tak lepas, rungutnya lagi didalam hati. Nasib engkaulah Samsir! Dia tergelak sendiri. Masa sekolah engkau main-main! Sekarang tanggunglah, dia mengutuk dirinya lagi.

Samsir bangkit perlahan-lahan. Tuala dicapai lalu dengan langkah longlai dia menuju kekamar mandi. Tubuhnya yang letih itu harus disegarkan semula sebelum dia keluar dari rumah.

Restoran didepan taman perumahan sewanya menjadi pilihan untuk dia makan tegahari itu. Setelah meletakkan motornya dia bergerak masuk kedalam. Aroma masakan yang terbit dari dapur memanjang hingga dicium dihujung hidungnya. Seleranya bangkit. Apatahlagi perutnya memang tengah lapar. Sejenak dia melilaukan matanya mencari meja kosong. Restoran kecil itu hampir dipenuhi dengan pelanggan. Pelayan pula sibuk kehulu dan kehilir melayani mereka. Sekejap-sekejap suara mereka kedengaran lantang meminta pesanan. Bercampur baur dengan bunyi sudu dan garfu berlaga didalam pinggan.

“Sam!”

Samsir tercegat lagi mencari meja kosong.

“Oii! Sam! Sini!” Samsir tersentak tatkala namanya dipanggil. Lantas dia mencari arah suaara itu muncul.

Seorang lelaki melambai-lambaikan tangannya kearahnya. Sedang tersengih. Zamri! Agak terkejut Samsir melihat lelaki berkumis tebal itu.

“Sinilah!” tanpa menunggu lagi Samsir melangkah mendekati lelaki itu.

“Duduklah,” pelawa Zamri dengan wajah manis. “Abang sorang je ke?” kerusi ditarik lalu Samsir melabuhkan punggungnya. Kebiasaannya Samsir akan memanggil orang yang lebih tua usia darinya dengan panggilan ‘abang’.

Belum pun sempat Zamri menjawap seorang pelayan lelaki datang dan bertanyakan pesanan.

“Bagi saya nasi goreng kicap dengan teh tarik,” pinta Samsir. Sejurus kemudian pelayan tadi mengangguk dan berlalu.

“Abang sorang je ke?” Samsir bertanya buat kali kedua.

Zamri yang sedang mengunyah nasi didalam mulutnya sekadar menganggukkan kepala. Kemudian milo didalam gelasnya disedut sedikit.

“Haah... orang rumah abang tinggal kat rumah,” sahut Zamri sebelum tersengih. Kemudian nasi disudukan lagi kedalam mulutnya. Nampak berselera benar. Terliur Samsir dibuatnya. Aroma nasi goreng didalam pinggan lelaki itu sudah cukup membuat perutnya menjerit-jerit minta diisi!

 “Orang rumah tak masak ke bang?” Samsir bertanya teragak-agak. Zamri terhenti menyudu. Kemudian dia ketawa. “Taklah... orang rumah abang masak. Kebetulan abang kesini. Perut pulak tengah lapar tu yang singgah makan kat sini.”

Samsir mengangguk-gangguk. Sekilas dia meliarkan bola matanya kearah kiri dan kanannya.. Pelanggan-pelanggan yang ada didalam restoran itu buat hal masing-masing. Sibuk menjamah hidangan masing-masing diatas meja. Sambil makan mereka berbual. Suara yang terbit didalam restoran itu tidak ubah seperti bunyi langau.

“Abang ke rumah adik perempuan abang. Hantar barang tadi. Dia ada jugak pelawa abang makan. Sengaja abang tak mahu,” sela Zamri. Jejaka berambut lurus didepannya itu dikerling lagi.

Samsir tidak menyahut. Hanya menganggukkan kepalanya saja.

“Kau buat apa sini?” gilliran Zamri pula bertanya.

“Rumah saya belakang sana bang. Lorong merpati dua. Tinggal menyewa dengan dua kawan saya yang lain. Masing-masing bujang,” tersengih Samsir menjawap.

“ Yang dua orang lagi mana?”

“Yang dua orang lagi kerja bang. Kerja kilang. Syif siang. Saya pulak masuk malam. Jaga bangunan Wisma Jaya.”

Zamri mengangkat mukanya memandang wajah anak muda itu. Agak lama. “Eh... kan dulu jaga CIMB Bank?” soalnya.

“Dah kena tukar tiga minggu lepas,” balas Samsir. Zamri terdiam.

“Abang tak meronda ke hari ni?” Samsir bertanya lagi. Kelazimannya Zamri yang bertugas sebagai pegawai ronda akan meronda setiap pondok kawalan dibawah syarikat kepunyaan Warisan Jaya. Sebelah malam pula digantikan dengan Amirudin.

“Tak... Amir gantikan tempat abang.”

“Sebelah malam siapa yang meronda?”

“Zack. Dia ganti tempat Amir malam ni. Post dia ada budak lain jaga,” sahut Zamri. Sesaat masing-masing menyepikan diri.

Samsir kelihatan serba salah. Ada yang mengaru-garu hatinya dikala itu. Hendak dipendamkan dilubuk hatinya dia terasa kurang selesa. Hendak diluahkan didepan lelaki itu dia dihimpit pula dengan rasa ragu-ragu. Apa aku nak buat ni? Hati mudanya berbolak-balik. Mencari jawapan.

“Err.... abang kenal ke dengan Karim?” teragak-agak dia membuka mulutnya.

Sekali lagi Zamri berhenti. Lelaki berkulit hitam manis itu mendongak dan memandang wajah Samsir agak lama. Dahinya berkerut seribu.

