Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,351
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

SITI Maisara masih lagi berdiri tegak di hadapan cermin almari bajunya. Sekejap dia mendekatkan wajahnya betul-betul seinci dari cermin itu. Sekejap dia menjauhkan dirinya 50 cm dari cermin. Memastikan dari sudut manakah wajahnya kelihatan cantik.

Walaupun dia sendiri tahu cermin usang yang berkabus dengan tanda-tanda retak di sana sini itu tidak mungkin memberikan keputusan yang menakjubkan, tetapi dia tidak peduli. Sudah berpuluh tahun cermin usang itu setia memberikan khidmatnya. Semenjak dia bersekolah darjah satu lagi sehinggalah sekarang.

Malah, almari baju yang menempatkan cermin itu pun sudah uzur benar bentuk fizikalnya. Seburuk-buruk almari baju itu, almari itulah yang banyak memberi khidmat dan jasanya kepada dia dan adik-adiknya. Almari buruk itulah yang menempatkan baju-bajunya dan adik-adik perempuannya.

Bagi Siti Maisara, selagi almari baju itu tidak roboh dan selagi ia dapat menyimpan baju-baju dia dan adik-beradiknya, itu sudah memadai.

Janji, bilik dia dan adik-beradik perempuannya yang hanya berkeluasan 10 x 10 itu kemas dan teratur. Bilik tidur yang menempatkan Siti Maisara dan dua orang lagi adik perempuannya, Siti Musliha dan Siti Mariam.

“Sara! Berapa lama lagi kau nak bersiap tu? Tak cantik mananya kau tu kalau dok membelek berjam-jam kat depan cermin tu!” jerit Mak Odah dari dapur.

Siti Maisara tidak menghiraukan jeritan lantang Mak Odah itu. Sudah biasa benar dia mendengar jeritan itu. Malah, jiran sekeliling di Kampung Jawa itu juga sudah sedia maklum. Setiap pagi, pasti Mak Odah akan memulakan tugas rasminya itu. Kalau tidak marahkan Siti Maisara, jeritannya itu pasti memarahi anak-anaknya yang lain.

Bagi jiran-jiran Mak Odah, sehari tidak mendengar jeritan Mak Odah, pasti tidak sah hari-hari yang mereka lalui. Jika hari itu senyap tanpa jeritan Mak Odah, pasti ada sesuatu yang buruk berlaku pada Mak Odah. Jika tidak demam, mungkin Mak Odah mengalami sakit tekak.

“Sara!”

Terdengar lagi laungan Mak Odah dari dapur. Kali ini suaranya luar biasa nyaringnya.

Rasanya, kalau Mak Odah masuk pertandingan menyanyi untuk yang bersuara soprano, pasti Mak Odahlah juaranya.

“Ya. Kejaplah mak. Orang dah siap ni,” jawab Siti Maisara sedikit nyaring.

Siti Maisara segera menutup pintu almari baju antiknya itu. Namun, tiba-tiba dia membuka kembali pintu almarinya itu sambil merenung kembali wajahnya di cermin.

Mirror, mirror of the wall... tolong beritahu aku, siapakah gadis yang paling cantik kat Kampung Jawa ni?” tanya Siti Maisara kepada arca imejnya di cermin.

Oh, thank you! Thank you! Aku tahu, akulah gadis tu, kan?” tanya Siti Maisara sambil tersengih.

Siti Maisara melentok-lentokkan wajahnya sambil tersenyum. Puas benar hatinya apabila cerminnya itu memberi respons yang positif.

“Hah! Memanglah kau gadis tu. Dah kau sorang aje yang ada kat depan cermin tu. Takkan cermin tu nak tunjuk muka orang lain pulak! Kot-kot pulak, keluar muka aku. Ha, baru kau tahu!” sergah Mak Odah dari pintu bilik.

Mendengar sergahan Mak Odah yang lantang lagi memetir itu, Siti Maisara terlompat sambil terjerit.

“Oh, mak kau! Mak ni! Terkejut orang tau! Suka sangat buat sergah-sergah macam tu. Ingat ni macam Nas Ahmad yang buat rancangan Terjah kat Melodi tu ke? Nasib baik tak kena sakit jantung,” komen Siti Maisara sambil mengurut-ngurut dadanya.

“Tok sah kau dok berangan yang kau tu cantik sangat. Sedar diri tu tak secantik mana pun. Makin lama kau tenung cermin tu, tak pasal-pasal pecah cermin tu!” sindir Mak Odah tajam.

Siti Maisara menjeling tajam ke arah emaknya. Memang begitulah sikap emaknya. Tidak pernah berprasangka baik mahupun berfikiran positif terhadap anak-anaknya. Yang emaknya tahu ialah suka mengkritik dan membebel.

