Samsir meloloskan tubuhnya keluar sebaik saja pintu lif terbuka.
Dengan langkah yang kejap dia melangkah menelusuri ruang lobi menuju kearah
meja yang dikhaskan untuknya. Dilihatnya tiada sesiapa pun disitu. Kemana
perginya Mustafa? Bola matanya diliarkan cuba mencari kelibat lelaki berusia
sekitar pertengahan tiga puluhan itu. Namun bayang Mustafa tetap tidak
kelihatan.
Samsir duduk dan mencapai sebatang pen. Buku laporan dibuka. Seperti
kelazimannya dia akan menulis didalam buku laporan setiap kali dia selesai
melakukan rondaan.
Samsir mendongak apabila mendengar bunyi tapak kaki bergesel dengan
lantai marmar. Terhegeh -–hegeh Mustafa berjalan mendekatinya. Tangan lelaki
itu dilihat sedang mengosok perutnya disebalik seragam yang dipakainya. Samsir
tersengih gelihati. Dia tahu sangat apa yang dialami oleh rakannya itu. Dah
tentu sakit perutnya belum hilang lagi, hatinya berkata sendirian.
“Perut kau tu buat hal lagi ke?” dia bertanya tanpa menoleh.
Mustafa tidak menjawap. Dia duduk sambil menyeringai. Tangannya
masih lagi seperti tadi. Menggosok perutnya sendiri.
“Haah lah... tak hilang lagi rasa mendidih ni,” berkeriut wajahnya
menahan rasa memulas. Sejenak Samsir mengerling lalu tersengih lagi. Kepalanya
digeleng-gelengkan.
“Kalau kau tak tahan, balik ajelah. Nak buat apa menyusahkan badan,”
ulas Samsir.
Mustafa tidak menjawap. Sebaliknya dia memandang wajah teman
sekerjanya agak lama.
Kalau dia tahu yang sakit perutnya itu berlarutan, memang dia malas
hendak kerja. Mungkin saja tadi dia boleh meminta orang lain menggantikan
tempatnya malam ini. Namun apabila memikirkan yang dia kemudiannya akan
mengantikan tempat orang lain pula selepas itu membuatkan dia mematikan saja
niatnya itu.
“Alah... sikit je ni. Kejap lagi okaylah tu,” sahut Mustafa
perlahan. Masih lagi cuba menahan rasa memulas yang dirasakan mula kurang.
Suasana menjadi sepi semula. Samsir leka menulis didalam buku
laporan. Mustafa pula sekadar memerhatikan ruang lobi yang mula diselubungi
sepi.
“Banyak lagi ke pejabat yang bukak?” tidak semena-mena Mustafa
memecah keheningan diantara mereka.
“Tingkat tiga ada dua. Tingkat lapan, tiga. Yang lain dah tutup,”
balas Samsir. Buku yang sudah siap ditulis ditutup kembali. Sedetik dia
mengerling kearah Mustafa. Tangan lelaki itu masih lagi menggosok-gosok
perutnya.
“Teruk sangat ke sakit perut kau tu?” dia bertanya.
“Taklah... dah kurang sikit ni.”
“Kalau tak tahan, balik aje. Aku ada malam ni,” cadang Samsir.
Seperti ada yang lucu, Mustafa meledakkan ketawanya. “Kau biar betul
Sam,” Sam adalah panggilan yang selalu digunakan dikalangan teman-teman sekerjanya.
“Kenapa pulak?” sengaja Samsir bertanya.
“Kau berani ke?” kata-kata itu seperti memperlinya.
Samsir membetulkan duduknya. Kemudian wajah Mustafa yang semakin
bulat hari demi hari itu direnungnya dalam-dalam.
“Kau ingat aku ni apa? Pondan?” biji matanya dibeliakkan. Mustafa
ketawa sebelum disusuli dengan keluhan nipis. Sejurus kemudian dia
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak lah macam tu.”
“Dah tu?” Samsir agak menyingga. Rasa tidak puashatinya cuba
dikawal.
“Aku dengar bangunan ni tak berapa ‘clear’,” ucap Mustafa dengan
suara yang rendah.
“Maksud kau?” Samsir inginkan kepastian.
Belum pun sempat Mustafa menjawap terdengar bunyi loceng. Kedua-dua
lelaki itu menoleh kearah lif. Pintu terbuka dan keluar beberapa orang kaki
tangan yang bekerja disitu. Rancak sangat mereka berbual sehingga tidak
mempedulikan akan mereka berdua.
Samsir memerhatikan salah seorang dari mereka. Seorang wanita muda.