“Karim?”

Samsir angguk sambil tersenyum kelat. Walhal dia sendiri tidak kenal siapa lelaki bernama Karim. Sebelum ini pun dia tidak mengenali lelaki itu lebih dekat. Dia yang baru bertugas sebagai pengawal keselamatan di Warisan jaya itu memang tidak mengenali ramai kaki tangan yang ada disitu. Melainkan dua tiga kerat yang rapat-rapat saja.

“Karim yang mana?” ternyata Zamri gagal mengingati lelaki yang disebutkan tadi. Jauh dia merenung hingga keluar restoran.

“Yang pernah jaga bangunan Wisma Jaya. Tempat saya jaga sekarang ni,” Samsir cuba membantu lelaki itu mengingatinya.

Lama kemudian barulah Zamri menganggukan kepalanya. Itu pun nampak seperti teragak-agak. “Emm... Karim tu. Arwah Karim,” perlahan dia bersuara. Wajahnya diselubugi mendung dengan tiba-tiba. Tidak bercahaya seperti tadi.

“Abang kenal dia?” pantas Samsir bertanya.

“Emm... kenal tu memanglah kenal. Tapi taklah rapat sangat. Biasa-biasa aje,” sahut Zamri seolah-olah tidak berminat. Bibirnya yang tebal dicebikan hingga terjuih kedepan. Buruk benar rupanya.

“Betul ke yang dia mati dibangunan tu?” lambat-lambat Samsir bertanya. Belum pun sempat Zamri menyahut pelayan tadi datang dan meletakkan pesanan Samsir. Asap nipis yang terbit dari pinggannya menerawang keudara sebelum menghilang disambar oleh angin yang datang dari kipas yang berputar ligat disiling. Samsir meneguk sedikit teh tariknya. Tekaknya yang kering sejak tadi terasa enak semula.

“Macam mana kau tahu?” Zamri menduga. Wajah bujur sirih Samsir direnungnya dalam-dalam. Telaga mata masing-masing bertaut. Samsir gelisah.

“Mus ada bagitau saya semalam bang.”

“Oh... Mus. Dia kena jaga Wisma Jaya ya?” soal Zamri.

Laju Samsir mengangguk. “” Haah... saya dengan dia bang.”

Zamri angguk lagi seperti belatuk.

“Yang abang dengar macam tulah,” sahut Zamri dan kemudian dia menghabiskan sisa-sisa nasi didalam pinggannya. Selera Samsir mati dengan tiba-tiba. Bercerita tentang Karim menjadikan perutnya kenyang tidak semena-mena.

“Hantu perempuan bunuh dia?”Samsir bertanya lagi separuh berbisik. Tidak jadi Zamri menyuakan bibir gelas kemulutnya. Perlahan-lahan dia meletakkan kembali gelas Milonya diatas meja.

“Mus cerita macam tu?”

Samsir angguk lagi. Peluh mendarat didahinya. Zamri meneguk milonya dan kemudian mengeluh.

“Dengar cerita macam tulah. Dia mati jatuh bangunan,” lambat Zamri bersuara. Romannya makin mendung. Riak wajahnya juga mengambarkan yang dia kurang selesa bercerita tentang lelaki bernama Karim itu.

“Macam mana dia boleh jatuh?” Samsir yang tidak dapat membayangkan keadaan sebenar, bertanya. Keterujaannya tumbuh lagi. Benih - benih ingin tahu makin subur dalam kolam hatinya. Seolah-olah hal itu ada sangkut paut dengan dirinya pula. Keinginannya tidak dapat ditahan-tahan lagi.

“Janganlah tanya abang. Abang tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Masa kejadian tu pun abang tak ada dekat situ. Abang cuma dapat tahu dari orang lain. Tak banyak yang abang tahu pasal benda ni,” kata-kata itu mematahkan semangat Samsir secara tidak langsung. Dia hampa. Air mukanya berubah.

Siapa yang tahu tentang Karim? Tidakkah dia punya teman rapat? Siapa? Samsir membuahkan senyum. Dia mahu tahu tentang itu. Dan itulah satu-satunya jalan yang dia boleh lalui untuk mencari akan jawapan pada teka-tekinya.

Usai makan tengahari dia pulang kerumah. Masih ada beberapa jam lagi sebelum dia masuk bertugas malam itu. Dikesempatan itu Samsir membersihkan biliknya. Dua lagi rakannya punya bilik sendiri. Kebetulan rumah sewa yang mereka sewa mempunyai tiga bilik. Masing-masing ambil satu. Didalam kamar tidurnya dia tidak diganggu. Dia boleh buat apa saja yang dia suka.

Samsir membasuh pakaiannya sebaik saja selesai membersihkan kamar tidur. Berseorangan seperti itu menjadikan dia bosan. Pun begitu cerita tentang Karim yang mati akibat terjatuh bangunan membuatkan dia leka sejenak.

Dia sendiri sebenarnya tidak mengerti kenapa dia tiba-tiba berminat untuk tahu akan cerita yang sebenarnya. Sebelum ini dia pun bukannya rapat dengan Karim. Entah-entah mereka tidak pernah bertemu. Tetapi dia ingin sangat tahu. Apa yang menariknya? Hati anak muda itu tiba-tiba diasak dengan pertanyaan itu. Akhirnya Samsir memjuihkan bibirnya. Mesin sudah berhenti berputar dan dia segera mengambilnya untuk disidai diporch.

 

 

 

 

 

 

 

Previous: Chapter 3
Next: Chapter 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh