Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
28,295
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 16

Bunyi loceng bergema dan sejurus kemudian pintu lif terbuka. Samsir mengorak langkah kedepan. Sejenak dia terpaku diruang pejalan kaki yang kelihatan sepi. Pintu lif rapat semula. Lelaki itu menarik nafasnya dengan panjang. Ada harapan tersimpul kuat didalam hatinya. Dengan perlahan dia bergerak menyusuri ruang pejalan kaki. Udara sejuk mengigit sekujur tubuhnya. Cota yang tersisip kemas dipinggangnya diraba-raba dengan tangan. Lampu picit digenggam kemas ditangan kanannya. Dari satu lot pejabat ke satu lot pejabat disusurnya. Memastikan keadaan semuanya baik dan terkawal.

Samsir berhenti didepan pejabat Jennifer. Cuba mengintai dari celahan bidai disebalik pintu utama pejabat. Kesamaran lampu dilobi pejabat itu membataskan pandangannya. Lehernya dipanjangkan.

“Abang cari apa?” hampir Samsir menjerit kerana disapa dengan tiba-tiba. Pantas dia berpusing dan mendapati Jennifer sudah pun berdiri dibelakangnya. Sedang tersenyum manis. Dan senyuman itulah membuatkan dia tidak keruan. Semakin diamuk dengan rasa rindu.

“Err... eh... Jennifer dari mana ni?” muka Samsir pucat sendiri. Apakah gadis itu lihat apa yang dia lakukan tadi. Terhendap-hendap macam pencuri? Alamak! Malunya aku!

“Dari toilet abang. Tadi saya nampak abang tengok-tengok dalam. Abang cari apa?” soal gadis itu buat kali kedua.

Mampus aku! Apa aku nak jawap? Samsir masih cuba mengawal perasaannya. Jennifer pula tegak berdiri didepannya. Masih tersenyum sumbing seperti tadi. Apakah dia tahu apa yang aku cari? Soalan itu memenuhi ruang mindanya. Seketika kemudian Samsir merasakan kulit mukanya makin tebal. Kedua-dua belah lututnya terasa lenguh dengan tiba-tiba.

“Err... abang cari...,” berpeluh-peluh dia hendak menjawap pertanyaan gadis itu. Mukanya juga sudah dirasakan berpetak.

“Abang cari saya?” renungan mata Jennifer makin menikam.

Bagaikan hendak gugur jantung Samsir mendengar usikkan itu. Kalau tidak dikuatkan semangat lelakinya, mahu dia sudah terlentang diatas lantai ketika itu juga. Ya! Memang aku cari engkau! Namun kata-kata itu sekadar bergema didalam dadanya saja. Sudahnya Samsir tersipu-sipu sendiri. Perlahan-lahan kepalanya ditundukkan kebawah. Jennifer ketawa lagi.

“Saya takut kalau abang betul-betul cari saya.”

Samsir mendongak. “Kenapa pulak?”

“Yalah... mesti ada orang marah kan?” galak Jennifer merenung Samsir.

“Marah? Siapa pulak yang nak marah?”

“Teman wanita abanglah,” ucap Jennifer.

Seperti ada yang lucu, Samsir meledakkan ketawanya. Kali ini kedengaran kuat. Langsung rasa malunya cair begitu saja.

“Kenapa abang ketawa?” Jennifer bertanya dengan riak hairan. “Saya ada salah cakap ke?”

Samsir geleng. Ketawanya masih berderai lagi.

“Habis tu?”

“Jennifer jangan takut. Tak ada sesiapa yang akan marah pada Jennifer,” tutur Samsir dengan wajah yakin.

“Maksud abang?”

“Abang mana ada teman wanita,” sahut Samsir. Senyuman yang paling manis dilemparkan buat gadis itu.

“Abang bohong,” ujar Jennifer berpura-pura memasamkan mukanya.

Makin besar gelak Samsir. “Lah... nak buat apa saya bohong Jennifer? Memang saya tak ada teman wanita.”

“Susah nak percaya. Lelaki biasanya simpan perempuan lebih dari satu,” ujar Jennifer seolah-olah benar-benar merajuk dengan jejaka itu.

Samsir memeluk tubuhnya. Rasa dingin makin kuat mencengkam. Tiada sesiapa diruang pejalan kaki itu melainkan mereka berdua.

“Kenapa Jennifer cakap macam tu? Macam ada pengalaman aje?” usik Samsir. Kini dia tidak lagi merasa kekok bila berada didepan gadis itu. Yang dia tahu semakin lama dia semakin intim dengan gadis tionghua itu. Hatinya benar-benar telah tertarik dengan Jennifer.