Gadis cina. Rambutnya lurus dan agak berkilat. Kulitnya putih bersih. Matanya
agak sepet tetapi menarik. Bibirnya nipis. Tubuhnya agak lampai tetapi tidak
terlalu kurus. Memang cantik orangnya. Sewaktu gadis tionghua itu melintasi
mejanya, pandangan mata masing-masing
bertaut. Samsir agak ragu-ragu untuk menghulurkan senyumannya. Bimbang
senyuman ikhlasnya nanti tidak berbalas. Pengawal keselamatan sepertinya siapa
yang sudi pandang. Rasa rendah diri bermukim dalam dadanya.
“Heh! Kau tengok apa?” Samsir tersentak apabila bahunya disentuh
dengan kasar. Cepat-cepat dia berkalih pada sahabatnya itu.
“Tak ada apa-apalah,” tungkasnya dengan wajah yang masam. Sesaat
kemudian Mustafa ketawa lagi. Samsir sengaja tidak ambil pusing.
“Hah... sambung cerita tadi. Kau cakap tadi yang bangunan ni tak
berapa clear. Apa yang tak clearnya ni?” soal Samsir buat kali kedua.
Mustafa menarik nafasnya dalam-dalam sebelum melepaskannya
perlahan-lahan. Wajahnya yang agak bulat itu tampak redup. Jauh matanya
menyorot sesuatu. Keluhan nipis terlontar tanpa disedari. Seolah-olah sedang
cuba mengingatkan sesuatu yang telah lama ditinggalkan. Samsir mula menyampah.
“Heh! Ni nak bercerita ke nak termenung ni?” tempelak Samsir sambil menyiku
rusuk Mustafa. Lelaki itu tersengih lagi. “Nantilah. Kau ni tak
sabar-sabarlah,” sahut Mustafa kemudiannya.
“Nak cerita pun susah,” balas Samsir dengan hati separuh bengkak.
Kalau diikutkan hati mudanya mahu saja kepala lelaki itu dilukunya dua tiga
kali.
“Bukan tak nak cerita tapi...,”
“Tapi apa?”
Mustafa ketawa kecil. “Takut.”
“Kalau takut apa pasal kau bukak topik ni tadi?” seranah Samsir.
Sekali lagi Mustafa ketawa “Tersasul sebut.”
Samsir membuang pandang kearah lain dengan wajah mencuka. Apa yang
aku dah buat sampai dapat kawan macam ni? hati kecilnya mengomel sendiri.
“Dah tua-tua bangka macam ni pun takut lagi?” sindir Samsir seketika
kemudian. Sahabatnya itu dijelingnya. Mustafa tersengih. “Kau jangan cakap
besar. Nanti padah kau yang tanggung sendiri,” pantas Mustafa meningkah. Samsir
menjuihkan bibirnya.
Dia bukan tidak percaya dengan cerita-cerita aneh seperti itu. Sejak
dari kecil lagi telinganya sudah diasak dengan cerita-cerita yang menakutkan.
Poconglah, hantu galahlah, pontianaklah dan macam-macam lagi. Namun semua itu
padanya cuma cerita. Masuk ikut telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri.
Tidak berbekas langsung dalam hati dan mindanya. Lagi pun selama dia hidup ini
haram sekali pun dia tidak pernah terserempak dengan hantu. Sukar untuk dia
mempercayainya. Kalau ada orang mengatakan yang dia terjumpa itu dan ini, susah
untuk dia hadam begitu saja. Sifat skeptikalnya semakin menjadi-jadi.
Dia anak kampung dan membesar dikampung juga. Kata orang dikampung
memang banyak hantu yang berkeliaran. Meski pun begitu dia tidak pernah
mengalami sesuatu yang aneh. Tidak pernah sekali pun dia melihat gentayagan
hadir dan menganggunya. Tidak sekali pun dia terdengar bunyi atau suara yang
aneh-aneh. Sewaktu dia kecil dia selalu berjalan kaki sendirian menuju ke rumah
Haji Salleh untuk mengaji. Adakalanya dia akan pulang bersama-sama dengan teman-temannya.
Masih dia ingat lagi akan suasana kampung waktu dia masih diusia
kanak-kanak. Kedudukan rumah orang-orang kampung agak jarang-jarang. Masih
banyak lagi tanah-tanah dikampungnya ditumbuhi dengan semak dan belukar kecil.
