Samsir menolak daun pintu dan kemudian tubuhnya yang dimamah dengan
rasa lesu diloloskan kedalam. Topi keledarnya diletakkan diatas meja. Beg yang
berisi termos diletakkan dimeja dapur. Sambil melangkah menuju kekamar, dia
membuka seragamnya. Lalu baju itu dicampakkan kehujung kaki katil. Jejaka
berambut lurus pendek itu menghenyakkan punggungnya dibirai katil. Melepaskan
lelah yang sudah berkurung dalam tubuhnya sejak tadi. Rasa mengantuknya
bagaikan tidak dapat ditahan-tahan lagi.
Suis kipas dibuka dan kemudian dia berbaring diatas katil. Bantal
yang mengalas kepalanya terasa empuk. Lalu perlahan-lahan kelopak matanya
dipejamkan. Fikirannya melayang-layang entah kemana. Bayang-bayang yang
melintasi mindanya dibiarkan berlalu begitu saja. Sesaat kemudian dia terlelap.
Lena bersama mimpi yang datang bertamu.
Samsir tersedar apabila
matahari sudah terpacak diatas umbun-umbun kepala. Segera dia bangun.
Memerhatikan kearah kipas meja yang berputar ligat. Ruang kamar yang agak
sempit itu terasa membahang. Langsir yang menutupi jendela direnungnya. Sudah
pukul berapa ni, hatinya bertanya. Jam tangan dimeja bersebelahan dengan katil
dicapai.
Sudah tengahari. Patutlah perut aku lapar, rungut Samsir. Kepalanya
digeleng-gelengkan. Seketika kemudian dia mengeliat. Mengendurkan urat-urat
yang terasa tegang. Satu keluhan berat dilepaskan perlahan. Rasa mengantuk
masih lagi bersisa. Bantal disisinya seakan-akan mengajak dia untuk menyambung
semula tidurnya.
Namun perut yang mendidih dengan tiba-tiba membuatkan dia
membatalkan saja keinginannya itu untuk terus beradu. Dia perlu mandi dan
keluar untuk mencari makan.
Bujang terlajak sepertinya memang hidup susah. Semuanya hendak
dibuat sendiri. Lebih-lebih lagi bila duduk bersendirian. Kalau malas alamat
nasi tak masuk dalam perutlah jawapanya. Siapa yang hendak sediakan semua itu
kalau bukan diri sendiri.
Bilalah aku nak kahwin ni, pertanyaan itu berbunga dalam mindanya. Samsir tersenyum sendiri.
Merasakan soalan yang baru ditanya pada dirinya itu cukup bodoh. Dengan keadaan
dirinya ini siapa yang hendak jadikan dia menantu? Makan pun tidak tentu. Cara
mana dia mampu untuk menyuap nasi kedalam tempolok anak dara orang? Diri
sendiri pun tak lepas, rungutnya lagi didalam hati. Nasib engkaulah Samsir! Dia
tergelak sendiri. Masa sekolah engkau main-main! Sekarang tanggunglah, dia
mengutuk dirinya lagi.
Samsir bangkit perlahan-lahan. Tuala dicapai lalu dengan langkah
longlai dia menuju kekamar mandi. Tubuhnya yang letih itu harus disegarkan
semula sebelum dia keluar dari rumah.
Restoran didepan taman perumahan sewanya menjadi pilihan untuk dia
makan tegahari itu. Setelah meletakkan motornya dia bergerak masuk kedalam.
Aroma masakan yang terbit dari dapur memanjang hingga dicium dihujung
hidungnya. Seleranya bangkit. Apatahlagi perutnya memang tengah lapar. Sejenak
dia melilaukan matanya mencari meja kosong. Restoran kecil itu hampir dipenuhi
dengan pelanggan. Pelayan pula sibuk kehulu dan kehilir melayani mereka.
Sekejap-sekejap suara mereka kedengaran lantang meminta pesanan. Bercampur baur
dengan bunyi sudu dan garfu berlaga didalam pinggan.
“Sam!”
Samsir tercegat lagi mencari meja kosong.
“Oii! Sam! Sini!” Samsir tersentak tatkala namanya dipanggil. Lantas
dia mencari arah suaara itu muncul.
Seorang lelaki melambai-lambaikan tangannya kearahnya. Sedang
tersengih. Zamri! Agak terkejut Samsir melihat lelaki berkumis tebal itu.
“Sinilah!” tanpa menunggu lagi Samsir melangkah mendekati lelaki
itu.
“Duduklah,” pelawa Zamri dengan wajah manis. “Abang sorang je ke?”
kerusi ditarik lalu Samsir melabuhkan punggungnya. Kebiasaannya Samsir akan
memanggil orang yang lebih tua usia darinya dengan panggilan ‘abang’.
