Home Novel Komedi/Romantik Komedi Awekku Minah Latah
Awekku Minah Latah
Aida Adia
3/7/2015 23:35:15
90,349
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 11

KEPALA Siti Maisara terlentok-lentok ke kiri dan ke kanan sambil matanya lelap walaupun dia di dalam keadaan duduk dan masih sedar dengan keadaan sekeliling. Tidak dihiraukannya di mana dia ketika ini. Tidak juga dia kisahkan siapa lelaki yang duduk di sebelahnya.

Harap-harap, dia tidak melentokkan kepalanya di bahu lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Yang penting dia dapat melelapkan matanya sekejap sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya. Pastinya Siti Maisara keletihan bekerja seharian.

Komuter laluan Kuala Lumpur - Pelabuhan Klang itu terasa sangat lambat kelajuannya. Dek kerana badan terasa amat letih dan otak yang semakin penat digunakan seharian, mata Siti Maisara bagai tidak mahu terbuka lagi. Mengantuk yang amat. Kebetulan rezekinya petang itu, sebaik memasuki Komuter itu, dia ternampak satu kerusi kosong di sebelah seorang lelaki. Apa lagi, cepat-cepat Siti Maisara duduk di kerusi kosong itu.

Amat jarang Siti Maisara berpeluang mendapat kerusi kosong. Lebih-lebih lagi, pada waktu kemuncak ketika orang pejabat semua keluar dari pejabat untuk pulang ke rumah. Begitulah rutin harian Siti Maisara ketika pulang daripada bekerja semenjak tiga bulan yang lalu. Sentiasa berebut-rebut dan berasak-asak di tengah-tengah lautan manusia di dalam Komuter itu. Lebih malang lagi, bila Siti Maisara terpaksa berdiri sepanjang perjalanan dari Stesen Kuala Lumpur hingga ke Stesen Kampung Jawa di rumahnya itu.

Teringat Siti Maisara ketika pertama kali dia terpaksa berdiri di dalam Komuter sepanjang perjalanan pulang ke rumah di dalam keadaan berkasut tumit tinggi. Bukan setakat mengalami kejang urat di kaki, malah langkah kakinya betul-betul kaku dan kakinya tidak boleh dibengkokkan akibat kekejangan otot.

Pulang ke rumah, Siti Maisara diketawakan oleh emak dan adik-adiknya kerana dia berjalan seperti budak tujuh tahun yang baru lepas bersunat.

Kini Siti Maisara sudah bijak, belajar daripada pengalaman. Pulang sahaja ke rumah, sebelum keluar dari pejabat, dia sentiasa memakai walking shoes yang lebih ke arah kasut sukan agar memastikan kakinya tidak lenguh dan kejang ketika jauh berjalan dan berdiri lama di dalam Komuter.

Tiga bulan bekerja di Unit Audit Korporat di bank itu, cukup menjadikan Siti Maisara manusia yang paling sibuk. Segala urusan pentadbiran dan dokumentasi sememangnya amat membebankan dirinya. Sehingga Siti Maisara tiada masa dan ruang untuk dirinya sendiri. Malah, tiada masa juga untuk menanya khabar teman-teman.

Bekerja di unit Audit Korporat itu juga telah menukarkan kebiasaan Siti Maisara bercakap kuat tanpa menghiraukan keadaan sekeling kepada pertuturan yang lembut dan perlahan. Pertama kali ketika dia menjawab panggilan luar dan melayan segala pertanyaan daripada pihak pelanggan, teruk habis dia ditegur Zaim.

“Kau ingat kat departmentni nak jual tudung atau nak jual ikan kat pasar malam ke? Cuba kau turunkan sikit volume suara kau tu! Walaupun kita tak deal dengan pelanggan korporat secara langsung, tapi kita deal dengan branch manager, head of department dan semua yang berpangkat tinggi dari seluruh cawangan di Malaysia ni. Hisy, cuba kau profesional sikit. Kita kerja kat bank, bukan kerja MLM! Kau kat rumah memang suka cakap kuat-kuat macam ni eh?”