Jalan dikampungnya akan menjadi sunyi dan sepi tatkala malam menjelang. Tidak
ramai orang kampung yang keluar diwaktu malam melainkan anak-anak muda yang
suka duduk bergebang disimpang dijalan besar. Selebihnya hanya orang-orang tua
yang suka duduk minum dan berborak diwarung Pak Leman tidak jauh dari simpang
masuk kekampung.
Kanak-kanak seusianya ketika itu jarang keluar diwaktu malam.
Biasanya dihabiskan dengan menonton tv diruang tamu sebelum masuk tidur. Tidurnya juga awal. Tidak betah
untuk berjaga hingga kejauh malam.
Paling dia ingat ketika dia mahu ke rumah Haji Salleh dia perlu
melalui bawah sebatang pokok ara dipertengahan jalan. Masih dia ingat lagi akan
pokok besar dan tinggi itu. Tumbuhan parasit seperti pokok sakat yang menumpang
dipokok besar itu menambahkan lagi keseraman orang kampung. Pokok itu memang
sudah ada sejak dia lahir lagi. Melihat pokok sebesar itu sesiapa pun akan
merasa takut. Lebih-lebih lagi diwaktu malam.
Dari apa yang dia pernah dengar kebanyakan orang kampung takut untuk
melintasi pokok itu. Lebih-lebih lagi ketika malam semakin larut. Upah seribu
pun belum tentu ada yang mahu.
Yang selalu disantak ketelinganya ialah ramai orang kampung diganggu
ketika melintasi pokok besar itu. Macam-macam cerita yang dia dengar. Ada yang
pernah nampak kelibat perempuan berdiri dibawah pokok tersebut. Ada yang
mengatakan mereka pernah terdengar suara perempuan mengilai ketika pulang
diwaktu malam. Ada juga mengatakan yang mereka ternampak kelibat perempuan
duduk bertenggek dipokok puaka itu dan macam-macam lagi. Tapi semuanya keluar
dari mulut orang. Bukan dari mulut dia. Sebabnya? Dia tidak pernah bertemu atau
mengalami apa-apa yang aneh dan menakutkan ketika melewati pokok tersebut.
Memang dia akui setiap kali dia lalu dibawah pokok yang dianggap
puaka oleh orang kampung hatinya sering menjadi gundah gulana dan bimbang.
Semua itu kerana cerita-cerita yang kurang enak dia dengar sebelum ini. Masih
dia ingat tatkala dia mahu mendekati pokok ara itu dia akan menggengam Muqaddam
ditangannya seerat mungkin. Mulutnya pula tidaak henti-henti membaca
Al-Fatihah. Sepasang lututnya menjadi longgar dengan tiba-tiba. Pun begitu apa
pilihan yang dia ada? Mahu atau tidak, suka atau terpaksa dia harus melaluinya
juga. Tidak ada jalan lain yang boleh digunakan untuk dia ke rumah Haji Salleh
atau pulang ke rumahnya. Itulah satu-satunya jalan yang ada.
Kalau dia pulang bersama-sama dengan teman-temannya yang lain mereka
akan segera berlari sewaktu melintasinya. Masing-masing tidak mahu menunggu
lama. Dalam kepala terbayang pelbagai wajah aneh dan menakutkan. Semua itu
hanya lahir dari fikirannya masing-masing. Tidak lebih dari itu. Ada yang
terkencing dalam seluar. Semuanya gara-gara pokok Ara yang dianggap berpuaka
dan berpenunggu oleh orang kampung.
Itu dulu, waktu dia masih kanak-kanak. Waktu itu dia tidak boleh
berfikir dengan baik. Tidak mampu menimbang apa yang dia dengar dengan neraca
kewarasannya. Apabila dia menginjak dewasa, cerita tentang pohon Ara berpuaka
itu sekadar cerita saja. Tidak lebih dari itu. Dia tidak kisah lagi untuk lalu
dibawah pokok itu biar pun diwaktu malam. Tidak sekali pun dia diganggu oleh
penunggu pokok tersebut. Lalu cerita tentang pokok berpuaka itu hanyut bersama
waktu yang berlari kian deras. Tidak ada apa-apa pun tentang pohon besar itu,
begitulah dirumuskan didalam hatinya.
Semakin dia dimamah dengan usia semakin dia menjadi tidak percaya
dengan cerita-cerita pelik dan menakutkan. Tidak mudah baginya untuk
mempercayai cerita-cerita yang selalunya dianggap karut dan merapu itu.
“Kau percaya hantu ke?” dia berkalih menoleh semula kearah Mustafa.