Siti Maisara sedar emaknya begitu kerana taraf pendidikan emaknya hanyalah setakat darjah enam sahaja. Kurang pergaulan dan sukar menerima perubahan. Malah, kurang juga dalam hal-hal keagamaan dan kesosialan.

Mujurlah dirinya berpendidikan tinggi. Baru sahaja selesai menghadiri upacara graduasi untuk Diploma Pengurusan Pentadbiran dari UiTM, Shah Alam. Menyedari tahap keintelektualannya melebihi penghuni rumahnya ini, Siti Maisara malas memanjangkan pertelingkahan dengan emaknya itu. Apa yang pasti, sebanyak mana pun nasihat yang Siti Maisara beri bagi menyedarkan emaknya, ia tidak merubah apa-apa pun kerana emaknya tetap dengan pendiriannya.

“Hah! Apa lagi yang tercegat kat situ? Kata nak pegi temu duga. Macamlah kau confirmdapat yang kau nak berlengah-lengah lagi kat sini!” sergah Mak Odah lagi.

“Hisy, orang dah sudahlah ni. Mak ni, doakanlah yang baik-baik untuk orang. Kan orang nak pergi interview kerja ni. Kalau dapat kerja, siapa yang senang? Mak jugak, kan?” balas Siti Maisara.

Dia sudah menyilangkan beg sandang yang bergambar Angry Bird di bahunya. Dalam masa yang sama, sempat lagi dia membelek arca dirinya yang memakai baju kurung biru di cermin.

“Dah elok kau kerja kat tadika tu, kau berhenti. Ni sibuk nak cari kerja kat KL tu buat apa?” rungut Mak Odah.

Bagi Mak Odah, dia lebih senang Siti Maisara bekerja sebagai guru sementara di Tadika Mesra di kampungnya itu. Anaknya ada di depan mata dan kerjanya juga tidaklah sesusah mana.

“Mak ni, orang ada diplomalah! Kalau setakat kerja cikgu sementara kat tadika tu, orang yang tak pas SPM pun boleh kerja!” jawab Siti Maisara.

Dia sudah keluar dari biliknya lalu terus menuju ke dapur. Siti Maisara menghampiri meja makan. Dibuka tudung saji yang menutup makanan di atas meja itu. Siti Maisara tersenyum.

Satu kelebihan emaknya yang Siti Maisara puji ialah masakan emaknya. Biar dia berdiet macam mana pun, jika diberi pilihan antara masakan emaknya dan menu diet yang ditawarkan, sudah pasti dia akan memilih masakan emaknya.

Siti Maisara mengambil pinggan, lalu disenduknya nasi goreng kampung yang dimasak Mak Odah. Apalagi dengan air Nescafe panas, makin bertambah selera Siti Maisara.

“Hah, mana tak bulat badan tu! Kalau makan sampai tak ingat! Ni, kalau badan bulat macam ni, nak ke orang tu terima kau bekerja, Sara?”

Pertanyaan Mak Odah yang pedas lagi berbisa itu tidak dihiraukan Siti Maisara.

Siti Maisara memandang jam tangan yang dibelinya sendiri lima tahun yang lalu. Jam tangan itu dibeli sempena hari gajinya yang pertama sewaktu dia bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika dia menunggu keputusan SPMnya dahulu. Menyedari dirinya sudah terlambat, Siti Maisara cepat-cepat menghabiskan nasi goreng di pinggannya itu.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring minta diangkat. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya itu.

“Helo! Ha, kau Ina. Kat kat mana ni? Okey, aku dah siap dah ni. Kau amik akulah sekarang,” kata Siti Maisara melayan si pemanggil di talian.

“Ya, aku tahu. Aku mana ada kredit. Aku tunggu kau calllah,” jawab Siti Maisara sedikit perlahan, namun masih didengari Mak Odah.

Selesai menutup telefon bimbitnya, Siti Maisara bersalaman dengan emaknya.

“Orang dah nak pergi ni mak. Doakan orang dapat kerja tu tau!” kata Siti Maisara dalam pengharapan yang penuh agar emaknya mendoakannya.

“Hmm... yalah. Ni, kau nak naik apa pergi temu duga kat Kolompo tu?” tanya Mak Odah.

“Orang tunggu Ina. Kejap lagi dia sampailah. Orang naik motor dengan dia. Parking motor kat stesen. Nanti, orang naiklah Komuter ke KL,” jawab Siti Maisara.

Dalam masa yang sama, terdengar bunyi motor di halaman rumah mereka.

“Ha, tu Ina dah sampai tu. Orang pergi dulu eh,” kata Siti Maisara.

“Ha, yalah. Baik-baik jalan kat Kolompo tu. Jawab soalan temu duga tu baik-baik,” pesan Mak Odah ikhlas.

“Macam pesan nak jawab SPM aje!”