Dan segala bagai kutukan dan bebelan dari mulut Zaim yang Siti Maisara tidak larat mendengarnya. Namun, bila Siti Maisara mula berubah dan cuba perbaiki dirinya hasil sesi motivasi daripada Zaim itu, lain pula penerimaan kawan-kawan Siti Maisara ketika pertama kali menghubungi Siti Maisara.

“Wei, ni Sara ke ni? Apasal suara kau tu? Kau kat mana ni? Kau bercakap macam kat dalam kelambu aje.”

“Wei. aku kat dalam bilik mayat ni beb! Sorrylah, tak boleh cakap lama-lama. Cakap kuat-kuat nanti, mayat tu hidup balik, cekik aku kang. Naya beb!”

Memang stres! Apatah lagi bekerja dengan semuanya di kalangan lelaki. Letih melayan kerja-kerja yang menimbun dan letih juga melayan pelbagai kerenah daripada lima lelaki yang bergelar bos. Macam-macam perangai ada. Terutama sekali Mamat Gebuz itu, gelaran yang digunakan Siti Maisara untuk Zaim.

“Nampak aje gebu, lemah lembut, sopan santun, tapi perangai, nauzubillah... mengalahkan singa! Yang aku hairan tu, dengan yang lain, boleh pulak dia cakap lembut-lembut. Patutnya, dengan aku yang perempuan nilah dia berlembut. Ini tidak, dengan yang jantan-jantan kat office ni aje yang dia cakap lembut-lembut. Apa kes!” rungut Siti Maisara bila merasakan dirinya seperti dibuli Zaim.

Siti Maisara tidak faham dengan perangai pelik Zaim. Seperti ada dua personaliti yang berbeza pada diri Zaim dalam pandangan Siti Maisara. Bila di hadapan lelaki, Zaim akan sentiasa berlemah lembut dan kadangkala, Siti Maisara merasakan Zaim bagai menggoda mereka.

Namun, bila dengan dirinya, Zaim berubah bagaikan Transformer ala-ala Optimus Prime gitu! Sekelip mata Zaim akan bertukar menjadi pemarah dan cerewet. Pernah terdetik dalam hati Siti Maisara, Mamat Gebuz ni, straight ke bengkok? Namun, persoalan itu hanya tergantung di situ sahaja walaupun jauh di sudut hati Siti Maisara kuat mengatakan bahawa Zaim si Mamat Gebuz ini memang sah Mat Jambu!

Bekerja dengan bos yang lain seperti Akmal, Andy dan Raja serta bos besar merangkap ketua bahagian iaitu Sean Lionel, tidaklah banyak memberi masalah kepada Siti Maisara. Mereka begitu memahami dan banyak juga memberi tunjuk ajar kepada Siti Maisara. Malah, sentiasa menganggap Siti Maisara merupakan salah seorang ahli kumpulan yang penting dalam kumpulan audit mereka. Siti Maisara terasa dihargai. Lebih-lebih lagi dengan si mat salih maco dan handsome, big boss Mr. Sean Lionel.

Pertama kali Siti Maisara diperkenalkan dengan big boss Unit Audit Korporat itu, adalah ketika Siti Maisara sudah hampir sebulan bekerja di unit itu. Siti Maisara terkejut bukan kepalang. Mana tidaknya, lelaki mat salih yang memijak kakinya ketika dia mahu menghadiri temu duga di bank itu adalah big bossnya sendiri.

“You... you... err... you...” Tergagap-gagap Siti Maisara ingin menuturkan sesuatu kepada Mr. Sean Lionel itu.

Barangkali memahami Siti Maisara yang sedang terkejut bagaikan terkena arus elektrik itu, Mr. Sean Lionel tersenyum sambil menghulurkan tangannya unuk berjabat salam.

Yes, you are Siti Maisara right? Welcome to Corporate Audit Department. I’m sure you’ve made yourself comfortable in this department. Sorry, I’ve been away for three weeks and not here on your first day joining our team.” Begitu sopan dan gentleman sekali big boss mat salih ini berbicara.

Siti Maisara yang hampir semput nak bernafas dek terkejut tadi cuba mengimbangi emosi, namun masih tidak terluah kata-kata.

Well, Zaim, have you gave her proper coaching or some briefing on her roles in this department?” soal Mr. Sean Lionel sambil memandang Zaim.