Belum pun sempat Zamri menjawap seorang pelayan lelaki datang dan
bertanyakan pesanan.
“Bagi saya nasi goreng kicap dengan teh tarik,” pinta Samsir.
Sejurus kemudian pelayan tadi mengangguk dan berlalu.
“Abang sorang je ke?” Samsir bertanya buat kali kedua.
Zamri yang sedang mengunyah nasi didalam mulutnya sekadar
menganggukkan kepala. Kemudian milo didalam gelasnya disedut sedikit.
“Haah... orang rumah abang tinggal kat rumah,” sahut Zamri sebelum
tersengih. Kemudian nasi disudukan lagi kedalam mulutnya. Nampak berselera
benar. Terliur Samsir dibuatnya. Aroma nasi goreng didalam pinggan lelaki itu
sudah cukup membuat perutnya menjerit-jerit minta diisi!
“Orang rumah tak masak
ke bang?” Samsir bertanya teragak-agak. Zamri terhenti menyudu. Kemudian dia
ketawa. “Taklah... orang rumah abang masak. Kebetulan abang kesini. Perut pulak
tengah lapar tu yang singgah makan kat sini.”
Samsir mengangguk-gangguk. Sekilas dia meliarkan bola matanya kearah
kiri dan kanannya.. Pelanggan-pelanggan yang ada didalam restoran itu buat hal
masing-masing. Sibuk menjamah hidangan masing-masing diatas meja. Sambil makan
mereka berbual. Suara yang terbit didalam restoran itu tidak ubah seperti bunyi
langau.
“Abang ke rumah adik perempuan abang. Hantar barang tadi. Dia ada
jugak pelawa abang makan. Sengaja abang tak mahu,” sela Zamri. Jejaka berambut
lurus didepannya itu dikerling lagi.
Samsir tidak menyahut. Hanya menganggukkan kepalanya saja.
“Kau buat apa sini?” gilliran Zamri pula bertanya.
“Rumah saya belakang sana bang. Lorong merpati dua. Tinggal menyewa
dengan dua kawan saya yang lain. Masing-masing bujang,” tersengih Samsir
menjawap.
“ Yang dua orang lagi mana?”
“Yang dua orang lagi kerja bang. Kerja kilang. Syif siang. Saya
pulak masuk malam. Jaga bangunan Wisma Jaya.”
Zamri mengangkat mukanya memandang wajah anak muda itu. Agak lama.
“Eh... kan dulu jaga CIMB Bank?” soalnya.
“Dah kena tukar tiga minggu lepas,” balas Samsir. Zamri terdiam.
“Abang tak meronda ke hari ni?” Samsir bertanya lagi. Kelazimannya
Zamri yang bertugas sebagai pegawai ronda akan meronda setiap pondok kawalan
dibawah syarikat kepunyaan Warisan Jaya. Sebelah malam pula digantikan dengan
Amirudin.
“Tak... Amir gantikan tempat abang.”
“Sebelah malam siapa yang meronda?”
“Zack. Dia ganti tempat Amir malam ni. Post dia ada budak lain
jaga,” sahut Zamri. Sesaat masing-masing menyepikan diri.
Samsir kelihatan serba salah. Ada yang mengaru-garu hatinya dikala
itu. Hendak dipendamkan dilubuk hatinya dia terasa kurang selesa. Hendak
diluahkan didepan lelaki itu dia dihimpit pula dengan rasa ragu-ragu. Apa aku
nak buat ni? Hati mudanya berbolak-balik. Mencari jawapan.
“Err.... abang kenal ke dengan Karim?” teragak-agak dia membuka
mulutnya.
Sekali lagi Zamri berhenti. Lelaki berkulit hitam manis itu
mendongak dan memandang wajah Samsir agak lama. Dahinya berkerut seribu.
“Karim?”
Samsir angguk sambil tersenyum kelat. Walhal dia sendiri tidak kenal
siapa lelaki bernama Karim. Sebelum ini pun dia tidak mengenali lelaki itu
lebih dekat. Dia yang baru bertugas sebagai pengawal keselamatan di Warisan
jaya itu memang tidak mengenali ramai kaki tangan yang ada disitu. Melainkan
dua tiga kerat yang rapat-rapat saja.
“Karim yang mana?” ternyata Zamri gagal mengingati lelaki yang
disebutkan tadi. Jauh dia merenung hingga keluar restoran.
“Yang pernah jaga bangunan Wisma Jaya. Tempat saya jaga sekarang
ni,” Samsir cuba membantu lelaki itu mengingatinya.
Lama kemudian barulah Zamri menganggukan kepalanya. Itu pun nampak
seperti teragak-agak. “Emm... Karim tu. Arwah Karim,” perlahan dia bersuara.