Sempat lagi Siti Maisara mengejek emaknya, namun dalam masa yang sama dia hanya mengangguk sahaja di depan emaknya.

Dia terus melangkah laju ke ruang tamu. Dicapainya kasut getah coklat jenama Crocs yang tiada bertumit itu. Disarungnya segera.

“Wei, kau pakai macam ni aje?” tanya Ina sambil memandang Siti Maisara dari atas ke bawah.

Siti Maisara memandang dirinya. Apa pula yang tidak kena dengan penampilan aku? Fikirnya. Baju kurung biru berbunga besar, berkasut getah warna coklat, tudung yang dipinjam daripada adiknya, Siti Musliha yang berwarna putih dan beg sandang AngryBird yang sengaja diselimpangkan ke bahu. Okey apa! Oh, ya, cermin mata berbingkai besar pelengkap penampilan dirinya. Tanpa cermin mata itu, Siti Maisara pasti merasakan dunianya benar-benar kelam. Gitu!

“Kenapa? Salah ke?” tanya Siti Maisara lurus.

“Hmm... taklah salah, tapi macam... err... macam tak kena aje!” komen Ina.

Dia sendiri berbaju kurung hijau dengan tudung kepala berwarna krim susu. Beg tangan hitamnya diselimpangkan ke bahu. Sementara kasut pula, dia memakai kasut berwarna krim, sesuai dipadankan dengan tudungnya. Begitu sederhana penampilannya.

“Alah, lantaklah. Janji, aku selesa! Eh, jomlah. Kita dah lambat ni,” balas Siti Maisara sambil membetulkan letak cermin matanya ke posisi yang betul.

Ketika dia mahu menaiki motor untuk membonceng Ina, tiba-tiba ayahnya, Pak Musa, muncul.

“Ayah, orang pergi dulu!”

Hanya itu sahaja yang Siti Maisara ucapkan sebelum motor yang diboncengnya itu berlalu. Sekadar memberitahu walaupun dia tahu apa respons ayahnya itu.

Sebagai seorang anak, dia sudah menjalankan tugasnya melayan ibu bapanya seadanya walaupun dia sedar ayahnya sendiri seperti tidak suka kepadanya.

Pak Musa hanya memandang anaknya itu sekilas. Dia terus masuk ke dalam rumah, mencari isterinya di dapur.

“Ke mana Sara nak pergi pagi-pagi buta macam ni?” tanya Pak Musa dalam telo Jawanya, sedikit tegas.

Mak Odah yang sedang membasuh pinggan di singki terhenti.

“Alah, katanya ada temu duga kat Kolompo. Dia dengan Inalah tu. Temu duga tempat yang sama,” jawab Mak Odah.

Dia kembali meneruskan kerja-kerja membasuhnya itu. Ada banyak lagi kerja-kerja rumah yang mahu diselesaikannya sebelum dia beralih untuk memasak makanan tengah hari mereka sekeluarga.

Pak Musa yang tidak banyak cakap serta berperwatakan serius itu memandang isterinya sambil memikirkan sesuatu.

“Habis, kerja dia yang kat tadika tu macam mana? Dia dah berhenti ke?” tanya Pak Musa lagi.

“Dah berhenti dah. Dia nak cari kerja yang sesuai dengan diploma dia tu,” jawab Mak Odah.

Tangannya lincah menyudahkan bilasan pinggan mangkuknya itu.

“Huh! Sama aje. Gaji lebih pun, kalau kerja kat KL, kau ingat boleh dapat bulat-bulat gaji penuh kau tu? Dengan nak bayar tambang kereta apilagi, duit makan minum dia, beli macam-macam lagi. Cukup ke?” rungut Pak Musa pula.

“Alah, biarkanlah. Tahulah dia nak hidup macam mana. Dia dah besar dah. Tak payah awak susah-susah nak fikirkan masalah tu. Lagipun, bukan budak tu mintak duit awak pun!” balas Mak Odah sambil menyindir pedas.

Mendengar Mak Odah sudah mula membuka mukadimah menyerangnya secara senyap, Pak Musa berlalu dari situ sambil merengus marah. Malas dia mahu mengambil kisah akan hal anak perempuannya itu.

Malah, sikap tidak pedulinya itu bukan kepada Siti Maisara seorang, dua orang lagi anak perempuannya juga menerima nasib yang sama.

Anak-anak juga sudah sedia maklum tentang sikap ayah mereka yang memilih kasih terhadap kesemua anak-anaknya itu. Pak Musa lebih menunjukkan sayang kepada dua orang anak lelakinya, Abdul Muaz dan Abdul Muin.

Tidak pula kepada Mak Odah. Walaupun dia bermulut bising, namun kasihnya tetap sama kepada semua anak-anaknya. Malah, kesemua anak-anaknya lebih senang berurusan dengan Mak Odah daripada ayah mereka sendiri.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.