Zaim yang ketika itu seakan-akan meluat melihat wajah Siti Maisara yang sedang terkulat-kulat memandang big bossmereka, masih boleh mengawal riak muka meluatnya itu.

Owh, of course boss. Well, I will not giving her more pressure on her first month in this department but I will coahing her step by step to give her chance to adapt our culture here slowly,” jawab Zaim sambil tersenyum.

Good!” ujar Mr. Sean Lionel sambil berlalu pergi.

Coachinglah sangat! Uwek! Nak muntah aku! Kutuk Siti Maisara dalam hati.

Meluat dengan jawapan Zaim yang poyo ala-ala mengampu itu tadi. Namun, dalam Siti Maisara mengutuk Zaim dalam hati, tiba-tiba Mr. Sean Lionel berpaling semula dan menghampiri Siti Maisara.

Owh, yeah, I just wondering what is the meaning of, ‘sorry naik lori’? It’s sound very nice to me!” tanya Mr. Sean Lionel sambil tersenyum penuh makna.

Sebaik mendengar soalan cepumas daripada big bossnya itu, Siti Maisara sudah terkulat-kulat untuk menjawab. Dia teringat kembali bagaimana dia menengking mat salih yang telah mempijak kakinya ketika hari temu duganya di bank itu dahulu.

“Hisy, mat salih ni. Dalam banyak-banyak ayat bahasa Melayu, apasal yang ini dia ingat pulak!” rungut Siti Maisara, namun dia masih tercari-cari jalan bagaimana ingin menjawab soalan big bossnya.

Sementara itu, Zaim dan Akmal yang berada di situ terpinga-pinga mendengar soalan big boss mereka. Tertanya-tanya bagaimana big boss mereka boleh semesra itu dengan staf barunya. Kebiasaannya, big boss mereka itu memang seorang yang serius dan pendiam. Tapi berlainan pula sikapnya bila Siti Maisara muncul.

Just kidding! Okay, you may continue your work girl.” Mr. Sean Lionel tersengih sambil berlalu pergi.

Lucu benar dia melihat wajah Siti Maisara yang tidak ubah seperti ayam berak kapur itu.

“Fuh, lega!” Siti Maisara menarik nafas lega.

“Eh, apa yang bos tanya awak tadi tu, Sara? Awak memang dah kenal lama ke dengan big boss kita tu?” tanya Akmal, ingin tahu.

“Eh, tak adalah Encik Akmal. Nilah first time saya jumpa big boss. Agaknya adalah tu dia terdengar budak-budak Melayu kita yang bahasakan kat dia tu,” jawab Siti Maisara dengan muka yang tidak bersalah.

“Hmm... yalah kot! Pelik jugak kita orang ni. Big boss bukan macam tu sebelum ni. Dia tu manusia yang paling serius dan susah nak tersenyum, awak tahu! Bila jumpa awak aje, surprise! Ha, jangan-jangan awak ada manderem bis boss kita tu tak!” giat Akmal sambil tersenyum.

Manakala Zaim pula sudah duduk di mejanya. Pura-pura menaip sesuatu di computer, tetapi dalam masa yang sama cuba mencuri dengar perbualan Akmal dengan Siti Maisara.

“Eh, tak adalah Encik Akmal. Tak usah kata saya yang manderam big boss tu. Ni ha, saya sendiri ni yang dah dimanderam dengan big boss yang handsome dan maco tu adalah!” jawab Siti Maisara sambil ketawa.

“Aik, boleh tahan jugak tasteawak ni ya. Saya ingat awak tak layan mat salih atau mamat-mamat handsome kat bank ni. Yalah, hari tu kan awak kata awak tak layan boyfriend-boyfriend ni!” sakat Akmal.

Baru sahaja sebulan mengenali Siti Maisara, namun Akmal merasa selesa berbual dengannya. Tambahan pula Siti Maisara rajin bertanya dan selalu membuatkan pejabat mereka menjadi kecoh dengan lawak jenakanya. Siti Maisara memang gadis yang selamba dan menghiburkan. Sekurang-kurangnya, pejabat mereka yang terkenal dengan panggilan bilik mayat oleh rakan-rakan sekerja dari unit lain dek kerana terlalu sunyi dan muram itu berubah ceria dan berseri dengan kehadiran Siti Maisara.