Rakannya memberi reaksi terkejut. Bulat matanya memandang wajah
Samsir. “Kau jangan cakap macam ni. Jangan cakap besar,” ujar Mustafa dengan
rasa kurang senang. Baginya tidak patut Samsir berkata begitu. Lebih-lebih lagi
ketika ini. Dia bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi.
“Mulut kau tu celupar sangat,” tempelak Mustafa lagi. Mukanya masam.
Seakan-akan kesal dengan apa yang baru dia dengar tadi dari mulut rakannya itu.
Samsir ketawa perlahan. Termos diatas meja dicapai lalu dia
menuangkan kopi kedalam cawan. Asap nipis segera menerawang keatas. Aroma kopi
yang enak segera mengasak kehidung masing-masing. Lantas selera terangsang
dengan sendirinya.
“Kalau jadi apa-apa nanti, siapa yang susah?” ujar Mustafa seketika
kemudian. Samsir tidak memberi sebarang reaksi. Kopi pekat didalam cawannya
dinikmati dengan penuh selera.
“Pernah jadi benda yang bukan-bukan ke dalam bangunan ni?” Samsir
menyandarkan semula tubuhnya kekerusi. Sesaat dia menjeling lagi kearah
Mustafa. Dilihatnya lelaki itu mendengus. Romannya nampak tegang. Seperti ada
sesuatu yang membuat fikirannya gusar tidak menentu.
“Dah lama aku kerja kat sini,” ucapnya. Suaranya kedengaran mendatar
tidak bermaya. Jauh dia merenung kedepan.
Samsir diam. Menunggu kata-kata yang bakal diucapkan oleh rakan
sekerjnya itu. Sepasang kaki dibawah meja dilunjurkan. Cuba mengendurkan
urat-urat dikaki yang terasa tegang. Betisnya terasa bisa dengan tiba-tiba.
“Macam-macam yang aku dah dengar,” Mustafa melanjutkan kata-katanya
lagi. Sementara itu Samsir terus membatukan dirinya. Untuk beberapa detik
lelaki itu tidak bernafsu utnuk mencelah. Hanya telinganya saja dipasang dengan
hati-hati.
Samsir akui dia baru saja ditugaskan untuk mengawal bangunan ini.
Sebelum ini dia diarahkan untuk mengawal sebuah bank dipinggir kota. Tidak
banyak masalah yang dia hadapi ketika bertugas disana. Semuanya berjalan dengan
lancar biar pun adakalanya dia takut. Manalah tahu buatnya berlaku rompakan,
siapa yang nak tanggung. Dia yang masih baru bertugas sebagai pengawal
keselamatan belum lagi mempunyai lesen senjata api. Buat masa ini dia masih
belum lagi dipanggil untuk menjalani latihan dan kursus bagi mendapatkan lesen
tersebut. Senjata yang boleh digunakan hanyalah sebatang cota. Tak mungkin dia
mampu berhadapan dengan perompak hanya berbekalkan sebatang cota pendek.
Mujur saja tidak berlaku apa-apa sewaktu dia bertugas disana. Dan
tiga minggu lalu dia diarahkkan untuk bertugas sini pula. Seperti biasa, dia
tidak membantah.
“Dua bulan lepas ada orang jatuh bangunan lagi,” perlahan-lahan
Mustafa memandang Samsir. Wajahnya masih lagi tegang seperti tadi. Tidak ada
secubit senyuman pada bibirnya. Tangannya juga tidak lagi menggosok perutnya.
Barangkali perutnya sudah berhenti memulas.
“Bunuh diri?” soal Samsir. Tidak pula dia tahu tentang perkara itu.
Mustafa tersenyum seketika lalu kepalanya digeleng-gelengkan.
“Bukan bunuh diri. Tapi dibunuh.”
Samsir tersentak. Tubuhnya ditegakkan. Kata-kata itu memancing perhatiannya.
Dia teruja sendiri.
“Siapa yang bunuh?”
Mustafa diam. Memandang kearah luar melalui dinding kaca bangunan.
Kenderaan masih lagi bertali arus seperti tadi. Masih ramai lagi orang yang
lalu lintas disitu. Ada yang kelihatan tergesa-gesa. Tiga lelaki lain pula
kelihatan sedang berdiri ditubir jalan sambil bersembang.
“Siapa yang bunuh?” Samsir membuka mulutnya. Rasa ingin tahu yang
semakin meluap-luap memaksa jejaka itu bertanya lagi.
“Aku tak pasti. Tapi yang aku tahu semua tu angkara seorang perempuan.
Perempuan cantik,” sahut Mustafa dengan suara yang rendah.
“Perempuan cantik?”