“Bukan saya tapi kawan saya. Memang tak percayalah abang tidak ada teman wanita,” sambung gadis itu lagi.

“Betul. Saya memang tak ada teman wanita,” sejenak dia terhenti. Jennifer mencebikkan bibirnya. Masih tidak percaya. Reaksinya itu mengundang ketawa Samsir.

“Kenapa pulak ketawa?” gadis itu memuncungkan bibirnya kedepan. Nampak lucu. Antara sedar dan tidak Samsir makin tertawan dengan gelagat Jennifer. Kebahagiaan yang lama hilang kini muncul bersinar semula.

“Abang mengaku, dulu memang ada tapi,” Samsir terhenti.

“Tapi abang clash dengan dia?”

Samsir angguk. Sebolehnya dia tidak ingin berbicara tentang itu lagi. Biar saja kenangan pahit itu jauh terbenam didalam dasar hatinya. Tidak mahu diungkit lagi. Hanya menambahkan rasa bersalah dan kecewa.

“Maaf... bukan maksud saya untuk buat abang...,” tutur Jennifer apabila melihat perubahan pada wajah Samsir.

“Tak apa,” pantas Samsirmemotong. Sesaat pertemuan itu menjadi sepi. Masing-masing bagaikan kehilangan kata-kata.

“Saya minta diri dulu abang. Masih ada kerja yang patut saya siapkan,” akhirnya Jennifer bersuara kembali. Bibirnya dikulum memperlihatkan sikap keanak-anakan. Manja. Samsir tidak membantah. Dia sekadar menghantar gadis itu masuk kepejabat dengan ekor matanya saja. Rasa bahagia yang mengeluti kolam hatinya disimpan sebaik mungkin. Bibirnya tidak putus-putus mengukir senyum.

Ketika dia berpusing dia terkejut. Seorang lelaki bertubuh sederhana berdiri dibelakangnya. Memandang kearahnya dengan renungan yang tidak berkerlip.

“Awak cari apa sini?” soal Samsir terlebih dulu.

“Oh... saya nak ambil barang yang tertinggal dalam pejabat,” kemudian lelaki itu tergesa-gesa meninggalkannya. Kemudian menghilang disebalik pintu dipejabat tidak jauh dari pejabat Jennifer. Samsir perasan sebelum lelaki masuk kedalam, lelaki itu sempat melontarkan pandangan yang agak tajam padanya. Pun begitu Samsir sengaja tidak mahu ambil pusing. Cemburu agaknya, fikir Samsir.

Butang lif ditekan dan kemudian dia tercegat menunggu pintu lif terbuka. Seperti biasa dia menyambung semula rutinnya malam itu. Dari satu tingkat ke satu tingkat dia jelajah memastikan keadaan sentiasa berada didalam keadaan baik dan terkawal.

Sewaktu dia berada ditingkat dua belas dia terdengar bunyi tapak kaki berjalan. Kuat dan bergema. Samsir berpusing cuba mencari dari mana bunyi tapak kaki itu muncul. Lehernya dipanjangkan sementara telinganya dipasang dengan hati-hati. Bola matanya terus diliarkan. Cuba mencari kelibat seseorang. Hampa.

Samsir berkalih kearah pintu kecemasan apabila telinganya menangkap bunyi tapak kaki itu muncul. Dari situ! Desis hatinya. Segera dia melangkah mendekati pintu itu.

Samsir menjengah kedalam. Liar dia memerhatikan arah tangga menuju kebawah. Tidak pula dia melihat sesiapa disitu. Keadaan menjadi sepi semula. Kemana dia pergi? Samsir tertanya-tanya sendiri. Kebawahkah atau keatas? Kepalanya didongakkan. Bahagian tangga menuju ketingkat atas gelap. Memang dia tahu tiada sesiapa ditingkat tiga belas.

Atau barangkali ada penceroboh dalam bangunan ini? Hatinya mula diasak dengan rasa tidak enak. Beberapa minit Samsir masih lagi tercegat disitu. Telinganya terus dipasang dengan hati-hati.

Bunyi tapak kaki berjalan kedengaran lagi disusuli dengan dentuman pintu yang dihempas agak kuat. Samir terkejut. Kepalanya didongakkan keatas. Kali ini dia yakin ada seseorang berada ditingkat atas. Segera di berlari mendaki tangga.

Sesak juga dadanya bila berlari sambil mendaki begitu. Tangannya ditumpang kebesi tangga sebaik saja dia sampai ditingkat atas. Mengawal alunan nafasnya yang dirasakan laju. Kedua-dua betisnya juga terasa tengang dengan tiba-tiba. Inilah akibatnya kalau tidak bersenam. Mudah letih. Peluh didahinya disekanya dengan tangan.