“Hisy, tolong sikit Encik Akmal. Encik Akmal jangan sangka saya yang bukan-bukan hanya disebabkan saya ni kasar dan nampak macam jantan. Saya gadis tulen. I’m straight okay!” sanggah Siti Maisara, namun entah apa motifnya, Siti Maisara sengaja menguatkan suaranya bila menyebut perkataan straight.

Akmal sudah tergelak mendengar jawapan pedas daripada Siti Maisara. Sempat lagi Akmal menjeling sekilas kepada Zaim yang sedang menaip sesuatu. Namun, Akmal dapat melihat rona merah pada muka Zaim. Pastinya Zaim terasa!

Siapa suruh kulit kau gebu dan putih melepak sangat. Ha, kan dah nampak merah padam kat muka tu! Kantoi! Mana mahu sorok, nyah! Siti Maisara sempat mengutuk Zaim dalam hati.

Tiba-tiba Siti Maisara tersedar bila dia terdengar pengumuman dalam Komuter itu.

“Subang Jaya! Subang Jaya!”

Segera Siti Maisara menegakkan badannya. Stesen Padang Jawa semakin menghampiri. Siti Maisara cuba membuka matanya luas-luas, tidak mahu tertidur lagi kerana takut dirinya tidak sedar bila Komuter tiba di Stesen Padang Jawa nanti.

Dia memandang sekeliling di dalam koc yang dia duduki itu. Orang masih lagi ramai. Masih ada lagi lima enam orang yang berdiri. Tiba-tiba, baru Siti Maisara perasan bahawa ada seorang penumpang wanita dalam lingkungan umur 40-an sedang berdiri betul-betul berhampiran dengannya.

Siti Maisara memandang wajah wanita itu. Timbul pula rasa kasihan melihat wajah wanita itu yang pucat dan letih tidak bermaya. Sekurang-kurangnya, dalam keadaan dirinya yang keletihan itu, wajahnya tidaklah seteruk wanita itu. Dalam masa yang sama, Siti Maisara melihat arca dirinya di cermin tingkap Komuter itu. Tersenyum dan spontan juga terus membetulkan tudungnya yang senget kerana tertidur tadi. Eh, sempat lagi!

Memikirkan bahawa hanya ada dua lagi stesen yang harus dia tempuh untuk sampai ke destinasi yang dituju, Siti Maisara bangun dan cuba mempelawa wanita itu duduk di tempatnya.

“Kak, duduklah. Saya dah nak sampai dah ni,” pelawa Siti Maisara ikhlas sambil tersenyum.

Wanita yang sedang berdiri itu yang sememangnya dari tadi kelihatan letih dan berwajah mengantuk itu sedikit terkejut bila Siti Maisara menegurnya. Dia merenung Siti Maisara tajam. Wanita itu juga memandang dirinya atas bawah.

Excuse me, do I look like preggy? Helo, tengok orang sikit ya sebelum you nak offer orang lain tempat duduk! Tak payahlah you nak tunjuk baik bagi offer kat orang lain. Tengok diri you tu sikit, layak duduk ke, layak berdiri!” Sinis lagi pedas wanita itu bersuara sambil memberi pandangan mengejek kepada Siti Maisara.

Semua penumpang yang berada di dalam koc itu memandang ke arah mereka berdua. Sudah pasti suara wanita itu agak kuat sehingga menarik perhatian semua penumpang di dalam koc itu. Namun, pandangan mereka lebih terarah kepada Siti Maisara kerana menunggu tindak balas Siti Maisara daripada kata-kata kurang ajar wanita itu tadi.

Siti Maisara yang sememangnya seorang yang baran dan mudah naik angin itu, ditambah keadaan dirinya yang benar-benar keletihan, membalas pandangan mengejek wanita itu dengan pandangan yang tajam. Dia memandang pula dirinya atas bawah.

Aku tahulah yang aku ni bulat, gemuk, tapi janganlah sampai nak menghina orang macam tu sekali! Gerutu hati kecil Siti Maisara.