Mustafa mengangguk-anggukkan kepalanya. “Yang aku dengar cerita
Karim pernah cakap macam tu.”
Samsir termenung panjang. Cuba mengingati akan wajah dan susuk tubuh
lelaki bernama Karim. Entah... dia tidak pasti. Bukan sedikit kaki tangan
disyarikat dia bekerja. Bukan mudah untuk dia mengingati mereka semua.
“Kau tak kenal dia. Orangnya tak banyak cakap. Tapi dia memang tak
kisah. Tak suka masuk campur urusan orang,” Mustafa yang seolah-olah dapat
membaca fikiran Samsir memberitahu sambil tersengih. Samsir hanya
mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Siapa perempuan cantik tu Mus?” Samsir memang ingin tahu. Jauh
dilubuk hatinya dia merasa ada seperti tidak kena dengan cerita Mustafa itu.
Bagaimana seorang perempuan cantik boleh jadi pembunuh? Macam tidak masuk akal,
fikirnya berulang kali.
Mustafa mengeluh. Kepalanya ditundukkan kebawah. “Entah... aku
sendiri tak tahu. Karim pun tak banyak cerita pasal perempuan tu. Apa yang pernah
dia cakap perempuan tu memang cantik. Lembut dan agak peramah.”
Kembali Samsir termenung. Perempuan cantik? Lembut dan peramah?
Ah... mana mungkin gadis seperti itu jadi pembunuh. Mustahil. Ini betul-betul
macam cerita kartun, rungut Samsir didalam hatinya. Memang tak munasabah kalau
difikirkan berkali-kali. Gelas yang berasap nipis diatas meja direnungnya lagi.
Pun begitu seleranya sudah tumpul. Tidak bernafsu untuk menghirupnya seperti
tadi.
“Tak kan perempuan macam tu boleh jadi pembunuh Mus. Macam tak logik
aje,” akhirnya Samsir meledakkan rasa was-wasnya pada Mustafa.
Lelaki itu menoleh dan kemudian ketawa halus terburai dari mulutnya.
Samsir menahan perasaan. Terasa seperti dipermain-mainkan. Wajahnya mencuka
lagi.
“Jangan tertipu dengan paras rupa Sam. Yang nampak baik tu belum
tentu betul-betul baik. Apa kata orang, jangan nilai buku dari kulitnya,”
Mustafa ketawa lagi.
“Yalah Mus. Tapi ini perempuan. Kalau lelaki tu memanglah. Ini
perempuan ni, susah nak percaya ni,” rungut Samsir lagi.
Mustafa tidak segera menjawap. Dia mencapai cawan dan menuangkan
sedikit kopi pekat setelah meminta izin dari Samsir.
“Dendam,” sepatah dia berkata setelah kopi didalam cawannya dihirup.
Samsir melonggo. Romannya tampak keliru. “Dendam?”
Mustafa angguk. “Ya dendam. Itu yang aku dengar. Kata orang,
perempuan tu memang berdendam.”
“Dendam dengan Karim?”
Gelengan dikepala Mustafa menjadikan Samsir bertambah keliru. Ni apa
cerita ni, sumpahnya lagi didalam hati. Kekeliruan menjadikan dia tidak selesa.
“Bukan dengan Karim.”
“Kalau bukan dengan Karim... dengan siapa?”
“Dengan lelaki,” sahut Mustafa. Suaranya kedengaran berat dan
gementar.
“Lelaki...?” hampir-hampir suaranya tidak keluar. Mindanya diasak
dengan pelbagai pertanyaan dan teka-teki. Apa yang membuatkan keadaan jadi
begitu? Dendam pada lelaki? Tetapi apa puncanya? Persoalan-persoalan itu
semakin kuat menjerut fikirannya.
“Tapi... kenapa?” soal Samsir.
Mustafa menoleh dan menjungkitkan bahunya. Memberi isyarat yang dia
tidak tahu tentang perkara itu. Samsir terdiam. Fikirannya mencanai sesuatu.
Pun begitu dia gagal untuk menemukan sebarang jawapan.
“Kata orang perempuan tu masih ada disini,” ujar Mustafa lagi tidak
lama kemudian. Kembali Samsir memandang lelaki berperut gendut itu.
“Dia masih bekerja disini?”
Mustafa ketawa lagi. “Dia tak bekerja disini. Sebab perempuan dah
mati.”
Wajah Samsir pucat dengan tiba-tiba. Ditelannya air liur jauh
kedalam kerongkongnya. Sepasang lututnya terasa lembik dengan tiba-tiba.