Wajahnya diselubugi mendung dengan tiba-tiba. Tidak bercahaya seperti tadi.
“Abang kenal dia?” pantas Samsir bertanya.
“Emm... kenal tu memanglah kenal. Tapi taklah rapat sangat.
Biasa-biasa aje,” sahut Zamri seolah-olah tidak berminat. Bibirnya yang tebal
dicebikan hingga terjuih kedepan. Buruk benar rupanya.
“Betul ke yang dia mati dibangunan tu?” lambat-lambat Samsir
bertanya. Belum pun sempat Zamri menyahut pelayan tadi datang dan meletakkan
pesanan Samsir. Asap nipis yang terbit dari pinggannya menerawang keudara
sebelum menghilang disambar oleh angin yang datang dari kipas yang berputar
ligat disiling. Samsir meneguk sedikit teh tariknya. Tekaknya yang kering sejak
tadi terasa enak semula.
“Macam mana kau tahu?” Zamri menduga. Wajah bujur sirih Samsir
direnungnya dalam-dalam. Telaga mata masing-masing bertaut. Samsir gelisah.
“Mus ada bagitau saya semalam bang.”
“Oh... Mus. Dia kena jaga Wisma Jaya ya?” soal Zamri.
Laju Samsir mengangguk. “” Haah... saya dengan dia bang.”
Zamri angguk lagi seperti belatuk.
“Yang abang dengar macam tulah,” sahut Zamri dan kemudian dia
menghabiskan sisa-sisa nasi didalam pinggannya. Selera Samsir mati dengan
tiba-tiba. Bercerita tentang Karim menjadikan perutnya kenyang tidak
semena-mena.
“Hantu perempuan bunuh dia?”Samsir bertanya lagi separuh berbisik.
Tidak jadi Zamri menyuakan bibir gelas kemulutnya. Perlahan-lahan dia meletakkan
kembali gelas Milonya diatas meja.
“Mus cerita macam tu?”
Samsir angguk lagi. Peluh mendarat didahinya. Zamri meneguk milonya
dan kemudian mengeluh.
“Dengar cerita macam tulah. Dia mati jatuh bangunan,” lambat Zamri
bersuara. Romannya makin mendung. Riak wajahnya juga mengambarkan yang dia
kurang selesa bercerita tentang lelaki bernama Karim itu.
“Macam mana dia boleh jatuh?” Samsir yang tidak dapat membayangkan
keadaan sebenar, bertanya. Keterujaannya tumbuh lagi. Benih - benih ingin tahu makin subur dalam
kolam hatinya. Seolah-olah hal itu ada sangkut paut dengan dirinya pula.
Keinginannya tidak dapat ditahan-tahan lagi.
“Janganlah tanya abang. Abang tak tahu apa yang terjadi sebenarnya.
Masa kejadian tu pun abang tak ada dekat situ. Abang cuma dapat tahu dari orang
lain. Tak banyak yang abang tahu pasal benda ni,” kata-kata itu mematahkan
semangat Samsir secara tidak langsung. Dia hampa. Air mukanya berubah.
Siapa yang tahu tentang Karim? Tidakkah dia punya teman rapat?
Siapa? Samsir membuahkan senyum. Dia mahu tahu tentang itu. Dan itulah
satu-satunya jalan yang dia boleh lalui untuk mencari akan jawapan pada
teka-tekinya.
Usai makan tengahari dia pulang kerumah. Masih ada beberapa jam lagi
sebelum dia masuk bertugas malam itu. Dikesempatan itu Samsir membersihkan
biliknya. Dua lagi rakannya punya bilik sendiri. Kebetulan rumah sewa yang
mereka sewa mempunyai tiga bilik. Masing-masing ambil satu. Didalam kamar
tidurnya dia tidak diganggu. Dia boleh buat apa saja yang dia suka.
Samsir membasuh pakaiannya sebaik saja selesai membersihkan kamar
tidur. Berseorangan seperti itu menjadikan dia bosan. Pun begitu cerita tentang
Karim yang mati akibat terjatuh bangunan membuatkan dia leka sejenak.
Dia sendiri sebenarnya tidak mengerti kenapa dia tiba-tiba berminat
untuk tahu akan cerita yang sebenarnya. Sebelum ini dia pun bukannya rapat
dengan Karim. Entah-entah mereka tidak pernah bertemu. Tetapi dia ingin sangat
tahu. Apa yang menariknya? Hati anak muda itu tiba-tiba diasak dengan
pertanyaan itu. Akhirnya Samsir memjuihkan bibirnya. Mesin sudah berhenti
berputar dan dia segera mengambilnya untuk disidai diporch.