“Kak, saya memang tak kuasa nak cek orang tu mengandung ke tidak. Ada saya kisah? Tapi, saya tahu diri saya muda, hormatkan orang yang lebih tua. Kalau dah rasa diri tu bagus, tak suka nak bermasyarakat, lain kali pergi mana-mana bawa kereta. Jangan naik kenderaan awam lagi. Menyusahkan orang aje!” bebel Siti Maisara.

Sengaja dikuatkan suaranya bila menyebut perkataan jangan di hadapan wanita itu.

Wanita itu menjeling tajam ke arah Siti Maisara. Siti Maisara membalas dengan renungan yang tajam. Yang pastinya wanita itu termalu sendiri kerana suara Siti Maisara yang lantang dan kuat memenuhi ruang koc tadi.

Dah lama aku tak bersuara lantang begini. Kan free-free aje dah kena! Kata Siti Maisara dalam hati.

Entah memang benar destinasinya sudah sampai atau tidak, wanita itu terus keluar sewaktu Komuter berhenti di Stesen Shah Alam.

“Bagus, nak. Kau bahasakan sikit perempuan tu tadi. Kurang ajar sangat! Orang dah bagi duduk, patut cakap terima kasihlah. Ini, nak marah-marah kita pulak. Kalau tak nak duduk sekalipun, tolaklah elok-elok,” ujar seorang mak cik yang menyaksikan drama tidak berbayar tadi.

Siti Maisara hanya membalas dengan sengihan. Namun, bukan hanya mak cik itu seorang sahaja yang memuji. Sudahnya, hampir semua penumpang yang berada di dalam koc itu turut memuji-muji keberanian Siti Maisara ‘membahasakan’ wanita itu. Siti Maisara sudah naik letih mengucapkan terima kasih kepada mereka semua.

Sebaik Komuter itu berhenti di Stesen Padang Jawa, Siti Maisara melangkah keluar dengan lemah longlai. Keletihan masih terasa. Namun, sedikit terubat keletihan bila mendapat pujian daripada penumpang-penumpang di dalam koc yang didudukinya itu tadi. Di dalam fikirannya, dia hanya mahu segera sampai ke rumah. Bukan sebab apa pun, yang terbayang di fikirannya kini adalah lauk masakan emaknya!

Kebiasaannya, Siti Maisara jarang makan tengah hari di pejabat. Semuanya kerana Siti Maisara sedaya upaya ingin berjimat cermat dan memastikan kos perbelanjaannya tidak berlebihan.

Maka, sarapannya Siti Maisara akan mengambil menu berat di rumah. Jika ada lebih, Siti Maisara akan bawa bekal dari rumah. Makan tengah hari, jika tidak membawa bekal dari rumah, Siti Maisara akan makan buah-buahan potong yang dibelinya di gerai-gerai kecil di kawasan berhampiran bangunan bank tempatnya bekerja.

Bunyinya macam Siti Maisara sedang mengamalkan diet. Tetapi hakikatnya, bila tiba makan malam, Siti Maisara akan pulun habis-habisan. Pernah juga ditegur oleh emaknya tentang fizikalnya yang semakin hari semakin mengembang. Namun, ada saja jawapan yang akan diberikannya apabila emaknya menyuarakan tentang fizikalnya.

“Mana orang boleh tahan tengok masakan mak ni. Lagipun, tak baik masak lebih-lebih, tapi kita tak menghabiskannya. Kan itu membazir namanya dan amalan syaitan.”

“Habis, kalau tengah-tengah malam kau pulun sampai dua pinggan, mana tak kembang badan tu. Siapa nak kan kau kalau badan dah mengembang macam tu?” tegur Mak Odah.

“Alah, mak! Tak hairanlah kalau tak ada orang nak. Ha, nanti kalau orang kahwin, mak jugak yang susah. Siapa nak bagi mak duit bulan-bulan? Siapa nak jaga mak nanti?”

“Hisy, asal aku cakap, ada aje yang kau nak menangkan. Hmm... lantaklah! Pandai-pandailah kau nak jaga badan kau sendiri!” kata Mak Odah.

Malas dia mahu bertekak dengan anak perempuannya itu yang sentiasa ada sahaja jawapannya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.