“Hoi! Siapa tu?!” dia menjerit lantang. Suaranya yang keras melantun-lantun disetiap penjuru dinding.

Panggilannya tidak bersahut.

Samsir merasa tidak puashati. Pintu kecemasan ditingkat tiga belas ditolak dengan kuat. Hanya kegelapan menyambutnya disitu. Lampu picit dicapai lalu dia menyuluh kearah ruang pejalan kaki ditingkat itu. Kosong. Samsir menelan rengkungnya. Kerongkongnya terasa kering dan perit.

Entah dimana dia bersembunyi, gumam Samsir didalam hatinya. Lampu suluh ditangannya digerak-gerakkan lagi. Dengan berat hati Samsir berjalan menyusur ruang pejalan kaki yang diselubungi kegelapan itu. Dengan tidak semena-mena bulu romanya meremang sendiri. Hawa disitu terasa sejuk. Sejuk yang tidak pernah dia rasai selama ini.

Samsir berpusing lagi tatkala dia terdengar suara orang seperti berbisik. Seketika kemudian dia terdengar lagi bunyi pintu ditolak dan dihempas dengan kasar. Bunyi tapak kaki berlari ditangga kedengaran kuat dan jelas.

Tanpa membuang masa dia segera mengejar. Setibanya ditangga sekali lagi dia terhenti. Memastikan arah mana bunyi tapak kaki itu muncul. Setelah pasti yang bunyi itu menuju kebawah Samsir terus mengejar. Sekali lagi dia terpaksa mengerahkan tenaganya. Dari satu tingkat ke satu tingkat dia bergerak.

Tiba ditingkat lima bunyi tapak kaki itu hilang dengan tiba-tiba. Samsir kepenatan sendiri. Tangannya ditumpangkan kedinding. Segala sendi-sendinya terasa sakit. Uratnya mula dirasakan tegang disana sini. Peha dan betisnya terasa bisa dan sengal. Mampus aku macam ni, seranahnya didalam hati. Tercunggap-cunggap dia mengawal pernafasannya sendiri. Kalau boleh dia ingin melepaskan keletihannya disitu juga.

Mana dia pergi? Soalan itu bergema dalam mindanya. Samsir menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Entah kemana si penceroboh itu hilang, dia tidak pasti. Yang dia tahu dia memang merasa penat. Tak berbaloi langsung gerutunya lagi didalam hati.

Lampu dibahagian tangga ditingkat lima itu berkelip-kelip sendiri. Samsir mendongak ketas. Diwaktu yang sama kelihatan sesusuk tubuh berambut panjang melintas dibelakangnya. Samsir menoleh kerana terasa seperti ada sesuatu dibelakangnya. Bola matanya liar lagi. Tiada sesiapa disitu. Lampu disiling tidak lagi berkelip seperti tadi. Samsir mendengus. Wajahnya yang berminyak diraupnya dengan tangan. Terasa lekit. Telapak tangannya juga basah dek peluhnya sendiri.

Hawa sejuk semakin kuat memeluk sekujur tubuhnya. Samsir mengigil kecil. Tidak pula dia tahu kenapa malam ini sejuknya lain benar.

Samsir melangkah turun untuk ketingkat empat. Sekali lagi lampu disiling berkelip- kelip. Adakalanya ia seakan-akan ingin terpadam sendiri. Suasana menjadi samar dan menyeramkan. Sekali lagi Samsir mendongak. Apa kena dengan lampu ni? Rosak ke? Rungutnya didalam hati. Dalam waktu yang sama bayangan susuk tubuh berambut panjang mucul lagi dibelakangnya. Disebalik rambutnya yang menutupi keseluruhan wajahnya tersembul mata memandang kearah Samsir dengan garang. Samsir pula meraba tengkuknya sendiri. Mencanak bulu romanya berdiri tanpa dipinta.

Bayang wanita itu segera menghilang sebaik saja Samsir menoleh kebelakang. Pangkal tekuknya diraba-raba lagi dengan tangan. Terzahir riak keliru pada air mukanya ketika itu. Lampu disiling pulih semula seperti sediakala. Samsir berdengus dan kemudian dia menyambung semula langkahnya.

Entah kenapa tergerak pula dia hendak menjengah sekali lagi ditingkat empat. Bayang wajah Jennifer serta merta menerkam didalam benaknya. Samsir menolak pintu dan melangkah masuk keruang pejalan kaki.

Ketika pintu hampir tertutup, bayang wanita berambut panjang muncul ditepi tangga. Tersenyum memandang kearah pintu. Perlahan-lahan suara hilai ketawanya memenuhi ruang sepi itu.

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh